Kebanyakan negeri di Malaysia tidak mentakrifkan secara terperinci tentang
wakaf kecuali beberapa negeri sahaja, iaitu Wilayah Persekutuan, Melaka,
Selangor, Johor dan Negeri Sembilan. Kebanyak definisi yang diperuntukkan dalam
beberapa enakmen hanyalah menyentuh tentang harta Wakaf Am dan Khas sahaja yang
melibatkan semua jenis harta wakaf termasuk tanah yang dikategorikan sebagai
harta tak alih.[1]
Menurut Enakmen Wakaf Negeri Selangor (bil.7/1999), wakaf ertinya
menyerahkan apa-apa harta yang boleh dinikmati manfaat dan faedahnya untuk
apa-apa tujuan kebajikan sama ada sebagai Wakaf Am atau Wakaf Khas menurut
hukum syarak, tetapi tidak termasuk amanah sebagaimana yang ditakrifkan di
bawah Akta Pemegang Amanah 1949.[2] Enakmen Pentadbiran Agama Islam Johor
(bil.4/1996), mentakrifkan wakaf sebagai pemberian yang berkekalan di atas
harta atau sebahagian daripadanya oleh tuan punya harta itu kerana maksud agama
mengikut hukum syarak.[3]
Enakmen Wakaf Negeri Sembilan (bil.16/2005),[4] agak terperinci dalam mendefinisikan
wakaf berbanding enakmen wakaf yang digubal sebelum ini. Wakaf ertinya:
(a)
Menyerahkan hakmilik apa-apa harta yang boleh dinikmati manfaat, faedah
atau keuntungannya
(b)
Menyerahkan manfaat, faedah atau keuntungan yang boleh dinikmati
daripada apa-apa harta; atau
(c)
Menyediakan kepakaran dan perkhidmatan yang boleh dinikmati manfaat,
faedah atau keuntungannya.
Sama ada sebagai wakaf am atau wakaf khas,
menurut prinsip syariah, tetapi tidak termasuk amanah yang ditakrifkan di bawah
Akta Pemegang Amanah 1949.
1.4 Kategori Wakaf Menurut Hukum Syarak dan
Undang-undang di Malaysia
Pembahagian jenis wakaf ini sebenarnya tidak terdapat dalam pentakrifan
para fuqaha. Ia hanya dikenali di kalangan masyarakat sebagai ‘urf,
kerana pada asal pewakafan harta semuanya adalah bermaksud untuk kebajikan.[5] Sebahagian pengkaji mengatakan bahawa
pada awal Islam hanya wujud Wakaf Khayri sahaja, Wakaf Ahli tidak disyariatkan. Pengkelasan wakaf
berlaku di kalangan ahli Fiqh masa kini adalah untuk menggalakkan orang ramai
agar mewakafkan lebihan daripada harta mereka.[6] Ramai di kalangan pewakaf mewakafkan
harta mereka dengan mensyaratkan harta yang diwakafkan itu dapat dimanfaatkan
oleh pewakaf sehingga akhir hayatnya atau diwakafkan kepada anak-anaknya atau
kepada individu tertentu. Kemudian mereka mewakafkan harta tersebut kepada
fakir miskin dan ia dikenali sebagai Wakaf kebajikan (Khayri).[7]
Undang-undang
Pentadbiran Wakaf di Malaysia telah mengkodifinasikan kategori wakaf di dalam
enakmen negeri masing-masing, selain wakaf Am dan Khas.[8] Definisi bagi semua kategori wakaf
mengikut hukum syarak dan yang diperuntukkan dalam enakmen adalah
sebagaimana berikut:
1.4.1 Wakaf
Am dan Khas
Wakaf Am juga dinamakan wakaf kebajikan
atau al-Waqf al-Khayri iaitu harta yang diwakafkan untuk kebajikan yang
boleh dimanfaatkan oleh ramai.[9] Pewakafan harta jenis ini pada dasarnya
adalah untuk tujuan kebajikan, walaupun dalam tempoh tertentu dan untuk
mana-mana individu atau individu tertentu, atau selepas itu diwakafkan kepada
orang lain. Contohnya pewakafan tanah untuk dijadikan hospital atau pusat
pendidikan, kemudian diwakafkan untuk dirinya sendiri dan untuk ahli keluarganya.
