PEMBANGUNAN TANAH WAKAF DI MALAYSIA: ISU DAN HALANGAN
Pensyarah, Pusat
Pemikiran dan Kefahaman Islam (CITU), Universiti Teknologi Mara, Shah Alam.
Abstrak
Wakaf
adalah antara salah satu daripada institusi Islam yang wujud sejak daripada
zaman Rasulullah saw berfungsi sebagai pemangkin ekonomi dan pembangunan umat
Islam. Institusi ini juga merupakan tunjang kepada kejayaan sistem jaminan
sosial Islam, selain mekanisme zakat,
sedekah dan lain-lain. Oleh itu, adalah menjadi satu keperluan yang mendesak pada
hari ini untuk memastikan bahawa sistem itu dapat berjalan dengan baik seiring
dengan perkembangan semasa. Peranan ini bukan hanya terhad diaplikasikan dalam
urusan peribadatan kepada Allah S.W.T. sahaja, malahan ia dianggap sebagai
institusi ekonomi yang mendatangkan impak kebaikan yang menyeluruh kepada orang
Melayu khususnya dan umat Islam amnya. Namun
terdapat banyak halangan dan kekangan sehingga institusi ini tidak berfungsi
sebagaimana diharapkan. Oleh itu, sifat lestari wujud dalam sistem wakaf ini perlulah dirancang dan dilaksanakan
secara sistematik agar ia dapat menjadi pemangkin kepada sistem jaminan sosial
orang Melayu dan Islam pada masa kini..
Pendahuluan

Di Malaysia dianggarkan jumlah tanah wakaf adalah sebanyak
20,735.61 ekar. Sebanyak 14,815.787 ekar merupakan wakaf Khas, manakala
5,919.83 ekar pula adalah wakaf Am.[4]
Namun demikian, seperti juga institusi Islam yang lain, Zakat, Baitul Mal dan
lain-lain, institusi wakaf tidak lagi berjaya dilaksanakan sepenuhnya bagi
membawa umat Islam ke ambang pembangunan yang sepatutnya. Terdapat segelintir
masyarakat Islam pada hari ini yang melihatnya dari skop yang sempit dan mempunyai
pemahaman tradisional yang diwarisi sejak turun-temurun. Pelbagai cadangan dan
saranan sama ada di peringkat kebangsaan dan antarabangsa telah dikemukakan,
tetapi hasilnya wakaf tidak dapat diterjemahkan mengikut acuan dan persepsinya
yang sebenar sebagai pemacu kemajuan ummah.[5]
Mentransformasikan
Ekonomi Orang Melayu Melalui Mekanisme Wakaf
Berdasarkan kepada kedudukan ekonomi semasa orang Melayu, agak sukar dan
sememang terlalu jauh untuk bersaing dengan bangsa lain atau bukan Bumiputera.
Dasar Ekonomi Baru (DEB) tidak berjaya mencapai sasaran 30% pemilikan ekuiti
orang Melayu. Bagi menyamai atau mencapai peratusan tersebut Bumiputera perlu
melabur RM340 bilion.[6] Persoalannya, bagaimanakah dalam keadaan
ekonomi semasa hari ini orang Melayu dapat mencapai sasaran 30% pemilikan
ekuiti atau lebih daripada itu di samping mampu bersaing dengan kaum-kaum lain
di Malaysia? Selain itu bagaimanakah RM340 bilion mampu dihasilkan oleh orang
Melayu dan mampu memiliki premis-premis, bangunan dan rumah kediaman setaraf
dengan bangsa lain?
Jika dilihat kepada sejarah pada zaman kegemilangan pemerintahan khalifah
Islam, antara faktor kekuatan dan keagungan kerajaan dan umat Islam pada era
tersebut kekayaan hasil negara dan umat Islam. Pada zaman khalifah Harun
al-Rasyid harta milik negara mencecah 900 juta Dirham, menyamai nilai semasa
pada hari ini berjumlah sekitar 1.3 trilion Dirham.[7]
Jika sekiranya sejarah kegemilangan ini berulang kembali, sudah pasti orang
Melayu mampu berdiri setanding, bahkan lebih daripada kaum lain di Malaysia.
Orang Melayu akan menguasai sebahagian besar ekuiti kekayaan dalam negara
dengan memiliki segala premis dan kompleks perniagaan, tanah dan lain-lain.
Justeru, bagi memperkasakan ekonomi orang Melayu secara menyeluruh maka instrumen
wakaf dilihat mampu menggembeling modal yang besar secara berkelompok. Dalam
keadaan pemilikan aset negara yang terhad dan kuasa beli umat Islam yang
rendah, maka beberapa mekanisme yang bersifat inovatif, kreatif dan proaktif
perlu diwujudkan secara sistematik bagi menggalakkan dan memudahkan umat Islam
berwakaf. Mekanisme yang diwujudkan ini mampu memberi ruang dan peluang kepada orang
Melayu dan umat Islam seluruhnya untuk turut sama melibatkan diri sama ada
secara pemilikan atau kuasa beli berdasarkan kepada kemampuan kewangan
masing-masing. Institusi-institusi agama dan badan-badan Islam perlu memainkan
peranan aktif bagi mewujudkan dana dan aset wakaf. Dalam melestarikan sistem
wakaf semasa terdapat beberapa mekanisme atau pendekatan lama dan kontemporari
yang cuba diketengahkan oleh beberapa institusi Islam sama ada yang diuruskan
oleh pihak kerajaan atau badan-badan swasta. Antara mekanisme tersebut ialah
melalui dana wakaf[8] yang boleh dilaksanakan dalam pelbagai
bentuk seperti Saham Wakaf, Wakaf Kaki, Wakaf
Irsad dan Musya‘, dan konsep Istibdal.
Majlis Agama Islam Sebagai
Pemegang Amanah (MAIN)
Walaupun enakmen telah
memperuntukkan kuasa kepada Majlis sebagai Pemegang Amanah Tunggal, namun
terdapat beberapa masalah yang menghalang dan mengganggu gugat kelangsungan
pembangunan tanah wakaf yang berkait
antara satu sama lain, terutama dalam urusan pentadbiran dan perundangan harta
wakaf. Perubahan dan pembaharuan dalam usaha meningkatkan prestasi mutu pentadbiran dan pengurusan amat
diperlukan tanpa mengabaikan konsep kebajikan sosio ekonomi masyarakat Islam
dan hukum syarak. Sebagai Pemegang Amanah atau badan yang menguruskan harta
wakaf, tanggung jawab ini terletak di bahu MAIN sepenuhnya untuk melaksanakan
secara dinamik dan sejajar dengan kepentingan
institusi wakaf sebagai instrumen yang paling efektif untuk menambahkan sumber
pengagihan kekayaan masyarakat Islam.
Halangan dan Kekangan Dalam
Pembangunan Tanah Wakaf di Malaysia
a. Masalah Perundangan dan
Hukum
Peruntukan enakmen MAIN, perkara
berkenaan dengan wakaf tidak diperuntukkan secara khusus seperti yang terdapat
di negeri Selangor, Terengganu, Perak dan Johor.[1]
Ekoran ketiadaan peruntukan ini terdapat pihak yang tidak bertanggung jawab
menyalah gunakan harta wakaf dengan
anggapan ia adalah milik umum yang boleh dikuasai dan dicerobohi pada bila-bila
masa dengan sewenang wenangnya. Biarpun sekarang ini perkara wakaf ditadbir di
peringkat negeri dan telah ada diperuntukkan dalam setiap Enakmen Pentadbiran
Negeri masing-masing, namun peruntukan wakaf dalam Enakmen tersebut tidak
bersifat menyeluruh. Ia lebih menekankan aspek pentadbiran dan prosedur ringkas
perwakafan. Aspek-aspek substantifnya tidak ditekankan, malah terdapat
percanggahan dengan undang-undang wakaf Islam[2].
Misalnya dalam sekatan wakaf yang tidak boleh melebihi satu pertiga harta
wakaf.[3]
Peruntukan ini
juga tidak memberi jaminan dan pengiktirafan kuasa yang sepenuhnya terhadap
pentadbiran dan pengurusan harta wakaf. Ini disebabkan oleh wujudnya sekatan
dan halangan serta percanggahan bidang kuasa antara Badan Perundangan Negeri
dengan bidang kuasa Persekutuan. Dengan mengekalkan undang-undang lama yang
tersedia ada, implikasi yang negatif
akan timbul terhadap pembangunan harta wakaf. Bagi mengatasi masalah ini agar tidak
berpanjangan, tindakan awal perlu dilakukan dengan membuat pindaan dan meluluskan beberapa peraturan
baru khusus berkaitan wakaf serta perlunya tafsiran yang lebih meluas terhadap
beberapa seksyen yang terkandung di dalam enakmen negeri yang tersedia ada dan
statut lain yang perlu dirujuk bersama. Antaranya seperti Akta Kanun Tanah
Negara 1965 (Akta 56), Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171), Akta Pemegang
Amanah 1949 (Akta 208) dan Akta Pengambilan Tanah 1960 (Akta 486).
Merujuk kepada
beberapa peraturan yang diluluskan sejak bermula daripada tahun 1976 hingga
kini, enakmen secara khusus berkaitan wakaf dan peraturannya belum diwujud kecuali bagi beberapa negeri.
Oleh itu, perlunya beberapa peraturan penting berkaitan wakaf diluluskan
selaras dengan peraturan lain agar pengurusan dan pentadbiran wakaf berjalan
dengan lebih lancar dan praktikal. Antara lain, Akta Pemegang Amanah 1949 (Akta
208),[4]
terlalu umum dan tidak menyediakan peraturan yang mencukupi untuk membicarakan
harta amanah bagi orang-orang Islam.[5]
Peraturan ini boleh dirujuk kepada beberapa enakmen negeri yang lebih
terkehadapan dari sudut perkembangan wakaf. Antaranya seperti Enakmen Wakaf
Selangor (No.7 Tahun 1999), Peraturan Kawalan Wakaf Perak 1959, Kaedah-kaedah Wakaf Johor (No.15
Tahun 1983) dan Enakmen Mengesah Wakaf Orang-orang Islam Terengganu (No.10
Tahun 1972).
Antara perkara
penting yang perlu dimuatkan adalah berkenaan dengan definisi wakaf, Kuasa MAIN
sebagai pemegang amanah, perletakan hak wakaf, perlantikan para pegawai seperti
Pegawai Wakaf Negeri, pelantikan Nazir
Wakaf Daerah, bidang kuasa pegawai, tugas nazir, prosedur pewakafan harta,
syarat pewakaf dan penggunaan harta wakaf Wakaf Am dan Khas, sekatan dalam
takat perwakafan, kuasa istibdal, pelaburan dan pembangunan
harta tanah wakaf, pembatalan wakaf dan lain-lain yang diperlukan selaras
dengan kehendak hukum syarak dan keperluan semasa.
Peruntukan
undang-undang ini juga boleh dirujuk kepada negara-negara Islam lain yang
terkehadapan dalam hal ehwal wakaf. Antaranya seperti Undang-undang Waqf
1952 di Mesir, Waqf Act 1954 di India, Prinsip Perundangan
Waqf 1972 di Libya. Begitu juga dengan
Kementerian Keadilan dan Awqaf dan Urusan Agama di Oman, Nort American Islamic
Trust di Amerika Syarikat, Kementerian Awqaf di Jordan dan Kementerian Awqaf dan Hal Ehwal Agama di Kuwait.[6]
Kewujudan peraturan khusus ini dilihat sebagai suatu yang penting dan berkesan
dalam mengawal dan menjaga kepentingan harta amanah orang-orang Islam.
