Konsep Istibdal
Tujuan asal seseorang mewakafkan
harta adalah untuk mendekatkan diri kepada Allah dan mengharapkan pahala secara
berterusan, selain rahmat, keberkatan dan keredhaanNya. Tujuan asal ini tidak
akan kesampaian jika adanya halangan-halangan yang tidak dapat dielakkan.
Antaranya seperti pelupusan status wakaf akibat pengambilan tanah wakaf oleh
pihak berkuasa. Maka nazir selaku pemegang amanah harta wakaf perlu
menyelesaikan permasalahan ini dengan mengambil alternatif dan pendekatan agar
manfaat harta wakaf dapat disalurkan untuk selama-lamanya sebagaimana niat
pewakaf.
Menurut pandangan fuqaha apa yang
dimaksudkan dengan Istibdal ialah membeli ‘ayn /aset sebagai ganti untuk diwakafkan semula.[1]
Manakala Ibdal pula ialah menjual ‘ayn / aset wakaf untuk membeli hartanah/ aset yang lain atau dalam
bentuk wang.[2]
Manakala konsep Istibdal adalah merujuk kepada pembelian tanah wakaf lain
sebagai ganti oleh nazir wakaf melalui wang penjualan tanah tersebut yang wajib
dilaksanakan untuk diwakafkan semula. Perkataan Ibdal dan Istibdal amat berkaitan antara
satu sama lain disebabkan Ibdal
sesuatu harta wakaf membawa kepada Istibdal harta itu. Setiap penjualan harta wakaf
mesti diikuti dengan mengambil ‘ayn
lain sebagai pengganti harta wakaf yang telah dijual.[3]
Penukaran boleh berlaku sama ada dengan mata wang atau ‘ayn harta yang lain.[4]
Dengan kata lain, Istibdal bukanlah satu mekanisme yang terpakai kepada
semua kategori tanah wakaf yang boleh diambil secara mudah oleh pihak berkuasa.
Justeru para fuqaha berselisih pendapat dalam mengharuskan hukum Istibdal terutama dari aspek pelaksaannya. Dalam hal ini terdapat pandangan fuqaha
yang agak terbuka dengan menegahnya kecuali dalam keadaan
tertentu sahaja. Terdapat juga di kalangan mereka yang berpandangan agak rigik
dengan melarang secara keras pelaksanaan Istibdal walau dalam apa jua
keadaan. Para fuqaha dalam
menentukan hukum Istibdal amat berhati-hati
dengan tujuan untuk menjaga kemaslahatan harta amanah orang Islam. Jika tidak
sudah tentu akan mengundang kepada kelewehan hukum yang mengakibatkan akan
wujudnya penyelewengan dan perlanggaran terhadap prinsip-pinsip hukum wakaf
yang telah sedia disusun atur oleh sarjana Islam terdahulu.
4.2 Istibdal sebagai Medium
Pengekalan Hartanah Wakaf
Secara umumnya, majoriti mazhab menerima konsep Istibdal
sebagai satu medium ke
arah mengekalkan hartanah wakaf dan manfaatnya.[5]
Sekiranya hukum syarak tidak menyediakan alternatif lain dalam menangani
masalah pengambilan tanah yang melibatkan tanah wakaf, sedangkan pada masa yang
sama hukum mengharuskan pihak berkuasa mengambil tanah tersebut untuk
kepentingan umum, sudah pasti berlakunya pertentangan dan pencabulan antara
hukum pengambilan tanah wakaf dengan prinsip utama dalam undang-undang
pewakafan harta dalam Islam iaitu prinsip kekekalan dan kelangsungan aset
wakaf. Konsep ini juga adalah selaras dengan prinsip bahawa harta wakaf tidak
boleh dijual, tidak boleh dihibah kepada orang lain dan tidak boleh diwarisi.[6]
4.3 Istibdal Tanah Wakaf Menurut
Pandangan Fuqaha
Pada dasarnya para
fuqaha bersepakat menerima konsep Istibdal dalam
menyelesaikan isu pengambilan tanah wakaf yang diambil oleh kerajaan secara
