Ads 468x60px

Labels

Selasa, 14 Jun 2011

Dunia Berhajat Kepada Kepimpinan Allah Dan Rasulnya


Pendahuluan

Lahir dan munculnya seorang nabi akhir zaman adalah di saat manusia sangat-sangat memerlukan kepada tunjuk ajar dan bimbingan Allah yang disampaikan oleh Baginda. Apabila berleluasanya kejahatan, orang yang zalim disanjungi, pihak yang kuat menjadi raja, manakala rakyat yang lemah menjadi hamba. Pangkat, kuasa dan wang ringgit menjadi tuhan kepada manusia.  Kesesatan semakin jauh sehingga di luar batasan akal kemanusiaan. Golongan yang kaya bermewah dengan kekayaannya. Manakala yang miskin dipandang hina. Ditengah-tengah fenomena inilah lahirnya seorang nabi sebagai penyelamat ummah yang akan memimpin manusia untuk membezakan antara yang haq dengan yang batil, tauhid dengan syirik, salah dengan yang benar, halal dan haram dan sebagainya.

Dunia Yang Berhajat Kepada Petunjuk Rasul


Sebelum kedatangan nabi saw penduduk Semenanjung Tanah Arab menganut agama yang dibawa oleh nabi Ibrahim dan nabi Ismail as. Namun apabila berlalunya masanya dan makin jauh generasi demi generasi dengan ajaran nabi Ibrahim a.s. maka manusia makin jauh dengan agama dan menyeleweng sehingga dengan merekacipta peraturan hidup sendiri, syariat Allah tidak lagi diikuti sehingga membawa mereka kepada penyembahan berhala dan sesetengah menganggap berhala sebagai anak tuhan.
Selain itu negara Rome sebuah kuasa besar dunia pula pada asalnya adalah penganut agama nasrani, iaitu yang berasal daripada agama Tauhid nabi Isa as. mereka telah meminda ajaran-ajaran yang dibawa oleh nabi Isa as yang membawa kepada penyelewengan akidah yang amat dahsyat. Pelbagai fahaman dan teori telah lahir hasil daripada penolakan agama oleh ahli bijak pandai dan semua teori tersebut lebih menekankan keagungan manusia daripada faktor ketuhanan. Masyarakat Rome adalah adalah terpengaruh dengan masyarakat Yunani (Greek) merupakan masyarakat pertama dunia yang memisahkan agama dari kehidupan dunia. Tuhan tidak boleh campur tangan urusan politik dan harian Mereka bergantung sepenuhnya kepada pemikiran akal tanpa dibantu ajaran ketuhanan. Kepercayaan agama tidak mempunyai unsur-unsur spiritual tetapi bercorak fizikal, rasionalistik dan materalistik. Orang Rom terkenal dengan kekayaan ilmu pengetahuan dan melahirkan tokoh-tokoh seperti Socrates dan Plato.
Di samping negara Rome, terdapat juga sebuah lagi kuasa besar dunia iaitu negara Parsi yang dianggap paling maju dari sudut kebendaan dan melahirkan agama Majusi yang menyembah api. Pemerintah mereka dianggap sebagai tuhan yang mesti ditaati sebagai taatnya kepada tuhan. Darah-darah maharaja Parsi dipercayai telah mengalir darah-darah tuhan. Akhirnya masyarakat mereka tenggelam dalam arus jahiliyah sebagaimana umat yang terdahulu.
Di negeri China yang mempunyai ketamadunan yang hebat dan disegani, pengaruh agama Buddha Lotze dan Confutze telah dianuti oleh penduduknya. Mereka beribadat dengan memuja sesama makhluk juga mengalami keadaan yang sama. Sebagaimana juga India, memainkkan peranan yang cukup hebat sebagai penyumbang kepada kesesatan manusia dan keruntuhan akidah. Penduduknya menganut agama Hindu. Mereka memuja setiap perkara atau benda yang dianggap menarik, menyembah patung-patung pemimpin mereka sehinggalah kepada binatang yang tidak berakal. Pelbagai kepercayaan tahyul dan karut telah menjadi peraturan hidup yang menjauhkan mereka daripada tamadun kemanusiaan.

Pentas Menegakkan Kezaliman

Inilah sebahagian masyarakat yang hidup diambang kelahiran nabi saw. Dunia menjadi pentas menegakkan kezaliman. Peraturan rimba menjadi undang-undang untuk menguatkan kedudukan pemimpin dan menindas golongan yang lemah. Ajaran agama yang dibawa oleh para nabi terdahulu telah diseleweng dan dipinda mengikut nafsu dan selera mereka. Penjenayah menjadi hakim dan orang zalim menjadi kadi. Manusia berhadapan dengan krisis nilai akhlak yang amat dahsyat. Mereka adalah penjual-penjual agama dengan dunia, pangkat dan kedudukan. Rasuah menjadi tema kehidupan dan jauh untuk mengenali halal dan haram.

