Ads 468x60px

Labels

Jumaat, 3 Februari 2012

Imam al-Ghazali: Pencetus Motivasi Iman dan Taqwa


Abu Hamid al-Ghazali (w.505/1111) adalah seorang tokoh ulamak yang terkenal, malah merentasi lokasi tempat tinggal dan zamannya. Al-Ghazali dianggap sebagai tokoh universal dan Mujaddid yang telah mencipta nama dalam pelbagai bidang, terutama ilmu tasawuf. Perubahan besar pada dirinya ke arah penghayatan ajaran tasawuf berlaku setelah beliau menjadi terkenal sebagai seorang ulama feqah dan ulamak kalam.Beliau seorang tokoh yang begitu menonjol dalam bidang ilmu Tasawuf  dengan melahirkan pelbagai karya seperti Ihya’ Ulum al-Din, Minhaj ‘Abidin, Bidayah al-Hidayah, Mizan al-‘Amal, Mi’raj al-Salikin, Misykat al-Anwar dan lain-lain lagi.  Dengan keupayaan ilmunya yang luas dan pelbagai ragam, Imam al-Ghazali dapat membaca dan mengulas kerosakan masyarakat Islam pada zamannya serta memainkan peranan yang cukup berkesan melalui bidang penulisan. Kemunculan ilmu Tasawuf  yang mulanya hanya terkenal di Kufah dan Basrah pada abad ke-2H, dan pada abad ke-3, ilmu ini berkembang dengan meluas sehingga ke Kota Baghdad di saat manusia berhadapan dengan kepincangan akhlak, kehidupan bermewah menjadi ukuran darjat seseorang. Maka, kelahiran  Imam al-Ghazali pada abad yang ke-5 dengan menumpukan kepada pembangunan akhlak untuk membersihkan hati dan kemurniaan jiwa masyarakat

Penulisan Kitab Minhaj al-’Abidin

Imam al-Ghazali dilihat begitu meneliti dan cermat dalam menyusun kitab Minhaj al- ’Abidin. Ini sesuai dengan tajuk kitab ini yang iaitu ”Jalan Para Ahli Ibadat”, bahawa ibadat adalah jalan menuju untuk menemui Allah dan SyurgaNya. Inilah jalan yang dilalui oleh para Rasull, nabi, awlia, salihin dan mukhlisin. Jalan menuju ke Syurga bukanlah jalan yang mudah untuk dilalui oleh para hamba. Maka tidak hairanlah ramai di kalangan manusia yang menuju ke jalan ini, tetapi malangnya mereka tidak sampai dan menyimpang dipertengahan jalan. Karya terakhir ini adalah menjadi risalah bimbingan dan sebagai wasiat terakhir Imam al-Ghazali kepada umat ini. Ini kerana selepas berakhirnya penulisan kitab ini, beliau telah meninggal dunia sewaktu usia 55 tahun.
Melalui kitab Minhaj al-‘Abidin, Imam al-Ghazali, beliau telah menerangkan bahawa seorang itu akan menempuhi tujuh peringkat dalam perjalanannya menuju menjadi seorang ahli ibadat atau ’abid. Seseorang hamba itu apabila dikehendaki oleh Allah, peringkat pertama maka dirinya akan merasai suatu sentuhan lintasan (Nur Ilham Ilahi) dihatinya. Lahirnya perasaan untuk mengingati betapa dirinya diberikan Allah dengan nikmat yang banyak dan tidak terhitung, maka dirinya perlu bersyukur kepada pemberi nikmat ini (Allah). Ketika itulah dirinya didatangi perasaan takut kerana kealpaan dan kecuaian dirinya kepada Allah SWT, dan inilah peringkat yang dikenali sebagai lintasan takut. Lantas membuatkan dirinya untuk berfikir untuk mencari ilmu sebagai bukti kebenaran. Maka faktor inilah yang menuntut dirinya untuk belajar ilmu dan mendekati para alim untuk menunaikan tanggungjawab agama.
Justeru itulah Imam al-Ghazali meletakkan perbincangan tentang kepentingan ilmu dan ibadat sebagai asas di dalam kandungan kitab Minhaj al-‘Abidin. Beberapa aspek penting berkaitan ilmu dan ibadat telah dikupas antaranya kepentingan berilmu sebelum beribadat, berilmu tanpa berguru, ilmu yang bermanfaat, keikhasan dalam menuntut ilmu dan bahaya beramal tanpa ilmu. Setelah seseorang itu telah memiliki ilmu, atau Makrifat al-Yaqin ini, maka akan mendorong dirinya untuk menumpu dan berkhidmat kepada Allah (taat). Peringkat yang kedua pula ialah timbulnya persoalan ”Bagaimanakah diri ini untuk beribadat, sedangkan banyak maksiat dan dosa yang telah dilakukan dan sentiasa berlumuran dengan Kekotoran dan noda. Maka tidak dapat tidak seseorang hamba itu wajib bertaubat kepada Allah untuk membersihkan dirinya dari najis-nasjis maksiat dan diampunkan segala dosa yang akhirnya melayakkan dirinya berkhidmat kepada Allah. Sehubungan dengan itu Imam al-Ghazali di dalam bab yang kedua, membincangkan tentang ”’Uqbah Taubat”. Antara aspek yang disentuh ialah tentang kenapa kita wajib bertaubat, apakah yang dimaksudkan dengan taubat nasuha, syarat taubat, muqaddimah taubat, penghalang taubat, jenis-jenis dosa dan cara-cara bertaubat daripada dosa-dosa tersebut.
            Peringkat yang ketiga pula, apabila seseorang itu telah memiliki ilmu, dan dirinya telah bersih daripada kekotoran noda maksiat, maka dirinya bangkit untuk beribadat kepada Allah, tiba-tiba didapati disekelilingnya banyak penghalang-penghalang yang melingkungi dirinya. Halangan-halangan ini menjadi cabaran yang cukup besar kepada dirinya untuk mencapai matlamat menjadi ahli ibadat. Maka Imam al-Ghazali menjelaskan di dalam bab yang ketiga bahawa terdapat empat penghalang iaitu dunia, makhluk, syaitan dan nafsu. Setiap satu persatu halangan ini dikupas dengan panjang lebar dan bagaimana untuk menolak dan menyingkirkan halangan ini. Segala halangan ini hendaklah direntasi dengan empat perkara iaitu bertajarrud daripada dunia, mengasingkan diri daripada makhluk, memerangi syaitan dan menewaskan hawa nafsu. Imam al-Ghazali turut menperakui bahawa untuk merentasi halangan-halangan ini adalah terlalu sukar, lebih-lebih lagi untuk menewaskan hawa nafsu dan memerangi syaitan. Maka semua ini dapat dikekang dengan sifat taqwa. Justeru, bab yang keempat dbincangkan tentang sifat taqwa. Bagi mencapai sifat ini seseorang hamba itu wajib menjaga anggota pancaindera yang lima iaitu mata, telinga, lidah, hati dan perut.

