Ads 468x60px

Labels

Isnin, 5 Mac 2012

Apa beza Hukum Syarak & Hukum Warak


Dari segi hukum syarak kita boleh mengambil apa-apa pemberian daripada seseorang yang pada zahirnya kelihatan baik dan tidak perlu menyoal dari mana ia datang, kecuali diyakini daripada sumber yang haram. Namun hukum warak pula berbeza dengan hukum syarak. Seseorang yang bersifat warak tidak boleh mengambil sedikitpun daripada pemberian orang lain kecuali setelah diperiksa dengan penuh cermat dan teliti dan diyakini tidak terdapat sedikitpun syubahat, apatah lagi daripada yang haram. Jika terdapat sedikit sahaja unsur-unsur yang syubahat maka ia pasti akan menolaknya. Abu Zar al-Ghifari mengatakan, kesempurnaan Taqwa ialah meninggalkan setengah yang halal kerana takut berlaku haram.[1]

            Ramai di kalangan para sahabat yang tidak hanya bergantung dengan hukum syarak, bahkan memberati hukum warak. Sebagai contoh Abu Bakar r.a. Pada suatu ketika Abu Bakar r.a. telah diberikan segelas susu oleh hambanya, lalu beliau meminumnya tanpa usul periksa. Maka hambanya agak kehairanan kerana Abu Bakar r.a. terus meminumnya tanpa mempersoalkan sebagaimana sebelum ini. Lalu hamba itu bertanya kepadanya. Maka Abu Bakar menyoalnya kembali dengan pertanyaan: ”Apa kisahnya?”. jawap hamba itu:” Susu ini adalah pemberian satu kaum  setelah saya membuat jampi jahiliyah kepadanya”.  Abu Bakar r.a. terus sahaja memuntahkan susu tersebut seraya berkata:” Ya Allah, inilah kemampuanku, maka apa yang tertinggal di dalam urat sarafku, maka cukuplah kepada Engkau aku serahkan permohonan keampunan”.
Telah diceritakan bahawa Imam Ahmad ibn Hanbal hidup dalam keadaan fakir selama 40 tahun. Beliau makan semata-mata untuk beribadat sahaja dan tidak menerima sedekah sekalipun pemberian daripada anaknya sendiri. Ini kerana sifat taqwa dan wara’ beliau. Dari segi menjaga wara’ ilmunya, beliau lebih banyak menjawab ”Tidak Tahu” dan ada kalanya beliau mengambil masa selama 3 tahun untuk menjawab persoalan hukum yang diajukan kepadanya. Ini menunjukkan sifat berhati-hati beliau tentang amanah ilmu.
           
Perbezaan Antara Hukum Syarak dan Hukum Warak

Dua perkara ini jarang sebenarnya dibincangkan secara seiring oleh ahli ilmu, lebih-lebih lagi dalam situasi sekarang. Perbincangan biasanya lebih tertumpu kepada hukum syarak, dan hukum warak dianggap menjadi amalan ahli-ahli tasawuf dan bukan di kalangan masyarakat awam. Namun pada hakikatnya pada zaman sekarang hukum syarak tidak memadai tanpa diiring juga dengan hukum warak, terutama di kalangan ahli-ahli agama yang sering terdedah dengan masyarakat.
Sesuatu hukum itu dianggap benar, sah dan sahih jika ia tidak bercanggah dengan hukum syarak sama ada bersumberkan al-Quran, hadis, ijmak ulamak dan lain-lain sumber sekunder hukum. Imam al-Ghazali dalam soal menerima pemberian orang yang diberikan oleh orang yang zahirnya baik, maka kita tidak perlu mempersoalkan daripada mana ia datang. Namun hukum warak tidak mencukupi dengan hanya melihat zahirnya sahaja, malah perlu menyelidik, memeriksaan dan berpuashati serta yakin bahawa pemberian itu tidak melibatkan perkara syubahat. Jika sebaliknya pemberian itu akan ditolak.
Perbezaan pendekatan antara hukum syarak dan hukum warak ini seolah-olah hukum warak itu menyalahi hukum syarak. Pada hakikatnya hukum syarak diletakkan di atas dasar kemudahan dan kemaafan, berbeza dengan hukum warak. Hukum warak dijadikan sebagai kawalan yang ketat, cermat, berhemat untuk mencapai sifat taqwa. Menurut Imam al-Ghazali hukum syarak dan hukum warak pada hakikatnya adalah satu. Hasil daripada hukum syarak yang merangkumi hukum harus dan hukum yang terlebih cermat dan berhemah inilah yang dikatakan sebagai hukum warak. Justeru, Imam al-Ghazali menegaskan untuk mencapai kepada hukum warak ia adalah terlalu sukar lebih-lebih lagi pada zaman hari ini. Antara syarat untuk mencapai sifat ini perlunya kekuatan jiwa, sabar dan sanggup menanggung susah, sabar kecuali dalam keadaan darurat.
Terdapat kisah tentang seorang ahli ibadat Wahab bin al-Ward, beliau telah berlapar selama beberapa hari, kemudian beliau memakan sekeping roti seraya berkata: ” Wahai Allah, sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui bahawa aku tidak kuat untuk mendirikan ibadat, tetapi aku takut menjadi lemah. Sekiranya tidak kerana demikian, nescaya aku tidak akan memakannya. Sekiranya makanan yang aku makan ini mengandungi sesuatu yang syubahat atau haram, maka janganlah Engkau mengambil tindakan menyeksa diriku”.
Bagi masyarakat awam juga perlu bersifat warak, berhemat, cermat, amat teliti dan mengkaji sekadar kemampuan kita. Ia banyak bergantung kepada sejauhmana cita-cita kita, maka sekadar itulah yang kita dapat dan mampu tercapai. Sesungguhnya Allah SWT tidak akan mengsia-siakan amal kita, dan Allah SWT memberikan ganjaran pahala itu juga bergantung kepada tahap kemampuan dan usaha seseorang. Kurangnya penelitian dan usaha serta cita-cita untuk mendapatkan yang terbaik dan terlebih hampir kepada apa yang dikehendaki oleh Allah dan amalan yang dibuat oleh nabi saw serta para sahabat.











[1] Mustafa Abdul Rahman (1996), op. cit., hlm.185

0 ulasan:

Catat Ulasan