Ads 468x60px

Labels

Rabu, 25 April 2012

Kerana Lidah Badan Binasa




Alhamdulillah, malam tadi kuliah magrib  muslimat di rumah Kak Salmah Padang Jawa. Kuliah membincangkan soal bahaya lidah. Perbincangan ini sangat penting kerana ibadah solat dan lain-lain bergantung kepada lidah kita. Ini kerana lidah adalah anggota yang paling liar dan melampaiu batas kejahatan yang banyak menimbulkan kerosakan dan permusuhan antara manusia. Keburukan lidah ialah bercakap perkara yang tidak berfaedah, tidak baik, mengucapkan kata keji, mencaci, mencarut, menghina, membuka rahsia orang, mengumpat dan perbuatan negatif lain yang tidak sepatutnya. memfitnah, tuduh menuduh, menyindir, menyebarkan khabar angin, berita palsu, menyebut perkataan lucah dan lain-lain.
 Nabi saw bersabda: Tidak akan lurus keimanan seseorang hamba sehingga lurus hatinya, Tidak akan lurus hati seseorang hamba sehingga lurus lisannya. Tidak akan masuk syurga seseorang hamba selagi jirannya belum aman daripada kejahatannya". 

               Imam Ghazali menjelaskan bahawa lidah antara nikmat Allah SWT yang besar dan antara ciptaan Tuhan yang amat halus dan ganjil. Lidah mempunyai bentuk yang indah, kecil dan menarik.  Keimanan dan kekufuran seseorang tiada terang dan jelas, selain dengan kesaksian lidah. Lidah mempunyai ketaatan yang besar dan mempunyai dosa besar pula. Anggota tubuh yang paling derhaka kepada manusia ialah lidah. Sesungguhnya lidah alat perangkap syaitan yang paling jitu untuk menjerumuskan manusia.
          Lidah adalah anggota yang paling liar dan melampaiu batas kejahatan yang banyak menimbulkan kerosakan dan permusuhan antara manusia. Maka tidak hairanlah Imam al-Ghazali membincangkan tajuk ini dengan panjang lebar tidak sebagaimana mata dan telinga. Bermakna kita juga perlu banyak memberi perhatian kepada lidah sebagaimana yang selalu diucapkan dalam pepatah Melayu bahawa lidah umpama pedang yang tajam. Rasulullah saw bersabda di dalam hadis yang diriwayatkan daripada Sufian bin Abdullah yang bertanya kepada Baginda: ”Apakah anggota yang paling engkau takut terhadap diriku. Lalu Rasulullah saw memegang lidah sambil berkata: Inilah.

Begitu juga ungkapan Yunus bin Abdullah mengatakan bahawa dirinya mampu menanggung kesusahan berpuasa pada siang hari dengan cuaca yang panas di negeri Basrah, tetapi dirinya tidak tertahan menanggung kesabaran untuk meninggalkan sepatah kata yang tidak berfaedah kepadanya.

Imam al-Ghazali mengingatkan kita bahawa lidah perlu dijaga kerana 5:

i.          Ucapan daripada lidah memberi kesan kepada anggota lain

Riwayat daripada Said al-Khudaripadai r.a katanya: ”seseorang anak Adam apabila berjalan maka semua anggota lain akan berpesan kepada lidah. Kata anggota lain:” Wahai lidah, kami memohon kepada Allah agar kamu berlaku lurus. Jika kamu berlaku lurus, maka jika kamu berlaku lurus kami juga turut akan berlaku lurus. Sebaliknya jika kamu berlaku bengkuk, kami juga berlaku demikian.
Berdasarkan kepada riwayat di atas jelas kepada kita anggota lain akan menuruti apa sahaja yang diperkatakan oleh lidah. Jika lidah menyuruh atau memerintah kepada kebaikan, maka anggota lain akan melaksanakan perintah yang baik tersebut. Begitulah sebaliknya.
Malek bin Dinar atau dikenali dengan Abu Yahya pernah mengatakan bahawa apabila kita melihat kepada diri kita yang bersifat keras hati, kurang semangat dan sukar mendapatkan rezeki, maka ingatlah bahawa itu adalah hasil atau kesan daripada percakapan kita yang tidak memberi faedah kepada diri kita.

