Pendahuluan
Dalam kehidupan seseorang manusia apabila
datangnya lintasan hati suci yang dikenali dengan (ilham) daripada
Allah, ini menunjukkan bahawa Allah telah mencampakkan hidayahnya ke dalam hati
sanubarinya. Lantas kita akan dapat merasai sentuhan dan bisikan yang mengajak
kita untuk mensyukuri segala nikmat Allah SWT yang kita kecapi selama ini.
Inilah yang dikatakan taufiq ilahi yang khusus. Inilah yang dijelaskan
oleh Allah SWT di dalam surah al-Zumar.
Ertinya: Jika demikian, Adakah orang yang telah
dilapangkan Allah dadanya untuk menerima Islam, lalu ia tetap berada dalam
cahaya (hidayah petunjuk) dari Tuhannya
Berkenaan dengan ayat ini, nabi Muhammad saw juga bersabda:
Ertinya: Sesungguhnya nur itu apabila sudah masuk ke dalam
hati, maka dia menjadi luas dan lapang. Maka sahabat bertanya kepada Baginda: ”
Ya Rasulullah saw: adakah terdapat tanda-tanda sebagaimana yang kamu katakan
itu untuk kami ketahui. Jawab Baginda: ”Ya, ada alamatnya,iaitu menjauhkan diri
dari negeri dunia yang penuh tipu daya dan kembali ke negeri Akhirat yang kekal
abadi serta bersiap sedia untuk mati sebelum tibanya akal”.
Antara Hati dan Nafsu : Kawan dan Lawan
Di dalam diri manusia terdapat dua unsur
cahaya tauhid iaitu hati dan kegelapan syirik dan keraguan iaitu nafsu.
Kedua-dua unsur ini sering bertelagah antara satu sama lain. Dalam keadaan
tertentu hati berpihak kepada kemenangan dan ada waktunya nafsu yang menang.
Hati mengajak untuk melakukan kebaikan dan nafsu mengajak kepada yang sebaliknya.
Hati yang cepat mendapat bantuan Nur Ilahi Allah ini akan menang dengan menolak
kehendak nafsu dan mempertahankan kehendak hati. Jika perlawanan antara hati
dan nafsu masih belum menemui kegagalan dan kemenangan antara satu sama lain,
menemui kegagalan dan kemenangan antara satu sama lain, maka segeralah kita
menyerah kepada Allah dan mohonlah kepada Allah. Apabila hati kembali bercahaya
dengan ilham Allah maka keyakinan akan mengatasi keraguan yang selama ini
bersarang di hati. Inilah yang dikatakan kemenangan hati di atas nafsu.
Ini bererti tidak ada lagi hati yang
jahil, kabur dan ragu-ragu. Maka timbulnya rasa syukur di atas segala nikmat
anugerah Allah SWT yang amat berharga.
Tanda-tanda Mendapat Nur Ilahi
Nur ketuhanan ini
merupakan ilmu yang datang secara langsung daripada Allah SWT. Nur inilah yang
menjadikan hati seseorang tenang, lapang dan bersihnya hati manusia. Nur inilah
yang boleh dan mampu membezakan antara yang baik dengan buruk, pahala dengan
dosa, bersih dengan kotor dan sebagainya. Hilang dan perginya cahaya Ilahi ini
akan melindung dan menghalang seseorang daripada menerima kebenaran dan segala
kebaikan yang datang daripada Allah. Hati
yang bersih daripada segala dosa dan maksiat zahir dan batin akan
mendapat cahaya Ilahi. Datangnya cahaya Ilahi juga perlu dilakukan melalui
latihan dan kesungguhan untuk tidak mengikuti hawa nafsu dan syahwat. Setelah
penyakit batin ini telah diubati maka hati kita akan bersedia untuk menerima
Nur Ilahi.
Nur Ilahi adalah suatu
cahaya yang dilimpahkan oleh Allah ke dalam hati manusia yang menjadi jalan
untuk mendekatkan diri kepada Allah. Ini bermakna Nur Ilahi adalah suatu
anugerah Allah kepada hambanya yang diletakkan di dalam hati. Dengan adanya
cahaya inilah kita akan dapat melihat hakikat kebesaran dan keagungan Allah dan
akan menolak segala pandangan selain daripada Allah. Hasilnya kita tidak lagi
hidup dengan mengharap kepada manusia, atau bergantung hidup kepada manusia.