Perundangan Tanah Negara
Prosedur penyerahan balik tanah
kepada pihak kerajaan yang dilakukan di Pejabat Tanah untuk pengwartaan dan
terpaksa dipohon semula oleh MAIN sebagai tanah rezab melalui permohonan khas
adalah satu proses yang agak rumit dan memakan masa yang agak panjang. Oleh itu
dicadangkan KTN memudahkan dan mempercepatkan urusan pendaftaran dengan
mengenakan bayaran yang murah atau dikecualikan terus,[7]
khusus bagi harta tanah wakaf. Pemberian tanah oleh kerajaan kepada MAIN hanya
bertaraf rezab adalah menampakkan satu pertentangan antara hukum syarak[8]
dengan Akta Kanun Tanah Negara 1965 (Akta 56)[9]
dalam perkara pindak hak milik.. Akibatnya semua geran hak milik tanah wakaf
tidak dapat diendoskan dengan “title” wakaf dan status wakaf dalam kes
ini akan hilang. Kesahihan hukum pindah milik di sisi hukum syarak adalah
bergantung kepada kesempurnaan rukun dan syarat wakaf. Oleh itu sepatutnya
pemberian kerajaan ini adalah berstatus hak milik dan bukannya rezab, begitu
juga dengan tanah wakaf yang diberikan secara pajakan mestilah ditukar kepada MAIN
secara hak milik kekal.
Pemberian
secara rezab ini adalah bagi mengelakkan daripada tanah wakaf tersebut dimiliki
secara hak milik kekal sekiranya berlaku perubahan dalam struktur pentadbiran
Majlis Agama Islam Negeri sama ada ia diswastakan atau sebagainya yang bersifat
persendirian oleh pihak yang terlibat. Pengswastaan majlis tidak akan berlaku
selagi Enakmen MAIN memperuntukkan
bahawa Sultan sebagai Ketua Agama Negeri. Status tanah wakaf perlu dikekalkan
dan tidak boleh ditukar kepada mana-mana syarat yang lain terutama tanah wakaf
untuk kegunaan masjid atau surau. Ini kerana harta wakaf terdedah kepada
pengambilan balik tanah oleh Pihak Berkuasa Negeri untuk tujuan keperluan awam dan pembangunan ekonomi
negara. Walaupun Akta Pengambilan Balik Tanah 1960 (Akta 486)[10]
telah dipinda oleh Akta Pengambilan Balik Tanah (Pindaan) 1997,[11]
namun keadaan yang sama juga berlaku. Pihak Berkuasa Negeri masih boleh
menimbangkan lagi permohonan pemohon dan membuat cadangan sebagaimana yang
difikirkan patut.[12]
Dalam hal ini
dicadangkan Pihak Berkuasa Negeri perlu membayar jumlah pampasan sebanyak
nilaian tanah asal atau lebih tinggi daripadanya. Aset (pampasan) dimasukkan di
bawah kategori “Waqf istibdal” dan menggantikan aset yang
pertama. Segala hasil dan pendapatannya mestilah diaplikasikan kepada tujuan
yang sama seperti yang ditentukan oleh pewakaf dan mengikut hukum pewakafan
yang tidak membenarkan sebarang transaksi dilakukan ke atasnya iaitu tidak
boleh dijual, dijadikan pemberian atau diwarisi.
Bayaran cukai
ke atas tanah wakaf dan cukai pintu bagi bangunan yang diwakafkan tidak
dikecualikan. Pengecualian cukai hanya diberi bagi sesuatu pegangan hak milik
hanya berlaku pada tempat peribadatan, pengkebumian, sekolah awam, tempat awam
yang digunakan untuk tujuan kebaikan. Pengecualian ini tertakluk kepada budi
bicara Pihak Berkuasa Negeri.[13]
Maka mana-mana
harta wakaf yang terlibat dengan pembangunan yang berbentuk material tidak akan
mendapat keistimewaan pengecualian cukai. Pembayaran cukai ini membebankan MAIN
untuk membangunkan tanah wakaf dengan projek pembangunan komersial. Oleh itu
Seksyen 134 Akta Kerajaan Tempatan 1960 (Akta 171), perlu dipinda dengan
mengecualikan cukai memandangkan hasil keuntungan yang diperoleh daripada harta
wakaf adalah untuk diagihkan kepada kebajikan masyarakat Islam seluruhnya.
Manakala bagi kes tanah yang ingin diwakafkan dan masih mempunyai tunggakan
cukai sewa, Pengarah Negeri atau Pentadbir Tanah tidak akan meluluskan kecuali
setelah semua tunggakan itu dijelaskan.[14]
Dalam hal ini KTN perlu meluputkan tunggakan tersebut agar memudahkan dan
menggalakkan orang Islam mewakafkan harta tanah mereka, lebih-lebih lagi bagi
tanah yang berada di kawasan bandar dan lokasinya yang strategi.
Melihat kepada
jenis kegunaan tanah wakaf yang diserahkan kepada MAIN kebanyakannya dikhusus
untuk jenis tanah pertanian. Antaranya seperti jenis kegunaan dusun kelapa,
sawah padi dan hanya sedikit sahaja untuk jenis pembangunan. Manakala saiz
keluasan tanah wakaf adalah bersaiz kecil kurang daripada dua perlima hektar.
Berdasarkan kepada Akta Kanun Tanah Negara 1965 (Akta 56)[15]melarang
mana-mana tanah pertanian daripada dipecahkan sekiranya hasil daripada pecahan
itu menjadikan keluasan lotnya kurang daripada dua perlima hektar. Jika ia dilakukan
juga, geran yang berasingan tidak dapat dikeluarkan untuk tujuan pembangunan
harta tanah wakaf.
Masalah ini
akan lebih kritikal lagi kerana bahagian tanah wakaf tersebut tidak dapat dipastikan keluasannya
yang sebenar, walaupun pada hakikatnya ia dapat dikenal pasti secara
persetujuan bersama antara pemilik tanah. Perkara ini dibimbangi akan
berlakunya keluasan tanah yang dimiliki oleh tuan kongsi tanah, mengakibatkan
saiz keluasan tanah wakaf menjadi semakin
sempit dan menghalangnya usaha untuk membangunkan tanah wakaf tersebut. Oleh
itu pentingnya tanah wakaf itu dipecahkan milik bagi mengelak perkara yang
tidak diingini berlaku untuk jangka masa panjang. Adalah dicadangkan MAIN boleh
mengambil alternatif dengan memohon pertukaran status kegunaan tanah pertanian
kepada tapak kediaman atau bangunan.
Sekiranya urusan permohonan ini menyukarkan kepada pihak MAIN, pindaan mesti
dilakukan kepada Seksyen 136 (1)(f)(i) KTN dengan memberi peruntukan
yang khusus dalam perkara wakaf. Selain itu MAIN juga boleh mengistibdalkan
tanah berkenaan dengan harta tanah di tempat yang lain.
Konflik Bidang Kuasa
Mahkamah
Suatu perkara utama yang wajar
diberi perhatian yang serius dari sudut perundangan ialah perkara mengenai Hal
Ehwal Pentadbiran Agama Islam dan Undang-undang yang berkaitan dengan hukum
syarak ditadbir di bawah negeri dan tidak di peringkat Persekutuan. Realiti
yang berlaku adalah disebaliknya. Perkara wakaf walaupun dikategori dalam
urusan agama, namun apabila wakaf dibuat melalui wasiat atau surat pemegang amanah ia terikat dengan Akta
Pemegang Amanah 1949 (Akta 208),[16]
maka beberapa elemen sivil dipertikaikan khususnya jika tanah itu tidak
didaftarkan atas nama Majlis Agama Islam, isu kaveat ataupun pertikaian yang
membabitkan orang bukan Islam. Dalam hal ini walaupun pada masa yang
sama Mahkamah Syariah berbidang kuasa
mendengar kes terbabit, Mahkamah Sivil juga berkompeten untuk mendengar
pertikaian berkenaan. Sesuatu fatwa mufti juga tidak mengikat keputusan
mahkamah awam, bahkan mahkamah boleh untuk tidak mengambil kira fatwa tersebut.
Implikasi daripada ini wujudnya pertindihan bidang kuasa antara Negeri dengan
Persekutuan.
Dalam kes Tengku Abdul Kadir Bin Tengku Chik lawan
Majlis Agama Islam Kelantan,[17]
Mahkamah Tinggi Kota Bharu mempunyai bidang kuasa untuk mendengar dan membuat
pengisytiharan ke atas keputusan kes tersebut, manakala Mahkamah Syariah tidak
mempunyai bidang kuasa mengisytiharkan sesuatu perintah yang dibuat oleh
Mahkamah Tinggi Sivil atau lain-lain Mahkamah Sivil sebagai tidak sah walaupun
sesuatu perintah itu tentang hukum syarak seperti wakaf dan lain-lain.
Keputusan Mahkamah Tinggi Sivil adalah tidak muktamad dan boleh dipersoalkan
lagi di peringkat Mahkamah Rayuan.[18]
Oleh itu, apabila keputusan berpihak kepada M.A.I.K., Pihak Yang Menuntut
mengemukakan kes ini ke Mahkamah Rayuan. Tambahan pula selepas perkara 121
Perlembagaan Malaysia
dipinda, Mahkamah Awam mempunyai bidang kuasa membicarakan kes yang berkaitan
dengan wakaf, hadhanah, harta sepencarian dan sebagainya. Dalam kes ini juga
Mahkamah Tinggi Kota Bharu bertindak membatalkan Wakaf Khas keluarga, secara
tidak langsung mengetepikan institusi mufti dengan tidak merujuk terlebih dahulu kepada keputusan
Jamaah Ulama Kelantan.
Hal yang sama
juga dapat dilihat dalam penghakiman kes Commissioner of Religious Affairs
Terengganu lawan Tengku Maryam.[19] Di
dalam kes ini Pihak Yang Menuntut telah memohon pengisytiharan daripada
Mahkamah Tinggi Sivil bahawa wakaf yang
dibuat oleh Tengku Chik bin Abdul Rahim adalah tidak sah dan tidak berkesan
kerana ia diperuntukkan untuk faedah keluarga pewakaf. Perkara ini telah
dirujuk kepada Mufti Terengganu dan telah memutuskan bahawa wakaf yang dibuat
oleh Tengku Chik adalah sah. Namun Hakim Mahkamah Tinggi telah memutuskan
bahawa wakaf untuk keluarga selama-lamanya dan pemberian terakhir untuk
kebajikan dianggap sebagai khayalan semata-mata (Illusory).
Dalam hal ini,
Hakim Persekutuan Suffian mengatakan bahawa undang-undang Islam adalah
undang-undang negeri dan adalah menjadi tugas Mahkamah Syariah menentukan
undang-undang Islam. Sepatutnya mahkamah tidak semestinya menolak fatwa itu
kerana ia melibatkan undang-undang negeri dan fatwa yang dikeluarkan adalah
daripada pihak berkuasa tertinggi negeri iaitu KDYMM al-Sultan. Sebaliknya dalam
menghakimi kes ini, Mahkamah Persekutuan lebih cenderung kepada keputusan Privy
Council daripada menerima pandangan fatwa mufti sebagai autoriti yang mengikat.
Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri-negeri di Malaysia
sebenarnya telah memperuntukkan kepada para Hakim di Mahkamah Sivil untuk
merujuk sekiranya timbul sebarang persoalan berkaitan dengan hukum syarak
kepada mufti dan mufti boleh memperakukan pendapatnya kepada mana-mana mahkamah
berkenaan. Namun pandangan mufti tidak dapat mengikat keputusan mahkamah, malah
mahkamah boleh sama ada untuk menerima atau menolak keputusan mufti tersebut.
Sementara
dalam kes Isa bin Abdul Rahman dan lain-lain lawan Majlis
Agama Islam Pulau Pinang,[20] peruntukan
yang terdapat dalam undang-undang Pentadbiran Ugama Islam Pulau Pinang 1959
tidak memberi bidang kuasa kepada Mahkamah Syariah untuk mengeluarkan
perintah injuksi kepada responden. Perkara injuksi hanya diperuntukkan
dalam Bahagian III Akta Relif Spesifik 1950 dan hanya diberikan kepada Mahkamah
Tinggi Sivil sahaja. Dalam kes ini Hakim telah merujuk kepada Jawatankuasa
Syariah Pulau Pinang kerana tidak menemui hukum dalam isu yang dipertikaikan
iaitu sama ada cadangan membina pejabat Bank Islam di tingkat tiga yang
terletak di bawah masjid itu dibolehkan di dalam Islam.
Daripada beberapa kes yang dikemukakan ini menampakkan
bahawa wujudnya kepincangan dan konflik dalam perundangan kerana campur tangan
antara dua institusi kehakiman yang tidak dapat diselaraskan. Sepatutnya
Mahkamah Syariah mestilah berbidang kuasa sepenuhnya dalam menentukan kesahihan
sesuatu wakaf dan menentukan cara pentadbirannya. Ini kerana perkara wakaf adalah berkait
dengan agama yang terletak di bawah bidang
kuasa negeri. Sebarang keputusan Majlis Fatwa mestilah diambil kira kerana
mereka lebih arif dalam soal penentuan hukum yang berkenaan dengan Agama Islam
berbanding Mahkamah Sivil.
Bagi
mengelakkan situasi ini berlarutan, pindaan perlu dibuat supaya wakaf
dikecualikan daripada takrif amanah yang diperuntukkan dalam Akta berkenaan
seperti Seksyen 4, Kanun Tanah Negara 1965 (Akta 56).[21]
Ini kerana undang-undang wakaf perlu mempunyai matlamat dan objektifnya yang
tersendiri dan tidak boleh disamakan dengan amanah (Trust) atau
Undang-undang Amanah Kebajikan (Cheritable) yang merupakan akta koloni
yang diadaptasi daripada undang-undang Inggeris dan diwarisi oleh pemerintahan
Inggeris sejak sekian lama. Kewujudan akta-akta ini dilihat sebagai
suatu yang amat penting dan berkesan dalam mengawal dan menjaga kepentingan
mereka dalam pengumpulan harta bagi maksud individu maupun perbadanan (incorporation).[22]
Pindaan akta[23]
dan penggubalan Enakmen Wakaf ini membolehkan sebarang kes yang berkait dengan
wakaf atau wasiat akan dibicarakan di Mahkamah Syariah/ Qadi dan mahkamah ini
berbidang kuasa sepenuhnya mengendalikan kes seperti yang berlaku di negeri
Selangor setelah berkuat kuasanya dua Enakmen iaitu Enakmen Wakaf Negeri Selangor 1999 dan Enakmen Wasiat Orang
Islam Selangor 1999.[24]
Sekiranya timbul keraguan atau ketidak puasan hati terhadap keputusan yang
dikeluarkan oleh Mahkamah Qadi, rayuan boleh dikemukakan di Mahkamah Tinggi
Syariah dan fatwa yang dikeluarkan oleh mufti hendaklah mengikat keputusan
hakim. Keputusan yang dibuat diperingkat rayuan adalah muktamad dan tidak boleh
dipersoalkan lagi di mana-mana sama ada Mahkamah Tinggi Sivil atau Mahkamah Rayuan seperti
yang berlaku pada hari ini.[25]
Ekoran daripada ketiadaan Akta atau Enakmen yang khusus
berkenaan wakaf ini, seolah-olah ia terus memberi ruang kepada Mahkamah Tinggi
Sivil untuk mempertahankan bidang kuasanya apabila berlaku pertikaian berhubung
kewujudan atau kesahihan wakaf. Oleh itu sekiranya kita mahu institusi wakaf
hidup subur di negara kita ini dan terhindar daripada sebarang kesamaran dan
kekaburan, maka wajar suatu Akta atau enakmen yang lengkap dan menyeluruh perlu
digubal secepat mungkin.[26]
Permasalahan Hukum
Hukum dan kategori harta wakaf
juga menjadi faktor penghalang kepada usaha membangun dan memajukan harta
wakaf. Penggunaan harta tanah Baitulmal
berbeza dengan tanah wakaf yang agak ketat dari sudut hukum dan ciri-ciri
penggunaannya. Harta tanah Baitulmal agak terbuka penggunaannya di mana ia
boleh dijual dan dibeli dan penggunaannya tidak terikat dengan apa-apa
perjanjian atau Surat Cara yang diwasiatkan berbanding harta wakaf.[27]
Maka segala rancangan pembangunan tanah wakaf adalah terikat dengan niat
pewakaf. Contohnya terdapat banyak tanah yang diwakafkan untuk tujuan ibadat
seperti masjid atau surau. Namun, amanah pewakaf ini tidak dapat direalisasikan
kerana tidak sesuai untuk tujuan tersebut disebabkan oleh beberapa kemungkinan
seperti di tempat berkenaan telah ada masjid yang berdekatan dengan lokasi
tersebut.
Di Kelantan,
wakaf ibadat antara yang terbanyak meliputi 70 peratus daripada keseluruhan
keluasan tanah wakaf.[28]
Biasanya harta Wakaf Khas tidak mendatangkan hasil kepada Majlis, bahkan MAIN
terpaksa mengeluarkan perbelanjaan daripada sumber yang lain untuk membiayai
penyelengaraan harta tanah tersebut yang terdiri daripada tanah kubur, tapak
masjid dan tapak Sekolah Agama dan sebagainya yang berbentuk kebajikan umum.
Sebagaimana juga di negeri Melaka terdapat sebanyak 1458.28 ekar, daripada
jumlah tersebut 476.73 ekar adalah tanah tapak perkuburan.[29]
Harta Wakaf Am
pula tidak disebut dengan jelas penggunaannya. Pewakaf hanya mensyaratkan
supaya harta tersebut digunakan untuk tujuan kebajikan. Namun dalam hal ini ia
perlu dirujuk kepada pihak mufti untuk merancang program pembangunan harta
tanah wakaf. Permasalahan ini menyebabkan perancangan tidak dapat dilaksanakan
dengan aktif. Kesamaran tujuan Wakaf Khas dibuat juga menimbulkan masalah
akibat kegagalan pewakaf menjelaskan maksud dan tujuan wakaf dibuat. Situasi
begini pada umumnya menyukarkan usaha MAIN untuk pembangunan dan pengawalan
harta wakaf. Apa yang lebih dikhuatiri ialah cadangan pembangunan yang
dilakukan oleh MAIN ke atas tanah tersebut bertentangan dengan tujuan dan niat
pewakaf sebagai amanah yang perlu ditunaikan .
Masalah Pentadbiran dan
Pengurusan
Bahagian Unit Wakaf adalah satu
bahagian kecil yang digabung dengan Unit Baitulmal dan diterajui oleh beberapa
orang Pegawai Agama di MAIN yang bertanggung jawab ke atas semua hal yang
berkaitan dengan harta Baitulmal dan lain-lain urusan. Melihat kepada bidang
tugas ini, sudah jelas menunjukkan bilangan kakitangan dan tenaga kerja yang
menjalankan urusan wakaf amat terhad. Ini adalah faktor utama terbantutnya
kelicinan perjalanan urusan wakaf. Situasi ini tidak mungkin dapat melaksanakan
program dan perancangan dengan sempurna. Pegawai Baitulmal dan Wakaf terpaksa
memikul semua beban tanggung jawab yang melibatkan dua institusi yang agak besar, iaitu Baitulmal dan Wakaf
pada satu masa. Jika dilihat kepada perkembangan antara dua institusi ini
nampaknya MAIN lebih memberi keutamaan dan penumpuan kepada institusi
Baitulmal. Kemungkinan disebabkan oleh beberapa faktor tertentu, institusi
wakaf tidaklah begitu ketara peranan dan fungsi yang seharus dan sepatutnya
dilaksanakan.[30]
Implikasi
daripada penggabungan dua institusi ini secara tidak langsung bidang kuasa yang
diperuntukkan kepada Unit Wakaf amat terhad dan terbatas. Pertindihan dua kerja
yang dikendalikan oleh seorang pegawai menyempitkan lagi bidang kuasa Pegawai
Wakaf. Permasalahan ini turut mempengaruhi kuasa pegawai dalam menentukan
sebarang polisi dan keputusan pelaksanaan sesuatu projek pembangunan. Unit
Wakaf terpaksa melalui beberapa proses yang agak rumit. Sebarang projek yang
ingin dibangunkan mestilah terlebih dahulu mendapat persetujuan Mesyuarat
Majlis dan mendapat perkenan KDYMM al-Sultan.
Apa yang jelas
senario ketidak seimbangan ini akan mempengaruhi setiap aspek pentadbiran harta
wakaf termasuk aspek pembangunan, kewangan, pendaftaran pindah milik,
penyediaan data dan maklumat wakaf, pemantauan lokasi dan penyewaan tanah
wakaf dan lain-lain. Kesan negatif ini
menyebabkan sesuatu tindakan yang diambil agak lembab dan sukar untuk
bertindak. Di kalangan para pegawai MAIN
terdapat juga yang menjawat jawatan sementara atau sambilan. Jawatan ini diberi
secara kontrak. Mereka ini kebanyakannya adalah terdiri daripada. Pertukaran
pegawai ini menimbulkan kesan negatif terhadap pentadbiran dan pengurusan MAIN,
khususnya dari aspek perancangan pembangunan harta wakaf. Fenomena ini bukan
asing lagi berlaku di bawah pentadbiran MAIN. Malah terdapat juga pentadbir
harta wakaf yang ada pada hari kebanyakannya terdiri daripada tenaga baru.
Mereka ini mengambil alih tugasan pegawai terdahulu dan terpaksa menanggung
bebanan kerja yang sama dan menghadapi permasalahan yang sama akibat tiadanya
perubahan dan pembaharuan dalam pentadbiran dan pengurusan.
MAIN juga
mengalami masalah kekurangan kakitangan yang mahir dalam bidang pembangunan,
lebih-lebih lagi yang mempunyai pengalaman sebagai eksekutif korporat dan
berjiwa keusahawan. Sistem korporat yang dirancang tidak menepati sasaran
kerana kakitangannya tidak banyak didedahkan dengan latihan dan kursus
pemantapan pentadbiran yang cekap. Bagi menyelesaikan permasalahan yang di
hadapi oleh MAIN, kini telah tiba masanya rombakan dalam struktur organisasi
pentadbiran dan penyusunan semula mesti dilakukan dengan melihat kepada jumlah
keluasan harta tanah wakaf yang berada di bawah kawalan MAIN dan bebanan
tanggung jawab yang terpaksa dipikul oleh para pegawai.