Pengurusan dan pentadbiran Wakaf Am adalah terletak sepenuhnya kepada
pemerintah dengan memastikan hak atau kebajikan serta manfaat daripada harta
wakaf tersebut dapat dinikmati oleh mereka yang benar-benar berkelayakan.
Segala pendapatan daripada harta wakaf itu akan dimasukkan dalam kumpulan harta
Baitulmal.[10]
Wakaf Khas ialah pewakafan harta yang pada mulanya
adalah untuk diri pewakaf sendiri sebagai keutamaan atau kepada mana-mana
individu atau individu yang telah ditentukan dengan niat untuk tujuan kebaikan.
Antaranya seperti pewakaf mewakafkan hartanya bagi manfaat dirinya, kemudian
kepada anak-anaknya. Seterusnya kepada kaum kerabatnya dengan tujuan untuk
mendapatkan manfaat dan kebaikannya.[11] Wakaf Khas atau Wakaf Ahli atau dikenali juga sebagai Wakaf Dhurri (Wakaf Keluarga). Ia adalah diharuskan kerana terdapatnya
unsur kebajikan untuk kaum kerabat yang ada hubungan dengan pewakaf itu.
Tujuannya adalah untuk membantu dan memberi pertolongan kepada mereka. Selain
itu ia dapat menjamin kebajikan saudara terdekat pewakaf dan keluarganya agar
memastikan mereka mendapat manfaat daripada harta wakaf sepanjang hayat mereka.
Secara tidak langsung wakaf jenis ini dapat menggalakkan orang ramai supaya
mewakafkan harta mereka.[12]
Terdapat juga wakaf yang dikenali sebagai Wakaf Sekutu. Wakaf ini adalah
gandingan antara wakaf kebajikan dan wakaf keluarga. Keadaan ini boleh berlaku
apabila seseorang pewakaf mewakafkan hartanya bagi tujuan kebajikan pada jumlah
yang tertentu. Manakala bakinya diwakafkan kepada penerima yang ditentukan di
kalangan ahli keluarganya.
Dari segi penggunaannya, harta wakaf dalam Islam tertakluk kepada
syarat-syarat yang tertentu. Sekiranya harta itu diwakafkan dalam bentuk
penggunaan khusus (Wakaf Khas), ini bermakna harta wakaf itu termasuk hasil
daripadanya tidak boleh digunakan untuk tujuan-tujuan lain, selain apa yang
telah ditentukan oleh si pewakaf (Waqif).[13] Begitu juga dengan wakaf manfaat, mengikut pendapat ulama mazhab Hanafi
penerima manfaat itu sahaja yang berhak menggunakan harta wakaf berkenaan.
Apabila penerima wakaf itu meninggal dunia, manfaat wakaf tidak boleh diwarisi
kepada pihak yang lain dalam apa jua keadaan sekalipun. Ini kerana manfaat
adalah sesuatu yang tidak bersifat kekal.[14]
Kebanyakan negeri di Malaysia telah memperuntukkan takrif Wakaf Am. Begitu juga dengan wakaf Khas yang di dalam
enakmen masing-masing.[15] Wakaf
Am ertinya wakaf harta modal dan pendapatan yang kekal
daripada mana-mana harta bagi maksud agama dan khairat yang diakui sah oleh
hukum Syarak dan termasuk juga harta-harta yang di wakafkan itu sendiri. Wakaf
Khas pula ialah wakaf harta modal yang kekal daripada
mana-mana harta bagi maksud agama dan khairat yang diakui oleh hukum Syarak
termasuk harta-harta yang diwakafkan itu sendiri dan pendapatan daripada harta
itu diberi kepada orang-orang atau tujuan yang ditetapkan dalam wakaf itu.[16] Enakmen Wakaf Selangor mendefinisikan Wakaf Am
sebagai sesuatu wakaf yang diwujudkan bagi tujuan kebajikan umum menurut hukum
Syarak dan Wakaf Khas pula ialah sesuatu wakaf yang diwujudkan bagi tujuan
kebajikan yang khusus menurut hukum Syarak.[17] Jika waqif tidak menamakan mawquf ‘alayh, mawquf ‘alayh telah mati atau tidak
dapat dikesan dalam tempoh empat tahun selepas berkuat kuasanya wakaf, ia
menjadi wakaf Am.[18]
Enakmen Pentadbiran Agama Islam Johor [19] mentafsirkan Wakaf Am sebagai Wakaf yang
memberi manafaat pada orang ramai atau pihak-pihak yang lain. Wakaf Khas
sebagai wakaf yang memberi manfaat
kepada seseorang atau pihak-pihak yang tertentu. Kaedah-kaedah Wakaf Johor
