PENCEROBOHAN TANAH WAKAF: PELAKSANAAN UNDANG-UNDANG
DARI PERSPEKTIF ISLAM DAN APLIKASINYA DI MALAYSIA
Mohd Afendi Mat Rani[1]
Abstrak
Di Malaysia, aktiviti
pencerobohan tanah wakaf oleh pihak yang tidak bertanggungjawab telah lama
berlaku. Kegiatan
pencerobohan tanah wakaf adalah disebabkan oleh beberapa faktor. Antaranya
ialah disebabkan oleh kealpaan dan kelalaian pihak yang bertanggungjawab.
Selain itu faktor kemiskinan dan desakan hidup juga boleh berlaku. Mereka yang
melakukan pencerobohan ke atas tanah wakaf adalah lebih mementingkan peribadi
dengan mengaut keuntungan tanpa menghiraukan hak orang lain. Mereka membina
rumah-rumah kediaman, dan ada yang disewakan pula kepada pihak lain dengan
harga yang tinggi dan menjadi sumber pendapatan tetap kepada individu terbabit. Pencerobohan yang berlaku ke atas tanah wakaf
secara tidak langsung akan menghalang pelaksanaan pembangunan ke atas tanah
tersebut dan juga terputusnya kelangsungan hak pewakaf. Pelbagai
isu, halangan dan beberapa cadangan telah dikemukakan dalam penulisan ini
sebagai penambahbaikan dalam meningkatkan keberkesan dan relevansinya institusi
wakaf sebagai pemangkin ekonomi dan sistem
jaminan sosial dalam Islam.
1.0 Pendahuluan
Isu pencerobohan tanah milik kerajaan bukanlah menjadi isu yang asing di
Malaysia. Amalan ini telah berlaku sejak sekian lama, malah ia lebih bertambah
kritikal apabila harga nilaian tanah semakin meningkat terutama bagi
lokasi-lokasi yang berada di kawasan bandar dan pinggiran bandar. Kebanyakan
tanah wakaf yang terletak di pusat bandaraya merupakan kawasan yang berpotensi
untuk pembangunan. Oleh itu kebanyakan tanah-tanah ini mempunyai nilaian yang
tinggi. Keadaan yang sama juga berlaku di negeri-negeri yang lain. Menurut
Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Wakaf,
Zakat dan Haji (JAWHAR), Abd Ghafar Yusof, pencerobohan berlaku di hampir semua
negeri di Malaysia.[2] Pihak
terbabit yang menduduki tanah wakaf bukan sahaja tidak mahu bekerjasama untuk
mengosongkan tanah yang diduduki, malah mereka telah membuat tuntutan yang
berlebih-lebihan kepada pihak MAIN sebagai pemegang amanah. Pencerobohan yang
berlaku ke atas tanah wakaf secara tidak langsung akan menghalang pelaksanaan
pembangunan ke atas tanah tersebut dan juga terputusnya pahala pihak pewakaf.
Lebih besar kesannya daripada itu tindakan ini menghalang kemajuan
sosio-ekonomi ummah.
2.0 Pencerobohan
Tanah dalam Islam
Pada prinsipnya hak individu atau orang perseorangan adalah terpelihara
dan dilindungi dalam Islam. Ini kerana Islam mengiktiraf hak peribadi seseorang
terhadap harta yang dimiliki oleh mereka.[3]
Undang-undang Islam menjamin, memelihara dan melindungi hak individu dalam apa
jua keadaan. Harta yang telah dimiliki oleh seseorang mestilah dipertahankan
agar tidak berpindah milik kepada orang lain kecuali dengan cara yang hak. Pada
dasarnya sebarang bentuk pencerobohan atau pembatalan hak milik adalah dilarang
sama sekali dalam Islam, sekalipun dilakukan oleh pihak kerajaan sendiri. Islam
mengharamkan tindakan melampaui batas dengan meletakkan hukuman, amaran keras
dan menggantikan harta yang telah diambil kepada mereka yang melakukannya.[4]
Sehubungan dengan itu, Islam telah menggariskan asas kepada perpindahan
dan pembatalan hak milik hendaklah dengan kebenaran dan keizinan pemilik serta
dilakukan dengan cara yang baik. Imam al-Syafi‘i telah menjelaskan bahawa harta
yang dimiliki oleh seseorang tidak akan luput kecuali dengan kemahuan dirinya
sendiri.[5]
Terdapat beberapa cara pemilikan harta seperti melalui pewarisan, penjualan,
hadiah, pelepasan hamba, hutang yang perlu dibayar dan lain-lain. Semua ini dilakukan oleh tuan
punya harta dengan kemahuannya dan bukan orang lain. Apa yang dijelaskan oleh
Imam al-Syafi‘i ini adalah hukum asal dan menjadi asas kepada hukum pemilikan
harta dalam Islam. Allah SWT berfirman yang bermaksud:[6]
Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta orang-orang
lain di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulur
harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau
mengambil) sebahagian harta manusia dengan (berbuat) dosa, pada hal kamu
mengetahuinya (salahnya).
Di dalam hadith Rasulullah saw bersabda yang bermaksud:[7]
Tidak halal harta
seseorang Islam kecuali diambil dengan tujuan dan cara yang baik.