Antara langkah
awal yang perlu diambil ialah melakukan reformasi dalam pentadbiran dengan
memisahkan antara Unit Wakaf dengan Baitumal dan kedua-dua unit ini perlu
ditadbir secara berasingan. Hasil daripada pengasingan ini sudah tentu
menyenangkan pihak MAIN untuk memberi tumpuan yang lebih serius dan spesifik
terhadap pengurusan harta wakaf. Malah perubahan ini dilihat sebagai usaha
positif yang bertujuan untuk membawa pembaharuan terhadap sistem pentadbiran MAIN
agar dapat dikemaskinikan dan berupaya melaksanakan tugas secara lebih komprehensif
dan kompetitif terutama dalam membangun harta wakaf.
Strategi dasar
pembaharuan pengurusan ini boleh dicadangkan kepada dua strategi jangka pendek
dan juga jangka panjang. Sekiranya cadangan ke arah pembentukan Jabatan
Baitulmal dan Wakaf Negeri dikatakan masih terlalu awal dan terpaksa melalui
beberapa prosedur yang agak rumit, maka pihak MAIN perlu mengemaskinikan
bahagian wakaf yang tersedia ada. Melalui strategi ini Unit Wakaf tetap
dikekalkan di bawah Unit Baitulmal, tetapi bidang tugas antara dua unit ini
perlu diasingkan, sekaligus para pegawai yang mengendalikan kedua-dua unit ini
berjalan secara berasingan.
Unit
Wakaf hendaklah dikendalikan oleh seorang Pegawai Eksekutif yang berjawatan
tinggi dan dibantu oleh beberapa orang pegawai serta dibantu oleh penolong
pegawai tadbir lain. Kakitangan yang diperlukan bagi menggerakkan dan
melaksanakan tugas-tugas khas antaranya ialah Pegawai Ekonomi, Pegawai
Perancang dan Pembangunan, Panel
Perundangan Syariah, Juruaudit, Jurutera dan Arkitek, Akauntan, Jurukur
dan pegawai lain yang diperlukan dari semasa ke semasa.
Pegawai
Eksekutif yang mengetuai unit wakaf dicadangkan seorang yang bersifat
keusahawanan yang mampu mentadbir harta wakaf secara ala perniagaan supaya
harta wakaf dapat dibangunkan dengan lebih ekonomik, tidak membazir dan
menepati matlamat sebenar kewujudan harta wakaf untuk kepentingan umat Islam.
Adalah lebih baik sekiranya Pegawai Eksekutif dilantik daripada kalangan mereka
yang berpengalaman dalam perancangan pembangunan harta tanah dan mempunyai
fikiran terbuka, di samping mempunyai identiti keislaman. Kombinasi antara
pegawai profesional yang berstatus korporat dengan dibantu oleh pakar
penyelidikan yang mengkaji dari aspek hukum fiqh dan perundangan membolehkan
unit wakaf mampu membuat perancangan
yang lebih berkesan dan perancangan akan
menjurus kepada satu bentuk pengurusan yang mempunyai arah tuju yang
sama. Masalah percanggahan hukum dan perundangan dalam sebarang tindakan yang diambil tidak akan timbul lagi.
Selaras dengan
objektif bagi memastikan peningkatan
prestasi mutu kerja dan keberkesanannya, pihak MAIN perlu mendedahkan para
pegawai dan kakitangannya dengan latihan intensif berbentuk kursus atau seminar
pemantapan pengurusan dan pentadbiran wakaf secara berterusan. Langkah ini
diambil agar mereka lebih profesional dalam bidang masing-masing dan peka
terhadap permasalahan semasa yang di hadapi oleh MAIN .
Pengesyoran
penambahan kakitangan tidak semestinya dilakukan secara serentak. MAIN boleh
mengambil tenaga kerja secara berperingkat-peringkat dengan melihat kepada
keperluan semasa. Namun begitu para pegawai yang tersedia ada yang bertaraf
sementara perlu dinaikkan tarafnya sebagai pegawai tetap sejajar dengan peranan
yang dimainkan oleh Majlis dan beban tugasnya pada masa hadapan. Jawatan yang
dianggap penting pada masa ini antaranya seperti pengambilan tenaga kerja untuk
menjalankan urusan pungutan hasil sewa, mengemas kini fail wakaf dan merekod
maklumat, Pegawai Penempatan, Pegawai
Penyelidik dan Perunding dan lain-lain yang dianggap penting. Mereka ini tidak
semestinya diambil sebagai pekerja tetap, malahan secara kontrak sehingga
sampai ke suatu masa MAIN memerlukan perkhidmatan berjawatan tetap dengan
melihat kepada kemampuan kewangan dan keuntungan yang memberangsangkan hasil daripada gerak kerja
mereka. Tindakan ini secara tidak langsung dapat mengatasi kekurangan tenaga
kerja dan pertindihan tugas tanpa terikat atau menunggu arahan daripada Jabatan
Perkhidmatan Awam (JPA) dalam soal peraturan dan pembayaran gaji kakitangan.
Cadangan strategi jangka panjang pula, dalam usaha untuk
melihat pentadbiran wakaf lebih maju dan dapat menyaingi institusi yang lain,
maka MAIN perlu melangkah jauh ke hadapan dengan merubah keseluruhan dasar
polisi dan jentera pentadbiran yang sedia ada, khususnya dalam pentadbiran Unit
Wakaf dan Baitulmal. Walaupun dari segi kaca mata dan pandangan umum
menampakkan ia suatu tindakan pelaksanaan yang agak rumit yang memerlukan
tempoh masa yang panjang dan terpaksa melalui beberapa prosedur yang perlu
dikaji secara terperinci, namun tidak mustahil suatu hari nanti ia dapat dilaksanakan dengan jaya dan
sokongan daripada pelbagai pihak amat diperlukan.
Usaha ini
dilakukan dengan menubuhkan jabatan khas atau dinamakan Jabatan Baitulmal dan
Wakaf Negeri. Jabatan Baitulmal dan
Wakaf dijadikan satu badan berkanun yang mempunyai kuasanya yang tersendiri.
Jabatan ini diketuai oleh Pegawai Eksekutif yang merangkap sebagai Pengarah dan
dipangku oleh Timbalan Pengarah serta dibantu oleh beberapa orang pegawai
tadbir yang menerajui bahagian utama seperti Pegawai Ekonomi, Pegawai
Pembangunan dan Pelaburan, Pegawai Penyelidikan, Kajian dan Perancang, Pegawai
Penguatkuasa, Pegawai Kutipan dan Agihan dan lain-lain. Implikasi daripada
rombakan ini, bidang kuasa yang diperuntukkan amat luas dan sebarang keputusan
Jawatankuasa Wakaf dapat diputuskan secara muktamad tanpa terikat atau
dikongkong oleh mana-mana pihak. Panel penggubal adalah terdiri daripada Ahli
Lembaga Pengarah Wakaf dan bukan lagi bersifat sebagai pelaksana polisi
sebagaimana yang ada pada hari ini. Bidang kuasanya adalah setaraf dengan
Jabatan Agama Islam dan Majlis Agama Islam. Ini bermakna Jabatan Baitumal dan
Wakaf negeri tidak diletakkan di bawah pentadbiran Majlis Agama Islam.
Polisi ini tidak bermakna menafikan sama sekali kuasa
yang ada pada Majlis Agama Islam atau mengetepikan langsung keputusan yang
dikemukakan oleh Majlis. Namun fungsi Majlis berperanan sebagai Penasihat,
merangkap Pengerusi kepada sebarang cadangan pembangunan yang ingin dilaksana
oleh Jabatan Baitulmal dan Wakaf. Ahli
Jawatankuasanya adalah terdiri daripada beberapa orang Anggota Majlis, Ahli
Dewan Ulama, ahli akademi dan beberapa orang awam yang dikenali dan dihormati
dalam masyarakat. Jika cadangan penstrukturan ini diterima oleh Majlis, ruang
pejabat dan susun atur pejabat hendaklah turut sama disusun semula, berbanding
dengan ruang pejabat yang ada sekarang ini agak sempit. Sebuah bilik fail perlu
disediakan dan dilengkapi dengan rak atau kabinet yang sesuai dan selesa
dipandang.
Pegangan dan Pengkalan Data
Tanah Wakaf
Seperti yang sedia maklum, berdasarkan kepada kajian-kajian lepas
menunjukkan bahawa rekod dan dokumentasi tanah-tanah wakaf di Malaysia adalah
antara isu dan masalah utama sebagai faktor penyumbang kepada kegagalan tanah
wakaf untuk didaftar dan dibangunkan.[31]
Sebagai contoh terdapat sebanyak 2,477 Lot tanah yang diwakafkan di bawah MAIJ,
namun 70% daripadanya iaitu 1,734 Lot sahaja yang direkod. Manakala 30% lagi
masih tidak direkod dan belum ditukar milik dan tidak diketahui dengan sebenar
lokasi, perletakan, keluasan tanah dan lain-lain. Keadaan yang sama juga
berlaku di negeri-negeri lain seperti di Melaka, Kedah dan Terengganu.[32]
Di Malaysia terdapat banyak tapak
masjid, surau dan kubur yang dibina di atas tanah kerajaan dan belum
dipindahmilik kepada MAIN.[33]
Terdapat tanah wakaf yang mempunyai data maklumat yang kabur dan belum
didaftarkan sepenuhnya di dalam buku Pendaftaran Tanah Wakaf bagi semua jajahan
di negeri Kelantan. Malahan terdapat kedudukan lot-lot tanah yang tidak
diketahui secara jelas. Sesetengahnya pula tidak mempunyai maklumat berekod
yang lengkap dan bersistematik. Ini berikutan kebanyakan tanah yang diwakafkan
suatu ketika dahulu dibuat secara lisan atau bermulut. Sesetengah Surat Cara Wakaf tidak dapat
dibaca kerana telah kabur dan tempoh masa yang terlalu lama serta ditulis dalam
tulisan jawi lama. Oleh itu, jumlah
sebenar keluasan tanah wakaf di Kelantan
hingga kini tidak dapat ditaksir dengan tepat.
Terdapat juga
tanah Wakaf Khas yang belum diproses dan dipindah milik kepada MAIN dan tidak
didaftar di pejabat Tanah sebagai tanah rezab kerajaan, khususnya tanah wakaf
masjid dan tanah perkuburan. Tanah-tanah ini ditadbir secara persendirian oleh
pemegang amanah masing-masing yang sukar dikesan dan ditentukan jenis-jenisnya.
Keadaan ini mendatangkan masalah semasa pembayaran cukai tanah. MAIN hanya
mengetahui apabila adanya laporan daripada pihak yang prihatin tentang kemulian
harta wakaf seperti Imam Masjid, Ketua Kampung dan sebagainya. Perkara ini
berbangkit apabila berlakunya pertelingkahan dengan pihak yang berkepentingan.
Ekoran
daripada timbulnya permasalahan yang disebutkan ini akan wujudnya tuntutan
daripada ahli waris ke atas tanah wakaf yang tidak mempunyai rekod penyerahan
melalui surat
tuntutan atau melalui peruntukan undang-undang mahkamah. Justeru itu Majlis
terpaksa mengeluarkan kos perbelanjaan yang tinggi untuk membela hak Majlis sebagai Badan
Pengawal. Proses perundangan ini biasanya memakan masa yang lama. Kesannya,
perancangan pembangunan harta tanah tidak dapat berjalan dengan lancar sehingga
pertikaian dapat diselesaikan. Kebanyakan tanah-tanah yang terlibat adalah mempunyai kadar nilaian
harga yang tinggi dan terdapat permintaan yang tinggi daripada pembeli.
