Ads 468x60px

Labels

Isnin, 27 Februari 2012

Kematian Satu Penantian


Kematian: Antara Roh dan Jasad

Mati ialah berpisahnya roh daripada badan, darah akan menjadi beku, denyutan jantung akan berhenti dan seluruh anggota tidak berfungsi lagi. Itulah kematian yang sebenarnya. Manusia tidak boleh selamat apabila tibanya ajal. Kematian tidak akan terlambat atau tersegera walaupun sesaat. Sekalipun manusia dapat diselamatkan daripada penyakit yang menyebabkan kematian, namun kematian juga akan datang disebabkan oleh umur yang tua. Inilah yang dinyatakan oleh nabi saw:


Ertinya: diibaratkan manusia itu mempunyai 99 sebab yang mengakibatkan kematian, namun jika ia dapat diselamatkan, tetapi dia akan jatuh menjadi tua.

Selama mana kita melarikan diri daripada kematian, sebenarnya selama itulah kita mengejar kematian. Kematian adalah semakin hampir sekalipun usia kita semakin bertambah. Umur mati lebih pendek berbanding umur yang dirasakan semakin panjang. Allah SWT menjelaskan bahawa:

Ertinya: Katakanlah (Wahai Muhammad): "Sebenarnya maut yang kamu melarikan diri daripadanya itu, tetaplah ia akan menemui kamu; kemudian kamu akan dikembalikan kepada Allah yang mengetahui Segala Yang ghaib dan yang nyata, lalu ia memberitahu kepada kamu apa yang kamu telah lakukan (serta membalasnya)".

Manusia Sering Lupa

Imam al-Ghazali mengingatkan kita supaya jangan memanjangkan harapan dan melupakan hampirnya ajal dan maut. Kita sering beranggapan mati tidak akan datang kecuali disebabkan sakit. Mati juga tidak datang dengan serta merta. Maka ingatlah bahawa mati ada kalanya datang dengan serta merta, sebagaimana juga sakit datang secara tiba-tiba. Jika kita diberi kesempatan hidup dalam keadaan sakit, maka kita tidak berdaya lagi untuk mengerjakan amal salih, sedangkan amal salih itulah bekalan kita ke Akhirat.
            Di dalam buku al-Bidayah, Imam al-Ghazali menegaskan bahawa mati tidak akan menyerang kita pada waktu tertentu, atau dalam keadaan tertentu. Akan tetapi mati akan menyerang kita pada waktu yang tidak diketahui dan keadaan yang tidak diketahui. Maka bersedialah kita menghadapi mati itu sebenarnya lebih baik daripada kita menyediakan diri untuk dunia.

Roh dan Kematian

Kematian pada hakikatnya ada keutamaan dan kelebihannya. Kematian itu adalah lebih baik bagi orang mukmin daripada hidup di dunia yang penuh cabaran dan fitnah. Di dalam hadis yang ringkas riwayat daripada Ibn Umar, sabda nabi saw bersabda:

Ertinya: Kebaikan bagi orang mukmin ialah maut.

Di dalam hadis yang lain, Aisyah r.a. mengata dunia ini tidak ada kebaikan bagi orang mukmin. Ini kerana dunia adalah penjara bagi orang mukmin sebenarnya. Begitu juga riwayat daripada Qatadah menceritakan semasa seorang jenazah diusung di hadapan nabi saw, baginda mengatakan seorang mukmin akan beristirehat daripada kepenatan dan cabaran dunia dan berpindah ke rahmat Allah.
Allah telah menetapkan tarikh, masa dan tempat kematian yang tidak akan dapat diketahui oleh seseorang hamba. Sekalipun Allah merahsiakan kematian seseorang, namun hakikatnya roh seseorang itu tahu ajalnya semakin hampir. Keadaan ini bukan hanya berlaku kepada para nabi, awliyat, orang-orang soleh, tetapi juga kepada manusia biasa yang dikenali sebagai firasat.
            Imam al-Ghazali semasa saat kematiannya pada hari Isnin waktu Subuh, beliau mengambil wuduk dan mendirikan solat. Selepas itu beliau meminta kain kafan seraya mencium dan menutup ke mukanya. Setelah ia beliau berbaring meluruskan kaki dan menghadap ke arah Kiblat dan menghembuskan nafas yang terakhir. Begitu juga peristiwa kematian Umar bin Abdul Aziz, disaat akhir umurnya renungan matanya dilihat begitu tajam. Beliau berkata:
           
Ya Allah, akulah orang-orang yang mensia-siakan perintah dan mengerjakan laranganMu, sedangkan engkau adalah Tuhanku.
Keadaan beliau ini diperhatikan oleh para sahabatnya. Di kalangan sahabatnya bertanya: ”Pandanganmu sungguh tajam wahai Amirul Mukminin, mengapa demikian?. Jawab beliau: ”aku sedang menunggu rombongan yang bukan jin dan bukan juga manusia”. Selepas ini para sahabat melihat beliau memejamkan mata dan tidak bernyawa lagi.