Islam telah menetapkan tiga batasan terhadap kebebasan individu untuk
memiliki harta, mengguna dan menikmati harta tersebut. Antaranya ialah
penggunaan harta tersebut tidak memudaratkan diri sendiri dan orang lain.[8]
Selain itu beberapa jenis harta tidak boleh dijadikan hak milik seperti harta
yang digunakan untuk kepentingan umum, bahan galian, harta yang berpindah milik
individu kepada kerajaan seperti harta baitumal, dan hak-hak masyarakat umum
dalam hak milik individu seperti zakat, nazar, dan lain-lain.[9]
Manakala dari segi hak pelupusan atau pemberian milik tanah kerajaan pula
berlaku melalui dua cara, iaitu melalui pemberian milik oleh kerajaan dan
melalui Ihya’ al-Mawat. Konsep Ihyat al-Mawat tidak tidak boleh
disalahgunakan untuk menghalalkan pencerobohan tanah kerajaan.[10]
3.0 Pencerobohan
Tanah Wakaf Dari Perspektif Undang-undang di Malaysia
Di Malaysia,
sebagaimana yang diketahui perkara berkaitan harta wakaf adalah salah satu
aspek harta amanah yang disenaraikan di bawah Jadual Sembilan, Senarai II,
Senarai Negeri. Perkara berkaitan wakaf telah diperuntukkan di dalam enakmen
negeri masing-masing. Semua tanah wakaf ditadbir dan diuruskan oleh MAIN sama
ada harta alih dan tak alih.[11] Tanah-tanah
wakaf yang didaftarkan ini adalah terletak hak kepada MAIN sebagai pemegang
amanah tunggal harta wakaf. Terdapat 2 peruntukan undang-undang berkaitan
pencerobohan tanah wakaf. Antaranya ialah:
3.0.1 Peruntukan Undang-undang Sivil
Peruntukan undang-undang tentang pencerobohan ke atas tanah wakaf telah
diperuntukan dalam undang-undang Sivil dan undang-undang Islam di Malaysia. Menurut
Seksyen 89 Akta Kanun Tanah Negara 1965,[12]
memperuntukkan bahawa pemilik berdaftar (registered owner) atau
tuan punya (propritor) mempunyai hak yang mutlak ke atas tanah
tersebut dan kesan pendaftaran ini menghalang pihak lain yang tidak mempunyai
hak daripada membuat sebarang dealing urusan atau mendudukinya. Begitu
juga mana-mana individu yang menduduki sesuatu tanah tanpa permit atau lesen
yang sah ataupun kebenaran daripada pemilik tanah dianggap penceroboh atau trespasser
dan boleh didakwa. Mereka tidak berhak menuntut ganti rugi atau pampasan
daripada MAIN kerana penduduk setinggan tidak mempunyai hak sama ada dari aspek
undang-undang ataupun ekuiti. Akta Kanun Tanah Negara 1965 (Akta 56)
memperuntukkan bahawa pendudukan tanah kerajaan secara tidak sah adalah satu
kesalahan dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM
10,000.00 atau penjara tidak melebihi tempoh satu tahun.[13]
Dari segi undang-undang Tort pula memperuntukkan bagi mana-mana individu
yang memasuki atau menduduki sesuatu tanah yang bukan miliknya adalah disabit
sebagai penceroboh/ Trespasser. Pemilik tanah berhak mengusir penceroboh
setelah dikeluarkan notis. Begitu juga dengan konsep Ihya’ al-Mawat tidak boleh dipakai
lagi pada hari ini kerana tanah wakaf MAIN bukan lagi tanah yang dikategorikan
terbiar atau tanah hutan atau tanah mati. Malahan ia adalah tanah yang boleh
dibangunkan. Kesalahan ini dianggap sebagai ghasab (merampas harta
orang lain).[14]
3.0.2 Peruntukan
Enakmen Majlis Agama Islam Negeri (MAIN)
MAIN sebagai Pemegang Amanah kepada harta wakaf yang berada di bawah
kawalannya berhak menghalang mana-mana individu atau pihak yang melanggar
perintah MAIN. Setelah MAIN diperbadankan dan berkuat kuasa undang-undang yang
diperuntukan oleh Majlis, maka semua harta wakaf yang berada di dalam negeri berkenaan
hendaklah diurus dan ditadbir oleh MAIN. Peruntukan undang-undang dalam enakmen
negeri masing-masing, telah memperkukuhkan lagi kuasa MAIN sebagai Pemegang
Amanah Tunggal bagi kesemua harta wakaf. Dengan adanya peruntukan ini juga
bermakna semua harta wakaf mestilah didaftar di bawah MAIN. Justeru, segala
harta takalih yang terletak di negeri
tersebut sebaik sahaja didaftarkan di Pejabat Tanah, dengan sendirinya terletak
hak di bawah Majlis tanpa apa-apa pemindahan, penyerahan, urus niaga kecuali
setelah mendapat kebenaran bertulis daripada MAIN secara sah mengikut
undang-undang. Sebarang pertikaian, pencerobohan ke atas tanah wakaf adalah
menjadi hak kepada MAIN untuk mengambil tindakan yang sewajarnya.
Perkara berkaitan hukuman, jenis-jenis hukuman dan penalti berkaitan harta
wakaf juga diperuntukan di peringkat negeri. Setiap negeri telah memperuntukkan
tentang kesalahan menceroboh atau mengambil hasil wakaf di dalam enakmen negeri
masing-masing. Sekiranya mana-mana pihak atau individu yang telah disabitkan
kesalahan jenayah dia boleh dijatuhkan hukuman sebagaimana yang diperuntukkan
dalam enakmen berkenaan. Namun demikian, hukuman atau penalti ini berbeza
antara negeri-negeri di Malaysia Majlis Agama Islam Terengganu melalui Enakmen
Pentadbiran Hukum Syarak kesalahan bagi mereka yang mencerobih harta wakaf
boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM3000, atau penjara tidak
melebihi satu tahun atau kedua-duanya.[15]
Di negeri Johor, kesalahan yang sama boleh dijatuhi hukuman tidak melebihi
RM1000 atau penjara tidak melebihi 6 bulan atau kedua-duanya sekali. Antara
hukuman dan denda yang paling tinggi dikenakan bagi mereka yang melakukan
kesalahan jenayah ke atas harta wakaf iaitu sebanyak RM5000 dan penjara tidak
melebihi 1 tahun atau kedua-duanya sekali adalah diperuntukan dalam Enakmen
Kesalahan Jenayah di Negeri Sembilan, Melaka dan Sarawak.[16]
Di Pulau Pinang, bagi memelihara kepentingan harta wakaf, peruntukan denda
tidak melebihi RM5000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya
sekali boleh dikenakan ke atas mereka yang melakukan pencerobohan, pendudukan,
pengusahaan di atas tanah wakaf tanpa kebenaran majlis. Manakala bangunan yang
didirikan seseorang tanpa izin pula boleh dirubuhkan oleh majlis dengan kos
ditanggung oleh orang tersebut. Enakmen MAIK 1994 juga jelas memperuntukkan
denda tidak melebihi dua ribu ringgit atau penjara tidak melebihi dua bulan
atau kedua-duanya sekali berdasarkan Sekyen 111 yang mengatakan:
“seseorang yang mencerobohi, menduduki, mengguna atau
menikmati mana-mana harta wakaf atau lain-lain harta amanah di bawah jagaan
Majlis tanpa kebenaran bertulis daripada Yang Dipertua adalah bersalah atas
suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, dikenakan denda tidak melebihi
dua ribu ringgit atau penjara tidak melebihi dua bulan atau kedua-duanya”.
4.0 Prosedur Undang-undang Ke Atas Penceroboh Tanah Wakaf
Di dalam Manual Pengurusan
Tanah Wakaf, terdapat garis panduan yang boleh digunapakai oleh MAIN dalam
menangani aktiviti pencerobohan ke atas tanah wakaf milik mereka. Antaranya
ialah pengurus wakaf hendaklah mendapatkan maklumat berkaitan pencerobohan
seperti penempatan haram, penerokaan tanah secara haram, mengeluarkan tanah,
bahan batuan atau apa-apa galian tanpa sah dan lain-lain aktviti pencerobohan,
lokasi kedudukan tanah dan pemilikan tanah tersebut. Setelah itu pemantauan
perlu dilakukan dan siasatan hendaklah dijalankan setelah mendapat maklumat
yang telah diberikan. Kerjasama daripada pihak polis perlu diadakan untuk
membuat siasatan dalaman MAIN . Pihak MAIN juga
perlu membuat tindakan susulan dengan menyediakan laporan kepada jawatankuasa
wakaf MAIN untuk mendapatkan pandangan dan tindakan selanjutnya. Notis
panggilan perlu dihantar kepada penceroboh untuk hadir ke pejabat MAIN untuk
mencari jalan penyelesaian dan rundingan antara kedua-dua belah pihak.
