Ads 468x60px

Labels

Selasa, 10 September 2013

ISU-ISU PELAKSANAAN ISTIBDAL HARTANAH WAKAF DI MALAYSIA

Pendahuluan

Pada dasarnya hukum syarak mengharuskan pelaksanaan konsep Istibdal dilihat dan dianggap  sebagai suatu mekanisme yang boleh mengekalkan kesinambungan tanah wakaf tanpa mengorbankan prinsip asal wakaf. Konsep Istibdal atau lebih dikenali sebagai pertukaran harta wakaf pada hakikatnya merupakan salah satu jalan penyelesaian kepada masalah-masalah yang membabitkan pembangunan harta wakaf.[1] Tujuan asal seseorang mewakafkan harta adalah untuk mendekatkan diri kepada Allah dan mengharapkan pahala secara berterusan, selain rahmat, keberkatan dan keredhaanNya. Tujuan asal ini tidak akan kesampaian jika adanya halangan-halangan yang tidak dapat dielakkan. Antaranya seperti pelupusan status wakaf akibat pengambilan tanah wakaf oleh pihak berkuasa. Maka nazir selaku pemegang amanah harta wakaf perlu menyelesaikan permasalahan ini dengan mengambil alternatif dan pendekatan agar manfaat harta wakaf dapat disalurkan untuk selama-lamanya sebagaimana niat pewakaf. Namun aspek pelaksanaannya memerlukan kepada ketelitian dengan mengambilkira pelbagai aspek perundangan negara dan hukum syarak. Di Malaysia pelaksanaan istibdal tanah wakaf masih tidak begitu popular dan kurang difahami oleh masyarakat di Malaysia sehingga menimbulkan pelbagai isu dan tanggapan negatif terutama di kalangan masyarakat awam.



Konsep Istibdal Menurut Hukum Syarak

Menurut pandangan fuqaha apa yang dimaksudkan dengan Istibdal ialah membeli ‘ayn /aset sebagai ganti untuk diwakafkan semula.[2] Manakala Ibdal pula ialah menjual ‘ayn / aset wakaf untuk membeli hartanah/ aset yang lain atau dalam bentuk wang.[3] Dalam konteks pengambilan tanah wakaf yang berlaku pada hari ini ia merujuk kepada konsep penjualan ‘ayn wakaf atau Ibdal kepada pihak kerajaan yang digantikan sama ada dalam bentuk tanah dengan tanah atau wang pampasan.[4] Manakala konsep Istibdal adalah merujuk kepada pembelian tanah wakaf lain sebagai ganti oleh nazir wakaf melalui wang penjualan tanah tersebut yang wajib dilaksanakan untuk diwakafkan semula. Perkataan Ibdal dan Istibdal amat berkaitan antara satu sama lain disebabkan Ibdal sesuatu harta wakaf membawa kepada Istibdal harta itu. Setiap penjualan harta wakaf mesti diikuti dengan mengambil ‘ayn lain sebagai pengganti harta wakaf yang telah dijual.[5] Penukaran boleh berlaku sama ada dengan mata wang atau ‘ayn harta yang lain.[6]

Istibdal Menurut Hukum Syarak dan Pandangan Fuqaha

Sekiranya tanah itu diwakafkan dalam bentuk penggunaan khusus seperti untuk pembinaan masjid, surau, kubur, sekolah agama dan lain-lain, maka tanah wakaf itu termasuk hasil daripadanya tidak boleh digunakan untuk tujuan lain, selain apa yang telah ditentukan oleh pewakaf (Waqif).[7] Dalam hal ini pandangan mazhab Maliki dan Syafi‘i mengambil pendekatan yang agak keras dan rigid dalam mengharuskan Istibdal membabitkan tanah wakaf Khas masjid berbanding mazhab-mazhab lain.[8] Kedua-dua mazhab ini bersepakat bahawa wakaf masjid tidak boleh dijual atau ditukar ganti, kecuali kerana ada kemaslahatan yang tidak boleh dielakkan.[9]

Mazhab Syafi‘i dalam membahaskan isu Istibdal al-Manqul atau tanah wakaf mempunyai pendirian yang tegas bahawa tanah wakaf  jenis Khas, Am dan Zuriat tidak boleh dijual atau dibeli. Ini bermakna semua jenis hartanah wakaf tidak boleh diambil oleh kerajaan untuk apa jua bentuk pembangunan. Ketegasan hukum dalam mazhab Syafi‘i ini berdasarkan kepada prinsip wakaf yang menjadi pegangan dalam mazhab Syafi‘i bahawa harta wakaf tidak boleh dijualbeli, dihibah dan diwarisi berdasarkan hadith ‘Umar yang mewakafkan tanah di Khaibar dan mensyaratkan tanah tersebut tidak boleh dijual, dibeli, dihadiah dan tidak boleh dipusakai.[10] Tujuan sesuatu wakaf yang telah dibuat tidak boleh diubah selain apa yang telah diniatkan oleh pewakaf.[11] Mazhab ini melarang pelaksanaan Istibdal secara mutlak kerana penjualan atau penggantian akan membawa kepada hilangnya harta atau aset yang diwakafkan.[12] Namun demikian terdapat juga sebahagian ulama mazhab Syafi‘i mengharuskan pelaksanaan Istibdal  dengan mengsyaratkan bahawa tanah wakaf yang diganti itu boleh mendatangkan hasil yang lebih bermanfaat daripada yang sebelumnya.

Mazhab Hanafi dan Hanbali mengambil pendekatan yang agak longgar dan terbuka dalam mengharuskan pelaksanaan Istibdal berbanding mazhab Syafi‘i dan Maliki. Mazhab Hanafi mengharuskan Istibdal dalam semua keadaan, selagimana ia mempunyai kepentingan untuk kemaslahatan orang ramai.[13] Ini bermakna tanah-tanah wakaf yang terlibat dengan pengambilan tanah secara paksaan sama ada tanah wakaf Khas atau Am selain masjid, boleh ditukar ganti bergantung kepada Maslahah.[14] Mazhab Maliki melarang penjualan hartanah wakaf yang melibatkan tapak atau bangunan masjid secara mutlak.[15] Wakaf jenis ini tidak boleh diganti dengan yang lain dan pendapat ini juga merujuk kepada majoriti fuqaha.[16] Namun dalam keadaan darurat seperti Istibdal untuk meluaskan saiz masjid, tanah perkuburan atau jalan untuk kegunaan umum, maka ia diharuskan sekalipun diambil secara paksaan. Ini kerana perkara tersebut melibatkan kemaslahatan ummah secara umum. Jika tidak diistibdalkan harta wakaf itu akan memberi kesan negatif yang menyukarkan umat Islam seperti tempat ibadat umat Islam, kemudahan untuk pengkebumian serta jalan untuk mereka lalu-lalang, maka dalam situasi ini wajib mempermudahkan urusan mereka itu.[17]

Menurut mazhab Hanbali[18] transaksi jual beli serta aktiviti menukar dan menggantikan harta wakaf adalah diharuskan bergantung kepada kehasilan dan manfaat harta wakaf. Mazhab Hanbali mengamalkan konsep keterbukaan dalam kes harta wakaf yang berhajat kepada pelaksanaan Istibdal khususnya harta wakaf yang rosak dan sebagainya agar tidak hilangnya manfaat wakaf. Bukti kelonggaran hukum Istibdal dalam mazhab Hanbali ialah mengharuskan Istibdal wakaf berbentuk harta alih seperti masjid. Keharusan ini berlaku apabila masjid tersebut telah rosak atau tidak sesuai lagi untuk digunakan lagi seperti sempit dan tidak boleh diperbaiki lagi kecuali dijualkan dan diganti dengan masjid yang lain.[19] Jika kerosakan itu melibatkan sebahagian masjid, maka harus dijual bahagian tersebut. Begitu juga jika kerosakan melibatkan keseluruhan masjid, maka diharuskan menjual keseluruhan dan hasil dari transaksi jual beli ini digunakan untuk membina masjid yang lain sebagai ganti kepada masjid yang diwakafkan.[20]

Bagi tanah wakaf yang tidak mendatangkan manfaat seperti kedudukannya yang berada jauh daripada kawasan bandar, terpencil dan tidak ekonomi serta tidak berpotensi untuk dibangunkan,  berdasarkan pandangan mazhab Hanafi, Hanbali dan sebahagian mazhab Syafi‘i,[21] pihak berkuasa boleh melakukan Istibdal ke atas tanah tersebut dengan tanah lain yang lebih mendatang hasil dan membawa keuntungan kepada penerima wakaf.