Ujian yang Pasti Datang

Peringkat yang keempat pula, dalam merentangi jalan ibadat seseorang hamba itu akan diganggu oleh beberapa rintangan lain seperti rezeki, kebimbangan terhadap bahaya, kesusahan dan bala bencana, dan bermacam-macam Qada’ daripada Allah SWT. Semua ini dibincangan oleh Imam al-Ghazali di dalam bab yang kelima yang menuntut diri seseorang hamba itu untuk bertawakkal dan berserah kepada Allah, bersabar dan redha dengan ketentuan atau Qada’ Allah. Setelah berjaya merentasi peringkat yang keempat dan hampir-hampir seseorang itu berjaya untuk bangkit menjadi ahli ibadat, seseorang hamba itu merasakan dirinya lemah, lesu, malas dan tidak cergas untuk mendirikan ibadat. Ini kerana kecenderungan dirinya selama ini kepada kelalaian, kesenangan, kemewahan, kerehatan, maka peringkat yang kelima, ini memerlukan kepada dirinya ada pemandu yang membawa ke arah kebaikan dan mencegah daripada kejahatan iaitu sifat al-Raja’ (mengharap) dan al-Khauf (takut). Mengharapkan setiap kebaikan diberikan pahala dan setiap kejahatan dibalas neraka yang mendatangkan sifat takut.
Setelah merentasi kelima-lima peringkat ini, Imam al-Ghazali mengatakan bahawa seseorang hamba itu akan berhadapan pula peringkat yang keenam dengan ’Uqbah (peringkat) yang mencedera dan merosakkan amal ibadatnya. Dua sifat yang membinasakan amal ibadat seseorang hamba ialah riya’ dan ’Ujub. Merasai diri terlebih baik berbanding dengan orang lain, memperlihatkan ketaatan kepada orang ramai. Maka dua faktor perosak ini boleh dihalangi dengan sifat ikhlas dan mengingati kurniaan Allah yang sentiasa di bawah jagaan dan kasih sayangNya.

Jalan Menuju Kejayaan

Manakala peringkat yang terakhir dan yang ketujuh ialah seseorang hamba itu akan merasai dirinya tenggelam dalam lautan nikmat Allah yang dikurniakan kepadanya, seperti hidayah dan taufiq Allah, pemeliharaan dan kawalan Allah, kemuliaan dan ketinggian, maka dirinya terasa takut jika terjatuh ke lembah kekufuran, kelalaian dan kehinaan di sisi Allah, maka Imam al-Ghazali merumuskan, seseorang hamba itu hendaklah memuji Allah dan bersyukur terhadap dirinya di atas segala pemberian Allah. Setelah melalui ketujuh-tujuh peringkat ini, Imam al-Ghazali menegaskan bahawa insan ini akan merasai datangnya kelazatan dan kemanisan beribadat. Mereka menemui jalan beribadat yang menjadi destinasi  yang ditujui. Datangnya perasaan rindu dan Mahabbah (sayang) kepada Allah Rabbul Izzati. Inilah yang dikatakan sebagai kebun-kebun dan taman-taman keredhaan Allah. Hamba ini di sisi Imam al-Ghazali fizikalnya sahaja yang berada di dunia, tetapi hakikat hatinya telah berada di akhirat. Insan ini hanya menunggu hari dan waktu  untuk menemui saat-saat yang sangat manis, iaitu ketibaan Malaikat al-Maut yang membawa berita gembira bersama suratan ajal.


Kenali Tokoh Sahabat Rasulullah saw yang Dijamin Syurga

Abdul Rahman Bin Auf Az– Zuhri al-Quraisyi, salah seorang antara yang pertama masuk Islam dan antara sepuluh yang dijamin Syurga. Beliau berhijrah bersama nabi saw ke Habsyah dan Madinah, dan menyertai seluruh peperangan bersama dengan Baginda saw. Rasulullah saw pernah solat di belakangnya pada rakaat kedua solat Subuh. Tokoh sahabat ini adalah antara hartawan yang telah menginfaqkan sebahagian besar hartanya lebih daripada sekali. Beliau meninggal pada tahun 32H.










0 ulasan:

Catat Ulasan