Manusia adalah gabungan antara jiwa
(roh) dan raga (jasad). Dalam jiwa manusia terdapat akal dan hati, manakala
pada raga manusia terdapat pancaindera. Segala input yang masuk ke dalam hati
dan akal membolehkan manusia memahami, menyedari dan berfikir dengan baik serta
bertindak dengan rasional. Justeru, manusia perlu mengubah jiwa mereka dan
bukannya mementingkan perubahan jasad atau luaran semata-mata. Di dalam surah
al-Ra’d Allah menjelaskan maksudnya:
“ Dia tidak mengubah keadaan
individu itu sehingga individu itu sendiri yang mengubah apa yang ada dalam
jiwa”
Jiwa Kehambaan
Manusia adalah orang kepercayaan Allah yang diciptakan
dengan sebaik-baik kejadian. Kita memikul tanggungjawab dan amanah membangun
dan memakmurkan bumi Allah ini dengan sistem dan kehendaknya. Di dalam bahasa
Arab konsep “Rabb” membawa makna yang banyak antaranya tuan punya, pemilik,
ketua, pemimpin, pemerintah, pengasuh dan pendidik. Allah adalah pemimpin
manusia yang mengajak kepada kehidupan Rabbani. Maka orang yang mendapat
pimpinan Allah adalah mereka yang mengikuti sistem hidup yang ditentukan oleh
Allah. Kejahilan tentang sistem Allah mengakibatkan kepada punca segala
kerosakan dan kehancuran. Manusia sering mengejar kebendaan, namun sering kita
lupa bahawa yang memberi kebendaan itu (Allah) adalah lebih penting dari segala
sesuatu benda, sebagaimana antara makanan dengan yang membolehkan kita makan,
manakah yang lebih penting? Antara mendapat kerja
dengan yang membolehkan kita kerja? Antara berfikir dengan yang membolehkan
kita berfikir? Antara pangkat dengan yang membolehkan kita pangkat? Antara
berjaya dengan yang membolehkan kita berjaya?
Apabila
manusia sedar hakikat ini, maka secara jelasnya manusia sering berhajat kepada
Allah selama putaran hidupnya. Manusia pada hakikatnya tidak terpisah dengan
Allah walaupun sesaat. Ini kerana segala sesuatu yang dibuat oleh kita adalah
dengan kehendak dan kuasa Allah SWT. Allah tersangat penting dalam kehidupan
kita yang membolehkan kita dapat makan, minum, kerja dan lebih daripada itu
membolehkan kita hidup dengan sempurna.
Hijrah: Menerima Bimbingan Allah
Allah adalah tuan punya ilmu dan guru kepada manusia yang
membimbing akal dan hati manusia. Allah membimbing manusia dengan mendidik
secara tegahan, larangan, suruhan, ancaman, peringatan, dorongan, penghargaan
yang didatangkan menerusi al-Quran dan diutuskan para nabi dan RasulNya.
Selain
dari menyembah Allah, kita diseru agar memperhambakan diri kepadaNya. Allah menciptakan dan menyediakan segala
keperluan hidup bermula dari bangun dari tidur sehingga kembali semula tidur,
semua ini adalah untuk memperhambakan diri, iaitu berkhidmat dan berbakti
dengan penuh keikhlasan kerana Allah membangunkan harta-harta yang diamanahkan
dengan penuh amanah, baik dan betul mengikut kehendakNya. Allah SWT berfirman
di dalam surah al-Nisa’:36 berbunyi:
Ertinya: Dan hendaklah kamu
memperhambakan diri kepada Allah dan jangan kamu mensyirikkannya.
Kesilapan
besar manusia hari ini ialah menjadikan makhluk lain sebagai hamba. Apabila
manusia sayang kepada harta, lalu mereka menghambakan diri kepada harta.
Apabila sayang kepada anak, lalu diperhambakan diri kepada anak, akhirnya
manusia secara tidak sedar menjadi hamba kepada dunia. Justeru, manusia perlu
kembali kepada fitrah kehambaan yang sebenar yang membawa manusia kepada
sifat-sifat taat, patuh, tidak sombong, amanah dan lain-lain. Penyalahgunaan
dan penyelewengan yang dilakukan bukan sahaja buruk kepada dirinya tetapi
kepada semua masyarakat.