ii.         Lidah menjaga waktu

Banyak percakapan kita selain berzikir kepada Allah adalah sia-sia yang akan membuang masa dan menghilangkan waktu secara percuma tanpa faedah. Cuba kita bayangkan dalam tempoh sehari apakah kata-kata yang terkeluar daripada bibir mulut kita yang memberi faedah kepada kita dan kepada orang lain. Jika kita merenungi amalan-amalan para sahabat, betapa mereka menjaga lidah mereka, secara tidak langsung mereka menjaga waktu mereka agar tidak disia-siakan. Kata ulamak, antara tanda kebencian Allah terhadap seseorang hamba ialah apabila dia membuang masa. Hassan al-Basri mengatakan bahawa diri manusia ini ibarat hanya beberapa hari sahaja. Apabila berlalu satu hari, maka sebahagian daripada dirinya akan hilang. Beliau amat bimbang sekiranya sebahagian yang hilang yang akan menghilangkan keseluruhan dirinya.
            Sabad al-Jawzi juga ada mengatakan: ”Aku pernah mendengar datukku berkata ketika berada di atas mimbar di akhir hayatnya bahawa dia telah menulis dengan dua jarinya sebanyak 2000 jilid kitab. Kisah-kisah yang dinyatakan ini menggambarkan bagaimana para ulamak amat mementingkan masa dengan tidak disia-siakan. Mereka sentiasa sibuk dengan mengarang buku, memberi nasihat, menyampaikan kebenaran, beribadah, berwirid, berpuasa, berzikir dan sabar dengan keadaan hidup yang susah. Jika inilah keadaan mereka, maka kita jua akan bersifat seperti mereka jika memenuhi kehidupan dengan amal kebaikan tanpa sedikitpun disia-siakan. Kita tidak mempunyai masa untuk bercakap suatu yang tidak berfaedah. Justeru, kita akan berjaya menjaga lidah dan mengawal daripada mengeluarkan kata-kata yang tidak berfaedah.
Seorang lelaki pernah bertanya kepada Umar Abd al-Aziz: ”Ketika bilakah aku perlu bercakap? Jawap Umar: ”Ketika engkau ingin diam”. Seterusnya ditanya lagi: ”Bilakah pula aku perlu diam? Jawap Umar lagi:” Ketika engkau ingin bercakap. Jawapan yang dikemukakan oleh Umar Abd Aziz ini sangat menarik dan boleh menjadi motivasi yang sangat menarik untuk kita dalam menjaga lidah. Apabila kita bercakap semasa ingin diam, maka secara tidak langsung kita tidak akan bercakap banyak. Begitulah dalam keadaan kita ingin diam, kita akan bercakap sekadar keperluan sahaja. Pepatah Melayu juga ada mengatakan lidah tidak bertulang, maka amat mudah terkeluar apa sahaja daripada mulut jika tidak dikawal.
            Diceritakan sebuah kisah Hassan bin Abu Sanan, seorang tabien yang kuat beribadat pada suatu hari beliau melalui sebuah tempat binaan, lalu beliau tertanya, bilakah dibina bangunan ini? Lantas beliau terus mencela dirinya kerana tertipu dengan soalan yang tidak memberikan faedah kepadanya. Beliau kemudian menghukum dirinya dengan berpuasa selama setahun di atas kesalahan yang dilakukan. Jika inilah keadaan kehidupan para ahlul ibadat, betapa jauhnya kehidupan dirinya dengan diri kita hari ini. Terasa daif dan rendah dirinya kita dihadapan Allah. Sebanyak mana masa dihabiskan dengan tidak mendatangkan faedah tetapi sedikitpun tidak dirasakan rugi umur dan masa yang dihabiskan. Sebaliknya penyesalan ini datang apabila kita telah lanjut usia, datang sakit atau uzur, miskin melarat dan lain-lain.

iii.        Pemeliharaan Amalan Soleh

Lidah yang tidak dijaga mudah terjerumus kepada mengumpat atau mengata tentang keburukan orang lain. Di dalam hadis nabi Muhammad saw bersabda:

مَنْ كَثُرَ لَغَطُهُ كَثُرَ سَقْطُهُ
Ertinya: Sesiapa yang banyak berborak, maka banyaklah jatuhnya (kepada kesilapan dan kesalahan dosa.