Istibdal Sebagai Medium Pengekalan Harta Wakaf

Berdasarkan kepada senario yang berlaku dalam negara pada hari ini realiti dan fenomena semasa yang berlaku seperti pengambilan tanah wakaf oleh kerajaan, ketidaksesuaian tanah dengan pembangunan wakaf seperti tanah yang berselerak, tidak strategik dan ekonomik , tujuan rumah ibadat yang berada di kekelilingi orang bukan Islam dan sebagainya memerlukan kepada aplikasi istibdal dilaksanakan. Ini supaya wakaf dapat dimanfaatkan oleh benefesiari yang dinamakan (Siti Mashitoh Mahamood, ...................

Keperluan kepada pelaksanaan mekanisme Istibdal bagi tanah wakaf yang terlibat dengan pengambilan oleh pihak kerajaan bukan lagi menjadi satu pilihan. Malah ia adalah satu kemestian yang tidak boleh disangkal kepada pihak yang bertanggungjawab atau pihak berkuasa lain dengan mengkaji serta menyelidiki secara kritikal agar segala tindakan yang diambil dan pelaksanaannya sejajar dan seiring dengan matlamat hukum syarak. Selain melaksanakan kewajipan syarak, Istibdal terpaksa dilakukan kerana faktor-faktor ekonomi atau politik atau undang-undang dan lain-lain lagi.[22] Dengan adanya mekanisme ini, tidak bermakna tanah-tanah wakaf boleh diambil dalam apa jua keadaan bagi memenuhi tuntutan dan perkembangan semasa, tanpa melihat kepada beberapa aspek dan persoalan yang lebih penting dan sewajarnya diberi keutamaan.

Dengan kata lain, Istibdal bukanlah satu mekanisme yang terpakai kepada semua kategori tanah wakaf. Justeru para fuqaha berselisih pendapat dalam mengharuskan hukum Istibdal terutama dari aspek pelaksaannya. Dalam hal ini terdapat pandangan fuqaha yang agak terbuka  dengan menegahnya kecuali dalam keadaan tertentu sahaja. Terdapat juga di kalangan mereka yang berpandangan agak rigik dengan melarang secara keras pelaksanaan Istibdal walau dalam apa jua keadaan. Para fuqaha dalam menentukan hukum Istibdal amat berhati-hati dengan tujuan untuk menjaga kemaslahatan harta amanah orang Islam. Jika tidak sudah tentu akan mengundang kepada kelewehan hukum yang mengakibatkan akan wujudnya penyelewengan dan perlanggaran terhadap prinsip-pinsip hukum wakaf yang telah sedia disusun atur oleh sarjana Islam terdahulu.

Secara umumnya, majoriti mazhab menerima konsep Istibdal sebagai satu medium ke arah mengekalkan hartanah wakaf dan manfaatnya.[23] Sekiranya hukum syarak tidak menyediakan alternatif lain dalam menangani masalah pengambilan tanah yang melibatkan tanah wakaf, sedangkan pada masa yang sama hukum mengharuskan pihak berkuasa mengambil tanah tersebut untuk kepentingan umum, sudah pasti berlakunya pertentangan dan pencabulan antara hukum pengambilan tanah wakaf dengan prinsip utama dalam undang-undang pewakafan harta dalam Islam iaitu prinsip kekekalan dan kelangsungan aset wakaf. Konsep ini juga adalah selaras dengan prinsip bahawa harta wakaf tidak boleh dijual, tidak boleh dihibah kepada orang lain dan tidak boleh diwarisi.[24] Majma’ Fiqh Islami dalam membincangkan isu pelaburan harta wakaf telah mengharuskan agar hasil daripada harta wakaf dapat dilaburkan meskipun tidak disyaratkan oleh pewakaf. Ini bagi memastikan nait atau tujuan pewakaf dapat dikekalkan selama-lamanya dan ia tidak boleh dilaksanakan melainkan dengan membangunkan harta tersebut (Himpunan Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan, hlm.90)

Kelayakan Kelulusan Istibdal

Aspek pelaksanaan Istibdal perlu diperincikan dengan melibatkan pandangan-pandangan mereka yang berautoriti.[25] Ini kerana konsep Istibdal turut membabitkan persoalan ijtihadiyyah. Urusan penggantian tanah wakaf adalah menjadi tanggungjawab pemerintahan atau mahkamah dengan melihat kepada kemaslahatan umum, dan tidak boleh ditolak, kecuali terdapat sebab-sebab yang membawa kepada kemudharatan dan tidak mendatangkan hasil sama ada kepada pewakaf itu sendiri atau orang yang menerima wakaf.[26] Dalam hal ini al-Tarsusi telah menggariskan tiga syarat utama yang perlu diamalkan dalam melaksanakan konsep Istibdal:[27]
                  i.            Kadi hendaklah berusaha sedaya mungkin mengadakan siasatan sendiri sebelum melaksanakan Istibdal;
                 ii.            Kadi hendaklah melantik dua orang pakar yang adil dan amanah untuk menyelidik dan menyiasat keperluan Istibdal yang dicadangkan untuk memastikan hasil pelaksanaannya benar-benar membawa kepada kebaikan atau sebaliknya;
                iii.            Kadi hendaklah membuat laporan setelah mendengar keterangan daripada pakar yang dilantik dan menyokong terhadap pelaksanaan Istibdal. Kelulusan Istibdal bergantung kepada keputusan kadi setelah berpuashati dengan apa yang telah dicadangkan bagi menjamin kebaikan wakaf yang dibuat.


Manakala dari aspek pelaksanaan yang lain, tanah-tanah wakaf yang akan diambil oleh kerajaan berdasarkan kepada syarat-syarat yang telah digariskan oleh fuqaha terlebih dahulu hendaklah dirujuk kepada pihak yang berautoriti. Penyiasatan dan kajian terperinci perlu dijalankan agar konsep pengambilan tanah secara paksaan berasaskan kepada konsep Istibdal ini benar-benar menepati dengan syarat dan garis panduan hukum syarak sebagaimana yang telah dibincangkan sebelum ini.

Sebagai kesimpulannya, penentuan syarat sama ada penggantian dengan wang atau tanah adalah bergantung kepada keadaan dan situasi semasa di sesebuah negara tersebut. Apa yang penting ialah tanah wakaf yang terlibat dengan pengambilan tanah oleh kerajaan hendaklah dibeli atau diganti dengan tanah yang lain dan wang pampasan itu tidak boleh dimiliki atau disimpan begitu sahaja.[28] Namun sekiranya penggantian dengan wang pampasan menimbulkan banyak halangan dan kekangan akibat faktor-faktor yang lain seperti ketiadaan tanah yang sesuai, harga tanah semasa yang terlalu tinggi sehingga menyukar nazir untuk mencari ganti tanah, maka dalam hal ini pertukaran tanah dengan tanah adalah lebih diutamakan. Bahkan dalam keadaan tertentu hukumnya menjadi wajib berdasarkan kepada beberapa kaedah Fiqhiyyah bahawa:

Sesuatu yang pada asalnya tidak wajib tetapi jika tidak kerananya tidak akan mencapai matlamat yang dikehendaki maka ia menjadi wajib.[29]

Pelaksanaan Istibdal di Malaysia dan di Negara-negara Islam

Secara amnya konsep istibdal bukanlah sesuatu yang baru dan telahpun diamalkan di negeri-negeri di Malaysia. Walau bagaimanpun aplikasinya tidaklah begitu meluas memandangkan ia tidak semudah yang dibincangkan. Beberapa fatwa telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa berkaitan Istibdal harta wakaf. Antaranya ialah fatwa yang dikeluarkan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan dan juga fatwa-fatwa kerajaan negeri. Sebagai contoh pada tahun 1993 Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan telah bersetuju mengharuskan wakaf istibdal untuk memindahkan tanah wakaf yang lebih mendatangkan manfaat dengan mensyaratkan nilai tanah akan diganti mempunyai nilai yang sama atau lebih. Fatwa yang sama juga pernah diputuskan oleh Mesyuarat Jemaah Ulamak Majlis Agama Islam Negeri Kelantan pada tahun 1995 bahawa penggantian atau penjualan harta wakaf boleh dilaksanakan ke atas tanah-tanah wakaf dalam situasi yang diperlukan dan untuk kepentingan awam termasuk harta-harta wakaf yang tidak mempunyai hasil yang cukup bagi menampung kos penyelenggaraan dan pembaikpulihannya.

