Ads 468x60px

Labels

Khamis, 18 Ogos 2011

Di Mana Bumi Dipijak Di Situ Langit Dijunjung


Pendahuluan

Kasih sayang dan cinta antara manusia dengan manusia mudah terjalin. Segala pengorbanan yang diberikan seseorang akan dihargai dan dikenang. Tidak cukup dengan sekadar dikenang, malah disebut-sebut sehingga meniti di bibir dan budi yang baik akan dibalasinya. Pintu hati mudah terbuka dengan sentuhan manusia mengasihi dan menyayangi dirinya.
Sifat pemurah dan penyayang adalah sifat Allah SWT yang utama. Bagaimana Allah menggambarkan sifatNya dengan memulakan ayat Bismillahirrahmanirrahim. Dua sifat ini menjadi sifat utama Allah walaupun Allah SWT mempunyai 99 nama. Manusia lebih terpikat dan terpaut hati jika dengan sifat pemurah dan penyayang. Maka orang yang mempunyai sifat ini mudah dan senang didekati. Begitulah Allah mengutamakan sifat ini agar manusia mudah mendekati dan senang dengan Allah. Sentiasa ramah dan rapat dengan Allah sebagai pembantu.
Allah SWT telah memberikan pelbagai nikmat seperti harta kekayaan, kesihatan, anak-anak, isteri dan sebagainya. Namun semua ini adalah bukan hak milik kita, tetapi ia adalah hak milik Allah SWT yang mutlak. Ini bermakna kita adalah peminjam yang meminjam harta Allah, malah diri kita juga adalah pinjaman Allah. Segala pancaindera kaki, tangan, kaki, telinga, mata dan lain-lain adalah hak milik yang diberi pinjam kepada kita. Apabila sesuatu yang dipinjaman sudah pasti diberikan kepada orang yang layak dan seorang yang amanah. Orang yang amanah adalah orang yang dipercayai untuk menjaga, mengawal dan menurut apa yang ditentukan. Ini bermakna kita adalah orang kepercayaan Allah untuk menjaga amanahnya. Justeru, kita dikehendaki menjaga dan menggunakan harta yang dipinjaman dengan sebaik-baiknya. Menjaga dan menggunakan harta Allah tidaklah sampai kepada kecintaan dan kasih yang melampaiu sehingga lupa kepada yang memberi dan tuan punya harta. Apatah lagi melanggar segala syarat dan kehendakNya. Sayang kepada anak tidak boleh mengatasi sayang kepada tuan yang memberikan kita anak. Begitukah seterusnnya agar kita dapat membezakan kasih sayang kepada hak milik kita sendiri dengan hak milik orang lain.
            Dalam hal ini kita tidak boleh bersangka bahawa kekayaan dunia seperti pangkat, kuasa, wang ringgit tidak penting, tetapi semua ini mestilah bersandarkan kepada Allah, bukannya kepada dunia semata-mata. Allah yang mendatangkan rezeki, mengurniakan pangkat dan kedudukan, membahagia, memporak-peranda hidup manusia dan sebagainya. Manusia tidak boleh berpegang dan meyakini bahawa dunia yang menyelamatkan mereka. Jika kita percaya berpegang erat bahawa dunia yang mempunyai kekuasaan, jaminan kepada kebahagian dan ketenangan hidup, dunia sebagai tempat bergantung, bermakna kita menjamin manusia yang bertuhankan kepada dunia. Nabi Isa a.s menyatakan bahawa:

Jangan kamu jadikan dunia ini sebagai Tuhan. Maka dunia akan menjadikan kamu hamba yang hina.


Bagi orang yang beriman dunia langsung tidak mendatangkan manfaat dan kebaikan yang kekal abadi. Reka bentuk dunia antara yang terkecil daripada planet yang lain, jelas memberi gambaran bahawa itulah hakikat kehidupan di dunia. Sekiranya dunia yang dianggap besar ini pada hakikatnya terlalu kecil, maka alangkah kecilnya apa yang terkandung dalam isi perut dunia. Jika dinilai planet bumi dengan matahari, maka alangkah tidak bernilainya dunia/ bumi yang dikejar dan dikagumi oleh manusia yang tidak melihat dengan matahati yang sebenar-benar. Jika kita mengkagumi matahari yang lebih besar daripada bumi, maka bintang Nilam diburuj Union lebih besar 22 kali ganda daripada matahari. Ini bermakna segala apa yang ada dilangit dan dibumi menjadi perhiasan sementara kepada manusia agar mereka dapat bersyukur.

Dunia bukanlah tempat untuk kita bersenang-senang. Dunia bukan tempat yang baik dan aman bagi orang yang mukmin. Malah dunia adalah tempat yang hina bagi orang yang beriman dan tempat yang mulia serta medan keseronokan bagi orang yang kufur. Dunia adalah taman kemegahan dan kesombongan bagi orang yang cinta kepada pangkat dan kedudukan. Dunia adalah tiket kekayaan bagi orang yang sayang dan cinta kepada harta benda.