Sekiranya kedua-dua belah pihak bersetuju dengan cadangan yang dikemukakan oleh
pihak MAIN, pengurus wakaf hendaklah
menyediakan surat
perjanjian persetujuan dan ditandatangani oleh pihak yang terbabit. Sekiranya
berlaku keingkaran terhadap dokumen perjanjian, pengurus wakaf hendaklah
membuat laporan polis dan tindakan mahkamah akan diambil.[17]
Jika berlaku sebarang aduan daripada orang ramai tindakan
pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang hendaklah diambil. Pengurus wakaf
hendaklah menerima dan merekod aduan dalam borang aduan pelanggan. Semakan juga
perlu dibuat untuk memastikan hak milikan MAIN dan siasatan ke lokasi hartanah
tersebut dijalankan. Dengan ini pengurus wakaf dapat menentukan jenis
kesalahan. Laporan polis dan laporan siasatan hendaklah diserahkan kepada pihak
pengurusan untuk mengambil tindakan. Pada masa yang sama notis kepada pihak
yang melakukan kesalahan hendaklah dihantar sama ada dihentikan, diremedikan,
atau menyerahkan milikan kosong hartanah kepada MAIN .
Jika tindakan notis tersebut tidak dipatuhi tindakan selanjutnya hendaklah
diambil dengan membuat laporan polis dan pejabat tanah di bawah seksyen 425(2)
KTN serta mengarahkan panel peguam untuk mengambil tindakan.
5.0 Kes-kes Pencerobohan Ke atas Tanah Wakaf
di Malaysia
Terdapat beberapa contoh kajian kes berkaitan pencerobohan
ke atas tanah wakaf di Malaysia .
Di negeri Kelantan Majlis Agama Islam Kelantan lawan Haji Muhammad
Bin Yusoff.[18]
Plaintif telah membuat dakwaan di Mahkamah Seksyen Kota Bharu bahawa Defendan
telah menceroboh tanah wakaf al-Marhum Raja Dewa di Lot 13, Seksyen 6 bandar
Kota Bharu dan memohon mahkamah mengeluarkan perintah untuk mendapat balik
milikan kosong yang diduduki oleh Defendan dan relif lain yang difikirkan
bermanfaat oleh Mahkamah. Tanah Lot 13, hanya diberikan keizinan tapak
sementara kepada bapa Defendan dan kebenaran untuk menduduki tanah tersebut
oleh plaintif telah luput dan terbatal dengan kematian bapa Defendan.
Berdasarkan kepada peruntukan Enakmen MAIK 1994, sebarang tuntutan ke atas tanah Lot 13,
mestilah dipohon terlebih daripada Plaintif kerana Plaintif adalah pemilik
berdaftar bagi tanah tersebut dan bapa Defendan tidak mempunyai hak atau kuasa
untuk memberi kebenaran mendudukinya. Maka dalam kes ini Plaintif menganggap
segala pembinaan dan kos pembiayaan oleh Defendan selama tempoh tersebut tidak
akan ditanggung oleh Plaintif, dengan alasan Defendan telah menduduki tanah
tersebut secara haram dan dikategorikan sebagai kes mencerobohi tanah wakaf.
Di negeri Melaka
juga berlaku pencerobohan ke atas tanah wakaf di Lot 76 dan 82 Mukim Tengkera telah
digunakan oleh pemaju pangsapuri tanpa kebenaran MAIM dan telah melanggar
perjanjian yang telah dibuat bersama MAIM. Berdasarkan kepada perjanjian asal,
tanah ini hanya digunakan untuk digunakan sebagai jalan masuk sementara sahaja
sehingga tempoh tertentu. Namun demikian, pihak pemaju telah menggunakannya
secara kekal. Manakala Lot 82 telah dibina tangki gubahan najis oleh pemaju
bagi kegunaan penghuni pangsapuri tersebut. Begitu juga di Lot 245 Mukim Bukit
Piatu yang diwakafkan untuk tapak pembinaan surau telah dijadikan sebagai jalan
masuk ke Taman Setiakawan.[19]
Kes yang sama juga berlaku di negeri Terengganu. Di dalam
kes ini[20]
Encik Wahab bin Hassan
(Defenden) telah membuat tuntutan kepada MAIDAM (Plantif) sebanyak RM5,040.00
dengan alasan beliau telah menanam pokok-pokok duku dan pokok pisang yang
ditebang bagi laluan High-Tension LLN atas tanah wakaf Lot 1300 Mukim Serada.
Tanah ini adalah wakaf al-Marhum Baginda seluas 1.287 ekar yang diserahkan
kepada MAIDAM untuk menjadi pemegang
amanah. Tanah ini pada asalnya telah diberi sewa oleh bapanya atas arahan Hj
Da, Bekas Setiausaha Pejabat Agama, sejak tahun 1968-1984 dengan kadar sewa
RM10.00 setahun. Kemudian tanah ini disewa pula oleh En. Wahab bin Hassan atas
dasar menyewa tanah dusun, tanpa melalui sebarang surat perjanjian. Di atas
tanah ini terdapat 3 buah rumah kepunyaan En. Wahab bin Hassan, anak
/menantunya dan ibunya. Pembinaan rumah ini tidak mendapat kelulusan bertulis
daripada MAIDAM.
Di negeri
Johor, MAIJ tidak mempunyai perancangan yang teratur dalam pengurusan dan
membangunkan tanah wakaf. Data tanah wakaf yang tidak kemas kini dan pemantauan
yang lemah menyebabkan berlakunya pencerobohan tanah wakaf. Antaranya di Lot
138, Lot 1839 dan Lot 154 yang telah diwartakan semenjak tahun 1949 yang telah
didirikan dengan sebuah rumah kediaman, kedai 2 tingkat dan sebuah gerai
makanan. Pencerobohan ini mula dikesan semenjak tahun 1995. Begitu juga di
Tanah Wakaf Surau Taman Pelangi terletak di Lot 18718 Mukim Plentong Johor
Bahru dan mempunyai keluasan 0.29 hektar, yang telah dibina sebuah gelanggang
bulu tangkis dan sepak takraw dan beberapa gerai makanan. Selain itu tanah
rezab kubur Kampung Sri Jasa Mukim 18 Batu Pahat telah digunakan sebagai
perusahaan nursery. Pencerobohan juga berlaku ke atas wakaf Sekolah Agama, PTB
17458, Bandar Baru UDA yang dibina sebuah rumah banglo. Selain itu, sebahagian
kawasan lapang dengan keluasan 36m X 62m telah disewakan kepada sebuah syarikat
pengedar kereta nasional sebagai tempat penyimpanan stok kenderaan yang belum
dijual. Perjanjian penyewaan dimeterai antara syarikat dengan Pengetua Sekolah
dengan kadar sewa sebanyak RM2,500 sebulan tanpa pengetahuan Majlis dan hasil
penyewaan kawasan berkenaan tidak diserahkan kepada Majlis. Di satu kawasan
yang lain di atas tanah wakaf tersebut ada sebuah bangunan kantin yang
disewakan kepada seorang pengusaha kantin. Temu bual dengan pihak pengusaha
kantin mendapati kadar sewa yang dikenakan berjumlah RM500 sebulan dan dibayar
kepada anak Pengetua Sekolah Agama.[21]
6.0 Pencerobohan dan Penyalahgunaan Manfaat
Wakaf
Selain
pencerobohan ke atas aset wakaf, penyalahgunaan hasil wakaf juga berlaku.