1983 telah memperincikan takrif Wakaf Ahli yang diperuntukkan dalam Enakmen
sebagai wakaf yang memberi manfaat
kepada keturunan waqif atau kepada keturunan mawquf ‘alayh.[20]
1.4.2 Wakaf Musytarak
Wakaf Musytarak[21] ialah wakaf
yang disatukan padanya beberapa wakaf termasuk wakaf-wakaf yang diwujudkan
daripada amwal badal.[22] Wakaf Musytarak diwujudkan
oleh waqif melalui saham
wakaf dan wakaf saham. Wakaf jenis ini adalah gabungan wakaf Ahli yang khusus dengan wakaf
Khayri yang umum. Sebahagian
daripada manfaat harta wakaf itu digunakan untuk kepentingan ahli keluarga dan
sebahagian lagi
digunakan bagi tujuan umum. Enakmen Wakaf Selangor[23] juga memperuntukkan takrif wakaf Musytarak
sebagai penyatuan beberapa wakaf termasuklah wakaf yang diwujudkan melalui istibdal dan saham wakaf.[24]
1.4.3 Wakaf Mu‘abbad dan Mu‘aqqat
Wakaf Mu‘abad ialah wakaf yang tidak
dihadkan tempoh atau masanya.[25] Menurut
Undang-undang wakaf di Johor, wakaf masjid dan wakaf kerana masjid adalah mu‘abbad. Namun, selain daripada itu
termasuk juga wakaf ahli boleh dijadikan mu‘abbad
dan mu‘aqqat bergantung kepada pewakaf dengan masa tidak melebihi 60
tahun dari tarikh mati waqif atau dua
keturunan tidak termasuk waqif.[26] Di dalam
Enakmen Wakaf Selangor 1999, takrif wakaf Mu‘aqqat tidak memperincikan.[27]
1.4.4
Wakaf Irsad dan Musya ‘
Wakaf Irsad ialah tanah yang
diwakafkan oleh pemerintah bagi tujuan kemaslahatan umum seperti sekolah,
hospital dan lain-lain.[28] Wakaf
ini bukan daripada pemiliknya tetapi ia adalah kurniaan pihak pemerintah
seperti yang diwartakan untuk tapak masjid, surau, sekolah agama, rumah
kebajikan Islam, tanah perkuburan dan lain-lain lagi, atau ia adalah wakaf
daripada mana-mana syarikat atau agensi seperti Takaful, Lembaga Tabung Haji
dan sebagainya.[29]
Di Negeri Selangor, seseorang waqif boleh mewujudkan
wakaf Irsad dan Musya‘ terhadap keseluruhan, atau sebahagian daripada hartanya.[30] Enakmen Wakaf Negeri Selangor mendefinisikan Wakaf Irsad ertinya sesuatu
tanah yang diwakafkan oleh mana-mana perbadanan, institusi, pertubuhan atau
badan-badan lain menurut hukum syarak.[31]
Di dalam Manual Pengurusan Tanah Wakaf Jabatan
Wakaf Zakat dan Haji memberi takrif yang lebih tepat iaitu wakaf Irsad bermaksud penyerahan mana-mana tanah sebagai wakaf oleh mana-mana
Pihak Berkuasa Negeri, Kerajaan Persekutuan atau mana-mana perbadanan,
institusi, organisasi atau badan-badan lain menurut hukum syarak.[32] Manakala
wakaf Musya‘ ertinya
mewakafkan apa-apa hak ke atas mana-mana harta yang dimiliki bersama yang tidak
boleh dipecah bahagikan.[33]
1.4.5 Wakaf Kaki
Wakaf Kaki atau wakaf petak atau dikenali
juga dengan nama wakaf lantai. Nazir wakaf atau pemegang amanah akan membeli
keseluruhan hartanah dan pewakaf akan membeli hartanah berkenaan mengikut saiz/
kaki persegi dan kemudiannya mewakafkannya kembali.[34]
Skim wakaf kaki biasanya dianjurkan oleh institusi pendidikan atau badan-badan
tertentu untuk mendapatkan dana bagi membiayai aktiviti pembangunan. Lazimnya
apabila sesuatu projek pembangunan itu telah berjaya maka skim wakaf kaki ini
akan dihentikan. Ia akan dibahagi-bahagikan lot-lot tanah mengikut saiz
tertentu dan dijual kepada orang ramai dengan harga tertentu. Tanah-tanah yang
dibeli ini disyaratkan agar diwakafkan semula kepada institusi pendidikan atau
badan-badan berkenaan.[35]
1.4.6 Saham Wakaf
Satu skim untuk menggalakkan umat Islam
berwakaf melalui Wang ringgit (tunai) dengan cara membeli unit-unit saham wakaf
yang ditawarkan. Pembeli unit saham akan menawarkan unit-unit tersebut untuk
selama-lamanya kerana Allah SWT bagi tujuan manfaat dan kebajikan umat Islam.
