Ads 468x60px

Labels

Rabu, 28 Disember 2011

Adab Memohon Doa dengan Allah

Pendahuluan

Sesuatu yang amat ditekankan dalam hubungan antara manusia dengan manusia ialah tentang adab, sama ada ketika bercakap, bergaul dan lain-lain. Adab antara manusia dengan manusia begitu jelas dengan menjaga hubungan yang baik, dan menunaikan tanggungjawab serta hak mereka. Namun demikian, sejauhmanakah manusia menjaga adab dengan Allah SWT, sebagai tuan kepada manusia. Kita tidak hanya dituntut menjaga adab dengan manusia sahaja, bahkan juga dengan Allah SWT. Seorang wali Allah yang bernama Wahab r.a. mengatakan:

”Aku telah membaca dalam sebahagian kitab-kitab suci, bahawa Allah SWT berkata: Hambaku, patuhlah kepadaku terhadap apa yang telah aku perintahkan kepadamu, dan jangan kamu mengajar aku dengan sesuatu demi kemuslihatanmu”. Aku akan memuliakan kepada sesiapa sahaja yang memuliakan aku, sebaliknya aku akan menghina sesiapa yang merendah-rendahkan perintahku, dan Aku tidak melihat pada hak seseorang hamba sehingga hamba itu melihat pada hakKu”.


Manusia sering mengharapkan pertolongan daripada Allah apabila berhadapan dengan kesusahan, mala petaka, musibah dan lain-lain. Manusia akan bermohon kepada Allah agar kehendak dan keinginannya tercapai dan dimakbulkan Allah. Jika sebaliknya, maka ia tidak dilakukan kerana tidak ada apa-apa tujuan. Manusia yang tidak bermohon kepada Allah, sesungguhnya dia adalah hamba-hamba Allah yang sombong. Sikap manusia ini telah dijelaskan oleh Allah SWT:

Ertinya: dan Tuhan kamu berfirman: "Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaku, akan masuk neraka jahannam dalam keadaan hina.


Inilah sikap manusia yang apabila ditimpa apa jua musibah yang tidak menguntungkan kepada dirinya akan berhubung dengan Allah, jika sebaliknya Allah tidak dihajati lagi. Sikap sebegini menampakkan manusia tidak memahami adab dengan Allah. Ini kerana berdoakan kepada Allah bukan untuk memohon agar Allah perkenankan hajat, tetapi ia menunjukkan sifat perhambaan manusia dengan Allah sebagai merendah diri kepadaNya. Sebagaimana juga di dalam ibadat yang lain, tujuannya bukan semata-mata pahala, tetapi sebagai tanda syukur dan penghargaan kita kepadaNya atas pemberian nikmat berupa hadiah yang tidak ternilai harganya. Sepatutnya kita bermohonlah kepada Allah, tetapi Allah jua yang berhak menentukan pada apa yang kita pilih. Ini kerana kita tidak mengetahui hakikat yang sebenar apa yang kita pilih baik atau buruk di sisi Allah SWT. Menjadi tanggungjawab Allah untuk memperkenankan bila dan apa yang kita pohon. Apa yang kita hendaki tidak bermakna Allah menghendaki. Kita suka tidak semestinya Allah suka.


Allah Memperkenankan Doa Hamba

Menurut Ibn ’Ataillah, terdapat 3 jenis manusia dalam berdoa kepada Allah:

i.              Manusia yang tidak pernah berpaling daripada Allah. Sentiasa menyerah diri kepadaNya dengan harapan untuk mencapai redha Allah. Menerima apa sahaja ketentuan Allah dan sentiasa bersangka baik sama ada Allah perkenan doanya atau tidak.
ii.             Manusia yang berdoa kepada Allah dan yakin bahawa Allah tetap dengan janjiNya dan sesekali tidak menyalahi janjiNya. Jika hajatnya belum tercapai dan doanya lambat diperkenankan, dia beranggapan positif bahawa kemungkinan cara dan kaedah, atau perlakuannya yang tidak mengikut perintah Allah. Masih melakukan maksiat sama ada disedari atau tidak. Harapannya sentiasa tinggi agar Allah memperkenan doanya, lalu dia gembira apabila diperkenankanNya dan disyukuri.
iii.            Manusia yang tidak pernah putus harapan berdoa kepada Allah untuk memohon apa yang dihajati. Namun pada masa yang sama meninggalkan perintah Allah, mengerjakan larangan dan tegahan Allah dan hatinya tidak sejajar dengan apa yang didoakan. Doa orang seperti ini lambat dimakbulkan. Apabila doanya lambat diperkenankanlah hatinya menjadi ragu-ragu dan timbul kebimbangan.

Bagaimana Doa Diperkenankan

Abi Said al-Khudri r.a meriwayatkan bahawa terdapat 3 jenis keadaan doa. Adakalanya doa seseorang itu disegerakan permintaannya. Ada waktunya Allah memperkenankan doa orang yang memintanya, tetapi disimpan sebagai bekalan pahalanya di akhirat. Namun terdapat keadaan yang Allah menterbalikkan doa seseorang dalam bentuk kejahatan seperti bala atau malapetaka sesuai dengan doanya.
            Namun demikian, sesuatu doa yang dipohon tidak wajar diminta dengan terburu-buru agar Allah memperkenankan dalam waktu yang singkat. Semuanya terserah kepada Allah, kerana Dia lebih mengetahui dan memahami keadaan manusia. Inilah yang diajar oleh nabi saw di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim:

يُسْتَجَابُ لأحَدِكُمْ مًالمْ يُعَجِّلْ , يَقُوْلُ: دَعَوتُ فَلَمْ يُسْتَجَبْ ليْ

Ertinya: Doa salah satu kamu akan diperkenankan oleh Allah, asalkan ia diminta dengan tidak terburu-buru, sebagaimana dikatakan: Aku telah berdoa tetapi doaku belum diperkenankan.