Ciri-ciri tanah ini mempunyai nilai ekonomi dan berpotensi untuk tujuan
pembangunan.
Sebagai
strategi awal penekanan kepada usaha drastik terhadap pengemas kinian data bagi
mengenal pasti kedudukan harta wakaf secara terperinci terutama dari segi
kesahihan harta wakaf, lokasi dan wasiat pewakaf serta tindakan pendaftaran
harta wakaf melalui proses pindah hak milik perlu dilaksanakan. Akibat daripada
kelemahan ini pelbagai masalah telah timbul dalam pentadbiran dan pengurusan
harta wakaf MAIN .
Kajian dan penyelidikan semula serta siatan dari semasa ke semasa perlu
dijalankan ke atas keseluruhan tanah wakaf di bawah kawalan MAIN Perubahan dan
pembaharuan dalam sistem data pengumpulan harta wakaf mesti dilakukan sejajar
dengan ledakan arus perkembangan dunia teknologi maklumat berkomputer masa
kini. Maklumat harta wakaf yang terkandung dalam dokumen bertulis yang agak
lama tidak sesuai lagi dijadikan sumber rujukan kerana ia melengahkan usaha
untuk meneliti setiap timbunan fail yang mengambil masa yang panjang.
Keseluruhan
harta wakaf perlu dikemaskinikan di dalam sistem pengisian maklumat berkomputer
atau dikenali sebagai bank data. Segala maklumat seperti butir-butir pewakaf,
jenis wakaf, lokasi, keluasan, nombor lot tanah, nombor pendaftaran, kegunaan
tanah wakaf, nama penyewa, kadar sewa, jumlah pungutan dan tunggakan sewa serta
lain-lain maklumat yang diperlukan diisi dengan lengkap dan sempurna mengikut
daerah. Antara keistimewaan sistem ini ialah ia mudah diurus, bersistematik dan
paling cekap serta pantas bagi tujuan pentadbiran.
Selain itu ia
menjimatkan kos kewangan, pembaziran masa dan tenaga kerja sekaligus berupaya
menyelesaikan masalah kekurangan kakitangan, masalah kekaburan harta wakaf,
pungutan sewa, tunggakan sewa dan lain-lain lagi. Data-data yang telah
dikemaskini berupaya memberikan gambaran yang jelas tentang kedudukan semasa
pembangunan harta wakaf dan meningkatkan mutu kerja, prestasi pembangunan dan
analisis kemajuan dari segi ekonomi.
Berdasarkan
maklumat yang lengkap, MAIN secara tidak langsung dapat menyediakan laporan
kewangan dan perancangan pembangunan serta aktiviti semasa dengan sempurna.
Seterusnya dapat menerbitkan laporan rasmi tahunan yang lengkap dan terperinci.
Selain laporan tahunan dapat menerbitkan laporan bulanan dan diedar kepada
orang ramai untuk pengetahuan mereka tentang perkembangan kemajuan pengurusan MAIN . Ini kerana maklumat yang disampaikan kepada
masyarakat amat penting. Segala kemajuan dan kejayaan MAIN akan menarik minat
lebih ramai penyertaan awam untuk terlibat sama dalam membantu MAIN
meningkatkan sumber ekonomi. Seterusnya meningkatkan kepercayaan masyarakat
terhadap kredibiliti MAIN sebagai badan yang menguruskan harta wasiat umat Islam. Fail-fail wakaf hendaklah dikemaskini
dari semasa ke semasa termasuk cara peletakan nombor fail dan penyusunan fail
di atas rak atau di dalam kabinet. Tujuannya supaya fail dapat diperoleh dengan
mudah apabila dikehendaki. Setiap pergerakan fail hendaklah direkod.
Masalah Pembangunan Harta
Tanah Wakaf
Berdasarkan kepada hasil
pembangunan yang dijalankan oleh MAIN di beberapa buah negeri sehingga ke hari
ini tidak menampakkan hasil kejayaan yang boleh dibanggakan, malah masih kekal
berada pada takuk dan tahap yang sama. Jika keadaan ini berterusan, maka ia di
anggap menyimpang daripada objektif Unit Wakaf dan Baitulmal iaitu mengembang
dan meluaskan harta wakaf dalam negeri ini dengan memperkemaskan dan menyusun
semula sistem pentadbiran dengan lebih sempurna mengikut keperluan semasa dan
tidak bercanggah dengan hukum syarak.
MAIN tidak mempunyai suatu polisi atau program rancangan
pembangunan sama ada rancangan jangka pendek maupun jangka panjang untuk
membangun tanah wakaf. Sehingga kini tidak ada projek komersial yang mampu
menjana ekonomi yang mantap. Hasil daripada kajian mendapati bahawa agenda
pembangunan di bawah Unit Pelaburan dan Pembangunan sebahagian besarnya adalah
tertumpu kepada penyewaan tanah wakaf kepada golongan yang kurang mampu bagi
membina rumah kediaman sementara.
Apa yang jelas isu pembangunan harta tanah wakaf ini
tidak dieksploitasikan kepada masyarakat umum yang bertindak sebagai rakan
kongsi kepada MAIN . Maklumat ini tidak
disebarkan. Melalui laporan ini sebarang kajian perbandingan dan analisis
tentang indek prestasi kegiatan pembangunan ekonomi MAIN dapat ketahui dengan
mudah. Terdapat banyak agenda pembangunan yang dirancang oleh MAIN namun ia
belum menjadi kenyataan.
Tanah Wakaf Khas saraan masjid, surau, kubur dan sekolah
agama rakyat boleh dimajukan juga, tetapi ia bergantung kepada kebijaksanaan
Ahli Jawatankuasa masjid berkenaan untuk membangunkannya. Ia boleh dibangunkan dengan pembinaan rumah atau
kedai sewaan. Namun permasalahan kurangnya pengalaman AJK masjid mengurus tanah
wakaf, di samping masalah kewangan dan lain-lain, akhirnya tanah terbiar begitu
sahaja.
Bagi
membangunkan tanah-tanah wakaf ini, pihak MAIN boleh mengambil inisiatif dengan
membina rumah-rumah kediaman kos rendah khususnya bagi penghuni yang sekian
lama tinggal di atas tanah wakaf sebelum ini.
MAIN boleh mengenakan kadar sewaan yang lebih tinggi daripada kadar sewa
tapak tanah wakaf sebelum ini. Kadar sewa ini adalah berdasarkan kepada status
penyewaan rumah dan bukan lagi penyewaan tanah. Kadar sewa adalah lebih tinggi
bersesuaian dengan kemampuan mereka menduduki kediaman yang lebih selesa dan
kemudahan infrastruktur yang lain turut disediakan.
Penyertaan Awam
Bagi merealisasikan segala
perancangan pembangunan, MAIN memerlukan kepada sokongan dan penyertaan awam
sama ada daripada badan swasta atau badan kerajaan. Berdasarkan kepada kewangan
dan keupayaan yang ada, badan ini tidak mampu untuk melaksanakannya secara
sendirian tanpa bantuan agensi luar yang mempunyai dana modal yang kukuh. Antara
saluran terbaik untuk mengatasi masalah ini konsep pengswastaan dan usaha sama
boleh dilakukan, di mana MAIN boleh mengadakan satu ikatan kontrak dengan
pemaju untuk beberapa tempoh tertentu yang dipersetujui oleh kedua-dua belah
pihak. Melalui konsep ini MAIN boleh
membuat pilihan sama ada modal dibiayai sepenuhnya oleh pihak pemaju tanpa
melibatkan cagaran dan gadaian harta tanah, atau dikongsi modal bersama
berasaskan konsep usaha sama. Pulangan hasil akan diperoleh oleh pihak MAIN
untuk jangka masa yang panjang bergantung kepada tempoh yang disepakati.
Setelah tamatnya tempoh tersebut, bangunan atau kediaman itu akan dimiliki hak
sepenuhnya oleh MAIN . Pembinaan bangunan
melalui cara ini amat digalakkan dan lebih menguntungkan daripada tanah wakaf
berada dalam keadaan terbiar menunggu masa dan ketika untuk dibangunkan.
Halangan Fizikal
Dalam rancangan untuk membangun
tanah wakaf melalui projek pembangunan, pertanian dan penempatan memerlukan
keluasan tanah dan lokasi yang strategi. Bagi memenuhi kretaria ini MAIN
menghadapi masalah kerana banyak tanah yang diwakafkan terdiri daripada lot-lot
tanah yang kecil dan kedudukan lokasinya yang berjauhan dari kawasan bandar dan
berselerak. Tidak kurang juga tanah-tanah ini tidak berpotensi dan tidak
berdaya maju serta tidak produktif untuk dibangunkan dalam tempoh yang terdekat
ini. Akibatnya tanah berkenaan terbiar begitu sahaja tanpa dapat memberi
apa-apa pulangan kepada MAIN, lebih-lebih lagi kepada umat Islam seluruhnya.
Bagi mengatasi
masalah ini, MAIN perlu melaksanakan
konsep istibdal yang boleh dilaksanakan
melalui tiga bentuk. Antaranya dengan tukaran, belian atau jualan. Konsep
pembelian semula tanah wakaf boleh dilaksanakan melalui penjualan tanah wakaf
yang tidak mempunyai nilai ekonomi dan tidak berdaya maju atau yang bersaiz
kecil kepada pihak lain. Hasil daripada penjualan tersebut disalurkan untuk
membeli tanah lain sebagai ganti tanah
wakaf yang mempunyai ciri-ciri tanah yang berdaya maju
dan dijangka memberi pulangan hasil keuntungan yang berlipat ganda. Dalam
melaksana konsep ini beberapa aspek utama perlu diambil kira terutamanya dari
aspek hukum syarak, pembangunan semula, faedah kepada pemegang amanah dan cucu
cicit pewakaf. Nilaian dan saiz keluasan tanah yang hendak diganti tidak boleh
kurang daripada kadar nilaian pasaran semasa dan keluasannya tidak kurang
daripada keluasan tanah yang asal. Selain itu, pembelinya adalah disyaratkan
seorang Islam. MAIN boleh menggantikan melalui pembelian tanah yang berada di
kawasan pusat Bandar lebih strategi dan menjadi tumpuan ramai.
Konsep ini tidak
boleh dipakai bagi tanah Wakaf Khas yang diwasiatkan secara khusus untuk tapak
pembinaan masjid, surau atau tanah perkuburan, kecuali lokasinya berdekatan
ataupun berada di dalam kawasan yang sama dengan tanah wakaf yang asal sebagai
gantian. Bagi tanah Waqf Dhurri atau tanah yang diwakafkan kepada
cucu cicit perlulah mendapatkan
kebenaran dan pandangan daripada pewaris yang berhak kerana mereka juga
mempunyai kepentingan terhadap tanah tersebut. Sekiranya terdapat tanah wakaf
kubur atau masjid serta surau yang mempunyai keluasan yang besar dan belum
dibangunkan, M.A.I.K. boleh mengganti atau menjualnya berdasarkan keharusan
mengikut pandangan mazhab Hanbali. Tanah jenis ini adalah menjadi pilihan yang
terakhir dalam konsep istibdal, bergantung kepada keadaan
dan kepentingan umum jika perlu.