paksaan sama ada melalui penjualan, pertukaran dan pembelian. Apa yang menjadi perbezaan pendapat (mahal al-naza‘) di kalangan mereka ialah tentang metod atau
pelaksanaan Istibdal wakaf dari sudut harta alih dan tak alih kesan
daripada perbezaan penggunaan tanah wakaf dari segi Khas dan Am.[7]
Pengambilan tanah wakaf berasaskan kepada
mekanisme Istibdal perlu dibezakan antara jenis-jenis atau
kategorinya. Ini kerana setiap kategori tersebut memberi implikasi yang berbeza
dari segi syarat-syarat penggunaannya yang tertakluk kepada syarat-syarat yang
tertentu. Pengambilan yang melibatkan tanah wakaf Khas agak sukar berbanding
wakaf Am, lebih-lebih lagi bagi tanah wakaf yang dikhususnya untuk manfaat
masjid, tapak masjid, surau dan kubur.[8]
Sekiranya tanah itu
diwakafkan dalam bentuk penggunaan khusus seperti untuk pembinaan masjid,
surau, kubur, sekolah agama dan lain-lain, maka tanah wakaf itu termasuk hasil
daripadanya tidak boleh digunakan untuk tujuan lain, selain apa yang telah
ditentukan oleh pewakaf (Waqif).[9] Dalam hal ini
pandangan mazhab Maliki dan Syafi‘i mengambil pendekatan yang agak keras dan
rigid dalam mengharuskan Istibdal membabitkan tanah wakaf Khas masjid berbanding mazhab-mazhab
lain.[10]
Kedua-dua mazhab ini bersepakat bahawa wakaf masjid tidak boleh dijual atau
ditukar ganti, kecuali kerana ada kemaslahatan yang tidak boleh dielakkan.[11]
Mazhab Syafi‘i dalam membahaskan isu Istibdal al-Manqul atau tanah wakaf mempunyai pendirian yang tegas
bahawa tanah wakaf jenis Khas, Am dan
Zuriat tidak boleh dijual atau dibeli. Ini bermakna semua jenis hartanah wakaf
tidak boleh diambil oleh kerajaan untuk apa jua bentuk pembangunan. Ketegasan
hukum dalam mazhab Syafi‘i ini berdasarkan kepada prinsip wakaf yang menjadi
pegangan dalam mazhab Syafi‘i bahawa harta wakaf tidak boleh dijualbeli,
dihibah dan diwarisi berdasarkan hadith ‘Umar yang mewakafkan tanah di Khaibar
dan mensyaratkan tanah tersebut tidak boleh dijual, dibeli, dihadiah dan tidak
boleh dipusakai.[12]
Tujuan sesuatu wakaf yang telah dibuat
tidak boleh diubah selain apa yang telah diniatkan oleh pewakaf.[13]
Mazhab ini melarang pelaksanaan Istibdal secara mutlak kerana penjualan atau penggantian
akan membawa kepada hilangnya harta atau aset yang diwakafkan.[14]
Namun demikian terdapat juga sebahagian ulama mazhab Syafi‘i mengharuskan
pelaksanaan Istibdal dengan mengsyaratkan bahawa tanah wakaf yang
diganti itu boleh mendatangkan hasil yang lebih bermanfaat daripada yang
sebelumnya.
Mazhab Hanafi dan Hanbali
mengambil pendekatan yang agak longgar dan terbuka dalam mengharuskan
pelaksanaan Istibdal
berbanding mazhab Syafi‘i dan Maliki. Mazhab Hanafi mengharuskan Istibdal dalam semua keadaan, selagimana ia
mempunyai kepentingan untuk kemaslahatan orang ramai.[15] Ini
bermakna tanah-tanah wakaf yang terlibat dengan pengambilan tanah secara
paksaan sama ada tanah wakaf Khas atau Am selain masjid, boleh ditukar ganti
bergantung kepada Maslahah.[16]
Mazhab Maliki melarang penjualan hartanah
wakaf yang melibatkan tapak atau bangunan masjid secara mutlak.[17]
Wakaf jenis ini tidak boleh diganti dengan yang lain dan pendapat ini juga
merujuk kepada majoriti fuqaha.[18]