Penyumbang dalam skim ini tidak mendapat sebarang bentuk dividen kerana ia
bersifat wakaf. Hasil daripada jualan wakaf ini akan dikumpulkan ke dalam
Tabung Kumpulan Wang Wakaf untuk membiayai program pembangunan sosial dan
ekonomi umat Islam.
1.4.7 Takaful Wakaf
Peserta akan mengumpulkan wang secara
beransur-ansur melalui bayaran ansuran caruman takaful mengikut kemampuan
masing-masing secara berkala sepanjang tempoh takaful. Wang caruman peserta
akan disimpan, dilabur dan diurustadbir oleh institusi takaful sehingga genap
tempoh matang sijil takaful.[36]
[1] Rujuk Enakmen Hal Ehwal Agama Islam
Terengganu, (bil.2/2001), Enakmen Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu
Kelantan, (bil.4/1994), Enakmen Pentadbiran Ugama Perak, (bil.3/1992), Enakmen
Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (1993), Enakmen
Pentadbiran Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (bil.3/1991),
Enakmen Pentadbiran Agama Islam Johor
(bil.4/1996), dalam Seksyen 2 (1).
[2] Enakmen Wakaf Negeri Selangor, (bil.7/1999), Seksyen 1.
Rujuk Enakmen Hal Ehwal Agama Islam Terengganu, (bil.2/2001), Enakmen Agama
Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan, (bil.4/1994), Enakmen Pentadbiran
Ugama Perak, (bil.3/1992), Enakmen
Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (1993), Enakmen
Pentadbiran Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (bil.3/1991),
Enakmen Pentadbiran Agama Islam Johor (bil.4/1996), dalam Seksyen 2 (1).
[3] Enakmen Pentadbiran Agama Islam Johor,
(bil.4/1996), Seksyen 41.
[4] Enakmen Wakaf Negeri Sembilan (bil.16/2005), Seksyen.2.
[5] Muhammad Kamal al-Din (1998), Al-Wasaya wa al-Awqaf fi al-Fiqh al-Islami, Mu’assasah al-Jam‘iyyah al-Dirasat, hlm.187.
[7] Ibid., hlm.273-274.
[8] Enakmen Wakaf Negeri Sembilan
(bil.16/2005) tidak memasukkan kategori wakaf di dalam peruntukan enakmen.
Enakmen hanya memperuntukkan wakaf Am dan Khas sahaja.
[9] Badran, Badran Abu al-‘Aynayn (1986), op.
cit., hlm.271. Mahmud Saedon Awang Othman (1998), Peranan Wakaf di Dalam
Pembangunan Ummah, dalam Ahmad Ibrahim et. al. (ed), Undang-undang
Keluarga dan Harta Wakaf, Al-Ahkam, cet.1, jld.6, Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm.166.
[10]
Ridzuan Awang (1994), Undang-undang Tanah Islam: Pendekatan Perbandingan,
cet.1, Kuala Lumpur :
Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm.380.
[11] Badran, Badran Abu al-‘Aynayn (1986), op. cit., hlm.271. Ridzuan
Awang (1994), op. cit., hlm.380.
