Islam adalah agama yang mengembalikan kemuliaan wanita
yang pada mulanya dianggap sebagai lebih rendah tarafnya berbanding lelaki.
Masyarakat Arab jahiliyah meletakkan taraf wanita pada kedudukan yang paling
rendah dari segi peranan dan moralnya iaitu sebagai pemuas nafsu lelaki, hamba
dan harta. Allah SWT telah memuliakan
manusia terutama mereka yang beriman yang terdiri daripada lelaki dan wanita.
Justeru dengan kemuliaan inilah maka manusia diberikan amanah ke atas setiap
diri individu untuk menjaganya agar ia tidak tercemar.
Pengertian Aurat
Para ulamak bersepakat menyatakan bahawa aurat berasal
daripada kalimah ’Arun, bermakna celaka. Ini kerana seringkali
pendedahan aurat membawa kepada kecelakaan dan kerosakan. Perkataan Iryan
juga membawa makna aib dan memalukan. Orang yang mendedahkan aurat adalah
berkelakuan tidak sopan dan sangat buruk. Aurun pula membawa makna
sesuatu yang menjijikkan. Kerana inilah juga para lelaki diwajibkan menundukkan
pandangan daripada melihat kepada aurat wanita yang dianggap jijik, kerana ia
termasuk dalam perkara dosa. Dosa boleh diistilahkan sebagai sesuatu yang
menjijikkan jika diperlakukan.
Hubungan Aurat dengan Maruah
Maruah adalah lambang ketinggian nilai seseorang manusia.
Andainya maruah seseorang itu tercemar, maka nilai dan harga diri seseorang itu
sudah tidak ada lagi. Maruah juga amat berkait dengan keperibadian seseorang.
Hakikat semulajadi manusia akan mempunyai perasaan malu jika bahagian tertentu
daripada badan dipertontonkan kepada khalayak ramai. Mendedahkan aurat sama
seperti tidak berpakaian. gejala rogol, gangguan seksual, pencabulan kehormatan
dan lain-lain banyak berpunca daripada cara berpakaian yang tidak menutup
aurat. Maka hukum yang menjadi peraturan dan panduan dalam Islam semuanya
adalah untuk menjaga dan menjamin maruah wanita terutamanya daripada gejala
yang tidak sihat berlaku.
Kemuliaan Kaum Wanita
Allah SWT menciptakan wanita dengan pelbagai keistimewaan
diri, seperti kecantikan rupa paras dan fizikal, lemah-lembut, kehalusan kulit
dan lain-lain berbeza dengan kaum lelaki. Sehubungan dengan itu, Allah SWT
menjadi salah satu syariatNya ialah mewajibkan wanita menutup aurat. Tujuannya adalah untuk memulia dan
menghormati nilai diri setiap muslimah. Pendedahan aurat adalah sangat hodoh
dan buruk di sisi Syariat. Maka
mendedahkan aurat kepada orang yang bukan mahram secara tidak langsung
mencacatkan sifat dan darjat kemanusiaan yang mulia, menunjukkan akhlak yang
rendah dan merosakkan masyarakat. Wanita
yang sengaja mendedahkan aurat adalah golongan yang dianggap tidak amanah
terhadap diri sendiri yang diperintah Allah agar menutupnya dengan rapi dan
sempurna. Allah SWT berfirman: di dalam surah al-Nur,31:
dan Katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman
supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan
memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan
tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup
belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka;
Sifat Malu: Perhiasan Bagi Wanita
Nabi saw menyifatkan malu adalah sebahagian daripada Iman. Menutup aurat
dengan berpakaian yang sempurna dan timbulnya rasa malu dalam diri adalah suatu
fitrah naluri keinsafan yang hanya terbit daripada jiwa manusia yang beriman. Antara tanda pergi dan hilangnya iman ialah hilangnya
perasaan malu. Nabi saw bersabda: “Sifat malu dan iman itu seiringan. Jika
salah satu ditinggalkan, maka kedua-duanya akan hilang”.