Antaranya ialah bayaran sewa tanah wakaf tidak dibayar oleh penyewa dan mereka
hanya menikmati manfaat wakaf sahaja. Justeru, berlaku tunggakan sewa yang
begitu tinggi dan MAIN terpaksa menanggung kerugian hasil daripada tindakan
penyalahgunaan hasil atau manfaat wakaf ini. MAIN juga menghadapi masalah
dengan penyewa yang enggan menerima skim baru tarif wakaf. Fenomena ini
dianggap menyalahgunakan manfaat wakaf untuk kepentingan diri.
Di negeri
Kelantan, MAIK berhadapan dengan masalah tunggakan sewa yang belum dilangsaikan
sepenuhnya oleh penyewa. Pada tahun 1996 sejumlah RM 100,335.00 yang tertunggak. Pada tahun 1997 pula
jumlah tertunggak meningkat sebanyak RM 115,004.00 dan jumlah ini semakin
meningkat pada tahun 1998 iaitu sebanyak RM 181, 390.00. Jumlah tunggakan ini
dianggarkan semakin meningkat dari setahun ke setahun. Pada tahun 1999 Majlis terpaksa menanggung
tunggakan sewa tak berbayar sebanyak RM 133,663.70. Pada tahun 2000
terdapat sejumlah kira-kira RM 158,332.82. Jumlah tunggakan tertinggi ialah di Lot 284, Mukim Badang yang mempunyai penghuni seramai 269
orang yang melibatkan tunggakan sejumlah RM 87,732.65. Seterusnya di Lot 401
Kedai Buluh Badang yang mempunyai jumlah 49 orang penghuni, jumlah yang
tertunggak bernilai RM 21,260.00. Manakala di Lot 2080, 2081 dan Lot 2082
melibatkan tunggakan sebanyak RM 13,984.77 dengan bilangan penghuni seramai 50
orang. Terdapat juga mereka menyewa
kepada pihak lain. Hasil tinjauan didapati 14 buah rumah kediaman/ kedai di Lot 2080 telah diberi sewa kepada orang lain.[22]
7.0 Isu-Isu Berbangkit dalam Kes Pencerobohan Tanah Wakaf
7.0.1 Menambah Keluasan Tanah Wakaf
Selain itu terdapat juga isu pencerobohan
tanah wakaf dengan menambahkan keluasan tanah wakaf tanpa mendapat keizinan
daripada MAIN . Sebagai contoh di negeri
Kelantan, MAIK telah mengenal pasti lokasi dan keluasan tanah wakaf yang
didiami oleh setiap penyewa dengan melantik seorang Pegawai Penempatan untuk
mengukur keluasan tanah seperti yang ditetapkan oleh MAIK dengan kadar harga
RM80.00 bagi 1600 kaki persegi. MAIK hanya menaikkan kadar sewa selaras dengan
keluasan yang diduduki berdasarkan kadar yang ditetapkan. Sebelum ini MAIK
tidak mempunyai Pegawai Penempatan, oleh itu para penyewa sengaja meluaskan
tanah yang diduduki oleh mereka sekarang dengan sesuka hati dan keluasan
sebenar tidak dapat dipastikan oleh
pihak MAIK secara tepat.[23]
Keadaan yang sama berlaku di negeri-negeri yang lain di Malaysia.
Jadual 4: Perbandingan
Kadar Sewa Sebelum dan Selepas Pengukuran
BIL
|
NO/FAIL
|
KADAR SEWA SEBULAN
(SBL) (RM)
|
KADAR SEWA
SEBULAN
(SLP) (RM)
|
JUMLAH PERBEZAAN
(RM)
|
1
|
419/1960/53
|
63.00
|
212.50
|
149.50
|
2
|
419/1960/62
|
63.00
|
50.25
|
12.75
|
3
|
419/1960/76
|
63.00
|
251.00
|
188.00
|
4
|
419/1960/72
|
63.00
|
80.91
|
17.91
|
5
|
224/1970/1
|
13.00
|
261.40
|
248.40
|
6
|
71/1973/8
|
60.00
|
236.00
|
176.00
|
7
|
419/1960/85
|
63.00
|
112.00
|
49.00
|
8
|
71/1973/81
|
60.00
|
282.70
|
222.70
|
9
|
71/1973/223
|
60.00
|
301.00
|
241.00
|
10
|
71/1973/71
|
60.00
|
167.00
|
107.00
|
11
|
71/1973/5
|
60.00
|
76.30
|
16.30
|
12
|
419/1960/59
|
63.00
|
396.70
|
333.70
|
13
|
419/1960/89
|
63.00
|
208.00
|
145.00
|
14
|
419/1960/66
|
63.00
|
182.35
|
119.35
|
15
|
71/1973/18
|
60.00
|
267.25
|
207.25
|
Sumber: Unit Baitumal dan Wakaf MAIK
7.0.2 Penjualan Tanah Wakaf
Kedapatan juga tanah wakaf yang
dijual oleh anak-anak penyewa asal kepada pihak ketiga tanpa menukar nama
pemilik dan di luar pengetahuan MAIK dengan harga yang tinggi. Pihak pertama
(penyewa asal) yang mendiami tanah tersebut telah lama meninggal dunia dan
diwarisi oleh waris atau isteri atau anak. Ada
juga tanah wakaf yang dijual dan ditukar nama secara sah walaupun tiada surat perjanjian.
Kebanyakan pembelinya adalah penghuni di kawasan yang sama yang terdiri
daripada golongan yang berkemampuan. Apa yang lebih malang , tanah tersebut dijual sedangkan
tunggakan hutang sewaan tak terbayar dengan MAIK masih banyak dan belum
dilunaskan lagi. Lantaran itu penyewa menjadi mangsa kerana dinaikkan harga
sewa bagi meraih keuntungan kepada pemilik yang baru. Pada dasarnya pemilik
asal hanya menjual rumah kediaman yang dibinanya sendiri di atas tanah wakaf,
namun melihat kepada nilai harga rumah tersebut ia termasuk juga nilai tanah
tapak kediaman. Tindakan ini secara tidak langsung menyukarkan pihak MAIK untuk
mengenali penyewa asal yang berhak membayar hutang yang tertunggak. Maka adalah
tidak adil sekiranya faedah yang diperoleh daripada harta wakaf hanya berlegar
kepada golongan tertentu sahaja.