Selain daripada fatwa, Enakmen Wakaf Negeri juga telah memperuntukkan kuasa kepada MAIN untuk melaksanakan konsep istibdal. Sebagai contoh Seksyen 19, Enakmen Wakaf Selangor 1999 dan Enakmen Wakaf Negeri Melaka 2005 memperuntukkan bahawa:
Majlis boleh mengistibdalkan apa-apa mawquf dalam keadaan berikut:

  1. Mawquf telah diambil oleh mana-mana pihak berkuasa awam mengikut peruntukan mana-mana undang-undang bertulis;
  2. Kegunaan mawquf tidak lagi mendatangkan manfaat atau faedah sebagaimana yang dikehendaki oleh waqif; atau
  3. Kegunaan mawquf tidak menepati tujuan wakaf

Enakmen Wakaf Negeri Sembilan 2005, Sek.12 (1)(2)(3)(4) memperuntukkan bahawa: Tertakluk kepada Subseksyen (2), Majlis boleh istibdal apa-apa mawquf dalam keadaan yang berikut:
  1. Jika mana-mana syarat wakaf tidak selaras dengan mana-mana undang-undang berrtulis
  2. Jika mawquf diambil oleh mana-mana pihak berkuasa  mengikut mana-mana undang-undang bertulis;
  3. Jika kegunaan mawquf tidak mendatangkan manfaat, faedah atau keuntungan sebagaimana yang dikehendaki oleh waqif;
  4. Jika kegunaan mawquf tidak dapat menepati tujuan wakaf; atau
  5. Jika disebabkan berlalu masa atau berlaku perubahan keadaan mana-mana syarat yanag ditetapkan oleh waqif tidak dapat dilaksanakan. (Subseksyen 1)

Majlis hendaklah mendapatkan pendapat jawatankuasa fatwa jika majlis hendak istibdal:

  1. Masjid atau tapak masjid yang diwakafkan; atau
  2. Dalam hal keadaan selain hal keadaan yang dinyatakan dalam Subseksyen 1. (Subseksyen 2)

Walau apa pun yang ditetapkan oleh waqif:
  1. Pelaksanaan syarat itu adalah tertakluk kepada mana-mana undang bertulis; dan
  2. Jika majlis tidak boleh melaksanakan mana-mana syarat yang ditetapkan oleh waqif, majlis hendaklah menentukan apa-apa cara lain untuk melaksanakan wakaf itu supaya mawquf itu digunakan dengan cara sehampir mungkin sama dengan syarat yang ditetapkan oleh waqifnya. (Subseksyen 3)

Nilai mawquf yang diperoleh melalui istibdal hendaklah tidak kurang daripada nilai semasa mawquf asal (Subseksyen 4)

Di negeri Johor Kaedah-kaedah wakaf Johor 1983 mentafsirkan istibdal sebagai:

“Menggantikan harta wakaf dengan harta lain yang lebih baik dengan tukaran atau belian atau jualan atau sebagainya menurut hukum syarak”

Seksyen 9(1): Kaedah di atas telah memberi kuasa kepada Jawatankuasa Wakaf Johor dengan persetujuan Majlis Agamanya mengimarah, mengistibdal, mengistismar dan melaburkan maukuf mengikut syarat-syaratnya yang diluluskan oleh hukum syarak.

Seksyen 9(2): Jawatankuasa ini boleh membeli harta alih atau tak alih dengan menggunakan wang kumpulan wakaf daripada ammual badal.

Di samping fatwa pada tahun 2010, Jabatan Wakaf Zakat dan Haji (JAWHAR) telah menerbitkan manual Pengurusan Istibdal Wakaf. Manual istibdal ini boleh dijadikan panduan dan rujukan kepada mana-mana MAIN untuk melaksanakan istibdal. Ia merangkumi semua aspek istibdal sama ada dari segi hukum syarak dan perundangan. Beberapa contoh pelaksanaan istibdal di MAIN telah dimuatkan dalam manual ini. Selain itu manual ini dilengkapi dengan kaedah atau proses pelaksanaan istibdal di beberapa buah negeri seperti di Kedah dan Pulau Pinang yang telahpun mempunyai manual istibdal yang boleh dirujuk oleh MAIN yang lain.

Kewujudan peruntukan istibdal di dalam Enakmen dan Manual yang dilakukan oleh pihak JAWHAR ini adalah sebagai satu inisiatif dalam usaha kerajaan untuk membangun dan memastikan tanah-tanah wakaf dapat dieksploitasi dengan semaksima mungkin manfaatnya dan tidak akan terbiar begitu sahaja.

Pelaksaan Istibdal juga telah dilakukan di negara-negara Islam yang lain seperti Indonesia. Peruntukan dalam Peraturan Pemerintah tahun 1977 (no.28) tentang perwakafan tanah milik memperuntukkan bahawa harta wakaf tidak boleh dilakukan perubahan lain daripada apa  yang telah dimaksudkan oleh pewakaf melainkan ianya dilakukan sekiranya terdapat hal-hal tertentu seperti harta wakaf tidak lagi sesuai dengan niat wakaf atau dilakukan untuk kepentingan awam dan ia perlulah terlebih dahulu mendapat persetujuan bertulis daripada Menteri Agama (Fasal 11(1)(2). Dalam Peraturan Menteri Agama 1978 (No.1) menjelaskan bahawa perubahan status tanah wakaf boleh diluluskan apabila diberi penggantian yang sekurang-kurangnya senilai dan seimbang dengan kegunaannya sesuai dengan niat pewakaf (Fasal 13(23).

Di negara Sudan Perkara 721 Qanun al-Maliyah al-Madaniyyah memperuntukkan istibdal harta wakaf daripada harta dibolehkan apabila terdapat perkaraa-perkara yang diharuskan  mengikut hukum syarak dengan mendapat kelulusan daripada pihak mahkamah. Berbeza dengan negara Mesir di bawah Undang-undang Mesir 1959 (No.272) memberi kuasa istibdal kepada Lujnah Wakaf tanpa merujuk kepada mahkamah. Konsep yang sama juga dilaksanakan di Syria melalui Undang-undang Syria 1960 (No.104) dengan mengharuskan pelaksanaan istibdal ke atas harta tak alih sekiranya harta tersebut dapat diganti dengan harta tak alih yang lain yang mempunyai manfaat yang lebih banyak dan ianya boleh disewakan untuk satu tempoh yang panjang (Mohd Ridzuan Awang, 2010, hlm.208-209).

Di Singapura, Majlis Agama Islam Singapura telah menubuhkan anak Syarikat WARESS Investment Pte. Ltd untuk mengurus dan membangunkan harta wakaf termasuk mengistibdalkan tanah-tanah wakaf yang kecil dan tidak ekonomikal kepada tanah atau bangunan yang berpotensi. Antara kejayaan besar projek istibdal yang berjaya dilaksanakan oleh WARESS ialah menerbitkan S$25 juta Bon Musyarakah bagi membeli sebuah bangunan di 11 Beach Road bagi menggantikan 20 tanah wakaf MUIS yang berada di kawasan yang tidak berpotensi dan berada di luar zon perdana pembangunan. Bon ini merupakan Bon Islam pertama diwujudkan di Singapura bagi membeli bangunan pejabat 6 tingkat yang berharga S$31.5 juta atau S$919 kaki persegi (Abdul Halim Ramli, Kamarulzaman Sulaiman, 2006, hlm.5-6).