Nabi saw bersabda lagi di dalam
hadis yang lain, bahawa baginda melihat kebanyakan penduduk syurga adalah
orang-orang fakir, manakala penduduk neraka adalah wanita. Imam al-Qurtubi
dalam menjelaskan hadis ini katanya:
Penyebab sedikitnya kaum wanita yang masuk syurga adalah
hawa nafsu yang mendominasi pada diri mereka. Kecenderungan mereka kepada
kesenangan dunia, dan berpaling daripada akhirat kerana kurangnya akal mereka
dan mudahnya mereka tertipu dengan kesenangan dunia yang menyebabkan mereka
lemah untuk beramal.
Justeru, wanita dituntut mempunyai sifat malu terutama
hal yang berkaitan dengan maksiat dan larangan Allah. Hilangnnya perasaan malu
inilah yang menjerumus wanita ke kancah kehinaan. Abu Hatim menyatakan bahawa:
Apabila manusia
terbiasa dengan sifat malu, maka pada dirinya terdapat faktor-faktor yang
mendorong kepada kebaikan. Sebaliknya orang yang tidak tahu malu, maka dirinya
tidak ada faktor-faktor yang mendorong kepada kebaikan.
Jaminan Islam terhadap Mereka yang Menutup Aurat
Allah tidak membebankan kaum wanita dengan perkara-perkara yang berat,
cukup hanya dengan menunaikan rukun Islam, menjaga aurat dan mentaati suami ,
maka tertutup segala pintu neraka dan terbuka semua pintu syurga. Wanita boleh memasuki daripada mana-mana pintu yang ia
suka. Allah tidak mewajibkan wanita berjihad, mencari nafkah dan lain-lain.
Di dalam hadis yang
lain nabi saw bersabda:” Akan datang suatu zaman kepada umatku, segolongan
wanita yang berpakaian tetapi sebenarnya mereka bertelanjang tanpa pakaian.
Sanggul mereka ditinggikan bagai bonggol unta. Kutuklah mereka. Sesungguhnya
mereka itu terkutuk oleh Allah. Mereka tidak akan memasuki syurga dan tidak
dapat mencium sedikitpun bau syurga.
Agama Islam telah
memberi jaminan terhadap umatnya yang mengambil berat tentang aurat, mereka
dikelaskan sebagai umat yang terbaik yang mendapat keredhaan Allah SWT
sebagaimana firmanNya:
Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah
menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu, dan
pakaian perhiasan; dan pakaian yang berupa taqwa itulah yang sebaik-baiknya.
Yang demikian itu adalah dari tanda-tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmatNya
kepada hamba-hambaNya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur).
Ibubapa: Cermin Kepada Anak-anak
Kajian yang dibuat oleh Prof. Dr Harlina daripada UKM,
peratusan remaja yang hamil dan dikategorikan sebagai remaja luar kawalan ibu
bapa dan penjaga adalah 45 %, dibandingkan dengan mereka yang terlanjur
(biasanya antara pasangan yang sudah bertunang), iaitu 13 % dan yang diperkosa
hanya 3%. Kajian ini
menjelaskan bahawa peranan ibubapa amat penting terutama dalam mencorak
pemakaian dan aurat anak-anak, terutama anak-anak perempuan. Sifat kepedulian ibubapa amat penting agar
anak-anak sentiasa terdidik dengan akhlak berpakaian Islam yang menjadi
pendinding kepada berlakunya masalah sosial pada hari ini.
Kesimpulannya, pemakaian seseorang adalah mencerminkan
interprestasi imannya. Allah SWT memuliakan wanita dengan menamakan surah
al-Quran secara khusus iaitu ”al-Nisa’ yang membincangkan tentang perihal kaum
wanita. Maka sewajarnya para wanita memelihara keperibadiannya dengan menutup
aurat yang sangat tinggi dan mulia di sisi Allah dan RasulNya.
0 ulasan:
Catat Ulasan