Kembali Ke Alam Jahiliyah

Islam yang bertapak di Makkah diterima dalam keadaan yang asing dan terpencil. Bilangan golongan yang menentang Islam mengatasi bilangan golongan yang menerima. Golongan yang menerima Islam terdiri daripada mereka yang miskin dan tidak berjawatan. Mereka yang tidak mempunyai apa kepentingan, apatah lagi untuk mencari pengaruh. Namun akhirnya dengan bimbingan, petunjuk dan ajaran Ilahi, Islam telah diterima sehingga berjaya membina empayar kegemilangan. Umat Islam pada awalnya telah muncul dalam sejarahnya sebagai umat yang teragung sebagai pemimpin dan penyelamat ummat sejagat. Mereka mampu membina kekuatan yang sangat luar biasa yang berjaya menghancurkan dua kuasa gergasi Rome dan Parsi. 
Namun setelah 1400 tahun Islam bertapak kukuh di bumi ini, kini Islam telah hilang daripada hati-hati umat Islam dan manusia seluruhnya. Asas kepada tamadun Barat. Manusia mula kembali kepada cara kehidupan masyarakat Yunani dan Rome yang memisahkan agama dari kehidupan dunia. Mereka bergantung sepenuhnya kepada pemikiran akal tanpa dibantu ajaran ketuhanan. Manusia yang berpegang kuat dengan nilai-nilai agama dipandang serong dan memelikkan. Sebaliknya orang yang melakukan kemungkaran dipandang tinggi, malah menjadi kebanggaan masyarakat. Inilah yang dijelaskan oleh nabi saw dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Muslim:

Ertinya: Islam mula tersebar dalam keadaan dagang (asing), dan ia akan kembali asing juga. Maka beruntunglah orang-orang yang asing.

Inilah juga yang dinyatakan oleh nabi saw bahawa di akhir zaman cabaran untuk berpegang kepada agama amat sukar. Ini disebabkan suasana di sekeliling mereka tidak membantu untuk menunaikan kewajipan agama. Apa yang ada disekeliling mereka adalah pendorong kepada maksiat dan perkara-perkara yang membawa kepada keruntuhan akidah, keimanan dan kefasiqan. Nabi saw bersabda:

يأتِي على النَّاس زَمَانٌ الصًّابِرُ فِيْهِمْ على دِيْنِهِ كَالقَابِضِ على الجَمْرِ

Ertinya: Akan datang kepada umatku suatu zaman di mana orang yang berpegang kepada agamanya laksana mengenggam bara api.
                                                                                           
(Hadis Riwayat Tirmizi)

Antara faktor umat manusia tenggelam dalam arus jahiliah ialah kerana mereka terlalu mementingkan urusan keduniaan demi keseronokan, kemewahan, ketamakan dan lain-lain. Maka mereka akan menerima nasib yang sama dengan umat yang terdahulu sebagaimana yang dijelaskan oleh hadis nabi saw bahawa Baginda bersabda:

سَمِعْتُ رَسُوْل الله (ص) يَقُول: سَيُصِيْبُ أُمَّتِي دَاءُ الأُمَمُ فقالوا: يَارَسُوْل الله وما دَاءُ الأُمَمُ؟ قال: الأَشَرُ والبَطَرُ والتَّكاثُرُ والتَّنَاجُشُ فى الدُّنْيَا والتَّبَاغَضُ والتَّحَاسُدُ حتّى يَكُوْنَ البَغْيُ

Ertinya: umatku akan ditimpa penyakit-penyakit yang tidak pernah menimpa umat-umat dahulu. Sahabat bertanya: Apakah penyakit-penyakit umat-umat terdahulu itu?. Penyakit-penyakit itu ialah terlalu banyak seronok, terlalu mewah, menghimpun harta sebanyak mungkin, tipu menipu dalam merebut harta benda dunia, saling memarahi, hasad menhasad sehingga zalim menzalimi”


Amalan-amalan hidup dan pegangan serta prinsip yang menjadi petunjuk hidup masyarakat Rom dan Yunani telah kembali menjadi pegangan hidup masyarakat kini. Peringkat awal tamadun dan masyarakat Rom tidak berasaskan kepada agama. Pada fahaman mereka tuhan tidak boleh campur tangan urusan politik dan harian. Jelas bahawa anasir-anasir yang mengheret bangsa-bangsa ini ke lembah kerosakan, kemunduran dan perpecahan ialah kemajuan dan tamadun yang berasaskan kepada material semata-mata. Antara prinsip tersebut ialah:
  1. Tertegak atas dasar kebendaan jauh daripada petunjuk wahyu
  2. Menolak segala yang bersifat tradisional termasuk kehidupan agama yang dianggap penghalang kemajuan
  3. Kecenderungan kepada nafsu yang tidak terbatas, rakus, tamak, seks bebas, berhibur dan berseronok tanpa batas sempadan atas nama hak peribadi
  4. Bersumberkan logik akal dan pemikiran manusia semata-mata.

Manakala Abu Hassan Ali an-Nadawi pula menjelaskan tentang ciri-ciri khusus peradaban Yunani. Antaranya ialah:
            1. Percaya kepada apa sahaja yang dapat dicapai oleh pancaindera.
2. Kurang rasa keagamaannya dan kecintaan melampau kepada                                               kehidupan duniawi
3. Fanatisme kebangsaan yang  melampau.


Kesimpulannya, masyarakat Islam perlu menyedari bahawa kini gerakan meruntuh dan memisahkan kaum muslimin daripada agamanya sedang giat dijalankan oleh pihak-pihak Barat, sama ada ia disedari atau tidak. Gerakan secara licik ini telah bermula sejak sekian lama terutamanya melalui sektor pendidikan. Ini jelas mengikut Snouck Hurgronje pendidikan dan pengajaran sanggup membebaskan kaum muslimin dari agamanya.






Ibn Khaldun: ”Apabila sesebuah tamadun telah berjaya dicapai oleh generasi yang jauh dan melupakan pengorbanan generasi pertama dan tenggelam dengan kemewahan, maka tamadun itu akan hancur”

Dunia pada asalnya adalah tidak berharga dan tidak bernilai. Namun apabila diutuskan para nabi dan Rasul membawa petunjuk dunia menjadi berharga sebab ia menjadi alat untuk mendapat keredhaan Allah. Sebagaimana emas apabila dipisahkan daripada batu-batan dan dilombong ia menjadi berharga”

Dato’ Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nikmat




0 ulasan:

Catat Ulasan