Ads 468x60px

Labels

Ahad, 26 Februari 2012

PENTADBIRAN DAN PENGURUSAN TANAH WAKAF DI MALAYSIA



3.1       Pendahuluan


Pentadbir wakaf adalah pihak yang memainkan peranan yang penting dalam menguruskan sesuatu harta wakaf. Pihak ini adalah menjadi tunggak atau nadi yang menggerakkan pembangunan harta wakaf dan diuruskan sebagaimana yang dikehendaki oleh pewakaf. Pentadbir wakaf menjalankan bidang yang terhad berdasarkan kepada syarat-syarat yang ditetapkan, kecuali terdapat keperluan tertentu yang diharuskan tetapi dilakukan melalui keputusan jemaah mufti.


Hukum syarak telah menetapkan bahawa harta yang diwakafkan hendaklah diurus dan ditadbir oleh pihak yang bertanggung jawab bagi mengawal selia dan menjaga kemaslahatan harta wakaf agar ia dapat disalurkan kepada pihak yang benar-benar berhak menerimanya.[1] Di dalam Islam seseorang yang dilantik untuk mentadbir harta wakaf atau pemegang amanah dikenali sebagai “al-Mutawalli”.[2] Al-Mutawalli adalah terdiri daripada orang atau badan yang mempunyai kemampuan, amanah dan berupaya melaksanakan apa yang dihajati oleh pewakaf.[3] Tugas-tugas utama adalah menjaga dan memelihara serta membangunkan tanah yang diwakafkan, mengutip hasil wakaf dan seterusnya mengagihkan kepada benefisiarinya yang berhak serta memeliharanya dengan sebaik mungkin daripada sebarang kehilangan dan kerosakan, sebagaimana yang disyaratkan oleh pewakaf.[4]

3.2       Pandangan Fuqaha Tentang Pentadbiran dan Pengurusan Harta Wakaf

Para ulama bersepakat menyatakan bahawa pewakaf mempunyai bidang kuasa yang luas untuk melantik sesiapa sahaja bagi mentadbir dan menguruskan harta wakafnya. Pewakaf boleh melantik dirinya sendiri sebagai pemegang amanah atau menyerahkan amanah ini kepada orang yang menerima wakaf, atau selain daripada keduanya. Jika sekiranya pewakaf meletakkan sesuatu syarat kepada mereka yang dilantik, maka pemegang amanah itu hendaklah melaksanakan syarat dan mematuhi segala ketetapan yang dibuatkan oleh pewakaf. sebaliknya, jika pewakaf tidak menentukan kepada mana-mana pihak untuk menguruskan harta wakafnya, maka pihak hakim atau kerajaan yang akan menentukannya. Ini adalah pandangan ulama mazhab Maliki dan ulama mazhab Syafi‘i. Namun kebanyakan fatwa menyebutkan bahawa wakaf bagi tujuan umum atau tujuan khusus yang ditentukan, hak untuk mentadbir harta berkenaan adalah di tangan hakim.

Pada pandangan mazhab Hanbali, sekiranya pewakaf telahpun menentukan secara khusus pihak yang akan menerima wakaf dan setiap mereka ada bahagiannya, maka penerima wakaf itu sendiri adalah pemegang amanah bagi tanah yang diwakafkan kepadanya. Berbeza dengan tanah wakaf Am yang tidak ditentukan penerima wakafnya seperti wakaf untuk masjid, fakir miskin, maka hakim atau pembantunya selaku nazir atau pemegang amanah ke atas harta berkenaan.[5]

Terdapat juga pandangan fuqaha Hanbali bahawa hak pengawalan harta tersebut adalah tertakluk kepada mereka yang menerima wakaf, sekalipun tidak disyaratkan.[6] Menurut mazhab ulama Hanafi, pewakaf adalah pihak yang bertanggungjawab terhadap apa jua urusan ke atas harta yang diwakafkan, sama ada wujudnya syarat atau sebaliknya. Kemudian berpindah kepada orang yang diwasiatkan oleh pewakaf jika ada. Jika tidak hakim akan mengambil alih tugas tersebut.[7] Pandangan ini merujuk kepada konsep wakaf  itu sendiri bahawa hak milik harta yang diwakafkan tetap kekal di tangan pewakaf. Manakala pandangan yang mengatakan bahawa pihak yang menerima wakaf akan menjadi pentadbir dan bertanggung jawab sepenuhnya terhadap harta berkenaan, kerana sesuatu yang diwakafkan itu tidak lagi menjadi miliknya. Maka kuasa mentadbir akan terserah kepada orang yang diwakafkan atau kepada kadi.

