Mengingati umur amat penting dalam kehidupan
manusia. Manusia sering lupa tentang umur mereka sehingga dirasakan ia masih
muda, kuat dan jauh daripada kelemahan serta keuzuran. Maka manusia dilalai dan
dilupakan oleh umur tanpa disedari ia dihabiskan begitu sahaja. Kepentingan mengingati umur ini secara tidak
langsung kita mengingati masa. Allah SWT berfirman dalam surah al-’Asr:
”Demi
masa sesungguhnya manusia berada dalam kerugian”
Hakikat Umur Manusia
Imam Habib Abdullah Haddad di dalam Risalah
Sabil al-Azkar wa al-I’tibar menjelaskan bahawa manusia mempunyai lima
umur. Antaranya ialah umur sejak Allah mencipta Adam a.s. dan membekalkan
zuriat di tulang punggungnya, kedua umur sejak manusia dilahirkan dari perut
ibunya sehingga ia wafat meninggalkan dunia yang fana, ketiga umur ini bermula
sejak manusia keluar dari dunia ini dengan menempuh mati sehingga dibangkitkan
dari kubur, keempat umur yang bermula daripada kebangkitan daripada alam kubur
untuk menerima panggilan tuhan sehingga memasuki sama ada ke syurga atau ke
neraka, dan terakhir umur yang tidak ada pangkal dan hujungnya iaitu sejak
kemasukan manusia ke syurga dan kekal di dalamnya.
Ibn al-Jawzi mengatakan bahawa umur
manusia dewasa ialah sejak berusia 35 sehingga 50. Maka apabila mencapai dewasa
biasanya akan kelihatan pada diri manusia kebaikan dan keburukannya. Ada yang
mengatakan bahawa apabila seseorang itu telah mencapai usia 40, sedang
kebaikannya tidak melebihi kejahatan, maka syaitan akan menyapu mukanya seraya
berkata: Demi ayahku, wajah ini tidak akan terlepas dariku.
Imam Malik pula
menjelaskan ”Kami dapati ramai orang yang mencari ilmu pengetahuan sehingga
sampai usia 40. Apabila mereka sampai umur tersebut, mereka pun memalingkan
perhatian kepada kepada memperbanyakkan amal soleh dan mengerjakan apa yang
mereka pelajari. Waktu itu tidak ada masa lagi untuk menumpukan perhatian
kepada dunia walau apa sekalipun”
Syeikh Arif Wali Abdul Wahhab bin Ahmad al-Sya’rani di dalam kitab
al-Bahrul Maurud mengatakan: “Ikatlah janji dengan dirimu, apabila kamu
mencapai umur 40, hendaklah kamu lipat tikar dan bantal serta merta dan
ingatlah diri kamu bahawa setiap nafas yang kamu sedut itu tidak boleh lagi
digunakan untuk kepentingan dunia sama sekali. Di samping itu hendaklah kamu
mengira setiap detik dari umur kamu yang telah melepasi 40 tahun itu, menyamai
100 tahun dengan yang sebelumnya”.
Di dalam suatu hadis sahabat
bertanya kepada nabi saw: “Wahai Rasulullah saw siapakah yang paling baik?
Baginda menjawab: “Orang yang panjang umurnya dan baik amalnya. Sahabat
bertanya lagi: “Siapakah manusia yang paling buruk? Jawab Baginda: “Orang yang
panjang umurnya dan buruk amalnya.
Hijrah ke Alam Barzakh
Rasulullah saw
bersabda: “Jadikanlah diri kamu di dunia ini seperti orang asing atau bagaikan
orang yang bermusafir”. Kehidupan ini pada hakikatnya terlalu singkat. Kata Auf
bin Abdullah, umur manusia hanya satu hari, iaitu hari kematian. Isa ibn Maryam
pula mengatakan umur manusia tiga hari, iaitu hari semalam, hari ini dan hari
kematian. Manakala Abu Zar al-Ghifari mengatakan umur manusia hanya tiga Saat
sahaja, iaitu saat yang lepas, saat ini dan saat kematian. Abu Bakar al-Warraq
pula menjelaskan umur kita hanya tiga nafas, iaitu nafas yang lepas, nafas yang
sedang kita bernafas dan nafas yang terakhir semasa kita akan berhijrah ke alam
barzakh.
Hijrah ke alam barzakh adalah
sesuatu yang pasti. Alam kubur atau alam barzakh merupakan tempat tinggal
antara dunia dan akhirat. Alam barzakh ertinya alam penantian dan ia adalah
sebahagian daripada alam akhirat. Alam ini didiami oleh para arwah yang
meninggal dunia. Uthman ibn Affan ketika berada di perkuburan beliau menangis
sehingga membasahi janggutnya. Lalu sahabatnya bertanya: “Kenapakah ketika kamu
mengingati syurga dan neraka, engkau tidak pernah menangis seperti ini? Apakah
sebabnya?. Lalu Uthman menjawab:
“kubur itu
merupakan tempat pertama dari penempatan akhirat. Sesiapa yang terselamat di
situ, maka sesudah itu semuanya akan menjadi mudah dan ringan. Namun sesiapa
yang gagal, maka sesudah itu akan menjadi lebih berat dan dahsyat”
Menurut Ibn Qayyim, roh
manusia sesudah mati di alam barzakh itu berada pada tempat yang berbeza
mengikut amalan dan perbuatannya ketika hidup. Sebahagian roh berada di tempat
yang tinggi (mulia). Ada roh yang tertahan di dalam kubur dan roh yang tertahan
di permukaan bumi iaitu mereka yang melakukan maksiat dan mementingkan duniawi.
