Ads 468x60px

Labels

Rabu, 9 Mac 2011

Dosa Manusia: Kesannya Dalam Kehidupan


Pendahuluan

Hati yang bersih adalah syarat utama bagi memperoleh hidayah Allah yang dibaca dan dipohon berulang kali sepanjang solat, sama ada ketika membaca surah al-Fatihah, zikir, ketika sujud dan lain-lain. Hidayah yang dipohon tidak akan dapat kecuali jika hati pemohon bermohon dijauhkan daripada punca-punca segala dosa.  Dosalah yang menjadikan hati manusia berpenyakit, menderita, bahkan menjadi mati. Ibn Qayyim telah menjelaskan antara kesan-kesan dosa ialah:

Hati Sakit dan Tidak Normal

Kesan daripada dosa hati menjadi sakit dan tidak normal sebagaimana asal kejadian hati. Kesan dosa dan pengaruhnya terhadap hati juga sebagaimana kesan penyakit ke atas jasad atau badan. Badan yang sakit senang diubati tetapi penyakit hati dapat diubati dengan meninggalkan dan menjauhi dosa-dosa. Punca penyakit hati ialah nafsu dan ia dapat dipulihkan dengan melakukan perkara-perkara yang berlawanan dengan nafsu.

Terdapat 5 jenis dosa yang lebih besar apabila dilakukan daripada dosa yang dilakukan, antaranya ialah:

  1. Membesarkan dosa yang telah dilakukan dan tidak menganggapnya sebagai satu dosa
  2. Menganggap dosa yang dilakukan adalah kecil dan meremeh-remehkan dosa
  3. Mengekalkan diri dalam keadaan berdosa dan tidak bercita-cita untuk meninggalkannya
  4. Mempertontonkan dosa kepada orang lain secara terang-terangan tanpa menyembunyikan.
  5. Bersifat berani dalam mengerjakan dosa tanpa perasaan takut dan bimbang

Kesan Dosa Dalam Kehidupan

Terdapdat beberapa kesan dosa yang membawa kesan dan implikasi yang besar dalam kehidupan manusia. Antaranya ialah:

Memadam Cahaya Hati dan Menutup Jalan Ilmu

Imam Malik telah menasihati Imam Syafie bahawa:

”Aku telah menyaksikan bahawa Allah SWT telah menganugerahkan nur atau cahaya dalam hatimu. Maka jangan kamu memadamkannya dengan kegelapan dosa dan maksiat”

Dosa yang dilakukan oleh seseorang menjadikan hatinya menjadi buta, pintu-pintu ilmu dan hidayah akan tertutup dan terpadam. Lama kelamaan hati semakin gelap dengan bertambahnya dosa dan akan menular dari hati ke seluruh anggota badan yang lain. Pintu kebinasaan dan kerosakan terbuka dengan luas menyebabkan hamba itu akan terjerumus ke lembah dosa dan kehinaan.

Berada dalam Belenggu Tawanan Syaitan dan Penjara Syahwat

Syaitan dan nafsu saling bekerjasama untuk menawan dan memenjarakan manusia dengan dosa dan maksiat. Hati yang dibelenggu mudah terdedah kepada serangan kejahatan dan kebinasaan dari segenap penjuru. Tawanan syaitan dan penjara nafsu syahwat tidak akan begitu mudah terlepas dan terbuka, kecuali dengan memiliki kuncinya, iaitu Taqwa. Taqwa menjadi benteng dan kubu yang kukuh antara manusia dengan syaitan dan nafsu.

Hilangnya Martabat dan Kedudukan Hamba di Sisi Allah

Dosa menjadikan seseorang itu hina dan rendahnya martabat manusia di sisi Allah, dan juga manusia. Antara nikmat Allah yang paling besar kepada hambaNya ialah mengangkat dan meninggikan martabat hamba di sisiNya. Akhirnya golongan ini berada dalam keadaan seburuk-buruk kehidupan, hilangnya rahmat dan ketenangan, diganti dengan kesempitan, risau, sedih. Allah SWT membuktikan pengiktirafan ini kepada nabi Muhammad saw di dalam Surah Maryam:

“Dan kami kurniakan kepada mereka daripada rahmat Kami, dan kami jadikan bagi mereka sebutan dan pujian yang tinggi dalam kalangan umat manusia”.