Masalah Kesedaran Sosial dan
Kemasyarakatan
Pemahaman tentang hak dan
tanggungjawab terhadap harta amanah kurang diberi perhatian oleh masyarakat
pada hari ini. Terdapat di kalangan mereka yang menyewa tanah-tanah wakaf dikategorikan
tidak layak menduduki tanah wakaf kerana mereka bukan terdiri daripada golongan
miskin. Kedapatan juga tanah wakaf yang dijual oleh anak-anak penyewa asal
kepada pihak ketiga tanpa menukar nama pemilik dan di luar pengetahuan MAIN dengan harga yang tinggi. Pihak pertama
(penyewa asal) yang mendiami tanah tersebut telah lama meninggal dunia dan
diwarisi oleh waris atau isteri atau anak. Ada juga tanah wakaf yang dijual dan
ditukar nama secara sah walaupun tiada surat perjanjian.
Terdapat
juga harta tanah yang diwakaf oleh pewakaf melibatkan tanah yang tidak
mempunyai nilai ekonomi. Andaian boleh dibuat bahawa pewakafan harta oleh
mereka ini adalah untuk mengelakkan cukai tanah atau tanah tersebut tidak
mendatangkan apa-apa manfaat kepada
pemilik, sama ada untuk pertanian atau pembangunan lain. Begitu juga dengan
mentaliti umat Islam yang hanya berpegang bahawa sedekah jariah
(wakaf) hanya berlegar pada masjid atau surau sahaja. Bagi mengatasi
masalah ini agar tidak berlarutan dan berpanjangan, kefahaman yang mendalam
perlu diketengahkan kepada masyarakat perihal kepentingan harta wakaf untuk
dimanfaatkan bersama-sama oleh seluruh umat Islam khususnya kepada mereka yang
berhak menikmatinya. Kepentingan umum perlu diutamakan daripada kepentingan
peribadi.
Selain itu, kesedaran
tentang kepentingan harta wakaf untuk kegunaan ummah keseluruhannya perlu
ditingkatkan lagi. Masyarakat sekeliling juga perlu bertindak dan prihatin
terhadap tanggung jawab memelihara amanah harta wakaf dengan membuat laporan
segera kepada MAIN jika ada sebarang pencerobohan yang berlaku ke atas tanah
wakaf. Sikap mementingkan diri sendiri tidak akan mencapai konsep keadilan
hidup bermasyarakat dan perancangan pembangunan tanah wakaf tidak akan menjadi
kenyataan selagi sikap negatif ini tidak diubah.
MAIN juga perlu menggalakkan lagi masyarakat mewakafkan
harta lebihan mereka untuk memperbanyakan lagi keluasan tanah wakaf di
Kelantan, khususnya tanah Wakaf Am. Tanah yang hendak diwakafkan itu adalah
daripada jenis yang mempunyai nilai ekonomi dan strategi serta berdaya maju
untuk dibangunkan pada masa sekarang dan bukannya mewakafkan lebihan harta yang
tidak diingini serta tidak berkeupayaan untuk dibangunkan atas sebab-sebab
seperti yang disebutkan sebelum ini.
Nilaian Kadar Sewa
Isu berkaitan kadar dan nilaian
sewaan tanah wakaf/ premis yang terlalu rendah telah diperkatakan agak sekian
lama. Permasalahan yang berkait dengan kadar sewa yang terlalu rendah
berbanding nilaian semasa bagi harta tanah wakaf adalah antara masalah yang
agak ketara, khususnya bagi penyewaan tapak tanah kediaman. Dasar pemberian sewaan tanah ini telah lama
diamalkan sejak dahulu lagi. Walaupun MAIN telah menjadi pengawal harta wakaf,
namun sebelum ini tidak ada prosedur yang sistematik telah dilaksanakan bagi
mengatasi permasalahan ini. Cadangan untuk menaikkan kadar sewa tanah wakaf
milik MAIN turut menimbulkan rasa ketidakpuasan hati di kalangan penyewa
biarpun kadar yang disewa sebelum ini jauh lebih rendah daripada harga
nilaian semasa.
Antaranya kajian yang dibuat oleh Kamarudin Ngah boleh dijadikan ukuran dan
indeks kadar sewaan tanah wakaf di Malaysia. Sebagai contoh di Bandar Melaka
sewa tanah wakaf adalah antara RM1.00 hingga RM14.00 sebulan. Manakala kadar
sewaan tanah dan rumah kedai adalah antara RM17.75 sehingga RM430.00 sebulan.
Di negeri Perak hampir ke semua tanah yang disewa pada akhir dan awal kurun
ke-19 dikenakan sewaan pada kadar RM1.00 sebulan untuk tempoh 99 tahun. Bagi
tanah yang disewa antara tahun 1964 dan 1965 dengan tempoh 66 tahun, kadar
sewaannya adalah sebanyak RM10.00 sebulan. Secara umumnya kadar sewaan ini amat
rendah terutama tanah wakaf yang berada di pusat bandar berbanding dengan kadar
sewaan semasa. Situasi ini akan mempengaruhi pendapatan Majlis Agama Islam
Negeri yang amat rendah.[34]
Di negeri
Melaka, MAIM juga berhadapan dengan masalah penyewa yang enggan menerima skim
baru tarif sewaan tanah dan premis wakaf yang mereka duduki. Keadaan ini
menyukarkan MAIM untuk membuat penyusunan semula tarif sewaan premis dan tanah
wakaf miliknya.[35] Lebih menyukarkan apabila tanah dan
premis tersebut disewa sebelum merdeka dengan kadar nilaian sewa yang terlalu
murah. Contohnya rumah kedai di Lot 2 Jalan Hang Kasturi sebanyak RM108 sebulan
atau RM1296 setahun dan di Lot 331 Jalan Kampung Kuli disewa dengan kadar
RM30.00 sebulan atau RM360.00 setahun.[36] Di negeri Kelantan, Bagi sewa harta tanah
wakaf, Majlis telah menetapkan kadar sewa iaitu bagi setiap keluasan 1600 kaki
persegi bernilai RM 80.00 setahun (RM 6.66 sebulan). Kadar nilai harga sewa ini
adalah merangkumi sama ada tanah wakaf
yang berada di kawasan bandar atau di luar bandar.
Di bandar Kota
Bharu, misalnya kadar sewa bagi kebanyakan tapak kediaman adalah antara RM 1.00
hingga RM 10.00 sebulan. Bagi Lot 12,
Mukim Kedai Buluh kadar sewanya adalah RM 2.08 sebulan dengan keluasan 1 ekar
467 depa yang didiami seramai 18 orang penyewa. Begitu juga dengan Lot 174 Seksyen 1, Lot 32 Seksyen 4,
Lot 145 Seksyen 4 dan Lot 266
Seksyen 28, purata kadar sewanya adalah RM 5.00 sebulan. Lot-lot tersebut agak
luas melebihi 13 ekar dengan jumlah bilangan penyewa seramai 86 orang. Terdapat
juga beberapa Lot lain di bandar Kota Bharu yang disewa dengan kadar yang
begitu rendah, antaranya Lot 112 Seksyen
3, kadar sewanya adalah antara RM 5.00 hingga RM 10.00 sebulan. Bagi kadar sewa
di luar jajahan Kota Bharu pula, kadar sewanya adalah sama sebagaimana di
kawasan bandar. Antaranya Lot 922, di Mukim Kasar Pasir Mas, kadar sewanya
adalah rendah iaitu RM 1.00 sebulan dengan keluasan 1 ekar 225 depa, dan
didiami seramai 12 orang penghuni.[37]
Masalah Kewangan
Dalam menangani isu ini adalah tidak adil sekira kita meletakkan kesalahan
sepenuhnya di atas bahu MAIN yang satu-satunya badan yang menjaga kepentingan Agama
Islam dan orang Melayu yang sentiasa dikaitkan dengan isu kemiskinan dan
kemunduran dari sudut pembangunan. Usaha pengembelingan tenaga daripada
semua pihak dan rasa tanggung jawab melahir kesedaran ta‘awun perlu
wujud bagi menambahkan dana perbendaharaan Islam untuk membangunkan tanah
wakaf secara efektif dan produktif,
sekaligus meningkatkan kualiti taraf hidup dan sosio ekonomi orang Melayu yang
menjadi kaum majoriti di negeri Kelantan dan penghuni tanah wakaf.
Melihat kepada deraf rancangan pembangunan
harta wakaf, MAIN mampu memperoleh
sumber kewangan yang besar sekiranya pelan rancangan ini menjadi sebuah
kenyataan. Oleh itu sumber modal menjadi isu polemik yang mesti diberi
keutamaan. Dasar penubuhan beberapa institusi kewangan Islam dan konvensional
yang mengamalkan sistem Islam di Malaysia membuka ruang yang luas untuk
membantu badan tertentu atau orang perseorangan meningkatkan sumber pendapatan
melalui kaedah pinjaman tanpa riba yang dihalalkan.
Oleh
itu selaras dengan objektif penubuhan institusi ini MAIN boleh mendapat
kemudahan pinjaman modal bagi tujuan pembangunan harta wakaf. Institusi
kewangan dan badan yang terbabit perlu bekerja sama dan menyedari bahawa hanya MAIN
sahaja yang berusaha merancang pembangunan harta tanah wakaf bagi kepentingan
Agama Islam dan orang Melayu di Malaysia. Proses pinjaman ini perlu
dipermudahkan dalam tempoh jangka masa yang singkat dan beberapa pengecualian
lain serta kelonggaran perlu diberikan keutamaan kepada MAIN. Antaranya bentuk
bayaran pinjaman tidak terikat dengan masa yang terlalu singkat dan cagaran
lain diketepikan seperti yang disyaratkan dalam mana-mana pinjaman. Ini kerana
harta wakaf tidak boleh dijadikan cagaran kepada mana-mana pihak.
Usaha
untuk meningkatkan nilai dan kemasukan aliran tunai ke dalam Tabung Kumpulan
Wang Wakaf tidak boleh bergantung
sepenuhnya kepada agensi kerajaan maupun swasta semata-mata. MAIN perlu mengambil inisiatif tersendiri antaranya memperkenalkan dan
mengembangkan konsep wakaf tunai seperti yang dipraktikkan oleh Yayasan North
America Islamic Trust[38]
dan ia telah digunakan secara meluas oleh negara Islam yang lain sejak dahulu
lagi. Melalui konsep ini ia dapat menarik lebih ramai pewakaf yang ingin
menyertainya dan menyumbang wang mengikut kadar kemampuan individu. Ini kerana
tidak semua masyarakat memiliki harta tanah atau aset kekal yang boleh
disumbang untuk dijadikan harta wakaf.
Pihak MAIN
digesa agar menyediakan infrastruktur yang lengkap untuk membolehkan masyarakat
mewakafkan barang-barang yang boleh dipindah (Manqul).
Usaha seperti ini secara tidak langsung meningkatkan jumlah harta wakaf. Konsep
ini bukan hanya terhad kepada aset yang berbentuk wang tunai sahaja, malahan
mekanisme lain yang menyerupai tunai juga diperluaskan seperti bon dan
seumpamanya. Pendekatan lain juga perlu diambil dengan memperluaskan lagi
konsep pewakafan harta melalui saham wakaf sebagaimana yang dilaksanakan oleh
Majlis Agama Islam Johor[39]dan
Majlis Agama Islam Pulau Pinang. Saham wakaf ini membuka peluang kepada individu
untuk menyumbang kepada pembelian harta wakaf melalui unit-unit saham wakaf.