Isu-Isu Dalam Pelaksanaan Istibdal Tanah Wakaf di Malaysia

Dalam perbahasan Dewan Negara Penggal keempat Mesyuarat ke-3 pada tahun 2011 Y.B Senator Dato’ Dr Mashitah binti Ibrahim membangkitkan di dalam Dewan Negara tentang keperluan kepada wakaf Istibdal bagi memperkasakan pembangunan tanah wakaf di Malaysia (Perbahasan Dewan Negara, Selasa, 13 Disember 2011). Berdasarkan kajian-kajian yang telah dilakukan terdapat beberapa isu yang berkaitan dengan Istibdal. Antaranya ialah:

  1. Keterikatan dengan Hukum Syarak dan Pandangan Mazhab

Berdasarkan kepada pandangan mazhab Syafie, harta wakaf tidak boleh dijual, diwarisi, dihadiah dan dipusakai. Justeru, masih ada sesetengah MAIN yang terlalu rigid berpegang kepada mazhab tersebut yang tidak mengharuskan hukum istibdal sekalipun harta tersebut tidak mendatangkan hasil dan manfaat kepada benefisiari.

2.    Keterikatan dengan Niat Pewakaf
di Malaysia salah satu daripada halangan istibdal ialah terikat dengan hukum syarak bahawa tanah wakaf Khas tidak boleh dibangunkan atau ditukar ganti selain apa yang diniatkan oleh pewakaf. Dianggarkan terdapat 36,000 hektar keluasan tanah wakaf Khas di Malaysia yang lebih besar berbanding tanah wakaf Am. Di negeri Johor sebagai contoh terdapat 51,686 ekar, daripada jumlah tersebut 18,740 adakah wakaf Am. Begitu juga i negeri Kedah daripada 203 ekar keluasan tanah wakaf, 32 ekar adalah tanah wakaf Am. Sebelum itu pada tahun 2007 YAB Tun Abdullah bin Haji Ahmad Badawi bekas Perdana Menteri Malaysia ke-5 menyarankan agar Majlis Fatwa Kebangsaan meneliti dan mengkaji aspek perundangan syarak agar tanah-tanah wakaf Khas dapat dibangunkan secara komersial tanpa mengetepikan hukum syarak (Himpunan Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Berhubung Isu Muamalat, hlm.88). Di Kelantan wakaf ibadat antara yang terbanyak meliputi 70 peratus daripada keseluruhan keluasan tanah wakaf (Mohd Afandi Mat Rani, 2002, hlm.125) Biasanya harta Wakaf Khas tidak mendatangkan hasil kepada Majlis, bahkan MAIK terpaksa mengeluarkan perbelanjaan daripada sumber yang lain untuk membiayai penyelengaraan harta tanah tersebut yang terdiri daripada tanah kubur, tapak masjid dan tapak Sekolah Agama dan sebagainya yang berbentuk kebajikan umum.

  1. Kedudukan tanah yg tidak strategik, tidak ekonomik, Terbiar dan Berselerak

Dalam rancangan untuk membangun tanah wakaf melalui projek pembangunan, pertanian dan penempatan memerlukan keluasan tanah dan lokasi yang strategik. Bagi memenuhi kretaria ini MAIN menghadapi masalah kerana banyak tanah yang diwakafkan terdiri daripada lot-lot tanah yang kecil dan kedudukan lokasinya yang berjauhan dari kawasan bandar dan berselerak. Tidak kurang juga tanah-tanah ini tidak berpotensi dan tidak berdaya maju serta tidak produktif untuk dibangunkan dalam tempoh yang terdekat ini. Akibatnya tanah berkenaan terbiar begitu sahaja tanpa dapat memberi apa-apa pulangan kepada MAIN.

  1. Ketiadaan Tanah yang Sesuai dan Tidak Mendapat Sokongan Pihak Berkuasa

Harga tanah di pasaran yang amat tinggi dan tidak mampu dibeli semula oleh MAIN untuk diwakafkan. Maka faktor ini menjadi punca utama mengapa tanah wakaf tidak ekonomik dan sebagainya tidak boleh diganti dengan tanah yang lain. Tanah yang tidak bermilik atau tanah kerajaan semakin berkurangan. Sekalipun ada tetapi lokasinya yang tidak strategik, tidak setanding dengan tanah wakaf yang asal, tidak ekonomik serta tidak berdaya maju. Sekiranya hendak dibeli sebagai gantian, ia akan bertentangan dengan hukum Istibdal harta wakaf yang mesti diganti dengan tanah yang sama nilai atau lebih baik. 
Selain isu yang dinyatakan di atas, istibdal sukar untuk dilaksanakan kerana tidak mendapat sokongan yang penuh daripada pihak kerajaan. Banyak tanah kerajaan yang dicadangkan oleh MAIN untuk diwakafkan semula tidak mendapat persetujuan pihak kerajaan dan terdapat negeri yang mencadangkan agar MAIN membeli tanah-tanah yang akan diwakafkan, namun harga tanah tersebut sangat tinggi (Temubual En. Kamal Said, Penolong Pegawai Wakaf, Majlis Agama Islam Pulau Pinang, pada 29 April 2012).

  1. Keperluan kepada tenaga pakar dalam bidang hartanah dan pelaburan

MAIN juga berhadapan dengan kekurangan tenaga pakar dalam bidang hartanah. Bagi melaksanakan konsep istibdal. Ini kerana syarat untuk melaksanakan istibdal harta gantian itu lebih baik daripada mawquf yang asal, jenis harta yang sama dan lebih mendatangkan manfaat pada masa akan datang (Manual Pengurusan Istibdal Wakaf, 2010, hlm.18) Di Malaysia harta wakaf umat Islam banyak melibatkan aset tanah. Justeru, MAIN perlu mempunyai pegawai yang mahir dan pakar dalam bidang tanah, selain memiliki pengetahuan dalam bidang yang berkaitan hukum syarak. Pegawai yang bertugas di bahagian wakaf tidak boleh tertumpu hanya kepada bidang agama atau hukum sahaja. Kombinasi antara dua bidang yang dikuasai oleh pegawai wakaf akan dapat menyelesaikan banyak masalah terutama apabila berhadapan dengan isu pengambilan tanah, urusan Istibdal tanah dan lain-lain perkara berkaitan tanah dan undang-undangnya yang begitu kompleks.


  1. Pelaksanakan Istibdal Ke atas Tanah Wakaf yang Diambil Oleh PBN

Keseluruhan negeri di Malaysia, sebahagian tanah wakaf yang terlibat dengan pengambilan tanah oleh PBN tidak diganti dengan tanah. Amalan yang diamalkan oleh pentadbir tanah di Malaysia ialah dengan hanya membayar pampasan dengan wang sahaja. Pembayaran pampasan dengan wang memudahkan usaha pihak terbabit yang mengambil tanah tanpa berurusan dengan pihak lain kecuali dengan pemilik tanah yang terlibat dengan pengambilan sahaja. Jika pemberian pampasan dibuat melalui penggantian tanah dengan tanah, sudah semestinya pihak berkuasa atau badan-badan, atau syarikat yang ingin melaksanakan sesuatu projek terpaksa berurusan dengan banyak pihak selain pemilik tanah.

Konsep Istibdal atau pengambilan tanah wakaf dengan menggantikan wang sebagai pampasan yang menjadi amalan kebiasaan pentadbir tanah hari ini perlu dinilai dan dikaji dari kedua-dua sudut hukum syarak dan Seksyen 15(1) APT 1960. Walaupun pada dasarnya teori Istibdal dengan wang sebagai pampasan diterima dan menepati dengan konsep Istibdal di dalam Islam, namun aspek pelaksanaannya tidak mencapai standard dan piawaian yang ditetapkan di dalam hukum pewakafan harta dalam Islam sekiranya MAIN masih gagal merealisasikan kewujudan aset tanah bagi melangsungkan hak pewakaf yang dimanahkan kepada MAIN.