Di dalam surah al-Hajj Allah menjelaskan lagi:

“Dan ingatlah sesiapa yang dihina oleh Allah SWT, maka dia tidak akan dapat beroleh sesiapapun yang dapat memuliakannya. Sesungguhnya Allah tetap akan melakukan apa yang dirancangnya”

Penyebab kepada Kurangnya Fungsi Akal Manusia

Dosa memberi pengaruh kepada fungsi akal manusia. Manusia yang taat kepada Allah SWT diberikan ketajaman fikiran dan kekuatan akal. Ini dapat dibukti dalam surah al-Baqarah:269 maksudnya:

Ertinya: ” Allah memberikan hikmat kebijaksanaan (ilmu Yang berguna) kepada sesiapa Yang dikehendakiNya (menurut aturan Yang ditentukanNya). dan sesiapa Yang diberikan hikmat itu maka Sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan Yang banyak.


Jika dilihat kepada apa jua perbuatan dosa dan maksiat semuanya berlawanan dengan akal yang sihat. Contohnya, rasuah, penyelewengan, mengumpat dan lain-lain. Manakala segala kelazatan, kesejahteraan, kesenangan dan ketenangan hidup menepati dengan akal yang sihat setelah mendapat keredhaan Allah SWT. Hanya satu-satunya dengan mencapai keredhaan Allah akan mendatangkan ketenangan hati yang hakiki, kegembiraan jiwa, kehidupan hati dan kelazatan roh.

Dosa Akan Mengajak Kepada Mengkhianati Manusia Lain

Antara tugas dosa dan maksiat ialah menjadikan diri pelakunya mengkhianati orang lain, tanpa mengira kawan atau lawan terutama disaat dia memerlukan sesuatu untuk kepentingan dirinya. Dosa mampu menghilangkan malu, segan, takut dan lain-lain. Hatinya langsung tidak terpaut untuk bertawakkal kepada Allah. Apatah lagi untuk bersamaNya, bertaubat dan merendah diri kepada Allah yang Maha Agung. Hati, lidah dan semua anggota tidak membantunya kepada perkara yang boleh mendatangkan manfaat kepada dirinya. Lantas dia akan menjadi semakin jauh dan terasing daripada ahli ilmu, para ulamak dan salafus Soleh.

Hilang Keberkatan Agama dan Dunia

Pada hakikatnya dosa akan melenyapkan keberkatan umur, rezeki, amal dan ketaatan. Rezeki yang melimpah dan umur yang panjang bukan menjadi tanda aras keberkatan dalam hidup. Manusia sering menukar ganti kehidupan dengan harta benda keduniaan. Hilang keberkatan agama dan dunia disebabkan kerana pengendalinya kepada maksiat itu adalah syaitan. Maka segala apa jua perbuatan yang dilakukan bukan kerana Allah keberkatannya akan tercabut. Justeru setiap sesuatu yang jauh daripada petunjuk Allah maka ia tidak sedikitpun membawa kepada kebaikan. Sabda nabi saw:

“Dunia ini adalah dilaknat, dilaknat apa yang ada di dalamnya, kecuali zikrullah azza wajalla, dan sesuatu yang dikasihi Allah, atau orang alim, atau orang yang belajar”

Kesimpulannya, manusia yang telah bergelombang dengan dosa, maka kepekaannya terhadap masalah dosa menjadi semakin ringan dan kurang sensitif yang akhirnya menjerumus kepada penyakit Nifaq (munafiq). Mudah-mudahan setelah kita menyedari bahaya penyakit dosa daripada segala penyakit yang lain, maka hendaklah kita menjauhinya sebagaimana kata pepatah Melayu: “Mencegah penyakit lebih baik daripada mengubati”

Perkara pertama yang dicabut daripada hamba ialah malu: Ibn Majah
Perkara pertama yang dicabut daripada umat ini ialah malu dan amanah: Abu Nuaim
Pertama-tama yang diangkat dari umat ini ialah amanah dan khusyuk dalam solat: Imam Ahmad
Perkara pertama yang dihisab oleh Allah terhadap kaum lelaki ialah solat: al-Hakim
Perkara pertama yang dihisab oleh Allah terhadap kaum wanita ialah solat dan mengenai suami: al-Hakim



Kata Jibril kepada nabi saw:
Ya Rasulullah, Sesungguhnya sebaik-baik tempat di muka bumi ini ialah masjid. Manakala sebaik-baik ahlinya ialah orang yang paling awal masuk dan paling akhir keluar.


 
Kata Hukama: “Sesiapa yang berpegang kepada akal semata-mata, sesat, sesiapa yang kaya dengan sebab harta, hartanya akan berkurangan, dan sesiapa yang mulia kerana makhluk, dia akan hina”.


Pesan Lukman al-Hakim kepada anaknya: “ Wahai anakku...Manusia itu dibahagikan kepada tiga pecahan: 1/3 adalah untuk Allah (roh), 1/3 untuk dirinya (amal) dan 1/3 lagi untuk ulat-ulat (jasad)




0 ulasan:

Catat Ulasan