7.0.3 Tanah Wakaf dijadikan Pesaka
Isu tanah wakaf dijadikan harta
pesaka juga berlaku dan menjadi telah banyak dibincangkan. Tanah wakaf telah
diwarisi sama ada oleh isteri, anak-anak, cucu,
atau keluarga mereka dan akhirnya harta tersebut menjadi milikan kekal
atau dipesakai. Di negeri Kelantan kedapatan juga tanah wakaf yang dijual oleh
anak-anak penyewa asal kepada pihak ketiga tanpa menukar nama pemilik dan di
luar pengetahuan MAIK dengan harga yang tinggi. Pihak pertama (penyewa asal)
yang mendiami tanah tersebut telah lama meninggal dunia dan diwarisi oleh waris
atau isteri atau anak. Ada juga tanah wakaf yang
dijual dan ditukar nama secara sah walaupun tiada surat perjanjian. Kebanyakan pembelinya
adalah penghuni di kawasan yang sama yang terdiri daripada golongan yang
berkemampuan. Apa yang lebih malang ,
tanah tersebut dijual sedangkan tunggakan hutang sewaan tak terbayar dengan
MAIK masih banyak dan belum dilunaskan lagi. Lantaran itu penyewa menjadi
mangsa kerana dinaikkan harga sewa bagi meraih keuntungan kepada pemilik yang
baru. Pada dasarnya pemilik asal hanya menjual rumah kediaman yang dibinanya
sendiri di atas tanah wakaf, namun melihat kepada nilai harga rumah tersebut ia
termasuk juga nilai tanah tapak kediaman.
Tindakan ini secara tidak
langsung menyukarkan pihak MAIK untuk mengenali penyewa asal yang berhak
membayar hutang yang tertunggak. Maka adalah tidak adil sekiranya faedah yang
diperoleh daripada harta wakaf hanya berlegar kepada golongan tertentu sahaja.
Keadaan ini langsung bertentangan dengan hukum syarak dan niat pewakaf. Tindakan
yang tidak bermoral ini tidak akan memberi manfaat kepada pembangunan umat
Islam. Melalui temubual dengan beberapa orang penghuni yang tinggal di tanah
wakaf jelas menunjukkan pemahaman dan pengetahuan umat Islam tentang
kepentingan pembangunan tanah Wakaf amat terbatas. Mereka cukup bimbang
sekiranya penempatan dan kepentingan mereka selama ini diganggu gugat,
sekiranya diambil alih oleh MAIK bagi tujuan projek pembangunan. Mereka belum
menyedari bahawa pembangunan wakaf dapat membantu proses pembangunan ekonomi
umat Islam seluruhnya.
Jadual
4: Tanah Wakaf dijadikan Pesaka
BIL
|
NO.
|
NO.
RUMAH
|
HUBUNGAN
|
1
|
2080
|
52
|
Anak
|
2
|
2080
|
68
|
Anak
|
3
|
2080
|
69
|
Keluarga
|
4
|
2080
|
53
|
Anak
|
5
|
284
|
4
|
Adik
beradik
|
6
|
284
|
11
|
Cucu
|
7
|
284
|
8
|
Cucu
|
8
|
284
|
15
|
Anak
|
9
|
284
|
22
|
Anak
|
10
|
284
|
30
|
Keluarga
|
11
|
284
|
32
|
Anak
|
12
|
284
|
44
|
Ibu
Mertua
|
7.0.4 Pendaftaran Tanah Wakaf
Dalam kes pembahagian wang pampasan oleh PBN bagi tanah
wakaf yang terlibat dengan pengambilan tanah bagi tujuan pembangunan, terdapat
juga kes-kes perebutan wang yang berlaku antara pihak-pihak yang berkepentingan disebabkan oleh tanah wakaf
yang tidak didaftarkan kepada MAIN. Kes sedemikian juga dianggap menceroboh tanah wakaf
dengan membuat pengakuan hak milik tanah. Keadaan ini berlaku kerana pihak
kerajaan telah membayar pampasan kepada pewakaf atau ahli waris yang dianggap
sebagai pemilik yang sah. Sebagai contoh di negeri Kedah, sebahagian Lot tanah
wakaf 11609 SPK 5134[24]
milik Allahyarham Haji Ibrahim Bin Tahir yang diwakafkan pada 14 Oktober 1986
telah terlibat dengan pengambilan tanah oleh kerajaan untuk tujuan pembesaran
jalan Pekan Gurun ke Pekan Sik. Pihak Pentadbiran MAIK mendapati anak
pewakaf iaitu Tuan Hj. Mustaffa bin
Ibrahim telah menerima wang pampasan berjumlah RM42,607.10 kerana beliau adalah
pemilik yang sah berdasarkan dokumen hak milik. MAIK membuat permohonan kepada
anak pewakaf supaya wang pampasan yang diterima itu hendaklah diserahkan kepada
MAIK untuk membeli tanah lain sebagai ganti yang mempunyai nilaian yang sama
atau lebih baik daripada itu. Anak kepada pewakaf tersebut iaitu Tuan Hj.
Mustaffa telah bersetuju menyerahkan kembali wang pampasan kepada MAIK untuk
diuruskan secara lebih sistematik.
Selain kes di atas, terdapat juga kes tanah wakaf jenis
tapak surau di Sungai Petani[25]
yang tidak didaftar di atas nama MAIK dan tanah tersebut telah terlibat dengan
pengambilan oleh kerajaan. Ahli waris adalah pihak berkepentingan yang layak
untuk menerima wang pampasan sebanyak RM8,000.00 kerana nama MAIK tidak terdapat
dalam dokumen hak milik tanah tersebut. MAIK telah membuat bantahan kepada ahli
waris pewakaf dan mengadakan rundingan dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) agar
wang pampasan tidak diserahkan kepada ahli waris. MAIK mencadangkan kepada JKR
supaya beberapa alternatif diambil sama ada JKR tidak menyerahkan wang pampasan
kepada ahli waris, sebaliknya menggantikan tanah lain dengan cara pembelian
tanah milik di kawasan yang berhampiran surau berkenaan. Pihak JKR juga
bersetuju tidak akan merobohkan surau selagi tidak diganti dengan surau yang
lain. Jika diserahkan wang pampasan kepada ahli waris, mereka hendaklah
menyerahkan kembali kepada MAIK untuk diuruskan oleh badan ini, atau mereka
sendiri hendaklah menguruskan penggantian tanah lain dengan wang pampasan yang
diberikan kepada mereka.
