Manusia yang hidup dapat merasai kesenangan, kesusahan, kegembiraan,
kesedihan dan lain-lain, berbeza dengan manusia yang mati. Demikianlah juga
dengan hati manusia, yang telah mati, hati tidak lagi merasai sedih,
resah-gelisah dan gundah-gulana, bimbang dan takut dengan kesalahan diri,
apabila tuan punya hati meninggalkan perintah-perintah Allah, menentang dan
melawan hukum-hakamNya. Jauh dari menyesali, malah berbangga dan bermegah
dengan kesalahan yang dilakukan. Dirinya akan senang menyebelahi kepada
kejahatan dan dirinya sentiasa gembira dan tenang sekalipun berada dalam lembah
dosa. Hati akan terhijab dengan dinding gelap yang tebal antara manusia dengan
Allah. Sekiranya kecenderungannya kepada kejahatan dan maksiat terlampau-lampau
dan sukar untuk meninggalkannya, maka itu tandanya hati yang mati
semati-matinya.
Hati seseorang hamba itu akan hidup apabila adanya iman yang mantap
terhadap segala sesuatu yang diimani. Hatinya ini mempunyai nur Ilahi yang
dapat merasai pedih dan pilu apabila hamba itu melakukan maksiat. Dirinya akan gembira apabila mengerjakan
kebaikan dan hatinya menjadi senang, lega dan lapang. Seterusnya apabila
dirinya melakukan kejahatan, hatinya menjadi sempit, susah kerana telah
melakukan maksiat, resah dan gelisah. Inilah tanda orang yang beriman kepada
Allah. Hal ini merupakan tandakemarahan
Allah kepada kita. Jelas terdapat perbezaan antara manusia yang hidup hatinya
dan manusia yang mati hatinya.
Sabda nabi saw:
مَنْ سَرَّتْهُ حَسَنَتُهُ
وَسَاءَتْهُ سَيِّئَتُهُ فَهُوَ مُؤْمِنٌ
Ertinya: Sesiapa yang gembira dengan
kebaikan, dan susah dengan kejahatan, maka dia adalah seorang yang beriman.
Seseorang yang mengerjakan amal kebajikan namun hatinya tidak senang dan
tenteram, resah gelisah, sedih seperti mengingati hartanya akan berkurangan
setelah dia bersedekah, hartanya telah tidak ada lagi apabila dia berwakaf dan
sebagainya. Inilah tanda sifat-sifat orang munafiq. Dia tidak boleh merasai nur
Ilahi, dan tidak dapat menangkapinya kerana masih ada hijab dan dinding yang
masih tebal dan gelap antara dirinya dengan Allah.
Orang yang dianugerahkan Allah dengan taufiqNya bermakna orang yang
dipimpin oleh Allah untuk melakukan amal soleh. Allah menjadikannya gembira
apabila melakukan kebaikan dan ibadah, tenang dalam menghadapinya, dan mudah
untuk melaksanakan kerana ia diredhaiNya. Apa jua pekerjaan yang dilakukan
dengan kehendak hati akan menjadi mudah dan ringan untuk dikerjakannya. Orang
yang mengharap kepada redha Allah akan timbulnya rasa ketaatan kepada Allah .
Orang yang beriman dan mempunyai hati yang hidup boleh dilihat melalui 2
keadaan:
i.
Sentiasa takut dan bimbang jika amal ibadatnya
tidak diterima oleh Allah SWT dan dosanya tidak diampunkan oleh Allah. Dirinya
sentiasa berhati-hati agar tidak terjerumus kepada perkara yang tidak diredhai
Allah.
ii.
Perasaannya sentiasa mengharap dan tidak putus asa
dengan rahmat Allah dan mengharapkan Allah mengampuni dosanya. Perasaan takut
dan harap kepada rahmat Allah menurut Abu Ali al-Ruzbari seumpama dua sayap
burung. Apabila hilangnya
satu sayap maka burung tersebut tidak boleh terbang dengan baik dan sempurna.
Apabila hilangnya kedua-dua sayap itu maka burung itu akan mati.
Terdapat 5 jenis
dosa yang lebih besar apabila dilakukan daripada dosa yang dilakukan, antaranya
ialah:
- Membesarkan
dosa yang telah dilakukan dan tidak menganggapnya sebagai satu dosa
- Menganggap
dosa yang dilakukan adalah kecil dan meremeh-remehkan dosa
- Mengekalkan
diri dalam keadaan berdosa dan tidak bercita-cita untuk meninggalkannya
- Mempertontonkan
dosa kepada orang lain secara terang-terangan tanpa menyembunyikan.
- Bersifat
berani dalam mengerjakan dosa tanpa perasaan takut dan bimbang
Tazkirah yang membina.alhmdllh
BalasPadam