[12] Sabiq, al-Sayyid (1992), op.
cit., hlm.515. Badran, Badran Abu al-‘Aynayn (1986), op. cit.,
hlm.274.
[14] Al-Khafif, ‘Ali (1990), Al-Milkiyyah fi al-Syari‘ah Ma‘a Muqaranatiha bi al-Qawanin al-‘Arabiyyah, Beirut: Dar al-Nahdah al-‘Arabiyyah, hlm.193.
[15] Lihat Enakmen Hal Ehwal Agama
Islam Terengganu, (bil.2/2001), Enakmen Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu
Kelantan, (bil.4/1994), Enakmen Pentadbiran Ugama Perak, (bil.3/1992), Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam
Negeri Pulau Pinang (bil.3/1993), Enakmen Pentadbiran Ugama Islam dan Adat
Resam Melayu Pahang (bil.3/1991), Enakmen Pentadbiran Agama Islam Johor (bil.4/
1996), dalam Seksyen 2(1).
[16] Enakmen Agama Islam dan Adat Istiadat
Melayu Kelantan, (bil.4/1994), Seksyen 2(1).
[17] Enakmen Wakaf Negeri Selangor, (bil.7/1999), Seksyen 2(1).
[19] Enakmen Pentadbiran Agama Islam Johor,
(bil.4/1996), Seksyen 41.
[20] Kaedah-kaedah Wakaf Johor 1983,
Seksyen 2. Syarat-syarat wakaf Ahli telah diperincikan di dalam Seksyen
16(1-24).
[21] Kaedah-kaedah Wakaf Johor 1983,
Seksyen 2. Enakmen
Wakaf Selangor (bil.7/1999), Seksyen 9(2)(d).
[22] Amwal Badal ertinya
kumpulan wang amanah wakaf daripada jualan atau lainnya yang diharuskan oleh
hukum syarak. Lihat Kaedah-kaedah Wakaf Johor 1983, Seksyen 2 dan 13(2).
[23] Enakmen Wakaf Negeri Selangor, (bil.7/1999), Seksyen 9(d).
[24] Lihat juga Enakmen Wakaf Negeri Melaka
(bil.5/2005), Seksyen 9(d).
[25] Kaedah-kaedah Wakaf Johor 1983, Seksyen
2.
[26]Ibid., Seksyen 17.
[27] Enakmen Wakaf Negeri Selangor, (bil.7/1999), Seksyen 9 (b),
Wakaf Mua’bbad ertinya wakaf yang
berkekalan.
[28] Al-Zuhayli, Wahbah (1989), Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, cet.3, jld.8, Damsyiq: Dar al-Fikr, hlm.167.
[29] Mohd Shah Firafizal bin Abu Bakar (2005),
“Dana Wakaf MAINPP: Amalan dan Pelaksanaan”, (Kerja Seminar Dana Wakaf
Peringkat Negeri Pulau Pinang 2005, di Bilik Aiditorium Dewan Milenium, Kepada
Batas Seberang Prai Pulau Pinang, Pada 17 Julai 2005/ 10 Jamadil Akhir 1426),
hlm.10.
[30] Enakmen Wakaf Negeri Selangor, (bil.7/1999), Seksyen 9(1).
[31] Ibid., Seksyen 9(2)(a).
[32] Manual Pengurusan Wakaf (2006), Cet.1,
Jabatan Wakaf Zakat dan Haji, Jabatan Perdana Menteri, hlm.4.
[33] Ibid., Seksyen 9(a)(c). Keterangan
lanjut tentang wakaf Musya’, lihat Bab Kedua hlm.76-78.
[34] Mohd Shah Firafizal bin Abu Bakar (2005),
op. cit., hlm.11. Wakaf Kaki adalah dirujuk kepada wakaf Musytarak dan
Musya‘ yang
mempunyai persamaan antara ketiga-tiga kategori wakaf.
[35]
Baharuddin Sayin, Asmak Ali, S. Salahudin Suyurno (2006), Pengenalan Kepada Konsep Wakaf dalam Islam, Pusat Penerbitan
Universiti (UPENA) UiTM, Shah Alam, hlm.47
[36] Lihat:
www.takaful-malaysia.com.my/
0 ulasan:
Catat Ulasan