Istibdal atau pertukaran harta wakaf menurut hukum syarak dilihat sebagai satu kaedah atau satu alternatif dalam menyelesaikan isu pengambilan tanah wakaf oleh PBN yang diimplimentasikan daripada pandangan Imam Ahmad ibn Hanbal dan mazhab Hanbali.[30] Keharusan hukum syarak terhadap pengambilan tanah wakaf menggantikannya dengan wang sebagai pampasan dalam konteks pelaksanaan mengikut APT 1960, adalah merujuk kepada konsep Maslahah Ammah dan Istibdal pula dalam konteks ini sebagai satu alternatif kepada keharusan hukum yang diasaskan kepada Maslahah Ammah. Setelah pengambilan tanah wakaf dibuat oleh PBN, pelaksanaan kepada mekanisme Istibdal bukan lagi menjadi satu alternatif, malah menjadi satu kewajipan atau kemestian yang wajib dilaksanakan oleh pihak yang diberi tanggungjawab.

Sekiranya Istibdal tidak dilakukan dengan menghilangkan asetnya yang asal, secara langsung tindakan memberi keizinan kepada PBN mengambil tanah-tanah wakaf secara paksaan adalah menyalahi dengan kaedah dan prinsip pewakafan harta dalam Islam. Ini kerana apa yang difahami daripada keharusan pengambilan tanah wakaf adalah kerana adanya konsep Istibdal yang boleh mewujudkan semula aset yang kedua sebagai wakaf melalui penggantian atau pertukaran. Dengan ini, tindakan pengambilan tanah wakaf oleh PBN tidak menyalahi dengan hadith bahawa harta wakaf tidak boleh dijual, dihibah atau diwarisi.[31]

Terdapat beberapa pendekatan yang difikirkan sesuai untuk melaksanakan konsep Istibdal tanpa melibatkan banyak pihak. Jika dilihat kepada senario kesukaran kepada pihak MAIN untuk mendapatkan tanah sebagai ganti, maka MAIN hendaklah membuat tuntutan secara langsung kepada agensi/ syarikat yang mengambil tanah agar setiap pengambilan yang melibatkan skala yang besar hendaklah digantikan semula dengan tanah dan bukannya dengan wang. Dalam hal ini pihak agensi diberi tanggungjawab sepenuhnya untuk mendapatkan tanah lain sebagai ganti. Agensi yang mengambil tanah boleh mendapatkan tanah melalui kaedah permohonan biasa yang diperuntukkan dalam undang-undang tanah, iaitu melalui salah satu daripada tiga cara berikut:
i.              Memohon tanah kerajaan daripada PBN
ii.             Membeli tanah milik (alienated) daripada tuan punya/ pemilik
iii.            Mengambil mana-mana tanah secara paksa melalui proses undang-undang

Melalui cara pertama pihak agensi akan memohon tanah kerajaan daripada PBN. Dalam hal ini usaha pihak agensi untuk menggantikan tanah wakaf hendaklah mendapat perhatian dan sokongan oleh PBN. Lebih-lebih lagi terdapat di sesetengah negeri Yang Dipertua MAIN adalah terdiri Menteri Besar atau Yang Dipertua negeri berkenaan. Begitu juga dengan ahli exco juga ada yang menjadi Ahli Lembaga Pengarah MAIN sendiri ini boleh mengambil inisiatif dengan menyediakan tanah lain sebelum sesuatu tindakan pengambilan dibuat oleh PBN. PBN atau kerajaan negeri hendaklah memandang serius perkara ini kerana ia melibatkan kepentingan MAIN yang juga sebahagian daripada institusi di bawah pentadbiran kerajaan negeri.

Jika kaedah pertama ini tidak boleh menyelesaikan masalah, pihak agensi hendaklah membeli tanah milik persendirian yang berada berhampiran atau berdekatan dengan tanah wakaf yang telah terlibat. Jika kedua-dua kaedah ini tidak berhasil, jalan terakhir ialah pengambilan tanah secara paksaan melalui peruntukan APT 1960 sebagaimana yang dilakukan terhadap tanah-tanah bermilik yang lain. Keputusan untuk menerima atau menolak tanah yang akan diganti ini bergantung kepada MAIN, dan bukannya penggantian secara mutlak. Oleh itu, perbincangan dan budi bicara antara kedua-dua pihak amat penting dalam membuat sebarang keputusan yang tidak merugikan mana-mana pihak .



FATWA PENGAMBILAN TANAH WAKAF OLEH PIHAK BERKUASA NEGERI DAN PELAKSANAAN ISTIBDAL


Wakaf Istibdal dan Saham Wakaf merupakan perkara yang amat baik danperlu diamalkan pada masa ini kerana pembangunan sedang berjalan dengan begitu pesat sedangkan tanah-tanah wakaf, tapak masjid lama terbiar dengan begitu sahaja dan menyulitkan pihak berkuasa. Maka sudah sampai masanya segala amalan dan urusan mengenai wakaf pada keseluruhannya diubahsuai dengan tidak terikat kepada mazhab Syafie sahaja manakala kaedah pengurusan didasarkan kepada mazhab Hanafi umpamanya atau mana-mana mazhab atau qaul yang sesuai dengan keadaan dan masa.Selain daripada itu, untuk amalan adalah perlu berhati-hati dan lebih "Ihtiat" (berhati-hati) supaya tidak dipergunakan dengan sewenang-wenangnya. Untuk pandangan sepintas lalu, bagi mewujudkan wakaf atau mengimarahkan mana-mana wakaf tersebut lebih utama diuruskan melalui saham wakaf dan jika tidak dapat diamalkan melalui saham wakaf dengan sebab-sebab tertentu maka amalan melalui istibdal itu dituruti dan hendaklah istibdal itu dilaksanakan dengan syarat-syarat tertentu dan ditadbir dengan sempurna Nota: Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Ke-41

Merujuk kepada hukum syarak pada asasnya wang pampasan yang diterima oleh MAIN hasil daripada pengambilan tanah oleh PBN boleh dianggap sebagai Istibdal dan dimasukkan di bawah kategori “Wakf Istibdal” jika memenuhi kriteria yang ditetapkan dalam undang-undang wakaf Islam.[32] Namun demikian, dalam keadaan tertentu[33] wakaf Istibdal ini tidak boleh dianggap sempurna selagi manfaat wakaf yang diniatkan oleh pewakaf tidak dapat dilangsungkan. Jika pihak MAIN menerima wang pampasan ini dan dibekukan tanpa mewujudkan semula aset yang kedua sebagai wakaf menggantikan aset pertama yang diambil, bermakna manfaat yang diniatkan oleh pewakaf turut sama beku dan secara tidak langsung apa yang dihajati oleh pewakaf tidak kesampaian. Amalan ini jelas menyalahi kaedah perundangan wakaf dan Istibdal dalam Islam. Justeru, bagi meneruskan niat pewakaf ini, pemegang amanah hendaklah berusaha sedaya upaya mewujudkan aset yang kedua menggantikan aset yang pertama dan segala hasil atau pendapatannya hendaklah diaplikasikan kepada tujuan-tujuan sebagaimana yang diikrarkan oleh pewakaf ataupun kepada benefisiarinya. Dalam usaha untuk merealisasikan kaedah wakaf Istibdal ini bukanlah sesuatu yang mudah dan boleh dilakukan dengan sewenang-wenangnya. Aset baru yang hendak diganti itu hendaklah menyamai atau lebih baik daripada yang pertama.

Secara keseluruhannya, fatwa-fatwa yang dikeluarkan oleh MAIN telah menetapkan bahawa bagi setiap tanah wakaf yang diambil oleh PBN hendaklah dibayar pampasan sama ada dalam bentuk wang berdasarkan harga nilaian semasa atau dalam bentuk tanah. Sekiranya diberi dalam bentuk wang pampasan hendaklah digunakan untuk membeli tanah lain sebagai ganti wakaf, dan tidak selainnya. Keputusan ini telah disepakati dan dipersetujui oleh semua fatwa negeri yang terlibat dengan pengambilan tanah wakaf. Pihak yang ditugaskan untuk mengendalikan tanggungjawab ini adalah diberikan kepada MAIN dan bukannya Pentadbir Tanah.