Bagi mazhab Hanafi, pewakaf adalah pihak utama yang memegang kuasa pelantikan pentadbir yang difikirkan sesuai dan layak untuk mentadbir harta wakafnya. Pihak lain tidak boleh mencampuri urusan ke atas harta tersebut. Ini bermakna urusan pentadbiran harta wakaf adalah masih tertakluk kepada pemilik harta berkenaan atau pewakaf, selama dia masih hidup. Peranan pentadbir hanyalah sebagai wakil kepada pewakaf dan pewakaf boleh menggugurkan jawatan atau hilang kelayakan pentadbir tersebut jika difikirkan tidak sesuai.

3.3       Bidangkuasa Pentadbir Harta Wakaf

Seseorang yang dilantik sebagai pentadbir harta wakaf hendaklah menjalankan amanah dan melangsungkan syarat-syarat atau niat dikenakan oleh pewakaf selagi syarat tersebut tidak bercanggah dengan hukum syarak. Berikut ialah beberapa perkara yang tidak boleh dilakukan oleh pentadbir dan menjamin harta wakaf daripada disalahgunakan:

i.                    Tidak boleh disewa atau dipajak oleh pentadbir sendiri
ii.                  Tidak disewa dari kalangan ahli keluarga sendiri pewakaf dan pentadbir terlibat sama dalam urusan tersebut, kecuali dinaikkan harga dari harga pasaran
iii.                Harta wakaf tidak boleh digadai jika keadaan ini boleh menjejaskan pendapatan biasa yang diterima oleh pewakaf
iv.                Pentadbir harta wakaf tidak boleh sama sekali mengubah syarat tanah dari tanah pertanian kepada tanah perusahaan atau sebaliknya kecuali dengan persetujuan daripada kerajaan
v.                  Pentadbir tidak boleh memberikan harta wakaf kepada pihak lain sebagaimana yang ditetapkan oleh pewakaf
vi.                Arahan daripada pihak penerima wakaf tidak boleh dijadikan alasan untuk menukar atau meminda apa-apa syarat kecuali jika ada alasan yang munasabah demi menjaga kebajikan dan masa depan harta itu sendiri.

3.4       Pentadbiran dan Pengurusan Harta Wakaf di Malaysia

Di Malaysia perkara berkaitan harta wakaf adalah salah satu aspek harta amanah yang disenaraikan di bawah Jadual Sembilan, Senarai II, Senarai Negeri. Perkara berkaitan wakaf telah diperuntukkan di dalam enakmen negeri masing-masing.[8] Semua tanah wakaf ditadbir dan diuruskan oleh MAIN sama ada harta alih dan tak alih.[9] Tanah-tanah wakaf yang didaftarkan ini adalah terletak hak kepada MAIN sebagai pemegang amanah tunggal harta wakaf.[10]

Walaupun tugas pentadbiran harta wakaf diberikan kepada MAIN sebagai Pemegang Amanah Tunggal, namun pentadbirannya tidak diuruskan oleh satu jawatankuasa khas yang hanya menguruskan tentang harta wakaf.[11] Peruntukan wakaf di dalam enakmen-enakmen negeri tidak bersifat menyeluruh. Ia lebih menekankan aspek-aspek pentadbiran dan prosedur ringkas tentang perwakafan. Aspek-aspek substantifnya tidak ditekankan kecuali beberapa buah negeri sahaja yang memperuntukan enakmen khusus tentang wakaf seperti negeri Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka.[12]

Bagi mengemaskinikan lagi jentera pentadbiran harta wakaf, Kerajaan Persekutuan telah menubuhkan Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JWZH) yang diumumkan oleh Perdana Menteri YAB Dato’ Seri Hj Abdullah Ahmad Badawi pada 27 Mac 2004. Objektif penubuhannya adalah semata-mata untuk tujuan  pemantauan dan penyelarasan bagi pengurusan Wakaf, Zakat dan Haji di negara ini demi meningkatkan keberkesanan dan kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan ke tahap yang lebih baik. Penubuhan JWZH bukanlah bermaksud untuk mengambilalih peranan dan tugas MAIN dan Jabatan Agama Islam Negeri dan jabatan-jabatan lain.[13] Sebelum JWZH ditubuhkan, kerajaan melalui JAKIM, Jabatan Perdana Menteri telah melantik satu Jawatankuasa Penyelaras Pembangunan Harta Wakaf di Peringkat Kebangsaan untuk membantu MAIN membangunkan harta wakaf yang ada. Ia melibatkan pegawai-pegawai daripada agensi swasta dan kerajaan yang mempunyai kepakaran dan pengalaman dalam bidang masing-masing.[14]

Merujuk kepada Enakmen MAIN,  MAIN adalah Pemegang Amanah Tunggal bagi kesemua harta wakaf, sama ada Wakaf Am, Wakaf Khas, bagi semua Nazar Am dan jenis amanah yang menjadi Amanah Khairat kerana bantuan dan kemajuan Islam dan faedah bagi orang-orang Islam mengikut hukum syarak. Peruntukan ini disebut secara jelas dalam Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam Terengganu:[15]