Hassan al-Basri apabila diberitahu ada seseorang yang telah mengumpat terhadap dirinya, beliau akan menghadiah kepada orang yang mengumpat itu dengan hadiah yang berharga sebagai ganti pahala yang diberikan oleh pengumpat kepada dirinya.
Ibn al-Mubarak apabila dirinya dituduh mengumpat, lantas berkata: ” Kalaulah aku seorang pengumpat, semestinya aku akan mengumpat kepada ibuku sendiri. Ini kerana ibuku terlebih layak menerima kebaikanku berbanding orang lain.
Di dalam kisah yang lain, Hatim al-A’sam telah tertinggal untuk mengerjakan solat sunat sunat malam. Isterinya telah mencela dirinya, lalu beliau berkata:” Pada malam hari tadi ada orang yang bangun mendirikan solat sunat malam, tetapi pada paginya dia telah mengumpat terhadap diriku. Maka segala pahala kebaikan solatnya akan berada dalam neraca timbangan amalan kebaikanku pada hari Kiamat nanti.

iiii.       Bahaya Kebinasaan Pada Hari Akhirat

Imam al-Ghazali menjelaskan bahawa dalam percakapan kita tidak boleh sembunyi daripada dua keadaan sama ada kita bercakap sesuatu yang dilarang dan diharamkan oleh Allah, atau kita bercakap dengan perkataan yang harus tetapi berlebihan yang tidak memberi manfaat kepada diri kita.
Rasulullah saw menceritakan pada malam Isra’ dan Mikraj di dalam hadis Baginda yang berbunyi:

لَيْلَةَ أُسْرِيَ بِيْ رَأَيْتُ فِي النَّارِ قَوْمًا يَأْكُلُوْنَ الجِيْفَ, فَقُلْتُ: يَا جِبْرِيْلُ: من هَؤَلاءِ؟ قال: هَؤلاءِ يَأْكُلُوْنَ لُحُوْمَ النَّاسِ

Ertinya: ”Pada malam aku diisra’kan, aku melihat suatu kaum di dalam neraka sedang memakan bangkai. Maka aku bertanya kepada Jibril a.s.: ”siapakah mereka itu”. Jibril a.s. menjawap: ” Mereka ialah orang-orang yang memakan daging manusia (mengumpat).

Abu Qulabah mengatakan bahawa perbuatan mengumpat akan merobohkan hati dan hidayah. Maka kita mohonlah kepada Allah SWT agar menjaga dan memelihara diri kita daripada kerosakan hati dengan limpah kurniaNya.

Imam al-Ghazali memaparkan empat keadaan yang berlaku apabila kita bercakap perkara yang harus tetapi berlebihan. Antaranya ialah:

i.                    Menyibukkan Malaikat untuk mencatit perkara yang tidak mendatangkan faedah. Sepatutnya kita wajib berasa malu kepada kedua malaikat yang mencatit segala apa yang kita lakukan.
ii.                  Takut kepada Allah jika kita mempersembahkan buku amalan kita kepada Allah yang dipenuhi dengan catitan yang sia-sia yang tidak berfaedah.
iii.                Amalan yang dilakukan akan dibaca di hadapan Allah dan disaksikan oleh anggota badan dan seluruh makhluk.
iv.                Malu kepada Allah yang mencemuh dan mencela terhadap apa yang kita lafazkan. 

0 ulasan:

Catat Ulasan