Namun dalam keadaan darurat seperti Istibdal untuk meluaskan saiz masjid, tanah
perkuburan atau jalan untuk kegunaan umum, maka ia diharuskan sekalipun diambil
secara paksaan. Ini kerana perkara tersebut melibatkan kemaslahatan ummah
secara umum. Jika tidak diistibdalkan harta wakaf itu akan memberi kesan
negatif yang menyukarkan umat Islam seperti tempat ibadat umat Islam, kemudahan
untuk pengkebumian serta jalan untuk mereka
lalu-lalang, maka dalam situasi ini wajib mempermudahkan urusan mereka
itu.[19]
Menurut mazhab Hanbali[20]
transaksi jual beli serta aktiviti menukar dan menggantikan harta wakaf adalah
diharuskan bergantung kepada kehasilan dan manfaat harta wakaf. Mazhab Hanbali
mengamalkan konsep keterbukaan dalam kes harta wakaf yang berhajat kepada
pelaksanaan Istibdal
khususnya harta wakaf yang rosak dan sebagainya agar tidak hilangnya
manfaat wakaf. Bukti kelonggaran hukum Istibdal
dalam mazhab Hanbali ialah mengharuskan Istibdal
wakaf berbentuk harta alih seperti masjid. Keharusan ini berlaku apabila
masjid tersebut telah rosak atau tidak sesuai lagi untuk digunakan lagi seperti
sempit dan tidak boleh diperbaiki lagi kecuali dijualkan dan diganti dengan
masjid yang lain.[21]
Jika kerosakan itu melibatkan sebahagian masjid, maka harus dijual bahagian
tersebut. Begitu juga jika kerosakan melibatkan keseluruhan masjid, maka
diharuskan menjual keseluruhan dan hasil dari transaksi jual beli ini digunakan
untuk membina masjid yang lain sebagai ganti kepada masjid yang diwakafkan.[22] Bagi tanah wakaf yang tidak mendatangkan
manfaat seperti kedudukannya yang berada jauh daripada kawasan bandar,
terpencil dan tidak ekonomi serta tidak berpotensi untuk dibangunkan, berdasarkan pandangan mazhab Hanafi, Hanbali
dan sebahagian mazhab Syafi‘i,[23]
pihak berkuasa boleh melakukan Istibdal ke atas tanah tersebut dengan tanah lain yang
lebih mendatang hasil dan membawa keuntungan kepada penerima wakaf.
3.8.4 Metod Pelaksanaan Istibdal Tanah Wakaf
Di dalam melaksanakan konsep Istibdal terhadap
tanah wakaf ia berkisar sama ada dalam bentuk penjualan, pembelian dan
pertukaran atau penggantian. Ketiga-tiga kaedah yang dinyatakan ini pada
keseluruhannya adalah bertujuan untuk mengekalkan status harta wakaf agar
manfaatnya dapat dinikmati oleh penerima wakaf secara berterusan dan
mengaplikasikan apa yang dihajati oleh pewakaf. Oleh itu pelaksanaan Istibdal menekankan dari dua aspek bahawa
aset wakaf yang dijual hendaklah diganti
semula sebagaimana kedudukannya yang asal atau lebih baik daripada yang
sebelumnya. Justeru, pihak yang layak untuk memutuskan sesuatu pelaksanaan Istibdal ialah pihak berkuasa sama ada
hakim atau kadi.
Di kalangan ulama fiqh, Ibn ‘Abidin telah meletakkan syarat bahawa penjualan atau
pertukaran tanah wakaf tidak boleh
ditukar dengan wang kerana bimbang ia disalahgunakan oleh pihak tertentu.[24]
Syarat yang dinyatakan ini adalah berkait dengan syarat lain bahawa aset wakaf
hendaklah diganti dengan jenis yang sama. Sekiranya pewakaf mensyaratkan dengan
rumah, maka tidak boleh diistibdalkan dengan tanah. Merujuk kepada syarat ini,
penggantian tanah dengan wang pampasan tidak diharuskan, kerana berlainan
jenis, melainkan wang pampasan itu digunakan untuk membeli ‘ayn/ aset
wakaf yang sama.
