Ads 468x60px

Labels

Jumaat, 24 Jun 2011

Dimana Keadilan Undang-undang Islam


Pendahuluan
Selepas perang Dunia Kedua kebanyakan negara Islam telah mencapai kemerdekaan tetapi dalam perundangan ia masih mengamalkan konsep perundangan dari luar tanpa mengambil kira sama ada ia sesuai atau tidak dengan suasana masyarakat Islam dan ruh agama Islam itu sendiri.  Sedangkan system luar ini sudah tidak mampu untuk menangani masalah manusia dan memporak-perandakan hidup mereka. System ciptaan manusia ini menjauhkan manusia daripada ikatan agama yang bersifat mendidik dan mengawal kehendak nafsu manusia. Allah yang menciptakan manusia, maka Allah jua yang merekacipta cara untuk manusia hidup di dunia ini.

Tujuan dan Objektif Undang-undang Syariah


Perlaksanaan syariah ini adalah untuk mencapai objektif berikut:

1. Mematuhi hukum-hukum Allah yang terkandung dalam perintah dan larangan-Nya

2. Membebaskan diri daripada cengkaman undang-undang asing yang dipaksa oleh kuasa barat ke atas negara-negara jajahannya.

3. Membangun sistem perundangan Islam untuk membantu negara Islam dalam menggembleng tenaga bagi tujuan mencapai kebebasan hidup yang berasaskan prinsip-prisip Islam dalam persaudaraan, persamaan dan jaminan masyarakat
.

4. Menentukan garis panduan dan asas-asas kegiatan masyarakat berdasarkan ukuran syara’ dalam aspek keadilan dan sumbangan kepada masyarakat dalam berbagai aspek kehidupan untuk membangun tamadun umat dalam bidang ekonomi, politik dan sistem masyarakat.

Langkah-langkah Perlu diambil Untuk melaksanakan Undang-Undang Islam

Memandangkan Undang-undang Islam telah lama terpinggir dari arus perdana perundangan kerana angkara penjajah, maka langkah-langkah perlu diambil untuk mengembalikan semula undang-undang Islam supaya dapat dilaksanakan dalam masyarakat. Ada tiga perkara yang perlu diambil perhatian bagi tujuan melaksanakan undang-undang Islam.

1.Mewujudkan institusi kajian yang berautoriti

Memandangkan Undang-undang Islam ini telah lama terhenti perkembangannya dalam aspek perlaksanaannya, maka ia memerlukan kajian yang menyeluruh untuk menjadikan undang-undang Islam itu relevan dan dapat dilaksanakan dalam masyarakat masa kini. Untuk itu, satu kajian menyeluruh perlu dibuat terhadap Undang-undang Islam itu supaya melalu kajian itu dapat diambil asas-asas perundangan Islam yang dapat dilaksanakan dan sesuai dipakai oleh sesebuah negara kerana syariah Islam itu didapati ada terdapat perbezaan pandangan di kalangan fuqaha’ dalam isu-isu tertentu, terutamanya apabila sesebuah negara itu telah terikat dari sudut amalan masyarakatnya dengan madhhab fiqh tertentu.
Selain itu, kajian terhadap undang-undang yang diamalkan dalam masyarakat juga perlu dibuat untuk menentukan kedudukan undang-undang yang diamalkan itu adakah bercanggah dengan Islam atau tidak. Maka dengan kajian ini akan jelas kepada kita antara undang-undang yang tidak bercanggah dengan syaricah yang perlu dikekalkan dengan undang-undang yang bercanggah dengan syariah yang perlu dihapuskan.

2. Membina Kesedaran Masyarakat tentang Kepentingan Undang-undang Islam

Masyarakat yang telah leka hidup dengan undang-undang penjajah begitu lama perlu disedarkan mereka. Bagi menimbulkan kesedaran terhadap kepentingan Undang-undang Islam ini perlulah disalurkan melalui saluran-saluran rasmi dan tidak rasmi. Melalui saluran rasmi, aspek Undang-undang Islam itu perlu dimasukkan dalam kurikulum pendidikan terutama di peringkat menengah dan pengajian tinggi. Jika ini dapat dilakukan, maka sebahagian besar masyarakat akan dapat memahami Undang-undang Islam dengan betul dan merasa kepentingannya dalam hidup.

Selain daripada saluran rasmi, saluran tidak rasmi juga perlu digunakan untuk memberi kesedaran dan kefahaman terhadap Undang-undang Islam. Ia dapat disalurkan melalui media cetak dan elektronik seperti akhbar-akhbar, majalah-majalah, radio, televisyen, seminar-seminar, wacana-wacana ilmiah, khutbah Jumaat dan sebagainya. Dengan penyebaran demikian, masyarakat akan mengetahui tentang kandungan undang-undang Islam dan kepentingannya untuk kehidupan mereka.
 Semua pihak perlu berperanan daripada imam kepada makmum, daripada kerajaan kepada rakyat, daripada guru kepada pelajar hingga semua masyarakat memahami dan beriman dengan undang-undang dan peraturan Allah ini.

