Ads 468x60px

Labels

Selasa, 20 Mac 2012

Hidup Satu Perjalanan


Al-Baraa’ bin Azib menceritakan ketika membawa satu jenazah ke perkuburan Baqi’ al-Gharqad, lalu Rasulullah saw datang dan duduk bersamanya dengan penuh ketenangan dan baginda mendoakan katanya: Aku berlindung diri kepada Allah daripada siksaan kubur”. Diulanginya kalimah yang sama sebanyak tiga kali.



Seterusnya rasulullah menjelaskan lagi apabila kita meninggalkan dunia yang fana’ ini menuju ke negeri akhirat, maka terputuslah segala amal dan segala urusan dunia yang lain. Ketika itu datanglah para malaikat duduk bersama-sama mayat yang terbujur kaku itu. Lalu datanglah malaikat almaut dan terus berada di kepala kita dan berkata:” wahai roh yang baik, keluarlah dengan pengampunan dan keredhaan Allah. Roh kita pun akan keluar seumpama air yang keluar dari mata air dan disambut oleh malaikat almaut dibawa terus dibawa ke langit, tanpa menangguhnya walaupun sekelip mata. Dalam perjalanan itu malaikat almaut akan menemui para malaikat yang lain dan masing-masing bertanya siapakah gerangan roh yang dibawa ini. Maka para malaikat yang mengiringi roh kita akan menjawab dengan penuh kebanggaan, inilah roh fulan bin fulan. Mereka memperkenalkan roh kita dengan menyebut sebaik-baik nama yang pernah dipanggil di dunia.
Sesampainya roh kita ke langit yang kedua, dibukanya pintu dan kita akan disambut oleh malaikat yang sedang menunggu. Seterusnya begitulah perjalanan roh kita sehinggalah bertemu dengan Allah. Saat itu Allah mengatakan kepada malaikat:” Catitlah buku hambaku ini di dalam Syurga Illiyyin dan kembalikan semula ke bumi. Aku menciptakan manusia daripada bumi, maka kembalikanlah semula ke bumi. Kemudian aku akan keluarkannya lagi untuk kali yang kedua”.

Maka roh kita pun akan dibawa semula ke bumi dan dikembalikan kepada jasad kita. Saat itulah kita didatangi oleh dua malaikat yang akan duduk di sisi kita dan mengajukan soalan demi soalan. Siapakah Tuhan kamu?, Apakah agama kamu?, Siapa nabi kamu?, apakah kitab kamu? Apakah kamu membenarkan kitab Allah? Maka saat inilah amalan kita di dunia akan menjawab segala soalan yang diajukan kepada kita. Agak-agaknya mampukah amalan kita yang ada sekarang menjawab soalan bagi pihak pihak kita? atau kita hanya mampu menyerah diri sepenuhnya untuk diperlakukan oleh dua malaikat dengan pukulan dan siksaan yang sakit tidak terperi. Jika jawapan yang kita kemukakan itu tepat tanpa sedikitpun ragu-ragu, maka berjayalah kita dengan ujian soal-jawap mungkar dan nakir. Alangkah takutnya kita kalau-kalau kita termauk golongan manusia yang tidak mampu menjawab soalan yang semudah itu, jika ditanya di dunia. Kalau inilah soalan di tanya di dalam kertas peperiksaan, rasanya tidak ada manusia yang salah menjawabnya walaupun anak-anak di tadika. Tetapi yang menjawabnya bukan diri kita, tetapi amalan yang ada di dalam diri kita semasa di dunia.

Setelah kita mampu menjawab soalan-soalan tadi, kita akan terus diberi keputusan. Kedengaran seruan dari langit mengatakan: " betul jawapan hambuku ini, bentangkanlah kepadanya hamparan dari langit dan bukakanlah pintu syurga kepadanya. Maka disaat itu kubur yang menghimpit kita dilapangkan dengan seluas-luasnya pandangan. Bauan wangian dari syurga dapat kita nikmati waktu itu dengan haruman yang tidak pernah kita rasai. Kemudian amalan kebaikan kita di dunia akan memperkenalkan diri kepada diri kita dengan berupa wajah yang cantik, berpakaian serba indah, harum semerbak dan berkata kepada kita:" Bergembiralah kamu dengan apa yang menyenangkan hati kamu. Inilah hari yang dijanjikan kepada kamu. Kita dalam keadaan terpinga-pinga bertanya siapakah gerangan yang berkata-kata dengan kita ini. Maka dijawabnya kepada kita: "Inilah amalan kebaikan kamu semasa di dunia". 

Alangkah gembiranya kita terlepas dari siksaan kubur dan segala persoalan tentang hidup kita di alam akhirat telah terjawab sudah. Keputusan telah berada di tangan kita. Ketika itu kita tidak sabar-sabar lagi untuk menunggu detik Kiamat agar kita dapat bertemu dan bertaut kembali dengan anak-anak dan ahli keluarga. 

Inilah suatu kisah perjalanan hidup mereka yang melakukan amalan kebaikan di dunia. Sesungguhnya Allah sedikitpun tidak menyalahi janjiNya. Apakah kita telah bersedia untuk melalui detik getir ini atau hanya  sekadar menunggu hari demi hari yang tidak kita ketahui bilakah penghujungnya. 



0 ulasan:

Catat Ulasan