Tidak ada kuasa yang lain selain Allah dan tidak ada yang boleh ditakuti selainNya.
Di saat ini akan datang ketenangan dan kebahagian hidup yang hakiki apabila
setiapa waktu, saat dan ketika Allah berada dalam diri kita.
Peranan Nur Ilahi
Nur atau cahaya Ilahi ini berperanan
menguatkan semangat kepada hati dan melemahkan nafsu yang bersarang di hati.
Kemantapan tauhid dan keyakinan yang kuat
adalah hasil daripada bantuan cahaya Allah yang menolong hambaNya dari
dorongan nafsu dan syahwat. Hasil daripada itu juga hati tidak akan berbelah bagi
dalam mengikuti ajaran-ajaran yang diperintah oleh Allah SWT. Maka jelas bahawa
jika kita cenderung untuk mengerjakan ajaran agama, bererti kita telah mendapat
bantuan Allah. Apabila telah ada kecenderungan ini, maka segala perintah Allah
yang diperintah itu dilakukan dengan rasa gembira dan senang sekalipun ia pahit
untuk dilaksanakan. Apabila Nur ini terjatuh ke dalam hati seseorang maka
berlaku dorongan yang kuat untuk taat kepada Allah dan urusan agamaNya.
Apabila Pergi
dan Hilangnya Nur Ilahi
Apabila manusia terputus
dengan Nur Ilahi, maka nafsu akan berperanan untuk mengerjakan sesuatu yang
dilarang oleh agama dan hukum syarak. Maka seseorang itu akan merasai kelazatan
akibat daripada melakukan dosa dan maksiat. Dosa dan maksiat akan menjadi
sebati dalam dirinya dan terlalu sukar untuk dijauhi daripada kedua-duanya.
Hati akan terpaut dan menyintai dan akan sentiasa berangan-angan untuk
melakukan kejahatan dosa sekalipun mengetahui bahaya dosa tersebut.
Hati yang gelap dipengaruhi oleh nafsu yang diimamkan
oleh syaitan dan iblis. Hati tidak akan mampu untuk mencapai kepada
kehendaknya, iaitu mendekatkan diri kepada Allah tanpa bantuan daripada Allah.
Ini bermakna Nur Ilahi adalah tentera yang diutuskan Allah untuk membantu
kehendak hati manusia yang sentiasa berada di atas dua persimpangan. Manakala
nafsu pula akan sampai kepada kehendaknya. Antaranya tugas kehendaknya ialah
memperoleh syahwat dan keinginan dunia yang tidak berlandaskan kepada kehendak
agama, melampaiau batas sempadan kemanusian dan menolak segala sifat mahmudah
(kebaikan).
Nur Ilahi: Berfikir dengan Matahati
Anugerah kemenangan hati adalah al-Basyirah yang menjadi cahaya atau
penglihatan kepada hati yang dikenali sebagai matahati. Keadaan ini sebagaimana
juga mata zahir tidak boleh melihat tanpa bantuan cahaya yang menyuluh kepada
jalan yang ingin dilalui. Hal yang sama juga berlaku kepada matahati, ia tidak
akan dapat melihat dan mengenali sesuatu hakikat kebenaran yang datang daripada
Allah. Matahati perlu kepada cahaya yang akan menyuluh dalam kegelapan. Allah
SWT berfirman:
Ertinya: Maka sesiapa yang Allah kehendaki untuk memberi
hidayah petunjuk kepadanya nescaya ia melapangkan dadanya (membuka hatinya)
untuk menerima Islam; dan sesiapa yang Allah kehendaki untuk menyesatkannya,
nescaya ia menjadikan dadanya sesak sempit sesempit-sempitnya, seolah-olah ia
sedang mendaki naik ke langit (dengan susah payahnya). Demikianlah Allah
menimpakan azab kepada orang-orang yang tidak beriman.
Kesimpulannya,
Nur Ilahi tidak akan datang secara percuma. Hasil ketekunan ibadat, sabar dan
bersih daripada segala dosa besar dan kecil dan menjauh daripada penyakit hati
maka Allah pasti akan melimpahkan Nur IlahiNya kepada kita.
0 ulasan:
Catat Ulasan