Hijrah: Membangun Jiwa Khalifah
Setiap manusia yang lahir ke dunia memegang tangungjawab
khalifah Allah di muka bumi ini. Membangun dan menguruskan bumi ini memerlukan
kepada jiwa kehambaan. Jiwa ”al-’Abd” inilah yang menyebabkan manusia menjadi
patuh dan tunduk kepada Yang Maha Berkuasa. Sentiasa berada dalam keadaan takut
dan bimbang dengan amanah yang diterima. Jiwa kehambaan membolehkan peranan
kekhalifahan berjalan dengan baik dalam kerangka fitrah kehambaan kepada Allah
SWT. Keengkaran dan kedegilan manusia menyebabkan manusia bertindak melampaui
batas kemanusian dan mendorong manusia melakukan kemaksiatan dan kerosakan.
Kesimpulan,
sempena kedatangan awal Muharram dan tahun baru ini, janganlah kita cemari
dengan kekotoran dan noda maksiat sebagai permulaan kehidupan kita untuk
menempuh tahun 2010. Marilah kita sama-sama memulakan langkah dengan azam dan
tekad yang baru untuk membina dan meningkatkan kecemerlangan diri, keluarga,
masyarakat dan negara.

Bahaya yang paling berbahaya dalam hidup bukanlah ketika
gagal tapi gagal untuk mencuba lagi setelah gagal
Hadis Dhaif dan
Kedudukannya Dalam Syariat Islam
Hadis dhaif atau hadis yang
periwayatnya lemah berbeza dengan hadis maudu’ atau hadis yang
direka-reka dan disandarkan kepada nabi saw. Terdapat beberapa pandangan ulamak tentang kedudukan hadis dhaif. Terdapat
tiga pandangan para ulamak dalam hal ini, antaranya ialah:
Pandangan Pertama:
Menurut pendapat
Qhadi Abu Bakar Ibn al-Arabi bahawa tidak harus secara mutlak beramal dengan hadis
dhaif
Pandangan Kedua:
Menurut pendapat
Abu Daud dan Imam Ahmad bahawa harus secara mutlak beramal dengan hadis dhaif
Pandangan Ketiga:
Menurut pendapat
Ibn al-Mubarak, Imam al-Nawawi, al-Baihaqi bahawa beramal dengan hadis dhaif
dalam perkara Fadhail al-A’mal, mau’izah (teladan), dan Qasas (cerita/ kisah).
Keharusan ini adalah bergantung kepada beberapa syarat:
- Hanya digunakan dalam perkara Fada’il a’mal sahaja (bab kelebihan
beramal)
- Hadis yang digunakan tidak terlalu lemah
- Tidak berpegang/ beriktikad ketika beramal dengannya bahawa ia thabit/
tidak dinisbahkan kepada nabi saw tetapi secara ihtiyat (kebarangkalian)
sahaja.
Kata Hatim al-Zahid: Empat perkara yang tidak difahami
nilainya kecuali oleh empat:
- Nilai muda tidak difahami kecuali oleh orang yang telah tua
- Nilai kesihatan tidak difahami kecuali oleh orang yang telah sakit
- Nilai aman tidak difahami kecuali oleh orang yang telah terkena bala
- Nilai hidup tidak difahami kecuali oleh orang yang telah mati
Nasihat al-Qamah
Al-Qamah telah memberi pesanan
kepada anaknya dalam membina persahabatan. Antaranya ialah:
Pertama: pilihlah sahabat yang suka melindungi diri sahabatnya. Dia adalah hiasan
diri kita dan sahabat semasa senang dan susah.
Kedua: Pilihlah sahabat yang apabila engkau menghulurkan tangan untuk memberikan
jasa baik atau bantuanmu, dia akan menerima dengan rasa terharu. Jika ia
melihat kebaikan yang ada pada dirimu, dia suka menghitung-hitungkan
(menyebut-nyebut), dan menutupi segala keburukan dan keaiban yang ada pada
dirimu.
Ketiga: Pilihlah sahabat yang apabila engkau meminta sesuatu daripadanya, pasti
dengan akan memberi. Jika engkau diam dia akan menyapamu. Jika ada sesuatu
kesukaran dan kesedihan yang menimpa dirimu, dia suka membantu dan meringankan
serta menghiburkan dirimu.
Abu Wafa’ Ibn ‘Uqail
al-Hanbali
“Aku tidak halalkan diriku
mensia-siakan satu saat daripada umurku. Sekiranya lidahku terhenti daripada
memberi peringatan dan pandangan mataku terhenti terhalang daripada mengkaji,
aku akan tetap menjalankan fikiranku dalam keadaan aku rehat dan duduk. Kini
aku dapati kegigihanku dalam mendalami ilmu ketika usia 80 tahun, adalah lebih
kuat daripada kesungguhanku ketika berusia 20 tahun. Beliau dikatakan mengarang
kitab kesusasteraan menjangkau 800 jilid”.
0 ulasan:
Catat Ulasan