Melalui cara ini unit saham individu boleh dikumpulkan dan dikongsi untuk
membeli harta wakaf yang lain seperti tanah atau bangunan. Konsep ini telah
menampakkan hasilnya dengan peningkatan dana wakaf dari setahun ke setahun dan mampu memberi
sambutan yang membanggakan terhadap projek pengumpulan dana wakaf.[40]
Kesimpulan
Amalan pengurusan wakaf di Malaysia masih belum dapat menjalankan fungsinya
secara efektif dalam menggerakkan ekonomi ummah dan orang Melayu khususnya.
Institusi wakaf seharusnya menjadi nadi kepada orang Melayu dalam meningkatkan
keupayaan pemilikan modal kekayaan dan ekuiti mereka. Institusi ini perlu
diberi nafas baru agar ia menjadi sebuah institusi terunggul yang menjana
kekayaan orang Melayu dan pengagihan secara adil. Melalui sokongan padu pihak
kerajaan dan pihak-pihak berkaitan instrumen wakaf diyakini mampu dapat
melestarikan sistem jaminan sosial kepada orang Islam /Melayu khususnya bagi
memastikan mereka tidak terus ketinggalan dalam arus pembangunan menjelang
tahun 2020.
Bibliografi
Ahmad Zaki Hj
Abd Latif, Zuina bt Ismail, Norzaidi bin Mohd Daud (2006), “Pengurusan Harta
Wakaf dan Potensinya ke Arah Kemajuan Pendidikan Umat Islam di Malaysia”, (Konvensyen Wakaf Kebangsaan 2006, Anjuran Jabatan Wakaf Zakat dan
Haji, di Hotel Legend Kuala Lumpur, Pada 12-14 September 2006)
Ahmad Ibrahim (1999), “Waqaf dan Pelaksanaannya di Malaysia”, dalam Undang-undang
Keluarga Islam di Malaysia, Malayan Law Journal Sdn. Bhd
Abdullah Muhamad, “Pentadbiran Harta Amanah Orang-orang Islam: Peranan
dan Tanggung jawab Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan”, (Kertas Kerja
Seminar Pentadbiran Harta Amanah Orang-orang Islam di Malaysia, di Universiti
Malaya, Kuala Lumpur)
Mohd Bakri Ibrahim (2008),
Pelaksanaan Skim Wakaf Tunai Oleh Yayasan Waqaf Malaysia, Jurnal Pengurusan
JAWHAR, bil.2, No.1 2008
Hishamuddin Mohd Ali, Megat Mohd
Ghazali Megat A. Rahman, Asiah Othman (2006), “Pelaburan Wakaf: Stategi dan
Rangka Kerja Perundangan Islam”, (Konvensyen
Wakaf Kebangsaan 2006, Anjuran Jabatan Wakaf Zakat dan Haji, di Hotel
Legend Kuala Lumpur, Pada 12-14 September 2006)
Mohd Dani Muhamad, Baharuddin Sayin (2006), “Wakaf dan Bandar Islam:
Satu Perspektif Sejarah”, (Prosiding Seminar Kebangsaan Pengurusan
Harta dalam Islam, Universiti
Kebangsaan Malaysia, pada 8-9 Ogos 2006, di Kolej Islam Pahang Sultan Ahmad
Shah (KIPSAS)
Kamarudin Ngah (1992), Isu
Pembangunan Tanah Wakaf di Pulau Pinang, cet.1, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa
dan Pustaka
Megat Mohd Ghazali Megat Abd
Rahman, Asiah Othman (2006), “Pembangunan Tanah Wakaf: Isu, Prospek dan
Stategi”, (Konvensyen Wakaf Kebangsaan
2006, Anjuran Jabatan Wakaf Zakat dan Haji, di Hotel Legend Kuala Lumpur,
Pada 12-14 September 2006)
Mohd Afandi Mat Rani, Sayuti Abd
Ghani (2010), Implikasi Perundangan Terhadap Pendaftaran Tanah Wakaf Di Malaysia: Satu
Kajian Dari Aspek Akta Pengambilan Tanah 1960, dalam Baharuddin Sayin, et. al (ed), Isu-isu Semasa Mengenai Waqaf, cet.1, Pusat Penerbitan Universiti UiTM
Mohd Daud Bakar (1999), “Amalan Institusi Wakaf di Beberapa Negara
Islam: Satu Perbandingan”, dalam Nik Mustapha Nik Hassan et. (ed), Konsep
dan Pelaksanaan Wakaf di Malaysia, Kuala Lumpur: Institut Kefahaman Islam
Malaysia.
Mohd Shahiran Abdul Latif (2006),
Pembangunan Tanah Wakaf di Negeri Melaka, Tesis Ijazah Sarjana, Universiti
Kebangsaan Malaysia: Bangi
Mohd Syahiran, Hasan Bahrom (2010), Potensi Ekonomi dalam Pembangunan
Tanah Wakaf di Negeri Melaka, dalam
Baharuddin Sayin, et. al (ed), Isu-isu
Semasa Mengenai Waqaf, cet.1, Pusat
Penerbitan Universiti UiTM
Nik Abdul Rasyid Nik Abdul Majid
(1986), “Pembangunan Harta Wakaf di Malaysia: Suatu Tinjauan
Sosio-Undang-undang”, (Kertas Kerja Seminar Kebangsaan Pengurusan dan Pentadbiran
Harta Wakaf, Anjuran Bersama Majlis Agama Islam Perak dan Bahagian Hal Ehwal
Islam, Jabatan Perdana Menteri, di Kompleks Islam Darul Ridzuan, Pada 24-25
November 1986)
Nik Mustapha Nik Hassan (1998), “Sumbangan Institusi Wakaf
Kepada Pembangunan Ekonomi”, dalam Nik Mustapha Nik Hassan et. (ed), Konsep
dan Pelaksanaan Wakaf di Malaysia, Kuala Lumpur: Institut Kefahaman Islam
Malaysia (IKIM)
Md. Nurdin
Ngadimon (2006), “Pengembangan Harta Wakaf Menggunakan Instrumen Sukuk”, (Konvensyen Wakaf Kebangsaan 2006,
Anjuran Jabatan Wakaf Zakat dan Haji, di Hotel Legend Kuala Lumpur, Pada 12-14
September 2006)
Salleh Buang (2001),“Pembentukan Harta Amanah Mengikut
Undang-undang di Malaysia: Sejauhmanakah Undang-undang Islam Terpakai”, (Kertas
Kerja Seminar Pentadbiran Harta Amanah Orang-orang Islam di Malaysia, di
Universiti Malaya Kuala Lumpur pada 10 November 2001)
Sheikh Ghazali Hj. Abdul Rahman (2001), “Bidangkuasa
Mahkamah Syariah dalam Pentadbiran Harta Amanah Orang-orang Islam di Malaysia”,
(Kertas Kerja Seminar Pentadbiran Harta Amanah Orang-orang Islam di
Malaysia di Universiti Malaya Kuala Lumpur pada 10 November 2001)
Shofian bin Ahmad
(2008), Wakaf Tunai: Peranan dan Keistimewaannya Dalam Sistem Ekonomi Islam,
dalam Prosiding Konvensyen Harta Pusaka, Wasiat dan Wakaf, Anjuran Universiti
Kebangsaan Malaysia dan MAIDAM, pada 18-19 Oktober 2008
Ramli Jusoh (1991), Pengenalan Ibadat Wakaf, Majlis
Agama Islam Johor
Senarai Statut
Akta Kerajaan Tempatan 1960 (Akta 171)
Akta Pengambilan Balik Tanah 1960 (Akta 486)
Akta Pemegang Amanah 1949
Kanun Tanah Negara 1965 (Akta 56)
Peraturan
Kawalan Wakaf 1959 Perak
Enakmen
Mengesahkan Wakaf Orang-orang Islam Terengganu (No.10 Tahun 1972)
Kaedah-kaedah
Wakaf Johor (No.15 tahun 1983)
Enakmen
Wakaf Negeri Selangor ( bil.7 Tahun 1999)
[1]
Rujuk: Peraturan Kawalan Wakaf 1959 Perak, Enakmen Mengesahkan Wakaf
Orang-orang Islam Terengganu (No.10 Tahun 1972), Kaedah-kaedah Wakaf Johor
(No.15 tahun 1983), Enakmen Wakaf Negeri Selangor ( bil.7 Tahun 1999).
[2]
Sekatan wakaf ini terdapat dalam semua Enakmen Pentadbiran Agama Islam negeri
kecuali Johor, Terengganu dan Perlis. Lihat Enakmen M.A.I.K. (bil.4 Tahun
1994), Seksyen 63 (1), Enakmen Melaka (bil.3 Tahun 1991), Seksyen 39(1),
Enakmen Pulau Pinang (bil.7 Tahun 1993), Seksyen 94 (1).
[3]
Siti Mashitah Mahamood (2001), “ Masalah Undang-undang Dalam Pentadbiran Harta
Amanah Wakaf di Malaysia”, (Kertas kerja Seminar Pentadbiran Harta Amanah
Orang-Orang Islam di Malaysia di Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya),
hlm.2.
[4]
Akta Pemegang Amanah 1949, Seksyen 2 perlu dipinda dengan memberi maksud
mahkamah adalah termasuk juga Mahkamah Tinggi Syariah. Begitu juga dengan
Seksyen 2(4) mengecualikan perkara wakaf yang diwujud mengikut prinsip
undang-undang Islam.
[5]
Abdullah Muhamad, “Pentadbiran Harta Amanah Orang-orang Islam: Peranan dan
Tanggung jawab Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan”, (Kertas Kerja Seminar
Pentadbiran Harta Amanah Orang-orang Islam di Malaysia, di Universiti Malaya,
Kuala Lumpur), hlm.13.
[6]
Mohd Daud Bakar (1999), “Amalan Institusi Wakaf di Beberapa Negara Islam: Satu
Perbandingan”, dalam Nik Mustapha Nik Hassan et. (ed), Konsep dan Pelaksanaan Wakaf di Malaysia,
Kuala Lumpur :
Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM),
hlm.180-182.
[7]
Bayaran lebih kurang RM 100.00 adalah tinggi dibandingkan bayaran caj
pengurusan. Bayaran ini akan menghalang galakan orang ramai untuk mewakafkan
harta mereka.
[8]
Konsep wakaf amat menekankan tentang pengekalan (permanency/ perpetuity)
asset yang diwakafkan oleh pewakaf.
[9] Kanun
Tanah Negara 1965 (Akta 56), Seksyen 76 (a). Selepas tahun 1970 pemindahan hak
milik tanah negeri adalah tidak melebihi 99 tahun yang juga dikenali sebagai
“Pajakan Negeri (state lease) ataupun “Pegangan Pajakan” (leasehold).
Oleh itu tanah wakaf yang termasuk dalam kategori ini akan dikembalikan kepada
Pihak Berkuasa Negeri. Lihat Seksyen 46(1) dan 47 (1).
[10]
Akta Pengambilan Balik Tanah 1960 (Akta 486), Seksyen. 3.
[11]
Akta A999; mula berkuat kuasa pada 1 Mac, 1998 melalui P.U. (B)94/98.