Hati Yang Bercahaya

Apabila hati telah disinari cahaya Allah, maka secara tidak langsung hati kita telah mempunyai hubungan dengan Allah. Hasil daripada hubungan ini melahirkan pertalian yang semakin rapat dan intim dengan Allah dan akan mengenaliNya secara dekat. Apabila kita mengenali Allah yang bersifat Maha Pengasih, Maha Penyayang kepada hambaNya, Maha Pemurah dan lain-lain sifat kebaikan Allah, maka kita akan mengetahui bahawa Allah sentiasa memerhati kita. Oleh kerana Allah mempunyai sifat-sifat tersebut maka tidak sewajarnya kita berburuk sangka dengan Allah dengan menganggap setiap keburukan yang berlaku adalah disebabkan oleh Allah yang sengaja mendatangkan keburukan. Segala ketentuan yang datang daripada Allah semuanya berupa kebaikan dan berlaku dengan kehendak dan pilihanNya. Semuanya mempunyai hikmah yang tersembunyi yang tidak dapat diketahui oleh kita.

Setiap keburukan, penderitaan, penyakit, miskin, fakir, mudharat dan sebagainya adalah dibenci dan mohon dijauhi oleh kita. Menurut Abu Talib al-Makki, setiap yang datang termasuk musibah, ujian dan bala daripada Allah, pada hakikatnya mengandungi kebaikan di akhirat. Sememangnya naluri manusia suka dan gemar kepada kesihatan yang baik, kaya, berpangkat dan lain-lain kemegahan hidup yang semuanya kemungkinan membawa keburukan dan kerosakan kepada kita sama ada di dunia atau akhirat. Manusia akan membantah dan mengeluh jika sesuatu yang datang daripada Allah tidak berpihak kepada dirinya, malah ada yang menentang tanpa memikirkan tentang hikmah dan pengajaran yang berlaku. Inilah yang dijelaskan oleh Allah SWT di dalam surah Luqman ayat 20:
Ertinya: Tidakkah kamu memperhatikan Bahawa Allah telah memudahkan untuk kegunaan kamu apa yang ada di langit dan yang ada di bumi, dan telah melimpahkan kepada Kami nikmat-nimatNya yang zahir dan yang batin? Dalam pada itu, ada di antara manusia orang yang membantah mengenai (sifat-sifat) Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan atau sebarang petunjuk; dan tidak juga berdasarkan mana-mana Kitab Allah yang menerangi kebenaran.


Memahami Kehendak dan Keputusan Allah

Allah jua yang mendatangkan rezeki dan Allah, tuhan yang sama itu juga yang menurunkan bala dan yang menjadikan segala sesuatu. Kerana itulah maka setiap apa yang berlaku ke atas kita, sama ada baik atau buruk adalah berupa keputusan dan ketentuan Allah. Sekalipun yang datang kepada kita adalah keburukan seperti sakit, fakir dan miskin, itu juga sebagai nikmat batin yang tidak dilihat sebagai nikmat oleh kita. Sesuatu perkara yang negatif menimpa kita menuntut kepada sifat sabar, usaha dan tawakkal, yakin dan lain-lain sifat keimanan. Apa yang terjadi ke atas diri kita sedikitpun tidak mampu dihalang, ditolak atau dijauhi. Semuanya adalah diluar batas manusia dan akal kita serta kemampuan. Kita sebagai manusia dan segala makhluk yang lain hendaklah menerima dengan redha, sabar dan gembira. Semua ketetapan dan keputusan itu datang daripada yang Maha Pencipta dan Maha Mengetahui setiap apa yang dilakukan oleh kita dan kemampuan kita untuk menanggungnya. Tidak boleh bergundah-gulana, bersedih, bimbang apatah lagi untuk menentang dan mempersoalkan pilihan dan keputusan Allah. Musibah yang datang dan ujian yang menimpa diri pastinya akan menambahkan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah SWT. Ingatan kepada Allah menjadi semakin meningkat dan sesekali tidak akan lupa bahawa Allah sentiasa kita sama ada di saat senang atau susah, sihat atau sakit, kaya atau miskin, pandai atau bodoh. Mengingati setiap musibah yang menimpa sebagai satu keinsafan dan pengajaran dan mengandungi hikmah yang tersembunyi. Kesannya kita akan sentiasa bersangka baik dengan Allah dan meredhai setiap apa yang berlaku. Meneriam ketentuan Allah dengan penuh ketenangan, tenteram dan bahagia. Dengan ini kita akan merasai diri semakin dekat dengan Allah dan merindui bisikan dan bermunajat kepadaNya.
Kita yang Belum Mengenal Allah

Bagaimana untuk kita mengetahui bahawa diri kita telah mengenal Allah atau tidak? Manusia yang mengenali Allah ialah mereka yang berjaya mengetahui sesuatu yang didatangkan oleh Allah kepadanya. Segala yang datang daripada Allah adalah seiringan dengan kehendak dan hajat serta keperluan manusia di dunia dan akhirat. Bala dan ujian yang datang kepada kita adalah antara lainnya untuk menghapuskan dosa dan kesalahan kita terhadap Allah. Nabi Isa a.s menegaskan bahawa :


Seseorang itu belum dikatakan mengenal Allah jika belum bergembira dengan musibah dan penyakit yang menimpa fizikal dan hartanya, kerana tidak mengharapkan segala kesalahannya diampunkan oleh Allah.

Ini bermakna sekiranya kita sering menjauhi dan tidak boleh menerima dengan ujian dan bala Allah, maka kita sebenarnya tidak mengharapkan kepada Allah menghapuskan dosa yang pernah kita lakukan. Jika Allah menghendaki seseorang itu untuk menjadi baik, maka Allah akan menguji seseorang itu dengan ujian dan cubaan dalam hidupnya.



0 ulasan:

Catat Ulasan