Nabi Musa dan nabi Harun pernah berdoa kepada Allah agar dicabut segala nikmat yang diberikan Allah kepada Firaun kerana telah menyesatkan manusia. Namun doa dan permintaan tersebut telah dimakbulkan setelah 40 tahun kemudiannya.

Wahab r.a. mengungkap bahawa manusia suka untuk mengajar Allah agar Allah menunaikan permintaannya sekalipun tidak baik di sisi Allah. Apa jua dalam kehidupan yang serba daif ini, biarkan kita mengutamakan kehendak Allah, dan tidak sesekali memohon agar Allah memahami kehendak dan kemahuan kita. Allah pasti akan memuliakan manusia yang memuliakanNya. Allah memberikan apa yang dikehendaki dan menjauhkan apa yang tidak diingini. Ini kerana Allah telah menjamin kepada kita apa yang telah kita doakan, terhadap apa yang telah dipilih oleh Allah untuk kita. Allah tidak memperkenankan apa yang kita pilih untuk diri kita. Manusia tidak boleh terlepas daripada kehendak Allah. Janganlah kita mendahului Allah dalam semua perkara. Anggaplah segala keputusan yang datang selepas doa itu sebagai janji Allah. Hati yang tenang tidak diselubungi oleh perasaan ru-ragu dengan takdir Allah. Akhirnya kita akan gembira dengan setiap ketetapan dan kehendak Allah yang Maha Kaya lagi Maha Mengetahui.
Imam Ghazali memberi gambaran tiga keadaan manusia yang diterima amalan ibadat dan terlebih hampir dirinya kepada Allah. Antaranya ialah Allah memulia dan memilih golongan ini untuk mengenali-Nya. Kemudian Allah meluruskan perkataan, perbuatan dengan Taufiq dan pemeliharaanNya. Maka tercapailah redha Allah dan Syurga-Nya


Wirid dan Warid

Dua perkara ini saling berkait antara satu sama lain di dalam perhubungan manusia dengan Allah. Bagi mencapai redha Allah dan SyurgaNya maka seseorang hamba itu perlu berwirid. Wirid ialah segala amal soleh yang dilakukan oleh seseorang hamba untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Wirid ini hendaklah dilakukan secara berterusan dan jika tertinggal maka segera ia diqada’kan. Hasil daripada usaha dan ketekunan wirid ini, maka Allah akan menganugerahkan warid. Warid ialah sesuatu yang dianugerahkan atau kemuliaan yang diberi Allah kepada seseorang hamba dengan berkat amal solehnya. Anugerah dan kemuliaan ini yang datang daripada Allah dalam bentuk nur yang tidak dapat dilihat dengan pancaindera mata, hati akan dilimpahi dengan ilmu tentang ketuhanan dan menjadikan imannya semakin bertambah. Ini bermakna Warid adalah kurniaan Allah SWT kepada hambaNya yang taat dan patuh serta tunduk kepadaNya. Manakala Wirid adalah kewajipan kita yang dituntut oleh Allah ke atas kita. Ibn ’Ataillah al-Askandari menyebutkan bahawa:

وُرُوْدُ الإِمْدَاد بَحَسَبِ الإسْتِعْدَاد

Ertinya: Datangnya bantuan Allah adalah berdasarkan kepada sejauhmana persiapan hambaNya

            Wirid adalah menjadi hak Allah untuk ditunaikan oleh manusia dengan mengerjakan segala yang wajib dan menampungnya dengan segala amalan yang sunat. Inilah akhlak orang yang beriman dan menjadi jalan ahli ibadat bagi menambah dan meningkatkan imannya kepada Allah SWT. Inilah yang dianjurkan oleh nabi saw di dalam sabdanya:


أحَبُّ الأعْمالِ إلى اللهِ تعالى أدْوَامُهَا وإنْ قَلَّ

Ertinya: Sebaik-baik amal kepada Allah ialah amal yang dilakukan secara berterusan walaupun sedikit

Kesimpulannya, dalam beribadat kepada Allah, mohonlah kepadanya agar diberikan bimbingan dan tunjuk ajar dengan melakukan ibadat secara berterusan (istiqamah). Maka sebagai penghargaan kepada ketaatan yang berterusan dan perhambaan yang tinggi kepada Allah, maka layak seseorang hamba itu mendapat warid sebagai kurniaan daripada Allah. Warid itu bergantung kepada sejauhmana wirid kita kepada Allah. Ini kerana Allah mengurniakan Warid setimpal dengan Wirid kita kepada Allah.




Kata Imam al-Ghazali: Empat cara untuk mengetahui kelemahan diri:
i.              Mencari seorang guru yang mursyid
ii.             Bersahabat dengan sahabat yang boleh menegur
iii.            Mendengar dari lidah musuh tentang kelemahan diri
iv.           Bergaul dengan masyarakat sehingga boleh mengambil iktibar serta perbandingan




0 ulasan:

Catat Ulasan