Mazhab Hanbali juga mensyaratkan Istibdal berlaku antara bentuk harta yang sama, seperti tanah dengan tanah,
bangunan dengan bangunan dan lain-lain. Harta wakaf yang ditukar ganti secara Istibdal hendaklah lebih baik daripada harta yang pertama. Jika sebaliknya maka ia
tidak harus. Antara faktor
lain mazhab ini mensyaratkan Istibdal tanah
dengan tanah kerana berdasarkan kepada apa yang telah berlaku pada kebiasaannya
tanah wakaf tidak diganti dengan tanah yang lain. Hanya sebilangan kecil sahaja
tanah wakaf yang diganti.[25]
Namun demikian, sesetengah ulama mengharuskan harta wakaf yang diambil
boleh diganti dengan wang dengan syarat diyakini orang yang melakukan
pertukaran atau penggantian itu adalah seorang kadi yang diakui kejujurannya
dan bersifat amanah.[26] Al-Kubaysi di dalam kitabnya meletakkan syarat bahawa tanah-tanah wakaf yang
diistibdal tidak boleh diganti dengan wang, tetapi hendaklah dengan tanah.[27]
Namun beliau mengatakan
syarat-syarat yang nyatakan itu boleh diubah dan dipinda agar bersesuaian
dengan keadaan semasa masyarakat pada hari ini demi untuk menjaga berkekalannya
harta wakaf, seterusnya menjamin kemaslahatan pihak yang diwakafkan.[28]
ii. Kelayakan Kelulusan Istibdal
Aspek pelaksanaan Istibdal perlu diperincikan dengan melibatkan
pandangan-pandangan mereka yang berautoriti.[29]
Ini kerana konsep Istibdal turut membabitkan persoalan ijtihadiyyah. Urusan penggantian tanah wakaf adalah menjadi tanggungjawab pemerintahan
atau mahkamah dengan melihat kepada kemaslahatan umum, dan tidak boleh ditolak,
kecuali terdapat sebab-sebab yang membawa kepada kemudharatan dan tidak
mendatangkan hasil sama ada kepada pewakaf itu sendiri atau orang yang menerima
wakaf.[30] Dalam hal
ini al-Tarsusi telah menggariskan tiga syarat utama yang perlu diamalkan dalam
melaksanakan konsep Istibdal:[31]
i.
Kadi
hendaklah berusaha sedaya mungkin mengadakan siasatan sendiri sebelum
melaksanakan Istibdal;
ii.
Kadi
hendaklah melantik dua orang pakar yang adil dan amanah untuk menyelidik dan
menyiasat keperluan Istibdal yang
dicadangkan untuk memastikan hasil pelaksanaannya benar-benar membawa kepada
kebaikan atau sebaliknya;
iii.
Kadi
hendaklah membuat laporan setelah mendengar keterangan daripada pakar yang
dilantik dan menyokong terhadap pelaksanaan Istibdal.
Kelulusan Istibdal
bergantung kepada keputusan kadi setelah berpuashati dengan apa yang telah
dicadangkan bagi menjamin kebaikan wakaf yang dibuat.
Majlis Agama Islam negeri
Perak, melalui Mesyuarat Majlis 1992 bahawa tanah yang kurang daripada 40 pol
boleh dijual.[32] Begitu
juga di negeri Kelantan mesyuarat Jamaah ulama M.A.I.K. yang telah diadakan pada 8 Rabiul awal 1416
telah mengemukakan fatwa berkenaan dengan penggantian dan penjualan harta
wakaf.[33]
Dalam hal ini Jamaah ulama[34]
telah bersetuju dengan merujuk kepada pandangan Ibn Taimiyyah yang mengharuskan
penukaran harta wakaf berasaskan kepada aspek-aspek utama :
a)
Pertukaran itu adalah kerana
keperluan yang mendesak seperti harta wakaf yang rosak boleh dijual dan hasil
daripada penjualan tersebut boleh dibeli dengan yang lain sebagai ganti wakaf
yang pertama.
b)
Pertukaran demi maslahah yang
jelas, seperti penukaran bangunan masjid lama kepada bangunan masjid yang lebih
baik, manakala bangunan lama itu dapat dijual.
[1]
Selain perkataan Istibdal,
perkataan al-Munaqalah
juga digunapakai dalam membincangan pertukaran dan penggantian harta wakaf.
Kedua-duanya mempunyai makna yang hampir sama. Lihat Ibn Qudamah (2001), Al-Munaqalah
wa al-Istibdal bi al-Awqaf, dalam Al-Asyqar, Muhammad Sulayman, et. all (ed) Majmu‘ fi Al-Munaqalah
wa al-Istibdal bi al-Awqaf , cet.2, Beirut : Lubnan, hlm.49.