[12] Ibid.,
Seksyen 3A.
[13] Akta
Kerajaan Tempatan 1960 (Akta 171), Seksyen.134.
[14]
Akta Kanun Tanah Negara 1965 (Akta 56), Seksyen.196 (1) (a).
[15]
Kanun Tanah Negara 1965 (Akta 56), seksyen 136 (1)(f)(i).
[16]Ahmad
Ibrahim (1999), “Waqaf dan Pelaksanaannya di Malaysia”, dalam Undang-undang
Keluarga Islam di Malaysia, Malayan Law Journal Sdn. Bhd., hlm.299. Takrif
wakaf sebagai amanah yang diperuntukkan dalam Enakmen Wakaf Selangor (No.7
Tahun 1999) telah membezakan tafsiran amanah terdapat di dalam Akta Pemegang
Amanah 1949.
[17]
Lihat: Tengku Abdul Kadir Bin Tengku Chik lwn. Majlis Agama Islam Kelantan, 7 Kanun
(2); Jurnal Undang-undang Malaysia , Jun 1995, DBP.
[18]
Sehingga kini kes ini masih tertangguh di peringkat Mahkamah Rayuan. Akibatnya
pelan pembinaan Universiti JAIPETRA terpaksa ditangguhkan sehingga kes ini
selesai dibicarakan.
[19]
[1970], 1 MLJ. 222.
[20]
[1995], 10 JH , 222. Lihat juga kes Haji
Embong lwn. Tengku Nik Maimunah (1980) 1 MLJ 286.
[21]
Ahmad Muhamed Ibrahim, (1994), Pentadbiran Undang-undang Islam di Malaysia, Kuala
Lumpur: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), hlm.54.
[22]
Abdullah Muhamad (2001), op.cit., hlm.1.
[23]
Pindaan kepada semua akta yang berkaitan adalah perlu dengan menyatakan secara
jelas bahawa akta yang digubal diperingkat Persekutuan adalah tidak termasuk
wakaf yang diwujud mengikut prinsip-prinsip undang-undang Islam.
[24]Sheikh
Ghazali Hj. Abdul Rahman (2001), “Bidangkuasa Mahkamah Syariah dalam
Pentadbiran Harta Amanah Orang-orang Islam di Malaysia”, (Kertas Kerja
Seminar Pentadbiran Harta Amanah Orang-orang Islam di Malaysia di Universiti
Malaya Kuala Lumpur pada 10 November 2001), hlm.39.
[25]
Rujukan boleh dibuat terhadap kes Tg. Yusuf
Tg. Abdullah lwn. M.A.I.K. dan lain-lain kes yang berkaitan.
[26]Salleh
Buang (2001),“Pembentukan Harta Amanah Mengikut Undang-undang di Malaysia:
Sejauhmanakah Undang-undang Islam Terpakai”, (Kertas Kerja Seminar Pentadbiran
Harta Amanah Orang-orang Islam di Malaysia, di Universiti Malaya Kuala Lumpur
pada 10 November 2001), hlm.16.
[27]
Harta tanah Baitulmal hanya terikat dengan kebajikan ekonomi dan sosial
masyarakat Islam. Harta ini boleh dibangunkan dengan apa jua pembangunan
asalkan tidak bertentangan dengan hukum syarak dan melampaui batas hukum. Harta
wakaf adalah untuk tujuan kebajikan umat Islam
dan pengembangan syiar Islam dan bukannya untuk meraih keuntungan. Oleh
itu ia tidak boleh dibangunkan dengan sesuka hati tanpa mendapat kebenaran
secara terperinci daripada Jamaah Ulama.
[28]
Terdapat juga tanah wakaf masjid yang
tidak diterima oleh MAIN kerana tidak
memenuhi kriteria dari segi penggunaan. Pewakaf membataskan penggunaan hanya
untuk pembinaan tapak masjid, sedangkan dilokasi yang sama telah ada masjid
yang telah diguna. Kesan tanah wakaf ini MAIN terpaksa menanggung beban cukai
dan sebarang pembangunan lain tidak dapat dijalankan.
[29]
Mohd Syahiran, Hasan Bahrom (2010), Potensi Ekonomi dalam Pembangunan Tanah
Wakaf di Negeri Melaka, dalam Baharuddin
Sayin, et. al (ed), Isu-isu
Semasa Mengenai Waqaf, cet.1, Pusat
Penerbitan Universiti UiTM, hlm.32
[30]
Mohd Zain Haji Othman (1998), “Wakaf Dari Perspektif Undang-undang Islam,
Amalan dan Permasalahannya di Malaysia”, dalam Ahmad Ibrahim et al. (ed), Undang-undang
Keluarga dan Harta Wakaf, Al-Ahkam, cet.1. jld.6. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka,
hlm.193.
[31] Megat Mohd Ghazali Megat
Abd Rahman, Asiah Othman (2006), “Pembangunan Tanah Wakaf: Isu, Prospek dan
Stategi”, (Konvensyen Wakaf Kebangsaan
2006, Anjuran Jabatan Wakaf Zakat dan Haji, di Hotel Legend Kuala Lumpur,
Pada 12-14 September 2006), hlm.3.
[32] Mohd Afandi Mat Rani, Sayuti Abd Ghani
(2010), Implikasi Perundangan
Terhadap Pendaftaran Tanah Wakaf Di Malaysia: Satu Kajian Dari Aspek Akta
Pengambilan Tanah 1960, dalam Baharuddin Sayin, et. al (ed), Isu-isu Semasa Mengenai Waqaf, cet.1, Pusat Penerbitan Universiti UiTM
[33] Nik Mohd Zain bin Haji Yusof, Azimuddin
bin Bahari (1999), op. cit., hlm.147.
[34] Kamarudin Ngah (1992), Isu Pembangunan
Tanah Wakaf di Pulau Pinang, cet.1, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka,
hlm.30
[35] Mohd Shahiran Abdul Latif (2006), Pembangunan
Tanah Wakaf di Negeri Melaka, Tesis Ijazah Sarjana, Universiti Kebangsaan
Malaysia: Bangi, hlm.64
[36] Ibid., hlm.65
[37] Mohd Afandi Mat Rani (2002),
Undang-undang Pentadbiran Harta Wakaf di Negeri Kelantan, Tesis Sarjana Syariah
dan Undang-undang, Universiti Malaya: Kuala Lumpur, hlm.97
[38]
Mohd Daud Bakar (1999), “Amalan Institusi Wakaf di Beberapa Negara Islam: Satu
Perbandingan”, dalam Nik Mustapha Nik Hassan et. (ed), Konsep dan
Pelaksanaan Wakaf di Malaysia, Kuala
Lumpur : Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), hlm.182.
[39]
Ramli Jusoh (1991), Pengenalan Ibadat Wakaf, Majlis Agama Islam Johor, ,
hlm. 43-54.
[40]
Lihat: Nik Mustapha Nik Hassan (1998), “Sumbangan Institusi Wakaf Kepada
Pembangunan Ekonomi”, dalam Nik Mustapha Nik Hassan et. (ed), Konsep
dan Pelaksanaan Wakaf di Malaysia, Kuala
Lumpur : Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), hlm.6 dan 8.
[1] Mohd Dani Muhamad, Baharuddin Sayin (2006), “Wakaf
dan Bandar Islam: Satu Perspektif Sejarah”,
(Prosiding Seminar
Kebangsaan Pengurusan Harta dalam Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia , pada 8-9 Ogos 2006, di
Kolej Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KIPSAS), hlm.231. Lihat juga: Ahmad Zaki
Hj Abd Latif, Zuina bt Ismail, Norzaidi bin Mohd Daud (2006), “Pengurusan Harta
Wakaf dan Potensinya ke Arah Kemajuan Pendidikan Umat Islam di Malaysia”, (Konvensyen Wakaf Kebangsaan 2006, Anjuran Jabatan Wakaf Zakat dan
Haji, di Hotel Legend Kuala Lumpur, Pada 12-14 September 2006), hlm.1.
[2] Hishamuddin Mohd Ali,
Megat Mohd Ghazali Megat A. Rahman, Asiah Othman (2006), “Pelaburan Wakaf:
Stategi dan Rangka Kerja Perundangan Islam”, (Konvensyen Wakaf Kebangsaan 2006, Anjuran Jabatan Wakaf Zakat dan
Haji, di Hotel Legend Kuala Lumpur, Pada 12-14 September 2006), hlm.18.
[3] Nik Abdul Rasyid Nik
Abdul Majid (1986), “Pembangunan Harta Wakaf di Malaysia: Suatu Tinjauan
Sosio-Undang-undang”, (Kertas Kerja Seminar Kebangsaan Pengurusan dan
Pentadbiran Harta Wakaf, Anjuran Bersama Majlis Agama Islam Perak dan Bahagian
Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri, di Kompleks Islam Darul Ridzuan, Pada
24-25 November 1986), hlm.6.
[4] Md. Nurdin Ngadimon
(2006), “Pengembangan Harta Wakaf Menggunakan Instrumen Sukuk”, (Konvensyen Wakaf Kebangsaan 2006,
Anjuran Jabatan Wakaf Zakat dan Haji, di Hotel Legend Kuala Lumpur, Pada 12-14
September 2006), hlm.1.
[5] Lihat Laporan Seminar Management and Development of
Awkaf Properties, Jeddah, pada 4-16 Ogos 1984, hlm.2. Lihat juga Laporan Nik
Abdul Rasyid Nik Abdul Majid (1994), “Ke Arah Penubuhan Badan Kebangsaan Untuk
Memajukan Tanah Wakaf dan Baitulmal”, (Jawatankuasa Mengkaji Tanah Wakaf,
Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri), hlm.15-34. Lihat Juga:
Hamat @ Mustafa Bin Abd. Rahman, Mad Saad Hassan (1986), “Masalah-masalah yang
Menghalangi Pembangunan Harta-harta Wakaf dari Sudut Pentadbiran: Perhatian
Khusus di Negeri Perak”, (Kertas Seminar Pengurusan dan Pentadbiran Harta Wakaf
Peringkat Kebangsaan, Anjuran Majlis Agama Islam Perak dengan Kerjasama Majlis Agama Perak dan
Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri, Pada 24-25 November 1986),
hlm.2.
[6] Ibid., hlm.36
[7] Md Nurdin Ngadimon
(2009), Memperkasa Peranan Baitulmal Menerusi Instrumen Pasaran Modal Islam,
Konvensyen Baitulmal Kebangsaan 2009, Dewan Serbaguna Masjid Wilayah
Persekutuan Kuala Lumpur, pada 24-25 Jun 2009, hlm.4.
[8] Shofian bin Ahmad (2008), Wakaf
Tunai: Peranan dan Keistimewaannya Dalam Sistem Ekonomi Islam, dalam Prosiding
Konvensyen Harta Pusaka, Wasiat dan Wakaf, Anjuran Universiti Kebangsaan
Malaysia dan MAIDAM, pada 18-19 Oktober 2008, hlm.320-323. Lihat juga: Mohd
Bakri Ibrahim (2008), Pelaksanaan Skim Wakaf Tunai Oleh Yayasan Waqaf Malaysia,
Jurnal Pengurusan JAWHAR, bil.2, No.1 2008, Jabatan Wakaf dan Haji Malaysia,
hlm.3-5
Boleh saya ajukan pertanyaan... Bagaimana masalah2 dan isu isu wakaf diselesaikan...
BalasPadam