Mesyuarat dimaklumkan bahawa perkara ini pernah dibincang dalam mesyuarat jemaah ulama’ majlis yang diadakan pada 8 Rabiulawal 1416 bersamaan 5 Ogos 1995 dan fatwa mengenai konsep istibdal telah pernah dibuat dalam mesyuarat tersebut. Berikutan itu, pihak pengurusan majlis telah merancang akan melaksanakan istibdal tanah-tanah wakaf khas dan am (seluas lebih kurang 300 ekar) yang dibawah kawalan Majlis Agama Islam Kelantan dengan satu kawasan tanah yang sedang dipohon dari kerajaan negeri seluas lebih kurang 500 ekar menurut perancangan, tanah yang dipohon dari kerajaan itu akan dimajukan dengan projek-projek pertanian dimana pendapatan dari tanah tersebut akan dimanfaatkan untuk faedah موقوف عليه, manakala tanah wakaf yang diistibdalkan itu akan ditukar status menjadi tanah biasa untuk membolehkan ianya dimajukan dengan berbagai projek ekonomi yang menguntungkan.

Jawapan:

Masalah ini telah pun dibentang dalam mesyuarat jemaah ulama’ yang diadakan pada 24 Mac 1996 dan keputusan telah pun dibuat.

Mesyuarat telah membincang dengan panjang lebar serta mendalam mengenai masalah ini, termasuk dari aspek hukum, maslahat, implikasi, kesan kepada masyarakat dan juga kesan kepada imej majlis ini sendiri sebagi nazir semua jenis wakaf di negeri ini menurut undang-undang dengan ini mesyuarat bersetuju memfatwakan sebagaimana berikut:-

Bahawa pada penelitian jemaah ulama’ cadangan istibdal tanah wakaf yang dibawah kawalan Majlis Agama Islam Kelantan dengan suatu kawasan tanah baru yang kini sedang dalam proses permohonan kepada kerajaan negeri itu pada masa ini tidak menepati dengan kehendak hukum syara’ sebagaimana yang digariskan dalam fatwa yang lepas bertarikh 8 Rabiulawal 1416 bersamaan 5 Ogos 1995. Antara syarat yang membolehkan istibdal ialah”-

(1) Sebab-sebab darurat atau maslahat am bagi maksud dan tujuan wakaf itu sendiri supaya jangan sampai dipersia-siakan.
(2) Harta yang hendak dijadikan tukaran (istibdal) hendaklah lebih baik dari harta wakaf itu sendiri ( خير منه), baik dari segi nilai harta, fungsi dan lain-lain yang berkaitan dengannya.
(3) Harta wakaf yang hendak diistibdal itu sudah hilang langsung potensinya dan tidak boleh dimajukan lagi.


5.0       PERANCANGAN ISTIBDAL TANAH WAKAF OLEH MAIN

Setiap negeri di Malaysia telah menubuhkan beberapa jawatankuasa seperti jawatankuasa kerja wakaf, jawatankuasa kawalan wakaf, jawatankuasa pembangunan dan pelaburan dan lain-lain.[34] Namun jawatankuasa Istibdal belum diwujudkan kecuali di negeri Kedah.[35] Di negeri-negeri lain tidak menubuhkan jawatankuasa ini secara khusus dan diserahkan tugas serta tanggungjawab tersebut kepada unit wakaf untuk melaksanakannya tanpa mewujudkan suatu badan khas yang berasingan dan dianggotai oleh banyak pihak yang berautoriti.[36]

Di Terengganu Keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Zakat, Wakaf dan Baitulmal Kali Pertama pada 9 Ogos 2005 telah mengemukakan beberapa cadangan bagi melaksanakan urusan penggantian atau Istibdal tanah wakaf yang tidak dilaksanakan dalam tempoh yang begitu lama. Pendekatan ini telah diambil setelah melihat sejak sekian lama tanah-tanah wakaf yang telah terlibat dengan pengambilan oleh kerajaan atau PBN tidak diambil sebarang tindakan. Kesan daripada penangguhan ini MAIDAM terpaksa berhadapan dengan kuantiti tanah wakaf yang semakin berkurangan, terutama yang berada di kawasan bandar dan pinggiran bandar. Antara cadangan tersebut ialah MAIDAM akan mencari dan membeli tanah lain sebagai ganti tanah yang diambil balik tersebut sebagaimana pandangan fatwa. Tanah yang diambil balik itu hendaklah diganti dengan tanah yang sepertinya dan kemudian dilafazkan dengan sighah wakaf. Kelemahan ini amat berkait rapat dengan rekod atau maklumat pengambilan tanah.[37] Pihak yang menguruskan tanah wakaf tidak menyenaraikan secara lengkap keseluruhan tanah wakaf yang terlibat dengan pengambilan sejak tahun 1951 lagi. Kajian dan pemantauan secara terperinci tidak dilakukan secara berterusan oleh pihak yang berkenaan. Begitu juga dengan perancangan dan aktiviti MAIDAM yang pada pandangan penyelidik kurang memberikan penekanan dari aspek sejauhmana keberkesanaan dan kejayaan setiap apa yang dirancangkan.

Di negeri Kedah,[38] agak terkehadapan dalam soal perancangan dan pembangunan Istibdal tanah berbanding negeri lain. Di atas keprihatinan MAIK terhadap tanah-tanah wakaf yang diambil oleh kerajaan, satu “Jawatankuasa Pembelian Tanah” telah ditubuhkan dengan dipengerusikan sendiri oleh Dato’ Yang Dipertua MAIK. Tujuan penubuhan jawatankuasa ini adalah untuk melicin dan mempercepatkan lagi usaha pelaksanaan Istibdal bagi tanah-tanah wakaf yang terlibat dengan pengambilan oleh kerajaan agar diganti dengan tanah lain dalam tempoh yang terdekat tanpa berhadapan dengan banyak masalah birokrasi. Di dalam mesyuarat ini Jawatankuasa Pembelian Tanah telah merangka beberapa kaedah pelaksanaan yang telah diputuskan. Antaranya ialah:

a)    Keputusan Jawatankuasa perlu mengambilkira penilaian daripada Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta bagi memastikan tanah wakaf yang akan diganti mempunyai nilai yang sama atau lebih baik daripada tanah wakaf yang sebelumnya;
b)    Bagi mendapatkan nasihat tentang kesesuaian tanah jawatankuasa boleh merujuk kepada pandangan daripada Syarikat Pengurusan Izzah SDN BHD, iaitu anak syarikat MAIK atau pihak-pihak lain yang berkenaan;
c)    Jawatankuasa boleh membuat keputusan untuk membeli tanah ganti dan hanya perlu memaklumkan kepada Mesyuarat MAIK bagi setiap keputusan yang dibuat;
d)    Pihak pentadbiran MAIK, bahagian Wakaf boleh melaksanakan urusan pindah milik tanah dan pembayaran harga tanah mengikut keputusan jawatankuasa pembelian tanah


Di negeri Melaka, Jabatan Agama Islam Melaka belum merangka apa-apa perancangan berkaitan Istibdal tanah yang telah diambil oleh kerajaan. Ini kemungkinan mereka beranggapan jumlah tanah wakaf yang diambil adalah sedikit dan tidak menimbulkan masalah yang kritikal. Maka keperluan kepada tanah-tanah lain sebagai ganti belum diputuskan oleh MAIM. Tambahan pula pihak kerajaan turut memberi sokongan kepada Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dengan meluluskan tanah tapak kubur seluas 85 ekar untuk dua daerah Melaka Tengah dan Jasin. Manakala bagi daerah Alor Gajah masih dalam proses mendapatkan tanah.[39]

Penutup

Penubuhan sebuah jawatankuasa Istibdal yang khusus adalah penting bagi melaksanakan tugas-tugas dan tanggungjawab mengesan tanah-tanah kerajaan atau tanah bermilik yang sesuai untuk dibuat permohonan kepada pentadbir tanah di setiap daerah. Jawatankuasa ini boleh dianggotai bersama oleh mereka yang terdiri daripada ahli-ahli agama dan golongan profesional dan pihak pentadbir seperti Exco Kerajaan Negeri, pentadbir tanah,  pakar-pakar dan perancang ekonomi dan lain-lain pihak yang berkepentingan selain pihak MAIN sendiri.