[2] Badran, Badran Abu al-‘Aynayn (1986), Ahkam al-Wasaya wa al-Awqaf fi al-Syari‘ah al-Islamiyyah, Kaherah: Dar al-Jami‘ah, hlm.301. Al-Kubaysi, Muhammad ‘Ubayd (1977), Ahkam al-Waqf fi al-Syari‘ah al-Islamiyyah, jld.2, Baghdad: Matba‘ah al-Irsyad, hlm.9. Ahmad Farraj Hassan (1986), Ahkam al-Wasaya wa al-Awqaf fi al-Syari‘ah al-Islamiyyah, Kaherah: Dar al-Jami‘ah, hlm.349.
[3] Abu Zahrah, Muhammad (1971), Muhadharah fi al-Waqf, cet:2, Kaherah: Dar al-Fikr al-‘Arabi, hlm.145.
[4] Ibid.,
hlm.182.
[6] Al-Nisaburi,
Imam Abi Husayn Muslim al-Hajjaj
al-Qusyairi (1997), Sahih Muslim, Bab al-Waqf, cet:1, jld.3,
Mu’assasah ‘Iz al-Din,
hlm. 453. Al-Syawkani, Syaykh Muhammad b. ‘Ali (t.t.), Nayl al-Awtar Min Ahadith Sayyid al-Akhbar Syarh Muntaqa al-Akhbar, jld.6, Kaherah: Mustafa al-Babi al-Halabi, hlm.24.
[7] Hassan ‘Abd Allah al-Amin (1994), Idarah wa-Thathmir Mumtalikat al-Awqaf, cet:2, Al-Bank al-Islami li al-Tanmiyyah al-Ma‘ahad al-Islami, hlm.123.
[8] Al-Khinn, Mustafa Sa‘id (1992), al-Fiqh al-Manhaji ala Madhhab al-Imam al-Syafi‘i, cet.3, Damsyiq:
Dar al-‘Ilmi, hlm.30.
[11]
Ketegasan dalam mazhab Syafi‘i dapat dilihat sekalipun masjid yang telah mengalami
kerosakan tidak boleh diistibdalkan. Lihat Al-Syirazi, Abi Ishak
(1995), Al-Muhadhab fi fiqh
al-Imam
al-Syafi‘i,
cet.1, jld.2. Beirut :
Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah,
hlm.331. Abu Zahrah, Muhammad
(1971), op., cit., hlm.154.
[12]
Al-Nisaburi, Imam Abi Husayn Muslim al-Hajjaj al-Qusyairi
(1997), Sahih Muslim, Bab
al-Waqf, cet:1, jld. 3. Mu’assasah ‘Iz al-Din,
hlm. 453. Al-Syawkani
(t.t.), op. cit., hlm.24.
[13] Al-Nawawi, Abu Zakariyya Yahya (2000), Rawdah al-Talibin, jld.4, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, hlm.422,
Al-Khinn, Mustafa
Sa‘id (1992), op. cit.,
hlm.27-28.
[14] Al-Kubaysi, Muhammad ‘Ubayd (1977), Ahkam al-Waqf fi al-Syari‘ah al-Islamiyyah, jld.2, Baghdad: Matba‘ah al-Irsyad, hlm.39
[15] Mazhab
Hanafi tidak membezakan antara harta alih (al-Manqul)
dengan harta tak alih (al-‘Iqar)
sebagaimana mazhab lain. Keanjalan hukum Istibdal
dalam mazhab Hanafi adalah ekoran daripada prinsip wakaf dalam mazhab ini
bahawa ‘ayn wakaf tetap kekal menjadi
milik pewakaf. Pewakaf akan menjadi pengurus kepada hartanya yang diwakaf sama
ada untuk menjual, menghadiah dan sebagainya. Keharusan Istibdal dalam mazhab Hanafi
tidak dilihat dari aspek darurat,
tetapi ia adalah bergantung syarat yang telah ditentukan oleh pewakaf yang
menjadi hak kepada mereka. Lihat: Al-Zayla‘i, Jamal al-Din Abu Muhammad
‘Abd Allah b. Yusuf
(1996), Nasb al-Rayah Takhrij Ahadith al-Hidayah, cet.1, jld.3, Beirut : Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, hlm.732. Al-Ghazali, Muhammad
b. Muhammad
b. Muhammad
(1997), Al-Wasit fi al-Madhhab, cet.1, jld.4, Dar al-Salam, hlm.255. Hassan ‘Abd Allah al-Amin (1994), Idarah wa-Thasmir Mumtalikat al-Awqaf, cet.2. Al-Bank al-Islami li al-Tanmiyyah al-Ma‘ahad al-Islami,
hlm.124. Ibn al-Humam, Kamal al-Din Muhammad b. ‘Abd Wahid (1977), Syarh Fath al-Qadir, cet.1, jld.6, Beirut: Dar al-Fikr, hlm.203.
