Ads 468x60px

Labels

Isnin, 13 Februari 2012

HUKUM WAKAF BAGI TANAH BERTARAF HAK MILIK TERHAD


Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-65 yang bersidang pada 13 Oct 2004 telah membincangkan Hukum Wakaf Bagi Tanah Bertaraf Hak Milik Terhad. Muzakarah telah memutuskan bahawa mewakafkan tanah hak milik terhad (leasehold) adalah sah dan diterima oleh syarak.


Keterangan/Hujah: 

Isu wakaf bagi tanah bertaraf hak milik terhad ini telah dibangkitkan dalam Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam kali ke-43, pada 9 Februari 2004. Pemilikan tanah kerajaan berasaskan Akta Kanun Tanah Negara (KTN) iaitu salah satu kaedah pelupusan tanah oleh pihak berkuasa negeri. Seksyen 76 (a) menjelaskan pemberian milik tanah dengan cara pelupusan tidak boleh lebih daripada sembilan puluh sembilan tahun. Pemberian milik terhad ini menjadikan taraf hak miliknya terhad41 (leasehold). Kedudukan tanah leasehold apabila tamat tempoh pemberimilikan akan kembali menjadi hak milik kerajaan mengikut peruntukan dalam Seksyen 46(1) (a) (KTN).

Kedudukan tanah pemilikan terhad; apabila tamat tempoh pemberimilikan harta berkenaan akan kembali menjadi hak milik kerajaan. Kerajaan boleh menganugerahkan hak milik tanah yang telah tamat tempoh pemilikan kepada agensi atau orang yang memohon serta membayar premium untuk pemilikan selanjutnya.

Disebabkan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) pemegang amanah tunggal bagi harta wakaf, lazimnya pembaharuan pemilikan bagi tanah wakaf leasehold diuruskan oleh MAIN, termasuk bayaran premium pemilikan. Sekiranya pembaharuan pemilikan dibuat oleh MAIN, adakah keadaan ini ada implikasi kepada konsep wakaf tanah berstatus leasehold sebagai sumber sedekah jariah yang mendatangkan ganjaran pahala berterusan kepada pewakaf, selama mana harta tersebut wujud?

(Nota: Pemilikan tanah di Malaysia terbahagi kepada dua kategori iaitu, freehold (pegangan bebas) dan leasehold (hak milik terhad). Freehold ialah tanah yang hak miliknya adalah kekal, manakala leasehold pula ialah hak milik terhad yang diberikan kerajaan secara pajakan dan pemiliknya perlu membayar premium kepada kerajaan untuk memperbaharu hak milik tanah tersebut selepas tamat tempoh pajakan)

HUJAH DAN DALIL :

Imam Shafie dan jumhur ulama berpendapat bahawa salah satu syarat wakaf ialah harta tersebut mestilah satu harta yang kekal. Menurut mazhab Shafie wakaf ialah menahan harta yang boleh diambil manfaat dengannya, serta dikekalkan ainfizikalnya, dengan memutuskan hak urusan yang dimiliki oleh pewakaf berkaitan seperti pusaka, wasiat, hibah, dan jual beli. Pengurusan wakaf di Malaysia berasaskan Mazhab Imam Shafie kerana Undang-undang Pentadbiran Agama Islam Negeri berasaskan Mazhab Imam Shafie.

Menurut pendapat Sohiban (Ahmad Hassan al-Syaibani dan Zufar) Imam Abu Hanifah yang merupakan pendapat yang difatwakan di kalangan Hanafiah dan pendapat yang lebih kuat dalam Mazhab Shafie dan Hanbali, wakaf ditakrifkan sebagai menahan harta yang di ambil faedah daripadanya dengan mengekalkan ain harta. Pendapatan, perolehan atau manfaat harta wakaf itu akan dibelanjakan untuk kebaikan dan kebajikan serta mendekatkan diri kepada Allah SWT. Dengan sebab itu, harta tersebut tidak lagi menjadi milik pewakaf, bahkan menjadi hak Allah SWT (tidak boleh diambil kembali dan tidak boleh dimiliki oleh sesiapa pun).

Apabila kita melihat dalam Kanun Tanah Negara yang memberi pengecualian dalam urusan wakaf dan Baitulmal sebagaimana dalam Akta no. 56 Tahun 1965 Seksyen 4 (2): “Kekecualian setakat mana yang diperuntukkan dengan nyata sebaliknya, tiada apa juga dalam Akta ini boleh menyentuh peruntukan (e) mana-mana undang-undang yang pada masa itu berkuat kuasa tentang wakaf atau baitulmal”. Seksyen 76 (aa) Kanun Tanah Negara, memperuntukkan bahawa “Kerajaan Negeri boleh memberi pemilikan tanah secara kekal jika pihak berkuasa negeri berpuas hati ia digunakan untuk kepentingan awam”. Manakala Seksyen 76 (aa) (iii) pula memperuntukkan jika pihak berkuasa negeri berpuashati bahawa terdapat keadaan-keadaan khas yang sesuai, maka Kerajaan Negeri boleh memberi pemilikan tanah secara kekal.

Kedua-dua peruntukan ini memberi ruang kepada (MAIN) untuk mendapatkan tanah kerajaan atau tanah orang awam yang diserahkan kepadanya bagi tujuan wakaf, kerana tujuan dan konsep wakaf adalah untuk kepentingan awam. Di bawah peruntukan tersebut ia memberi ruang kepada setiap tanah wakaf bertaraf leasehold dapat ditukar taraf menjadi freehold sebaik proses urusan pewakafan telah selesai. Berdasarkan peruntukan Kanun Tanah Negara isu mewakafkan tanah leasehold atau apa-apa bangunan, binaan, rumah yang ada di atasnya adalah jelas dan tidak timbul kerana pengecualian yang diberikan kepada harta wakaf dan baitulmal.

Kesimpulannya, mana-mana tanah leasehold yang diwakafkan mengikut prosedur yang ditetapkan dan baitulmal menerima harta wakaf tersebut yang diserahkan kepadanya dalam bentuk leasehold akan bertukar status di tangan baitulmal kepada milik kekal sebagaimana pengecualian yang jelas dalam Kanun Tanah Negara Akta no. 56 Tahun 1965 Seksyen 4 (2). Justeru, umat Islam digalakkan untuk mewakafkan harta walaupun dalam bentuk leasehold untuk tujuan yang murni dan amal jariah yang berkekalan.

Sumber: Himpunan Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan: Berhubung Dengan Isu-Isu Muamalat (2009)

0 ulasan:

Catat Ulasan