Isyarat Malakulmaut

Di dalam kitab al-Raudhah, Ibn al-Jawzi menyebutkan di dalam sebuah hadis sebahagian nabi ada bertanya kepada Malakulmaut, apakah mereka tidak mengirimkan utusan mereka sebelum mengambil nyawa manusia, agar manusia dapat bersedia lebih awal?. Lalu Malakulmaut bersumpah dengan nama Allah bahawa penyakit, uban, kurang penglihatan, pendengaran dan sebagainya itu adalah tanda-tanda yang dikirim oleh Malakulmaut. Lebih daripada itu Malakulmaut juga berteriak kepada manusia setiap terbit dan terbenamnya matahari.          Disebutkan di dalam hadis bahawa malakulmaut memandang pada setiap muka hamba Allah 70 kali pada setiap hari.

Mati Itu Terlalu Sakit...?

Setelah satu persatu anggota tempat keluarnya roh maka terasa kedinginan anggota tersebut. Apabila roh sampai ke kerongkong, ia berhenti sekejap. Maka di saat ini penyesalan kita tidak lagi diterima, hilanglah pandangan kita terhadap dunia, dan bayangan alam kubur mula menjelma. Di saat inilah juga pintu taubat telah tertutup. Sebagaimana yang dikatakan oleh Baginda saw;

Ertinya: Sesungguhnya Allah sentiasa menerima taubat seseorang hamba selama belum sampai saat ghargharah.

Izrail selaku ketua kepada segala Malakul Maut yang menjadi pembantunya. Roh manusia akan ditarik oleh para malaikat dan ketika berada di ubun-ubun, maka malaikat Israil menjalankan tugasnya. Roh akan keluar dan ditarik daripada tumit atau kaki, kemudian ke betis, paha, perut, dada, kerongkong, kepada dan akhirnya dicabut dari ubun-ubun, dengan diiringi oleh mata melihat ke arah ubun-ubun tersebut.
Sakaratul maut itu merupakan sebuah pertarungan yang amat dahsyat. Rasulullah saw menggambarkan kesakitan sakaratulmaut seumpama 300 kali paluan pedang. Menurut sebahagian ulamak, ia seumpama lebih daripada 1000 kali paluan pedang. Seluruh anggota menjadi lemah, lidah menjadi kelu, fikiran menjadi gelap dan tidak berupaya untuk meminta tolong, mengadu atau menyampaikan isi hati. Semua dari kalangan kita pasti dan wajib akan melaluinya, tanpa seorangpun terlepas. Masa-masa yang amat menakut dan menggerunkan ini akan dirasai sekali dalam seumur hidup di dunia. Tidak terkecuali sama ada miskin atau kaya, raja atau rakyat, doktor atau pesakit, alim atau jahil. Firman Allah Taala:

Ertinya:  Segala yang ada di muka bumi itu akan binasa, dan akan kekallah zat Tuhanmu yang mempunyai kebesaran dan Kemuliaan.
           
Menurut Sheikh Daud al-Fatani, ketika ini kita akan nampak sesuatu yang tidak pernah dilihat dengan mata kasar sepanjang hidup kita. Kita akan melihat bakal berakhirnya  kehidupan kita sama ada ia menggembirakan atau sebaliknya. Kenikmatan atau azab, rahmat atau kehinaan. Allah yang disediakan untuk kita, maka taubat dan penyesalan tidak berguna lagi.

Rindu Kematian

’Amru bin al-’As r.a. merupakan seorang sahabat yang yang dikenali sebagai seorang yang cerdik dan pakar strategik sehingga beliau digelar ”Singa Arab”. Ketika disaat beliau bertarung dengan kematian, beliau ditanya oleh anaknya Abdullah:

”Wahai bapaku, engkaulah orang yang paling layak untuk menggambarkan tentang kematian, Jawab ’Amru: ” Wahai anakku, Demi Allah, sesungguhnya medan kematian ini amat sakit dan menakutkan, seolah-olah semua gunung-ganang yang berada dibumi ini diletakkan di atas dadaku, dan seolah-olah sekarang aku bernafas dari lubang jarum”.