Di Melaka kes perebutan hak milik juga berlaku di tanah wakaf Lot 586 Mukim
Duyung, Daerah Melaka Tengah. Pertikaian
ini berlaku antara ahli waris dengan Ahli Jawatankuasa Surau Jambatan Duyung
yang berbeza fahaman politik telah menuntut wang pampasan agar dibayar kepada
mereka. Menurut Pengerusi Surau Jambatan Duyung, tanah tersebut telah
diwakafkan secara lisan tetapi tidak menjalani proses pendaftaran hak milik
kepada MAIM. Menurut AJK surau Jambatan Duyung lagi, pembinaan surau di atas
tanah tersebut telahpun mendapat keizinan dan kebenaran daripada pemilik asal
tanah untuk kegunaan surau. Ahli waris telah menafikan bahawa tanah itu telah
didaftarkan sebagai tanah wakaf. Menurut penama di dalam geran tersebut Hussein
Doss bin Mohamad dan Jawiah bt Mat, tanah Lot 586 Mukim Duyung adalah tanah hak
milik persendirian. Ahli waris juga telah membantah pelantikan ahli
jawatankuasa surau dan tidak pernah mengiktiraf penubuhan ahli jawatankuasa
tersebut. Tanah ini kemudiannya telah dijual kepada orang lain tanpa
dimaklumkan terlebih dahulu kepada ahli jawatankuasa surau, termasuk juga tapak
surau yang berada di atas tanah yang sama. Manakala tuan tanah yang baru
bersetuju untuk mewakafkan sebahagian tanah ini untuk pembinaan surau lain.
Ahli waris memohon kepada MAIM supaya menolak sebarang tuntutan daripada
mana-mana pihak lain yang dianggap sebagai tidak berasas. Ahli waris turut
menjelaskan bahawa beliau tidak pernah melantik
mana-mana ahli jawatankuasa bagi mentadbir surau tersebut. Pada dasarnya, ahli waris
yang membangkang keputusan ahli jawatankuasa surau tersebut bukanlah berhasrat
untuk mendapatkan wang pampasan tersebut tetapi ingin menguruskan surau
berkenaan secara bersendirian. Apa yang difahamkan ahli waris ingin mendapatkan
wang pampasan tersebut untuk membeli tanah lain dan menggantikan surau yang
telah dirobohkan. Ahli Jawatankuasa Surau pula tidak memaklumkan terlebih
dahulu kepada MAIM untuk mendapat tindakan yang selanjutnya iaitu mendapatkan
pengesahan tentang status atau kedudukan tanah yang belum ditukar hak milik.
7.0.4 Pendudukan
Haram di atas Tanah Wakaf
7.0.5 Kekurangan
Kakitangan MAIN
8.0 Saranan
dan Cadangan Penyelesaian
Di negeri Kelantan MAIK antara cadangan yang telah dibuat ialah dengan mengadakan
perbincangan dengan panel undang-undang MAIK dan beberapa
alternatif telah diambil antaranya
ialah:[27]
a)
Bagi merancang projek pembangunan notis akan
dikeluarkan untuk merampas kembali tanah wakaf yang telah didiami oleh
penghuni;
b)
Pendaftaran
semula nama penghuni atau penyewa tanpa mengambil kira kepentingan tuan punya
rumah, walaupun mereka telah membayar hasil tanah kepada MAIK;
c)
Tindakan
undang-undang perlu diambil kepada penyewa yang mengaut keuntungan dengan
memberi sewa kepada orang lain;
d)
Penyewa
asal dipertanggung jawab sepenuhnya menghalau pihak ketiga (penyewa lain) dalam
tempoh tertentu dan tindakan undang-undang akan diambil terhadap pihak ketiga.
Walaupun langkah-langkah ini telah diambil dan cuba untuk diaplikasikan,
namun MAIK masih lagi meragui keberuntungan tindakan undang-undang untuk
memfailkan saman di mahkamah bagi mana-mana pihak yang menceroboh tanah
wakaf dan yang tidak menjelaskan
penyewaan premis. Ini berikutan, implikasi daripada susulan tindakan ini MAIK
terpaksa menanggung kos pembiayaan guaman yang tinggi dan penyelesaiannya
memakan masa yang panjang. Bagi kes saman penyewa yang tidak menjelaskan
tunggakan sewa pula, kos perbicaraan di mahkamah lebih tinggi berbanding jumlah
tunggakan yang bakal diperoleh oleh MAIK. Sekiranya MAIK bercadang untuk
membangunkan kawasan tersebut, akan timbul isu tuntutan pampasan daripada
mereka yang terlibat, dengan alasan bahawa mereka telah mengusahakan tanah tersebut
sejak berpuluh-puluh tahun dan tanah tersebut pada mulanya dipenuhi dengan
hutan dan semak samun dan berkeadaan terbiar. Akibatnya mereka enggan berpindah
kecuali setelah mendapat imbuhan daripada MAIK berupa wang pampasan. Sebagai
contoh di Lot 2134 Mukim Panchor Kemumin terdapat 9 buah rumah yang didirikan secara haram
meliputi kawasan seluas 4 ekar. Penghuni di atas tanah ini belum pernah
mendaftar secara sah dengan pihak MAIK dan tawaran sewaan belum pernah dibuat
walaupun ada yang menduduki tanah tersebut sejak tahun 1960 an lagi.
Inilah permasahan utama yang dihadapi oleh MAIK terhadap pencerobohan haram
ke atas tanah wakaf MAIK, terutamanya
tanah wakaf yang berada di sekitar bandar Kota Bharu. Keadaan ini akan
berterusan sekiranya tidak ada langkah pencegahan dan tindakan undang-undang
dibendung bermula daripada sekarang. Isu pencerobohan haram (Ghasab) atau pendudukan
setinggan adalah menjadi masalah yang mesti ditangani secara bijak dengan
mengambil kira kesejahteraan yang bakal dinikmati bersama-sama oleh penduduk
setinggan agar mereka tidak teraniaya dan tidak menimbulkan sebarang fitnah
yang boleh memburukkan nama MAIK sebagai badan yang menjaga hak kebajikan orang
Islam.
Bagi menangani isu kependudukan haram, beberapa alternatif boleh diambil oleh MAIN, antara langkah
awalnya ialah melalui konsep istibdal[28] yang telah dibincangkan sebelum ini.
Konsep ini boleh diaplikasikan melalui penjualan tanah wakaf yang telah didiami
sekian lama oleh penghuni. MAIN perlu mengesyorkan kepada penghuni yang tinggal
di atas tanah wakaf agar mereka membeli tanah tapak kediaman masing-masing,
terutama bagi kediaman atau bangunan kekal yang didudukinya sekian lama. Bagi
golongan yang tidak berkemampuan, mereka boleh menjelaskan bayaran tersebut
secara bulanan atau ansuran.