[16] Al-Maydani, ‘Abd al-Ghani al-Ghanimi (1985), Al-Lubab fi Syarh al-Kitab, jld.1, Beirut: Dar al-Ihya’ al-Turath al-‘Arabi, hlm.180. Badran, Badran Abu al-‘Aynayn (1986), op. cit., hlm.260. Muhammad Kamal al-Din (1998), Al-Wasaya wa al-Awqaf fi al-Fiqh al-Islami, Mu’assasah al-Jam‘iyyah al-Dirasat, hlm.176.
[17] Al-Dardir, Abi al-Barakat Ahmad b. Muhammad b. Ahmad (t.t.), Al-Syarh al-Saghir ‘ala ‘Aqrab al-Masalik ila Madhhab al-Imam Malik, t.tp, jld.4, Cairo: Dar al-Ma‘arif, hlm.127, Abu Zahrah, Muhammad (1971), op. cit., hlm.154.
[18] Al-Zuhayli, Wahbah (1987), al-Wasayah wa al-Awqaf fi Fiqh al-Islami, cet.1, Damsyiq: Dar al-Fikr., hlm.223.
[19]Ibn Qudamah, Muwaffaq al-Din Muhammad ‘Abd Allah b. Ahmad b. Muhammad (1999), Al-Mughni, cet.4, jld.8, Dar al-‘Alam al-Kutub, hlm.223. Abu Zahrah, Muhammad (1971), op., cit., hlm.154.
[20] Mazhab
ini tidak membezakan antara harta alih dengan tak alih. Lihat: Ibn Qudamah, Muwaffaq al-Din Muhammad ‘Abd Allah b. Ahmad b. Muhammad (1999), op. cit., hlm. 220-221.
[22] Ibn Qudamah (1999), op. cit.,
hlm.220-221.
[26] Zuhdi Yakan
(t.t.), Ahkam al-Waqf, cet.1, Beirut:
Maktabah al-‘Asriyyah,
hlm.213. Sabiq, Sayid (1992), op. cit., hlm.385-386. Ibn Qudamah (1999), op. cit.,
hlm.220-221, Al-Zuhayli, Wahbah (1987), op. cit., hlm.221. Tarablas (t.t.), Al-Fiqh
fi al-Syariah al-Islamiyyah,
Beirut: Maktabah al-Hadithah,
hlm.49.
[27]
Ibn Nujaym telah menambah syarat ini kerana dibimbangi berlakunya penyelewengan
oleh nazir wakaf. Lihat: Hafiz al-Din al-Nisfi, Abi al-Barakat ‘Abd Allah b. Ahmad (1997), Al-Bahr al-Ra’iq Sharh Kunz al-Daqa’iq, cet.1, jld.5, Beirut : Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, hlm.372-373. Lihat
juga: Al-Kubaysi, Muhammad ‘Ubayd (1977), op. cit., hlm.28
[29] Ibn al-Humam, Kamal al-Din Muhammad b. ‘Abd Wahid (1977), op. cit., hlm.228. Ahmad Farraj Hassan (1986), op. cit., hlm.49.
[32]
Hj. Yusop Hj. Yahya (!999), “Pengurusan Tanah Wakaf di Perak: Amalan dan
Perancangan,” dalam Nik Mustapha Nik Hassan et. (ed), Konsep dan Pelaksanaan
Wakaf di Malaysia, Kuala Lumpur :
Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), hlm.79.
[33]
Mesyuarat Jamaah Ulama Majlis Agama Islam Kelantan (1995) “Fatwa Tentang Cadangan untuk Memajukan Tanah Wakaf”, (Kertas
Kerja Mesyuarat Jamaah Ulama Majlis Agama Islam Kelantan, 5 Ogos 1995/ 8
Rabiul awal 1416 H).
[34]
Hj. Ismail bin Yusof (1996), Himpunan Fatwa Mufti Kerajaan Negeri Kelantan,
cet.3. Kota
Bharu: Dian Darul Naim Sdn. Bhd., hlm.166.
0 ulasan:
Catat Ulasan