Menurut Imam al-Habib
Allah menggambarkan kehidupan di alam rahim seumpama di alam Barzakh. Pada
peringkat umur masa dalam kandungan sebenarnya itulah cara hidup yang menyamai
dengan peringkat umur di alam Barzakh. Dunia yang gelap gelita dan sempit dan
menunggu-nunggu saat kelahiran, sebagaimana di alam Barzakh menunggu-nunggu
saat kebangkitan.
Nikmat Alam Barzakh
Alam barzakh tidak hanya sebagai tempat seksaan semata-mata. Bagi orang
kafir, munafiq, murtad, fasiq dan orang yang derhaka kepada Allah hidup di alam
barzakh dengan penuh seksa, takut, cemas dan sengsara. Perasaan mereka cukup
lama seperti beribu-ribu tahun dan mengharapkan segera berlakunya kiamat. Malam
pertama di alam barzakh amat menggerun dan menakutkan.
Bagi orang mukmin berada
di alam barzakh cuma sekadar istirehat sementara menunggu hari kebangkitan atau
umur yang keempat. Malaikat menyuruhnya tidur dengan tenang dan tidak
diganggunya. Kubur mereka diluas kan dan dijadikan seperti taman syurga. Setiap
pagi dan petang diperlihatkan kepada mereka syurga yang akan mereka ditempatkan
nanti. Mereka sedikitpun tidak berasa bosan dan waktu bertahun-tahun di alam
barzakh dirasakan sebentar sahaja. Sabda Rasulullah saw:
“Kubur itu boleh menjadi sebagai taman syurga dan boleh
menjadi sebagai lubang neraka”
Imam al-Ghazali
membahagikan keadaan manusia kepada 3 kategori:
i.
Orang yang tenggelam dalam urusan keduniaan
ii.
Orang yang bertaubat dan mula bertaubat
iii.
Orang yang mengenal diri sendiri dan merasakan hayatnya akan berakhir
Golongan yang pertama
ialah mereka yang tidak mengingati kematian. Jika diingati sekalipun mereka
merasa sedih dirinya akan meninggalkan harta kekayaan yang dimiliki, dan amat
benci dengan kematian.
Golongan yang kedua mereka
sentiasa berada dalam keadaan cemas, takut dan bimbang akan kematian. Mereka
akan menyempurnakan taubat dengan sebaik mungkin.
Manakala golongan yang
ketiga sentiasa mengingati mati setiap masa. mereka menunggu-nunggu saat
kematian untuk bertemu dengan Allah seperti orang yang bercinta untuk bertemu
dengan kekasihnya.

Sabda nabi saw: “Apalah yang hendak dihitung sangat dengan dunia. Umpamaku
dan umpama dunia ini laksana seorang penunggang yang sedang berjalan di bawah
panas terik. Tiba-tiba kelihatan sebatang pokok, lalu dia berteduh sebentar di
bawah teduhannya. Kemudian dia berangkat lagi dan meninggalkannya”.
Kata Sayidina Umar al-Khattab
Sesungguhnya zuriat syaitan itu ada 9:
1. Zalitun: menjaga pasar dengan menghasut supaya peniaga menipu dan mengurang timbangan
2. Wathin: yang membuat kekacauan’
3. A’wan: yang menjaga para pemerintah
4. Haffaf: yang menjaga sahabat kepada pemabuk
5. Laqus: yang menjadi sahabat kepada pemabuk
6. Dasim: yang menjaga rumah agar berlaku pecahbelah rumahtangga. Apabila suami masuk rumah dengan tidak memberi salam serta tidak mengingat Allah, maka berlakulah pergaduhan antara suami isteri sehingga berlakunya perceraian.
7. Musawit: yang menjadi sahabat kepada penyebar khabar dusta
8. Walhan: yang menjadikan manusia was-was dalam sembahyang, ketika berwuduk dan ibadat yang lain
9. Muroh: teman kepada pemuzik dan penyanyi
Allah telah
mewahyukan kepada nabi Daud a.s:
Sesungguhnya orang
yang berakal dan berilmu itu tidak sunyi daripada 4 masa:
iv.
Satu masa untuknya mengadu kepada Allah
v.
Satu masa untuk bermuhasabah diri
vi.
Satu masa untuk dirinya menemui sahabat yang soleh yang boleh menceritakan
kelemahan dirinya
vii.
Satu masa untuk dimana dia meninggalkan makanan yang lazat walaupun halal
Sabda nabi saw:
يَأتِي على النَّاسِ زَمَانٌ يَتَحَلَّقُوْنَ فى
مَسَاجِدِهِمْ ولَيْسَ هَمُّهُمْ إلاَّ الدُّنْيَا وَلَيْسَ للهِ فِيْهِمْ حًاجَةٌ
فلا تُجَالِسُوْهُمْ
Ertinya: Akan datang suatu masa ada di kalangan manusia yang duduk
berkelompok-kelompok di dalam masjid. Mereka
tidak berbicara kecuali hal-hal keduniaan. Ketahuilah bahawa Allah tidak
berhajat kepada mereka, maka janganlah
kamu duduk bersama mereka
0 ulasan:
Catat Ulasan