Isu pendaftaran tanah wakaf tidak boleh dipandang remeh oleh MAIN. Ini
kerana sistem torrens yang diamalkan di Malaysia bahawa hak milik seseorang
yang tidak boleh disangkal adalah merujuk kepada tuan tanah yang didaftarkan
nama mereka di dalam dokumen pendaftaran. Pendaftaran tanah wakaf sama ada
wakaf Khas, Am dan Zuriat hendaklah dilakukan dengan tindakan segera. Kesan
pendaftaran ini MAIN akan berhadapan dengan tuntutan dan pertikaian daripada ahli
waris pewakaf. Daripada
beberapa kes yang dikemukakan berkaitan isu perebutan tanah antara MAIN dengan
ahli warisi didapati kebanyakannya adalah disebabkan oleh masalah pendaftaran
tanah wakaf Di negeri Kedah, Jabatan Mufti mengakui bahawa adalah menjadi satu
kesilapan kepada MAIK kerana tidak membuat penyemakan dan pendaftaran
tanah-tanah wakaf masjid dan kubur di Pejabat Tanah apabila berlaku pertikaian
hak milik.[29]
Pengkalan data
yang lengkap dan komprehensif mengenai tanah-tanah wakaf belum lagi terkumpul
dan tersusun. Dengan adanya inventori
wakaf ini secara tidak langsung MAIN dapat mengenalpasti taburan atau kedudukan
tanah-tanah wakaf yang berada dalam keadaan berselerak di seluruh daerah di
dalam negeri berkenaan. Data-data yang ada perlu direkodkan dan dilaporkan dalam bentuk yang mudah difahami untuk dikaji
dan dianalisis dari semasa ke semasa. Kajian dan penyelidikan semula serta
siasatan dari semasa ke semasa perlu dijalankan ke atas keseluruhan tanah wakaf
di bawah kawalan MAIN Perubahan dan pembaharuan dalam sistem data pengumpulan
harta wakaf mesti dilakukan sejajar dengan ledakan arus perkembangan dunia
teknologi maklumat berkomputer masa kini. Maklumat harta wakaf yang terkandung
dalam fail lama tidak sesuai lagi dijadikan sumber rujukan kerana ia
melengahkan usaha MAIN untuk meneliti setiap timbunan fail yang memakan masa
yang lama. Keseluruhan hartanah wakaf perlu dikemaskinikan di dalam sistem
pengisian maklumat berkomputer atau dikenali sebagai bank data sejak dari mula
pengambilan tanah dibuat oleh PBN. Segala maklumat butir-butir setiap kes perlu
jelas dari segi jenis wakaf, lokasi, bilangan lot, keluasan tanah dan lain-lain
maklumat yang diperlukan diisi dengan lengkap dan sempurna mengikut daerah.
Data-data yang telah dikemaskini berupaya memberikan gambaran yang jelas
tentang kedudukan semasa hartanah wakaf. Secara tidak langsung
maklumat-maklumat yang ada ini dapat membantu MAIN mengawal hartanah wakaf
mereka daripada dicerobohi.
Secara umumnya,
Baitumal tidak menyediakan Laporan Am Tanah bagi mengenal pasti status tanah.
Kegagalan menyediakan Laporan Am Tanah ini mengakibatkan Baitulmal tidak dapat
mengenal pasti status keadaan tanah. Keadaan ini menyebabkan kemungkinan besar tanah-tanah
tersebut dicerobohi dan Baitulmal tidak dapat memungut apa-apa hasil daripada hartanah
tersebut. Selain itu, tanpa mengetahui status tanah maka Baitulmal tidak dapat membuat
perancangan yang baik bagi membangunkan hartanah wakaf yang berpotensi.[30]
9.0 Kesimpulan
Tindakan pencerobohan tanah wakaf adalah bertentangan dengan hukum syarak
dan niat pewakaf itu sendiri. Tindakan yang tidak bermoral ini tidak akan
memberi manfaat kepada pembangunan umat Islam. Melalui temubual dengan beberapa
orang penghuni yang tinggal
di tanah wakaf jelas menunjukkan pemahaman dan pengetahuan umat Islam tentang
kepentingan pembangunan tanah Wakaf amat terbatas. Mereka cukup bimbang
sekiranya penempatan dan kepentingan mereka selama ini diganggu gugat,
sekiranya diambil alih oleh MAIN bagi tujuan projek pembangunan. Mereka belum
menyedari bahawa pembangunan wakaf dapat membantu proses pembangunan ekonomi
umat Islam seluruhnya. Justeru, langkah segera perlu diambil oleh pihak
berkuasa agar tindakan yang tidak bertanggungjawab ini dapat diatasi dan
manfaat wakaf dapat diberikan kepada mereka yang berhak serta dinikmati
sebagaimana yang diniatkan oleh pewakaf.
BIBLIOGRAFI
Ahmad Farraj Hussayn (1986), Al-Milkiyyah wa Nazariyyah al-‘Aqd fi al-Syari‘ah al-Islamiyyah, (t.t), Dar al-Jam‘iyyah
Abu Daud Sulayman b. Asyath (1988), Sunan Abi Dawud, jld.2 & 4, Kaherah:
Dar al-Rayyan.
Baharuddin Sayin (1998),
“Pentadbiran dan Pengurusan Harta Wakaf di Semenanjung Malaysia”, Jurnal Fikrah, Jld.1, Januari 1998,
Pusat Pendidikan Persediaan, Institut Teknologi MARA
Al-Bukhari, Abi ‘Abdillah Muhammad b. Isma‘il (1992), Sahih al-Bukhari, jld.4, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah
Ibn Qayyim al-Jawziyyah (1961), Al-Turuq al-Hukmiyyah fi al-Siyasah al-Syar‘iyyah, al-Mu’assasah
al-‘Arabiyyah li al-Tiba‘ah wa al-Nasyr
Laporan Ketua Audit
Negara Negeri Kedah Tahun 2007
Laporan Ketua
Audit Negara Negeri Johor Tahun 2003
Mahkamah Tinggi
Syariah Kuala Terengganu. Kes Mal. NO.41-005-1-999 Majlis Agama Islam dan Adat
Istiadat Melayu lwn. Wahab Bin Hassab
dan 4 lagi.