Selain itu bagi melaksanakan misi ini dengan jayanya, jawatankuasa ini boleh diuruskan oleh anak-anak syarikat yang dilantik secara sah oleh MAIN. Segala dasar, prosedur dan kaedah-kaedah Istibdal adalah diputuskan oleh ahli jawatankuasa ini dan anak-anak syarikat yang dilantik akan menjadi pelaksanakan kepada apa jua perancangan yang dibuat oleh Jawatankuasa ini. Jawatankuasa ini juga bertindak sebagai pemantau kepada tugas-tugas yang dilaksanakan mereka yang memikul tanggungjawab ini .

Menurut al-Zarqa’, setiap apa yang berkaitan dengan wakaf adalah merupakan perkara ijtihadiyah dan kesemua ulamak berpendapat bahawa tujuan wakaf mestilah membawa kepada kebaikan. Oleh kerana ia bersifat ijtihadi, maka cirri-ciri keanjalan, terbuka kepada pelbagai penafsiran baru, dinamik dan realistik yang boleh dikembangkan potensinya sesuai dengan keperluan semasa dan zaman dalam meningkatkan ekonomi ummah. Dalam mencapai matlamat ini, sumber-sumber subsidiari hokum syarak perlu diaplikasikan bagi menganalisis persoalan semasa. Selain itu ciri-ciri murunah atau fleksibiliti dalam perundangan Islam perlu diketengahkan dan sebarang halangan dan kekangan yang bersifat rigid adalah bertentangan dengan ciri-ciri murunah yang terkandung dalam syariat Islam (Syahnaz Sulaiman, 2008, hlm.60-61).

Di Malaysia harta wakaf umat Islam banyak melibatkan aset tanah. Justeru, MAIN perlu mempunyai pegawai yang mahir dan pakar dalam bidang tanah, selain memiliki pengetahuan dalam bidang yang berkaitan hukum syarak. Pegawai yang bertugas di bahagian wakaf tidak boleh tertumpu hanya kepada bidang agama atau hukum sahaja. Kombinasi antara dua bidang yang dikuasai oleh pegawai wakaf akan dapat menyelesaikan banyak masalah terutama apabila berhadapan dengan isu pengambilan tanah, urusan Istibdal tanah dan lain-lain perkara berkaitan tanah dan undang-undangnya yang begitu kompleks.


Abdul Halim Ramli, Kamarulzaman Sulaiman, 2006, Pembangunan Harta Wakaf: Pengalaman di Negara-negara Islam, dalam Konvensyen Wakaf Kebangsaan 2006, Anjuran Jabatan Wakaf Zakat dan Haji, di Hotel Legend Kuala Lumpur, Pada 12-14 September 2006




