Ads 468x60px

Labels

Isnin, 27 Februari 2012

Nikmat Allah Yang Dilupakan


Allah SWT memberikan sebesar-besar nikmat dengan memantapkan Tauhid dan keimaman seseorang, dan bukannya semata-mata melimpahi dengan kekayaan dan kedudukan dan pangkat.

Apakah pengertian mensyukuri nikmat Allah SWT? Mensyukuri nikmat Allah bermakna kita mempercayai dengan penuh yakin di dalam hati bahawa hanya Allah satu-satu Pemberi nikmat, dan tidak datang nikmat itu kecuali datangnya daripada Allah SWT. Dialah sahaja yang memberi nikmat dan tidak ada yang boleh memberi selainNya. Ini berdasarkan kepada hadis Qudsi yang berbunyi:


إِذَا عَرَفْتَ أَنَّ النِّعَمَ كُلَّهَا مِنِّّي فَقَدْ شَكَرْتَنِي, فقد رَضِيْتُ منْكَ بذلك

Ertinya: Apabila kamu mengetahui bahawa semua nikmat itu datang daripadaKu, bererti engkau telah bersyukur kepadaKu dan telah merelakan yang demikian itu”

Antara nikmat yang mulia dan terlebih utama ialah apabila Allah mengurniakan ubat hati. Allah merawat hati menjadi senang dan tenang. Ibn ’Ataillah al-Askandari menyatakan bahawa dalam diri manusia terdapat dua hawa, iaitu hawa nafsu dan hawa qalbu. Hawa nafsu adalah bersifat jasmaniah, nampak secara fizikal dan jelas. Manakala hawa qalbu adalah bersifat maknawiah atau secara batin yang melibatkan perasaan atau sifat yang tidak kelihatan seperti marah, sayang, sombong dan lain-lain. Rawatan bagi penyakit hawa nafsu ini senang dan mudah berbanding rawatan hawa qalbu. Rawatan yang paling mujarab untuk mengubatinya adalah dengan taufiq dan hidayah Allah secara langsung.
            Justeru, kedua-dua hawa ini perlu dibimbing dan dipimpin dengan ajaran Islam. Jangan sesekali diri manusia dikuasai oleh kedua-dua hawa nafsu ini yang menyebabkan dirinya lupa dan lalai kepada yang pemberi nikmat.

Terdapat dua golongan manusia yang dikurniakan nikmat.

i. Golongan al-Sairun/ Salikun:
            Golongan yang beribadah kepada Allah dalam semua aspek kehidupan beribadah sama ada yang wajib dan yang sunnah, zahir dan batin. Namun segala ibadah yang dilakukan ini tidak mendatangkan rasa kemegahan dan bangga dengan dirinya seorang ahli ibadah. Bahkan merasai dirinya sentiasa kurang beribadah, hatinya sentiasa mengingati kecacatan dalam ibadah, tidak ada kekhusyukan dalam solatnya walaupun pada hakikat solatnya terbaik daripada orang lain. Ikhlasnya terlalu kurang, kelalaiannya masih banyak dan sentiasa merasai perbuatan yang dilakukan tidak diredhai Allah. Golongan ini dikenali sebagai al-Sairun kerana mereka masih dalam perjalanan menuju Allah

ii. Golongan al-Wasilun: Golongan yang telah sampai menuju kepada Allah SWT. Golongan ini beribadah kepada Allah dan merasakan segala perlakuannya dilihat dan diintai oleh Allah. Tidak terdetik dan jauh di sudut dihatinya bahawa perlakuan amal ibadah itu dibuat kerana terpaksa atau memaksa. Seolah-olah mereka merasai Allah bersama dengan mereka. Inilah maqam yang terlebih mulia daripada yang pertama.

Manusia perlu mendidik dan mengajar diri mereka agar sentiasa merasai diri tidak sempurna

Terdapat 3 golongan manusia apabila mendapat nikmat Allah SWT:

i.         Orang Awam: Apabila mendapat rezeki berupa nikmat daripada Allah mereka akan gembira, senang, puas dan bahagia. Namun dalam kegembiraan mereka lupa dan sengaja tidak mengingati bahawa semua nikmat sihat, kaya, pandai, berjaya adalah datang daripada Allah SWT. Mereka seolah-olah beriktikad bahawa nikmat yang terhasil daripada usaha dan penat lelah mereka semata-mata. Tanpa usaha bersungguh-sungguh nikmat itu tidak menyebelahi dirinya. Justeru, orang awam digolong dalam manusia yang lalai dan lupa dengan kesenangan dan kemewahan hidup. Semakin banyak diberikan nikmat semakin jauh dirinya dengan Allah. Ini kerana Iblis akan memasuki diri seseorang melalui pintu kegemarannya terhadap dunia. Apabila nikmat itu hilang, maka dirinya seolah-olah seperti hilang pertimbangan, fikirannya resah gelisah, hidupnya tidak tenang dan akan menyalahi orang lain. Mereka akan sibuk mencari-cari nikmat yang hilang itu. Allah SWT berfirman dalam surah al-An’am ayat 44:
  
Ertinya: kemudian apabila mereka melupakan apa yang telah diperingatkan mereka dengannya, Kami bukakan kepada mereka pintu-pintu segala kemewahan dan kesenangan, sehingga apabila mereka bergembira dan bersukaria dengan segala nikmat yang diberikan kepada mereka, Kami timpakan mereka secara mengejut (dengan bala bencana yang membinasakan), maka mereka pun berputus asa (dari mendapat sebarang pertolongan).

ii. Golongan Khawas: Golongan manusia yang apabila mendapat nikmat Allah akan semakin tinggi imannya. Meyakini dengan sebenar-benar bahawa setiap rezeki dan nikmat adalah datang daripada Allah SWT, tidak selainNya. Dengan pemberian nikmat itu kecintaan kepada yang memberi nikmat semakin tinggi dan dirinya semakin dekat dengan Allah. Nikmat itu akan menjadi pengantara dirinya dengan Allah. Harta pemberian Allah dibelanjakan pada jalanNya untuk mendapat keredhaan dan sebagai tanda kesyukuran.

iii. Golongan Khawasul Khawas: Golongan manusia yang terpilih hasil daripada pilihan Allah. Sentiasa bergembira dengan Allah zahir dan batin. Ingatan kepada Allah SWT bukan kerana disebabkan oleh nikmat yang diberikan kepadanya, tetapi semata-mata ...ini kerana tidak ada yang dicintai dalam dirinya selain Allah SWT. Kesenangan dan kekayaan tidak hanya bersifat lahiriyah semata-mata.

0 ulasan:

Catat Ulasan