Mohd Afandi Mat Rani (2002), Undang-undang Pentadbiran Harta Wakaf di
Negeri Kelantan, Tesis Sarjana Syariah dan Undang-undang, Universiti Malaya:
Kuala Lumpur
Mohd Ridzuan Awang (2005), “Pencerobohan Tanah Kerajaan dan Pengambilan
Tanah Rakyat: Kajian Perbandingan Antara Undang-undang Islam dan Kanun Tanah
Negara 1965”, Jurnal KIAS,
bil.2, 2005/1426H
Mohd Zain Haji
Othman (1998), “Wakaf Dari Perspektif Undang-undang Islam, Amalan dan
Permasalahannya di Malaysia”, dalam Ahmad Ibrahim et al. (ed), Undang-undang
Keluarga dan Harta Wakaf, Al-Ahkam, cet.1. jld.6. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka
Mohd Shahiran Abdul Latif (2006), Pembangunan Tanah Wakaf di Negeri Melaka,
Tesis Ijazah Sarjana, Universiti Kebangsaan Malaysia: Bangi
Al-Wafi, ‘Ali ‘Abd al-Wahid (1979), Huquq al-Insan fi al-Islam, cet.5, Kaherah: Dar al-Nahdah
Rujukan Akhbar
Utusan Malaysia,
28/4/2009
Senarai Status
Akta Kanun Tanah
Negara 1965
Akta Pengambilan
Tanah 1960
Enakmen Majlis
Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (bil. 4 Tahun 1994)
Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam Terengganu
(bil.12 Tahun 1986)
Enakmen Jenayah Negeri Sembilan (bil.4/1992)
Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Melaka (Bil.6/1991)
Ordinan Kesalahan Jenayah Syariah Sarawak (Bil.6/1991), Seksyen 39.
Majallah
al-Ahkam
Manual Pengurusan
JAKIM
Senarai
Temubual
En. Ahmad Zaki
bin Ghazali, Pegawai Wakaf MAIK, Pada 22/11/2005, di Pejabat MAIK.
Yg. Bhg. Dato’
Paduka Syeikh Hazbullah B. Hj. Abdul Halim, Mufti Kerajan Negeri Kedah, pada
24/11/2005, di Pejabat Mufti Alor Star Kedah
[1]
Pensyarah, Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam (CITU), Universiti Teknologi
MARA, Shah Alam Selangor. Ph.D
[2] Utusan Malaysia ,
28/4/2009
[3] Al-Wafi, ‘Ali ‘Abd
al-Wahid (1979), Huquq al-Insan
fi al-Islam, cet.5, Kaherah: Dar
al-Nahdah, hlm.60.
[4] Ahmad
Farraj Hussayn (1986), Al-Milkiyyah wa Nazariyyah al-‘Aqd fi
al-Syari‘ah al-Islamiyyah, (t.t), Dar al-Jam‘iyyah, hlm.73.
[5] Ibn Qayyim
al-Jawziyyah (1961), Al-Turuq
al-Hukmiyyah fi al-Siyasah
al-Syar‘iyyah, al-Mu’assasah
al-‘Arabiyyah li al-Tiba‘ah wa al-Nasyr,
hlm.300.
[6] Al-Quran, Surah al-Baqarah
2:188
[7] Al-Bukhari, Abi
‘Abdillah Muhammad b. Isma‘il
(1992), Sahih al-Bukhari,
Hadith No.2401, jld.4, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah. Abu Daud
Sulayman b. Asyath (1988), Sunan Abi Dawud, jld.2 & 4, Kaherah: Dar
al-Rayyan.
[8] Lihat Majallah al-Ahkam, Perkara 1197
[9] Mohd Ridzuan Awang
(2005), “Pencerobohan Tanah Kerajaan dan Pengambilan Tanah Rakyat: Kajian
Perbandingan Antara Undang-undang Islam dan Kanun Tanah Negara 1965”, Jurnal KIAS, bil.2, 2005/1426H,
hlm.60
[10] Ibid.
[11] Baharuddin Sayin (1998), “Pentadbiran dan Pengurusan Harta Wakaf di
Semenanjung Malaysia”, Jurnal Fikrah,
Jld.1, Januari 1998, Pusat Pendidikan Persediaan, Institut Teknologi MARA,
hlm.94-98
[13] Ibid., Seksyen 425 (1) dan (1A).
[14] Mohd Afandi Mat Rani
(2002), Undang-undang Pentadbiran Harta Wakaf di Negeri Kelantan, Tesis Sarjana
Syariah dan Undang-undang, Universiti Malaya: Kuala Lumpur, hlm.185.
[15] Enakmen Terengganu (bil.12/1986), Seksyen
214
[16] Enakmen Jenayah Negeri Sembilan
(bil.4/1992), Seksyen 110, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Melaka
(Bil.6/1991), Seksyen 78, Ordinan Kesalahan Jenayah Syariah Sarawak
(Bil.6/1991), Seksyen 39.
[17] Manual Pengurusan JAKIM, hlm.49-50
[18] Rujuk fail kes tanah wakaf Lot 13 Seksyen
6 bandar Kota Bharu, Mahkamah Seksyen Kota Bharu saman No. 52-1280-98.
[19] Mohd Shahiran Abdul Latif (2006),
Pembangunan Tanah Wakaf di Negeri Melaka, Tesis Ijazah Sarjana, Universiti
Kebangsaan Malaysia: Bangi, hlm.
[20] Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu.
Kes Mal. NO.41-005-1-999 Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu lwn. Wahab Bin Hassab dan 4 lagi.
[21] Laporan Ketua Audit Wakaf Negeri
Johor Tahun 2003.
[22] Deretan kedai di Lot 174 kebanyakannya
adalah disewa kepada orang lain dan ada juga pihak yang tidak bertanggung jawab
menjual kepada pihak kedua. Kedudukannya
yang strategi berhampiran dengan pusat bandar Kota Bharu menjadi daya tarikan
orang ramai untuk meraih keuntungan yang berlipat ganda. Lihat Mohd Afandi Mat
Rani (2002), op. cit., hlm.171
[23] Mohd Afandi Mat Rani (2002), op. cit.,
hlm.97
[24]Temubual: En. Ahmad Zaki bin Ghazali,
Pegawai Wakaf MAIK, Pada 22/11/2005, di Pejabat MAIK.
[25] Ibid.
[26] Mohd Zain Haji Othman (1998), “Wakaf Dari
Perspektif Undang-undang Islam, Amalan dan Permasalahannya di Malaysia”, dalam
Ahmad Ibrahim et al. (ed), Undang-undang Keluarga dan Harta Wakaf, Al-Ahkam,
cet.1. jld.6. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm.193.
[27] Rujuk: Surat MAIK kepada Tetuan Azmi Tan
& Co. ruj. MUI
(KN)/347/161/Bhg.11/ (11), bertarikh 15 Julai 2001.
[28] Walaupun kaedah ini bertentangan dengan
mazhab Syafii yang menjadi rujukan utama kepada MAIK, namun ia boleh diguna
pakai jika tidak berlawanan dengan kepentingan awam. Lihat Enakmen MAIK 1994, Seksyen 37 dan 38.
[29] Temubual: Yg. Bhg. Dato’ Paduka Syeikh
Hazbullah B. Hj. Abdul Halim, Mufti Kerajan Negeri Kedah, pada 24/11/2005, di
Pejabat Mufti Alor Star Kedah.
[30] Laporan Audit Negara Negeri Kedah Tahun
2007.
0 ulasan:
Catat Ulasan