[1] Siti Mashitoh Mahamood (2002), Pelaksanaan Istibdal dalam Pembangunan Harta Wakaf di Malaysia, cet.1, Jabatan Syariah dan Undang-undang, Akademi Pengajian Islam, Kuala Lumpur: Universiti Malaya, hlm.1.
[2] Selain perkataan Istibdal, perkataan al-Munaqalah juga digunapakai dalam membincangan pertukaran dan penggantian harta wakaf. Kedua-duanya mempunyai makna yang hampir sama. Lihat Ibn Qudamah (2001), Al-Munaqalah wa al-Istibdal bi al-Awqaf, dalam Al-Asyqar, Muhammad Sulayman, et. all (ed) Majmu‘ fi Al-Munaqalah wa al-Istibdal bi al-Awqaf , cet.2, Beirut: Lubnan, hlm.49.
[3] Badran, Badran Abu al-‘Aynayn (1986), Ahkam al-Wasaya wa al-Awqaf fi al-Syari‘ah al-Islamiyyah, Kaherah: Dar al-Jami‘ah, hlm.301. Al-Kubaysi, Muhammad ‘Ubayd (1977), Ahkam al-Waqf fi al-Syari‘ah al-Islamiyyah, jld.2, Baghdad: Matba‘ah al-Irsyad, hlm.9. Ahmad Farraj Hassan (1986), Ahkam al-Wasaya wa al-Awqaf fi al-Syari‘ah al-Islamiyyah, Kaherah: Dar al-Jami‘ah,  hlm.349.
[4] Mohd Afandi Bin Mat Rani (2008), Pengambilan Tanah Wakaf Oleh Pihak berkuasa Negeri: Analisis Menurut Hukum Syarak dan Aplikasinya di Malaysia, Tesis Ph.D, Universiti Malaya, hlm.368. 
[5] Abu Zahrah, Muhammad (1971), Muhadharah fi al-Waqf, cet:2, Kaherah: Dar al-Fikr al-‘Arabi, hlm.145.
[6] Ibid., hlm.182.
[7] Badran, Badran Abu al-‘Aynayn (1986), op. cit., hlm.306.
[8] Abu Zahrah, Muhammad (1971), op., cit., hlm.156.
[9] Ketegasan dalam mazhab Syafi‘i dapat dilihat sekalipun masjid yang telah mengalami kerosakan tidak boleh diistibdalkan. Lihat Al-Syirazi, Abi Ishak (1995), Al-Muhadhab fi  fiqh al-Imam al-Syafi‘i, cet.1, jld.2. Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, hlm.331. Abu Zahrah, Muhammad (1971), op., cit., hlm.154.
[10] Al-Nisaburi, Imam Abi Husayn Muslim al-Hajjaj al-Qusyairi (1997), Sahih Muslim, Bab al-Waqf, cet:1, jld. 3. Mu’assasah ‘Iz al-Din, hlm. 453. Al-Syawkani (t.t.), op. cit., hlm.24.
[11] Al-Nawawi, Abu Zakariyya Yahya (2000), Rawdah al-Talibin, jld.4, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, hlm.422, Al-Khinn, Mustafa Sa‘id (1992), op. cit., hlm.27-28.
[12] Al-Kubaysi, Muhammad ‘Ubayd (1977), Ahkam al-Waqf fi al-Syari‘ah al-Islamiyyah, jld.2, Baghdad: Matba‘ah al-Irsyad, hlm.39
[13] Mazhab Hanafi tidak membezakan antara harta alih (al-Manqul) dengan harta tak alih (al-‘Iqar) sebagaimana mazhab lain. Keanjalan hukum Istibdal dalam mazhab Hanafi adalah ekoran daripada prinsip wakaf dalam mazhab ini bahawa ‘ayn wakaf tetap kekal menjadi milik pewakaf. Pewakaf akan menjadi pengurus kepada hartanya yang diwakaf sama ada untuk menjual, menghadiah dan sebagainya. Keharusan Istibdal dalam mazhab Hanafi tidak dilihat dari aspek darurat, tetapi ia adalah bergantung syarat yang telah ditentukan oleh pewakaf yang menjadi hak kepada mereka. Lihat: Al-Zayla‘i, Jamal al-Din Abu Muhammad ‘Abd Allah b. Yusuf (1996), Nasb al-Rayah Takhrij Ahadith al-Hidayah, cet.1, jld.3, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, hlm.732. Al-Ghazali, Muhammad b. Muhammad b. Muhammad (1997), Al-Wasit fi al-Madhhab, cet.1, jld.4, Dar al-Salam, hlm.255. Hassan ‘Abd Allah al-Amin (1994), Idarah wa-Thasmir Mumtalikat al-Awqaf, cet.2. Al-Bank al-Islami li al-Tanmiyyah al-Ma‘ahad al-Islami, hlm.124. Ibn al-Humam, Kamal al-Din Muhammad b. ‘Abd Wahid (1977), Syarh Fath al-Qadir, cet.1, jld.6, Beirut: Dar al-Fikr, hlm.203.
[14] Al-Maydani, ‘Abd al-Ghani al-Ghanimi (1985), Al-Lubab fi Syarh al-Kitab, jld.1, Beirut: Dar al-Ihya’ al-Turath al-‘Arabi, hlm.180. Badran, Badran Abu al-‘Aynayn (1986), op. cit., hlm.260. Muhammad Kamal al-Din (1998), Al-Wasaya wa al-Awqaf fi al-Fiqh al-Islami, Mu’assasah al-Jam‘iyyah al-Dirasat, hlm.176.
[15]  Al-Dardir, Abi al-Barakat Ahmad b. Muhammad b. Ahmad (t.t.), Al-Syarh al-Saghir ‘ala ‘Aqrab al-Masalik ila Madhhab al-Imam Malik, t.tp, jld.4, Cairo: Dar al-Ma‘arif, hlm.127, Abu Zahrah, Muhammad (1971), op. cit., hlm.154.
[16] Al-Zuhayli, Wahbah (1987), al-Wasayah  wa al-Awqaf  fi Fiqh al-Islami, cet.1, Damsyiq: Dar al-Fikr., hlm.223.
[17]Ibn Qudamah, Muwaffaq al-Din Muhammad ‘Abd Allah b. Ahmad b. Muhammad (1999), Al-Mughni, cet.4, jld.8, Dar al-‘Alam al-Kutub, hlm.223. Abu Zahrah, Muhammad (1971), op., cit., hlm.154.
[18] Mazhab ini tidak membezakan antara harta alih dengan tak alih. Lihat: Ibn Qudamah, Muwaffaq al-Din Muhammad ‘Abd Allah b. Ahmad b. Muhammad (1999), op. cit., hlm. 220-221.
[19] Abu Zahrah, Muhammad (1971), op. cit., hlm.158.
[20] Ibn Qudamah (1999), op. cit., hlm.220-221.
[21] Ibn ‘Abidin, Muhammad Amin (1979), op. cit., hlm.589.
[22] Mohd Daud Bakar (1999), “Amalan Institusi Wakaf Di Beberapa Negara Islam: Satu Perbandingan,” dalam Nik Mustapha Nik Hassan et. al. (ed), Konsep dan Pelaksanaan Wakaf di Malaysia, Kuala Lumpur: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), hlm.161.
[23] Abu Zahrah, Muhammad (1971), op. cit., hlm.154.
[24] Al-Nisaburi, Imam Abi Husayn Muslim al-Hajjaj al-Qusyairi (1997), Sahih Muslim, Bab al-Waqf, cet:1, jld.3, Mu’assasah ‘Iz al-Din, hlm. 453. Al-Syawkani, Syaykh Muhammad b. ‘Ali (t.t.), Nayl al-Awtar Min Ahadith Sayyid al-Akhbar Syarh Muntaqa al-Akhbar, jld.6, Kaherah: Mustafa al-Babi al-Halabi, hlm.24.
[25] Ibn al-Humam, Kamal al-Din Muhammad b. ‘Abd Wahid (1977), op. cit., hlm.228. Ahmad Farraj Hassan (1986), op. cit., hlm.49.
[26] Ahmad Farraj Hassan (1986), op. cit, hlm.49.
[27] Abu Zahrah, Muhammad (1971), op. cit., hlm.199.
[28] Al-Syirbini, Syam al-Din Muhammad b. Muhammad al-Khatib (1994), Mughni al-Muhtaj ila Ma‘rifat al-Ma‘ani  Alfaz al-Minhaj, jld.3, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, hlm.548.
[29] Al-Asyqar, Muhammad Sulayman b. ‘Abd Allah (2001), op. cit., hlm.37.
[30] Perbincangan lanjut tentang pengambilan tanah berdasarkan konsep Istibdal, lihat Bab Ketiga, hlm.135-148. Modal pelan Istibdal telah dilaksanakan di Negeri Johor dan Selangor yang boleh diikuti oleh negeri-negeri lain. Lihat: Abdul Hamid Bin Mar Iman (1999), “Mekanisme Istibdal dan Pembiayaan Pembangunan Hartanah Wakaf”, (Kertas Kerja Seminar Institusi Wakaf Menuju Era Baru, Anjuran Jabatan Pentadbiran Tanah, Fakulti Kejuruteraan dan Sains Geoinformasi, Universiti Teknologi Malaysia, Skudai Johor, pada 8 Julai 1999), hlm.6-19. Lihat juga: Kertas Mesyuarat Jawatankuasa Perunding Hukum Syarak (Fatwa) Negeri Selangor. Cadangan Pembangunan 6 Unit 3 Tingkat Lot Kedai di atas Sebahagian Tanah Rizab Bekas Tapak Masjid Meru Secara Istibdal Tanah Wakaf di GM 6303 Lot 4944 Mukim Kapar, 16 Jun 2003.
[31] Al-Nisaburi, Imam Abi Husayn Muslim al-Hajjaj al-Qusyairi (1997), Sahih Muslim, Bab al-Waqf, cet:1. jld. 3. Mu’assasah ‘Iz al-Din, hlm. 453. Al-Syawkani, Syaykh Muhammad b. ‘Ali (t.t.), Nayl al-Awtar Min Ahadith Sayyid al-Akhbar Syarh Muntaqa al-Akhbar, jld.6. Kaherah: Mustafa al-Babi al-Halabi, hlm.24.
[32] Siti Mashitoh Mahamood (2001), op. cit., hlm.9.
[33] Bagi tanah wakaf  Am yang tidak mempunyai nilai ekonomik, dan tidak diusahakan adalah tidak merugikan MAIN jika terlibat dengan pengambilan. Berbeza keadaannya bagi tanah wakaf khas, seperti tanah wakaf manfaat untuk masjid/ surau dan kubur, tanah wakaf Zuriat dan lain-lain yang perlu diistibdal dengan kadar segera.
[34] Azizian Bin Hamid (1999), “Pentadbiran dan Pengurusan Harta Tanah Wakaf di Malaysia”, (Kertas Kerja Seminar Institusi Wakaf Menuju ke Arah Baru, Anjuran Jabatan Pentadbiran Tanah, Fakulti Kejuruteraan dan Sains Geoinformasi, Universiti Teknologi Malaysia, Skudai, Pada 8 Julai 1999, hlm.8.
[35] Di Singapura, Majlis Agama Islam Singapura MAIS telah melantik anak Syarikat Warees Invenstment Pte Ltd sebagai pihak yang menguruskan hartanah MAIS. Dalam usaha Warees untuk meningkatkan pembiayaan wakaf oleh masyarakat Islam, Warees menguruskan pembelian tanah untuk diwakafkan sama ada di Singapura atau di luar Singapura, memandangkan kesukaran masyarakat Islam untuk membeli tanah pajakan bebas.  Warees akan dilantik sebagai pengamanah wakaf umat Islam di Singapura. Lihat: Abdul Halim Ramli, Kamarulzaman Sulaiman (2006), “Pembangunan Harta Wakaf: Pengalaman Negara-negara Islam”,  (Konvensyen Wakaf Kebangsaan 2006, Anjuran Jabatan Wakaf Zakat dan Haji, di Hotel Legend Kuala Lumpur, Pada 12-14 September 2006), hlm.3-6.
[36] Majlis Agama Islam Negeri ada melantik anak-anak syarikat yang bertugas membantu Majlis dalam perkara pelaburan dan pembangunan. Di Negeri Kedah syarikat Pengurusan Izzah Sdn Bhd, di negeri Melaka MAIM Properties Sdn Bhd, di negeri Johor Perbadanan Johor, di Selangor Bakti Suci Properties Sdn Bhd. Lihat: Zainal Abidin Mat Nor (2000), “Permasalahan Hartanah Majlis Agama Islam Negeri-negeri”, dalam Jurnal Penyelidikan Islam, JAKIM, Bil.13,  2000, hlm.32.
[37] Menurut Yg. Bhg Dato’ Hj Alwi Bin Muhamad, Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, semua tanah-tanah wakaf yang terlibat dengan PBT telah diistibdal sejak sekian lama. MAIDAM tidak pernah berhadapan dengan isu ini. Temubual: Yg. Bhg. Dato’ Hj Alwi Bin Muhamad, Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, pada 22/3/2006, di Pejabat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Terengganu (MAIDAM).
[38] Lihat: Perkara 63, Cabutan Keputusan Mesyuarat Pelaburan dan Pembangunan Tanah Wakaf dan baitulmal Majlis Agama Islam Kedah (MAIK) Bil.1/2005, pada 25 Julai 2005.
[39] Temubual: En. Mohd Hairul Amin bin Mohd Sis, Ketua Bahagian Wakaf dan Sumber Am, Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), pada 15/11/2006, di Pejabat MAIM.

0 ulasan:

Catat Ulasan