3. Menggubal Undang-undang Islam dalam Bentuk Akta dan Statut
Khazanah perundangan Islam amat banyak dalam kitab-kitab fiqh dari berbagai madhhab; Maliki, Hanafi, Shafici dan Hanbali. Bagi tujuan perlaksanaan mengambil masa yang lama untuk menyelesaikan sesuatu kes dengan merujuk kepada kitab-kitab fiqh yang berjilid-jilid tebalnya. Oleh itu, adalah lebih praktikal sekiranya Undang-undang Islam itu dapat digubal dalam bentuk kanun, yang kandungannya adalah berbentuk umum dalam bidang undang-undang tertentu. Dengan adanya undang-undang yang digubal ini memudahkan para pengamal undang-undang samada hakim, peguam atau pihak-pihak lain yang terlibat dapat merujuk kepadanya. Undang-undang yang digubal ini hendaklah menyeluruh dan meliputi perlembagaan, jenayah, sivil, prosedur, keterangan dan sebagainya.
Pelaksanaan Undang-undang Islam Satu Tuntutan
Perlaksanaan Undang-undang Islam adalah suatu tuntutan agama dan ia adalah sebagai satu ciri untuk kesempurnaan identiti negara Islam itu sendiri. Masyarakat Islam dalam sepanjang sejarahnya tidak pernah keluar daripada tuntutan melaksanakan syaricah, kecuali jika ada keadaan-keadaan tertentu yang memaksa mereka supaya mengurangkan perlaksanaan syaricah dalam bidang-bidang tertentu kerana dipaksa oleh kuasa penjajah. Pengalaman sejarah hitam ini tidak sepatutnya dijadikan penghalang untuk kembali kepada perlaksanaan Undang-undang Islam secara lebih lengkap. Sepatutnya, selepas negara Islam bebas daripada kuasa penjajah, langkah-langkah positif perlu diambil bagi mengembalikan semula Undang-undang Islam ke pangkuan umat. Untuk itu perlulah kepada penyediaan dan penggubalan undang-undang yang lengkap untuk mengambil alih undang-undang penjajah, dan membina kefahaman umat terhadap kepentingan Undang-undang Islam untuk kekuatan negara dan perpaduan umat, serta menyusun sistem pentadbiran kehakiman yang sesuai dengan keperluan undang-undang syariah.
Malaysia sebuah Negara Islam
Bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah mengatakan bahawa Malaysia sebagai sebuah negara Islam (Mingguan Malaysia 30 September 2001) dan semasa ucapan Seminar Kebangsaan “Memahami Malaysia sebagai sebuah Negara Islam” pada 17 September 2002. Pada pandangannya, Malaysia adalah negara Islam berasaskan kepada pendapat ramai daripada ulamak-ulamak zaman dahulu. Menurutnya, Malaysia diakui sebagai sebuah negara Islam dan berpegang kepada ahli Sunnah wa Jamaah. Jumlah yang besar daripada umat Islam di Malaysia dan seluruh dunia mengiktirafkan Malaysia sebagai sebuah negara Islam. Di samping itu, beliau mengatakan ajaran Islam berjalan dengan baik oleh pemerintahan Malaysia negara Islam. Di samping itu, beliau mengatakan ajaran Islam berjalan dengan baik oleh pemerintahan Malaysia .

Hukuman Islam Itu Terlebih Adil

Menurut al-Qaradhawi, syariat Islam telah memberikan berbagai-bagai contoh dan teladan yang ideal kepada kaum muslimin dalam pelaksanaan amal ibadat. Tujuannya ialah agar mereka memperhatikannya dan berusaha untuk mencapainya dengan sepenuh hati dan sepenuh usaha. Tetapi sebagai manusia yang lemah kita sering gagal untuk mencapai peringkat amalan yang paling ideal dan sempurna.Setelah ditekan oleh keperluan-keperluan dalm kehidupan, kita menyedari bahawa peringkat tersebut terlalu tinggi untuk didaki. Akhirnya kita terpaksa memilih turun daripada peringkat yang paling ideal kepada realiti kehidupan yang sebenar. Di sinilah timbullah kaedah-kaedah syariah yang menetapkan “keaadan darurat yang menghalalkan yang dilarang”, “kesukaran mendatangkan kemudahan”, “jangan menimbulkn bahaya ke atas diri sendiri atau orang lain dan “menghindari kesukaran”..Contohnya, salah satu syarat seorang saksi dalam hukum Islam ialah adil, tetapi juka tidak terdapat saksi yang adil para ulamak membenarkan kita menggunakan saksi yang fasik.

Kesimpulan

Islam merupakan agama yang meliputi segala dimensi kehidupan manusia. Shariat Islam mempunyai peraturan kehidupan manusia dan membawa keadilan kepada alam sejagat. Pembinaan negara adalah merupakan “dharurat ijtima’iyy” (keperluan masyarakat) kerana manusia memerlukan ketua untuk memimpin mereka. Keperluan manusia kepada pemerintahan menyamai keperluan terhadap perkara-perkara asas yang lain seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal. Manusia ialah makhluk yang memerlukan interaksi, kerjasama, tolong menolong dan memenuhi keperluan hidup. Ia termasuk dalam perkara fardu kifayah. Kepentingan tentang pembentukan negara Islam berkaitan rapat dengan pelaksanaan shariat kerana shariat itu tidak dapat dilaksanakan tanpa ada negara dan kekuasaan politik. Tuntutan pelaksanaan shariat ini adalah wajib ke atas individu Muslim maka mewujudkan pemerintahan Islam juga adalah wajib
Manusia memerlukan kepada pemerintahan atau hidup bernegara kerana mereka perlu melaksanakan menyuruh kebaikan dan mencegah kemungkaran, mewujudkan keamanan dan keselamatan. Perkara ini tidak dapat dilaksanakan tanpa ada pemerintahan. Pemerintahan yang paling adil adalah pemerintahan Islam.



0 ulasan:

Catat Ulasan