 “Walau apapun peruntukan yang berlawanan dalam mana-mana suratcara atau pengisytiharan yang mewujudkan, mengawal atau menyentuh kepada perkara itu, maka hendaklah Majlis menjadi pengawal tunggal bagi semua wakaf, sama ada wakaf  Am atau Wakaf Khas dan semua nazar am dan semua amanah dari serba jenis yang mewujudkan amanah khairat untuk bantuan dan kemajuan Agama Islam atau bagi faedah orang-orang Islam mengikut Hukum Syara’ dan yang terletak di negeri ini atau jika orang yang membuat penyelesaian harta itu atau lain-lain orang yang mewujudkan amanah, wakaf atau nazar am itu berdomisil di negeri ini, setakat semua harta yang tersentuh olehnya dimana jua harta itu terletak”

Sementara Seksyen 144(1) Enakmen menyatakan:

“ segala harta yang, pada yang ditetapkan, tertakluk kepada seksyen 143 hendaklah, jika terletak di dalam negeri ini, terletak hak pada majlis”


Tujuan perlantikan Majlis sebagai pemegang amanah tunggal harta wakaf ini adalah untuk mempastikan wakaf diurus dan ditadbir dengan baik, efisyen sehingga dapat menjana hasil yang lumayan yang dapat dimanfaatkan oleh benefesiarinya atau tujuan-tujuan kebajikan, sama ada yang telah ditentukan atau tidak ditentukan oleh pewakaf. Apa yang penting sekali adalah untuk mengelakkan daripada pelbagai masalah yang timbul melalui perlantikan pemegang amanah persendirian yang dibuat oleh pewakaf sebelum ini. Sikap pemegang amanah persendirian yang tidak amanah serta campur tangan ahli waris telah menyebabkan kehilangan harta dan status wakaf yang seterusnya menyimpang daripada tujuan asalnya dan bertentangan pula dengan prinsip undang-undangnya.[16]

Dari segi perundangannya, walaupun badan ini dianggap sebagai badan yang menjadi pemegang harta amanah wakaf, namun ia tidak bermakna semua tanah wakaf adalah menjadi milik mutlak MAIN. Dalam proses membuat keputusan, MAIN berhak untuk membuat perjanjian, membeli, mengambil, memegang dan memiliki harta sama ada harta alih atau tak alih untuk menukar, memindah dan membangun segala harta yang terserah milik kepada MAIN mengikut mana-mana peraturan yang tersedia ada menurut hukum syarak. Peraturan ini memberi kuasa kepada MAIN untuk melaksana dan membangun harta wakaf yang ditadbir oleh MAIN.

Merujuk kepada kuasa-kuasa yang diperuntukkan, MAIN secara keseluruhannya berhak menjalankan segala aktiviti pembangunan ke arah kemajuan ekonomi yang difikirkan perlu dan segala faedah daripada harta wakaf tersebut dapat diagihkan. MAIN juga boleh melibatkan dalam memajukan mana-mana aktiviti, sama ada dijalankan oleh lain-lain badan, atau orang, atau sama ada di bawah kelolaan atau separuh kelolaan atau secara persendirian dengan memberi bantuan kepada mereka yang dilihat oleh MAIN layak untuk menjalankan segala aktiviti. Bagi meningkatkan lagi pendapatan MAIN berhak menjalankan aktiviti secara usaha sama dengan badan lain sama ada daripada perbadanan kerajaan atau swasta.[17]