Di dalam kisah lain yang diriwayatkan oleh Imam Muslim di dalam kitab Sahihnya di saat kematian ’Amru menangis tanpa henti, lalu Abdullah menghampiri bapanya seraya bertanya kepadanya empat soalan.

Kenapakah kamu menangis di saat kematian kamu, sedangkan kamu sudah beragama Islam, bukankah kamu telah berhijrah bersama nabi saw, bukankah kamu dilantik sebagai pemimpin panglima perang dan bukankah kamu telah berjaya menakluki negeri Mesir?

Setelah mendengar pertanyaan anaknya, suara tangisan ’Amru semakin menjadi dan memalingkan wajahnya ke dinding. Selepas itu dia menghalakan wajahnya ke arah orang ramai dan menceritakan perihal tangisannya. Dia telah melalui tiga fasa dalam kehidupannya. Semasa aku di zaman jahiliyyah, aku tidak mengenali Islam, dan orang yang paling aku benci ialah insan yang bernama Muhammad saw. Sekiranya aku mati disaat itu, sudah pasti aku temasuk penghuni neraka Jahannam. Kemudian aku memeluk Islam, Baginda Rasulullah saw memegang erat tanganku, seraya bertanya: ”Apakah yang kamu mahu ’Amru? Aku menjawab: ”Aku ingin Allah mengampuni dosaku”. Pada waktu itu orang yang paling aku sayangi adalah Rasulullah saw. Namun sayangnya, Allah tidak mengambil nyawa aku pada waktu ini, aku tidak meninggal di saat aku bersama Rasulullah saw. Jika aku mati bersama Rasulullah saw, besar kemungkinan aku menjadi penghuni Syurga. Sekarang, Rasulullah saw telah wafat, sekarang aku tidak tahu sama ada aku akan ke Syurga atau dicampakkan ke neraka. Namun aku masih memiliki kalimah yang sangat aku perlukan untuk berhadapan dengan Allah SWT. Kemudian ’Amru memegang erat tangannya seolah-olah memegang erat kalimah tauhid. Setelah dia mengucap dua kalimah syahadah, beliau meninggal dunia.
Umar al-Khattab telah ditanya oleh Kaab al-Ahbar tentang sakitnya kematian disaat roh keluar daripada badan. Beliau menggambarkan sengsara kematian itu sepertimana seseorang yang dipukul dengan sebatang pokok yang berduri tajam. Setiap duri itu akan menusuk masuk ke dalam setiap urat saraf. Sebaik sahaja ia ditarik dengan kuat, maka setiap duri akan melekat pada urat saraf tersebut dan ikut sama tercabut.
Imam al-Ghazali menceritakan tentang kematian katanya, kadangkala lidah mayat menjadi berat, ketika para malaikat mengambil rohnya daripada anak jari dan hujung jarinya. Bagi orang yang baik roh akan keluar seumpama keluarnya titisan air daripada tempat minuman. Sebaliknya bagi orang yang jahat atau kafir, maka ditariknya roh itu seumpama menarik besi yang panas yang dibakar di atas api. Kadang-kadang mayat itu menyangka perutnya dipenuhi dengan duri, dan dirasa bagaikan terhimpit antara langit dan bumi.
               Kesimpulan, mengingati kematian adalah sebahagian daripada motivasi diri untuk berubah. Justeru, sedarlah sebenarnya kita semakin hampir dengan kematian.
 
 
 
 
 
 
Nasihat Abu Laith al-Samarqandi

Sesiapa yang duduk di dalam majlis ilmu walaupun tidak berupaya memahami ilmu dia tetap akan memperoleh 7 kebaikan:

1. Mendapat fadilat orang yang belajar
2. Terpelihara dirinya daripada dosa
3. Turun rahmat ke atasnya semenjak dia keluar dari rumahnya
4. Apabila rahmat yang turun kepada ahli ilmu dia juga akan memperolehinya
5. Ditulis baginya kebaikan selama mana dia mendengar pengajian
6. Apabila terasa sedih di hatinya kerana kelemahannya dalam memahami ilmu, jadilah kesedihan tersebut sebagai penghubung ke hadrat Allah
7. Dia melihat kemulian orang alim dan kehinaan orang-orang yang fasiq. Maka cenderung tabiatnya kepada ilmu dan enggan hatinya kepada kefasiqan.
 

0 ulasan:

Catat Ulasan