[1] Badran, Badran Abu al-‘Aynayn (1986), op. cit., hlm.307. Al-Khinn, Mustafa Sa‘id (1992), op. cit., hlm.32.
[2] Al-Baghdadi, Abu Muhammad Ghanim b. Muhammad (1999), Majma‘ al-Damanat fi Madhhab al-Imam al-A‘azam Abi Hanifah al-Nu‘man, cet.1,  jld.2, Dar al-Salam, hlm.687.
[3] ‘Ala’ al-Din Muhammad b. ‘Ali al-Haskafi (t.t) op. cit., hlm.584.
[4] Al-Nawawi, Abu Zakariyya Yahya (2000), op. cit., hlm.411. Al-Syirbini, Muhammad b. Ahmad (1994), Mughni al-Muhtaj, op. cit., hlm.535.  Al-Bahuti, Mansur b. Yunus b. Idris (t.t.), Kasyyaf al-Qinna’ ‘An Matan al-Iqna, jld.4. Riyad: Maktabah al-Nasr al-Hadithah, hlm.268. Al-Bajirmi, al-Syaykh Sulayman (2000), Hasyiyah al-Bajirmi ‘ala Syarh Manhaj al-Tullab, cet.1, jld.3, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah,  hlm.233. Al-Ramli, Syams al-Din Muhammad Abi al-‘Abbas Ahmad (1967, op. cit., hlm.399.
[5] Al-Nawawi, Abu Zakariyya Yahya (2000), op. cit., hlm.410.
[6] Ibn Qudamah (1992), Al-Kafi fi Fiqh al-Imam Ahmad Ibn Hanbal, op. cit., hlm.32. Zuhdi Yakan (t.t.), op. cit., hlm.330.
[7] Al-Haskafi, ‘Ala al-Din Muhammad b. ‘Ali (t.t), op. cit., hlm.516. Al-Sarakhsi, Sham al-Din (1978), op., cit., hlm.44.
[8] Lihat Artikel 74(1)(2), Perlembagaan Persekutuan.
[9] Keterangan lanjut tentang sejarah awal pentadbiran dan pengurusan wakaf di Semenanjung Malaysia, lihat Baharuddin Sayin (1998), “Pentadbiran dan Pengurusan Harta Wakaf di Semenanjung Malaysia”, Jurnal Fikrah, Jld.1, Januari 1998, Pusat Pendidikan Persediaan, Institut Teknologi MARA, hlm.94-98.
[10] Lihat Enakmen Pentadbiran Agama Islam Johor (bil.4/1996), Sek.44(1) dan Kaedah Wakaf Johor 1983, Sek.15(2); Enakmen Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (bil.4/1994) Sek.20, Enakmen Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (bil.2/2001), Sek.143, Enakmen Pentadbiran Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (bil.3/1991), Sek.70, Enakmen Pentadbiran Ugama Perak (bil.3/ 1992), Sek.74; Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak Melaka (bil.5/1991), Sek.37(2), Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak Negeri Sembilan (bil.1/1991), Sek.56(2), Enakmen Pulau Pinang (Bil3/1959), Sek.89(2); Enakmen Kedah (Bil.9/1962), Sek.90(2); Enakmen Selangor (Bil.3/1952), Sek.95(1); Akta Pentadbiran Undang-undang Islam Wilayah Persekutuan (1992), Sek.61.
[11] Mohd Daud Bin Bakar (1999), “Kedudukan Institusi Wakaf daripada Perspektif Undang-undang”, (Kertas Kerja Seminar Institusi Wakaf Menuju Era Baru, Anjuran Jabatan Pentadbiran Tanah, Fakulti Kejuruteraan dan Sains Geoinformasi, Universiti Teknologi Malaysia, Skudai Johor, pada 8 Julai 1999), hlm.7. Lihat Juga: Azizian bin Hamid (1999), “Pentadbiran dan Pengurusan Harta Tanah Wakaf di Malaysia”, (Kertas Kerja Seminar Institusi Wakaf Menuju Era Baru, Anjuran Jabatan Pentadbiran Tanah, Fakulti Kejuruteraan dan Sains Geoinformasi, Universiti Teknologi Malaysia, Skudai Johor, Pada 8 Julai 1999), hlm.6.
[12] Siti Mashitoh Mahamood (2006), “Undang-undang dan Pentadbiran Harta Amanah Orang Islam di Malaysia”, dalam Siti Mashitoh Mahamood et. al. (ed), Harta Amanah Orang Islam di Malaysia, cet.1, Kuala Lumpur: Universiti Malaya, hlm.3.
[13] Lihat Berita Harian, 24 April 2004. Lihat Juga: http://www.jwzh.gov.my.bahagian %20wakaf.php, 12 Januari 2006.
[14] Syed Othman al-Habshi (1999), “Penglibatan Agensi Swasta dan Kerajaan di dalam Pembangunan Harta Waqf”, (Kertas Kerja Seminar Institusi Wakaf Menuju Era Baru, Anjuran Jabatan Pentadbiran Tanah, Fakulti Kejuruteraan dan Sains Geoinformasi, Universiti Teknologi Malaysia, Skudai Johor, Pada 8 Julai 1999), hlm.9.
[15] Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (bil.2/2001), Seksyen. 143.
[16] Siti Mashitoh Mahamod  (2005), “Ke Arah Pengurusan Aset Wakaf yang Profesional dan Berdaya Maju”, (Bengkel Hibah dan Wakaf, Anjuran YADIM dan BCT Berhad di Awana Genting Hotel & Resorts, Pada 17-18 September 2005), hlm.3.
[17] Rujuk Kaedah-kaedah Wakaf Johor 1983, sek.15(2), Enakmen Pentadbiran Agama Islam Kedah (bil.9/ 1962), sek.90(2), Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak Melaka (bil.5/ 1991), sek.37(2), Enakmen Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (bil.2/ 2001), sek.143.

0 ulasan:

Catat Ulasan